Memaparkan catatan dengan label rumah terbuka. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rumah terbuka. Papar semua catatan

Selasa, 19 Julai 2016

Dilema Rumah Terbuka



Dah habis raya ke?

Mana bulih, belum cukup sebulan ni huhuhu kalau hujung minggu beraya sakan rumah kawan-kawan dan sanak saudara hingga jem serata ceruk negeri Selangor dan Kuala Lumpur, tengah minggu pulak meriah dengan sambutan raya di pejabat pulak. Pejabat tu buat ofis terbuka, pejabat ni buat jamuan raya, pejabat ambo je tadak jamuan bagai…tadak bajet katanya!

Elok juga buat pejabat terbuka sambutan aidilfitri. Musim lepas raya ni ramai orang ikat perut selepas berhabis sakan musim Syawal balik kampong lepas. Kalau belanja tak sakan pun, tetap juga habis. Tetap juga korek tabung senak perut nak tunggu musim gaji. Jadinya, bila ada pejabat terbuka ni, bolehlah makan sedap-sedap lagi walaupun poket dah kering. Duit cukup-cukup untuk isi tangki minyak dan beli susu anak je.

Namun, bila sepanjang bulan ni asyik ada rumah terbuka, pejabat terbuka sepanjang masa, bila masanya nak puasa 6? Dilemma betul. Puasa bulan Syawal ni memang dugaannya lebih hebat dari puasa Ramadhan. Serba salah pun ada. Tak pergi rumah terbuka kang, pendek silaturrahim pulak katanya. Kalau pergi rumah terbuka tetapi berpuasa kang, kecik hati pulak tuan rumah. Serba tak kena jadinya.

Apa-apapun, selamat jalani ibadah puasa 6 dan kunjungi rumah terbuka. 

Ambo belum makan lemang lagi ni. Lemang nismilan lebih sedap ditekakku. Ada orang nismilan buat lemang tak? Mintak sebatang!

Isnin, 20 September 2010

Kembalikan Mood Kerja Selepas Bercuti Panjang

Sebahagian besar daripada kita akan mula berkerja semula esok, walaupun dah ramai juga yang mula kerja pada hujung minggu lepas, termasuk akak Azieazah kita yang turut berkerja pada hari Sabtu juga. kalau kita yang mula kerja pada hari Isnin pun sudah kehilangan mood, apa lagi akak Azieazah. Dia melenggang kangkung ke tempat kerja ketika Kuala Lumpur masih lagi lengang.
Aku? Aku dah  mula kerja pada hari Rabu lepas lagi. Namun, Selasa petang aku singgah ke pejabat sekejab; bagi buah-buahan dari kampung untuk mereka yang dah mula kerja sejak pagi. Walaupun tak ada kuih raya, buah-buah itu sudah gembirakan mereka. Maklumlah, buah segar dari ladang yang adik ipar aku petik sendiri belakang rumah. Walaupun dah kerja Rabu lepas, aku hanya buat kerja di rumah sejak dua tiga bulan lepas. Hanya sesekali sahaja ke pejabat menyemak peti surat dan hadiri mesyuarat berkaitan sahaja. Selebihnya, siang malam aku kerja di rumah.
Sempena semua orang jatuh mood untuk kerja setelah cuti panjang  ni, aku letakkan beberapa tips kat sini, moga-moga boleh membantu menaikkan semula mood kerja anda. Kan kita nak jadikan Malaysia sebagai negara maju pada 2020, kenalah kerja kuat. Dah tak lama lagi tu...jadi, apa kata cuba tips berikut;

Tetapkan Azam
Berkerja kerana Allah perlu sentiasa disemat dalam minda. Bila niat dah betul, secara tak langsung kita akan sentiasa cuba untuk kerja sebaik mungkin. Maklumlah, berkerja itu juga ada bonus dan saham yang boleh kita kutip di akhirat nanti. Dah tentu kita tak mahu dipersoalkan cara kita berkerja.

Kemaskini tempat kerja
Suasana baru yang lebih kemas dan teratur akan beri perasaan baru. Tempat kerja yang kemas, segar dan ceria secara tak langsung boleh percikkan semangat dalaman. Apa kata gantung kad-kad raya yang diterima, sampul duit raya yang bermacam rupa atau ceriakan meja kerja anda dengan sekuntum bunga kegemaran. Tukar skrin komputer anda dengan gambar raya ke, macam-macam boleh buat. Simple tetapi ceria.

