Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my
Menang ke atas pemain tuan rumah di final PEMAIN nombor satu dunia, Nicol David akhirnya berjaya menebus kehampaan tahun lalu apabila merampas kembali gelaran skuasy Terbuka Dunia dengan kemenangan ke atas harapan tuan rumah, Vicky Botwright di Manchester semalam.
Nicol, yang turun sebagai pilihan pertama, tercicir satu set pada permulaan –kali pertama dalam lima perlawanan sepanjang kejohanan– tetapi memenangi tiga permainan seterusnya, 5-11, 11-1, 11-6, 11-9 untuk merangkul gelaran ketiganya.
Kejayaan itu membolehkan pemain berusia 24 tahun itu melengkapkan misi balas dendamnya selepas menjuarai Terbuka British, Mei lalu-dua gelaran utama skuasy wanita yang terlepas daripada dakapannya tahun lalu. Ia juga adalah mahkota ketujuh yang dimenanginya tahun ini, melanjutkan rentetan tanpa kalah kepada 43 perlawanan sejak dikecewakan Shelley Kitchen dari New Zealand di pusingan kedua Terbuka Dunia 2007 di Madrid tahun lalu. Terdahulu dalam separuh akhir kelmarin, Nicol, tidak menghadapi masalah menundukkan pilihan ke-14 dari Ireland, Madeline Perry, 11-6, 11-8, 11-6 di separuh akhir.
Nicol, 24, mengakui dia banyak belajar dalam tempoh setahun selepas kekalahan mengejutnya pada pusingan kedua tahun lalu. "Dalam setiap kejohanan yang saya main, saya belajar mengenai diri saya dan dengan sistem kiraan mata baru ini, anda perlu kekal fokus. Anda tidak boleh kehilangan tumpuan."
Vicky, pilihan ke-11 pula akan mengucapkan selamat tinggal kepada jelajah profesional wanita Wispa selepas menerima tawaran sebagai ketua jurulatih di gelanggang kejohanan, Pusat Skuasy Nasional, Sportscity. Pemain berusia 31 tahun itu terlebih dulu menyekat juara dunia, Rachael Grinham pada pusingan kedua dan kelmarin, rakan senegaranya dari England, Jenny Duncalf menyerahkan kemenangan kepadanya apabila tidak meneruskan permainan selepas Vicky menang dua set 11-3, 11-6.
2 ulasan:
hah ada pun komen... aku nak komen entry ni la itu hari tapi sekarang aku dah lupa nak komen apa hahaha
kat berbangga dengan Nicol ni tapi malangnya kat malaysia ni tak de siapa yang akan jadi pengganti Nicol... diorang hanya tumpukan perhatian pada Nicol saja. Sian dengan anak2 muda yang baru nak berjinak dalam bidang ni.. patutnya diorang buat liputan pasal pemain skuasy kat malaysia ni supaya malaysia terus unggul dalam sukan ni ^_^
Patutpun beria-ria benar Fad nakkan kotak komen ni...ada idea yang memberangsangkan.
Memang betulpun apa yang Fad katakan. Kita ni selalu saja angkat tokoh yang tu je...tanpa cuba untuk latih pelapis. Dah banyak contohnya. mokhtar Dahari, Nurul Huda Abdullah...keluarga Sidek dll lagi. Sedangkan ramai bakat baru boleh digilap bakat mereka seawal sekolah rendah lagi.
Rancangan realiti sukan dah ada dua musim, apa jadi dengan bakat dia orang? Mana mereka pergi? Hanya berlatih untuk satu perlawanan sahaja?
Catat Ulasan