Bawa suasana raya ke pejabat
Balang kuih raya masih penuhkan? Bawalah satu dua balang biskut raya ke pejabat dan saling berkongsi biskut raya sesama rakan-rakan. Ada sesetengah pejabat akan adakan sambutan Aidilfitri dengan berkumpul sejam dua sambil menikmati jamuan. Bagus juga begitu, dapat saling bertemu dan bersalaman, bermaafan kerana bukan setiap hari kita boleh bertemu semua rakan sekerja. Masing-masing sibuk. Ada masa bertegur sapa pun sekadar melambai dari jauh sahaja. Masing-masing sibuk dengan urusan nak beli dunia (akulah tu!). Namun,begitu...janganlah sampai bawa kawah dodol segala...itu bukan nak kerja dah tu...

Pasang lagu raya
Banyak lagu raya boleh didengari secara online atau dalam fail di komputer kan? Kalau dalam komputer kat pejabat aku tu, lebih 100 lagu raya aku simpan. Namun, aku hanya pasang lagu raya sebelum puasa dan pada musim hari raya Aidiladha sahaja. Itu dah jadi identiti. Jadi musim Syawal ni, aku dengar lagu raya kat mp3 player je, bukan kat pejabat.

Kuatkan semangat
Bila cuti dah terlalu lama (seminggu tu lama apa), minda kita sudah rasa tenteram dan gembira dengan suasana santai itu. Otak pun dah mula malas nak berfikir. Hanya semangat yang kuat sahaja bolehkan kita bersemangat semula mengembalikan mood setelah cuti panjang itu. Apalagi bila badan masih lagi penat kerana perjalanan jauh, kesesakan lalu lintas...bila balik ke rumah, banyak hal lagi perlu dibuat. Rumah bersepah nak kena kemas, barang-barang yang kita punggah dari kampung halaman juga perlu disimpan atur, pakaian berlambak nak kena cuci, sedangkan pakaian untuk ke pejabat juga belum lagi gosok.

Hanya semangat yang kuat sahaja dapat atasi semua perasaan itu. Cubalah rehat secukupnya. Badan yang sihat dan segar, dengan tidur yang cukup boleh berikan semangat dan keazaman yang kuat untuk berkerja semula.
Cukuplah kot. Semoga membantu naikkan semula mood anda untuk berkerja. Kalau ada yang nak tambah lagi, bolehlah tampal kat bahagian komen. Boleh sama-sama kita manfaatkan.

Aku? Aku dah kemas rumah. Jadinya, dah boleh mulakan kerja semula dengan gear 5. Mmmmmmm dunia masih belum mampu aku beli lagi ni...nak kena kerja lagi kuat!

Ahad, 19 September 2010

Karaoke di Rumah terbuka

Hari ini hari minggu. Hari berehat untuk aku yang dah berhempas pulas jadi pekerja bandaran. Berkarung sampah dilupuskan dalam tempoh dua hari berkemas. Barulah terasa rumah ini tidak lagi menjadi pusat pelupusan sampah. Kepada bakal mak mertua, sila risik bakal menantu ayu anda, bila kali terakhir dia pegang batang mop ya, maklumlah...jari jemari yang disalut losyen tiap hari tu akan kasar nanti kalau kerap pegang batang mop hu hu hu.

Jadinya, jommm kita tenang-tenangkan diri hiburkan hati. Bagi sesiapa yang pernah serbu panggung tengok Salaam E Ishq bersama buah hati tercinta, atau mengadap tv habiskan serdak kuih raya tu, mari kita sama-sama hayati lagu merdu ni. Sekali dengar sangat merdua, dua kali dengar cairkan kalbu. Tiga kali dengar...macam ingatkan sesuatu. Jom je lah kita dengar...

Dalam filem Salaam E Ishq ada versi baru lagu ni;
Babuji Dheere Chalna



Ni versi lamanya, kalau rasa nak dengar dengan nilai klasik....
Babuji Dheere Chalna


Kalau Versi Melayu, beginilah rupanya...Dari Kerana Mata

Dah terhibur? Mmmmm boleh juga karaoke reramai kat rumah terbuka ya...sambil isi masa, sambil kait kenangan. Pernah ke orang  buat gitu? Apa salahnya sesekali ubah cara kan, asal tidak melampaui batasan. jangan jadi pusat karaoke sudahlah ya...

Jumaat, 17 September 2010

Tips ke Rumah Terbuka

Sepanjang Syawal ni, ramai yang buat rumah terbuka. Ada yang buka rumah sebab itu dah tradisi mereka, ada yang terpaksa rela buat rumah terbuka kerana semak telinga orang keliling dok tanya bila nak buat, ada juga yang kunci kemas-kemas pintu pagar sebab rumah sentiasa tertutup. Aku tergolong dalam kategori ketiga. Pagar sentiasa berkunci sama ada ada orang atau tak ada orang dalam rumah. Safety first! Alasan tak leh blah.

Sejak berzaman, aku amalkan...”tetamu by appoiment sahaja”. Jadi, sesiapa nak datang memang dialu-alukan, tetapi kena beritahu dulu. Tak kesahlah email ka, telefon ka, sms ka...cakap sendiri pun boleh. Hidangan bawa sendiri, aku hanya sediakan minuman istimewa sahaja: sky jussss hu hu hu

Hari ni aku nak kongsi tentang tips bila ke rumah terbuka.

Berteman kecuali yakin diri yang tinggi
Kalau anda masih solo, bawalah kawan walaupun seorang. Jangan bawa satu bas pula, roboh rumah orang. Bawa kawan penting untuk tidak kelihatan canggung di rumah orang. Walaupun kenal tuan rumah, belum tentu kenal tetamu yang lain. Kalau ahli keluarga tuan rumah kita kenal walaupun hanya beberapa orang, pergi seorangpun tak apa. Lainlah kalau anda memang kaki kepoh atau boleh hidup biar dibuang ke artik pun. Sekejab je boleh dapat kawan baru. Aku kenal seorang yang sebegitu. Jatuh kemanapun dia boleh dapat kawan baru. Tapi tak ramai yang macam tu kan?

Sesuaikan masa
Tahulah musim raya, musim rumah terbuka tetapi bukan setiap masa terbuka. Janganlah pula subuh-subuh sapi’e dah terpacak depan pintu pagar rumah orang. Tuan rumah tak sempat nak mandi lulur lagi tu. Belum make up, tak sterika baju raya lagi. Cucuk sanggul yang cicir semalam pun belum jumpa mana jatuhnya. Ataupun, waktu azan maghrib tengah kumandang. Anak beranak tuan rumah tengah beratur ambil nombor depan pintu bilik air, kita dah beratur depan pagar laung salam. Waktu maghrib tu waktu paling sibuk. Dah lah masanya singkat.

Awasi Anak-anak
Bukan semua orang ada anak-anak yang sopan santun dan duduk diam manis kat rumah orang. Kalau macam anak-anak buah aku tu, mmmm pening kepala dengan kelasakan mereka yang tidak pernah duduk diam. Ada sahaja yang dibuatnya.

Aku pernah nampak satu keadaan di sebuah rumah yang aku kunjungi. Tuan rumah tidak selesa dengan tetamu kerana anak-anak tetamu yang lasak. Berlari sana sini dalam rumah sedangkan banyak barang-barang mudah pecah. Akhirnya, tuan rumah tak dapat sembunyikan kegelisahan hatinya. Kemana sahaja budak-budak tu pergi dia akan ikut. Asal sahaja budak-budak tu sentuh barang hiasannya, dia akan mintak dan letak balik. Yang nak gelaknya, mak bapak budak-budak tu buat donno sahaja dengan alasan mendidik anak ikut gaya orang putih; pembelajaran berdasarkan persekitaran. Tak boleh tegur, larang atau nasihatkan anak. Fuihhhhhh! Kalau aku jadi tuan rumah, aku halau je tetamu tu hu hu hu Boleh gitu?

Kita tetap Tetamu
Tetamu tetap ada had dan batasnya. Kalau dah tetamu tu, buatlah cara tetamu. Bukan semua tempat dalam rumah orang boleh kita selongkar. Lainlah kalau sedara mara dekat sendiri; Adik beradik sepupu sepapat. Tak payahlah buat macam rumah sendiri hingga pergi check peti sejuk, periuk belanga...sliper jepun pun pergi belek hu hu hu

Berpadalah Lepak Rumah Orang
Dah siap makan, beramah mesra seketika...bolehlah beransur beraya rumah orang lain pulak. Kalau orang tu buat rumah terbuka di stadium tak apalah juga, tetapi kalau rumah biasa-biasa yang masuk lima belas orang dah kena berhimpit, sendiri mahu fahamlah. Acara beramah mesra boleh disambung kat blog, FB, sms dan telefon sahaja. Kesian orang lain yang baru datang terpaksa ambil nombor giliran untuk jangkau lemang.

Nak kena basuh ke pinggan?
Tengok situasi. Kalau sesuai dan boleh membantu tuan rumah, basuhlah. Tapi kalau akan lebih sepahkan ruang dapur orang, baik tak payah. Apalagi kalau dapurnya itu perlukan kepakaran tinggi untuk susun letak dan basuh lap, pisau pun kena susun ikut jenis...baik tak payah basuh. Lagi menyusahkan tuan rumah je nanti.

Itu sahaja untuk kali ini. Nak pergi sidai kain sat. Sambung lain kalilah ya. Selamat ke rumah terbuka. Ada sesiapa nak ajak aku datang rumah terbuka tak? Kempunan lemang ni, belum jamah lagi raya tahun ni.

Nota sisip: Alfatihah. M.Rajoli Meninggal Akibat Kanser: Dunia seni negara kehilangan seorang lagi penggiat seni berbakat, M. Rojoli kerana kanser pada jam 10.55pm, Jumaat 17 September 2010. DariNya kita datang, kepadaNya jua kita kembali. Semoga rohnya ditempatkan bersama para kekasih. Alfatihah. Takziah untuk keluarga arwah.

Selasa, 28 Oktober 2008

Muruku vs Lompat Tikam



27 Oktober 2008. Deepavali.

Hari Deepavali juga dikenali sebagai Diwali dan Divali merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia. Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam
kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai pesta cahaya.


Menurut lagenda, Raja Naragasuri yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Maha Krishnan. Sebelum mati, Raja Naragasuri meminta semua manusia agar mereka merayai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada manusia yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada golongan yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia. Pelita yang dipasang dalam barisan dinyalakan bagi melambang kejayaan “kebaikan” mengatasi “kejahatan” yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali.


Deepavali pada tahun ini jatuh pada hari Isnin, jadinya ramai yang berpeluang untuk bercuti panjang (tiga hari). Memandangkan Syawal masih lagi ada beberapa hari, ramai juga yang membuat rumah terbuka Aidilfitri termasuk Caluk Corner yang menjadikan rumah Su di Equine sebagai tempat pertemuan. Malangnya tidak semua orang dapat hadir, termasuk aku dan Dina.

Kesempatan cuti yang ada inilah dapat digunakan untuk bertemu teman-teman walaupun tiga hari berkenaan agak suntuk sebenarnya. Sabtu yang memenatkan pada satu aktiviti kesenian pembacaan puisi oleh penuntut asing yang kuhadiri, Ahad yang lelah hingga ke malam. Lalunya, Isnin itu sekalipun berat mata untuk kubuka, dengan darjah kemalasan yang tinggi, bangkit juga diri dari pembaringan kukuskan pulut. Teringatkan betapa sudah terlalu lama janjiku untuk buatkan Dina Lompat Tikam, sejenis kuih berperasa manis yang terkenal di negeri kelahiran Darul Naim itu, tak sampai hati pula andai aku berlenggang kosong.

Sebab Fad nak nengok macam mana rupernya lompat tikam tu, aku tampalkanlah gambarnya kat sini. Kalau nak rasa, terpaksalah Fad pegi rumah Dina ye....
Sepagi aku siapkan pencuci mulut itu dan jam dua petang terus bersiap untuk ke stesen komuter dengan meninjing beg kertas berisi Lompat Tikam yang masih lagi suam. Dan Dina mengambil aku di stesen Petaling, berhampiran dengan rumahnya. Sepinggan penuh spagetinya yang sedap itu kunikmati. Sampai hari ini kenyangnya masih terasa. Berkat ikhlas orang yang membuat.




Terima kasih, Dina. Susah payah buatkan spageti. Nasi impit dan potongkan lemang yang kau beli tu. Malangnya aku hanya mampu makan spageti sahaja. Perut penuh. Agaknya sempit benar perut aku ya...ataupun, pendek kot tali perut aku ni. Apapun, selain kuih raya berbalang yang kubawa balik (rumah Dina jadi port kuih raya aku sejak sebelum Aidilfitri), balikku itu juga bersama ikan pekasam dan ikan segar. Juga terima kasih pada Dina & family. Aku sendiri belum tahu entah bila boleh dihabiskan ikan-ikan itu.

Aku berjanji untuk tunjukkan Dina cara masakkan Lompat Tikam itu pada hari yang lain. Cara Ain makan buatkan aku rasa Dina memang patut belajar buatnya nanti.