Memaparkan catatan dengan label bos. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bos. Papar semua catatan

Selasa, 19 Julai 2011

Rayuanku Kepada Sang Pemimpin

Ramai orang nak jadi pemimpin, walaupun ada masanya dia tak layakpun. Ada yang layak pula, tiba-tiba boleh jadi tak layak bila dah jadi pemimpin. Hal ni sangat subjektif. Manusia boleh berubah, itukah ujian Allah. Ada orang alah dengan kuasa, ada orang lain kalah dengan darjah dan pangkat. Ada pula rebah bila berdepan dengan si jelita. Tak kurang juga mudah terpesong bila tersepak banyak sangat wang ringgit dan harta benda. Paling tak boleh terima, jenis yang tak boleh berdepan dengan semua itu; kuasa, harta, pangkat dan harta. Memang cukup eleman tamaknya.

Semua itu ujian Allah, tak dapat nak tepis. Namun Allah dah bagi akal, fikiran, dan kecerdikan. Tambah sikit iman, maka seimbanglah setiap perkara. Itu teorinya. Dalam dunia nyata, teori itu kita lanyak sahaja tanpa sedar.

Ada orang iman dan intelektual memang dah cukup, tetapi rapuh dek rayuan. Nak buat macam mana, yang merayu itu pernah bertahta di hati biarpun kini dah tua renta dengan tangan terketar-ketar dek parkinsonpun, masih jua terlihat menawan dan ayu. Nak buat macam mana, bila hati rasa bahagia berada di puncak. Biarpun tahu ramai orang tak suka, kita nyahkan sahaja suara-suara sumbang itu dengan apa cara sekalipun. Padahal, kita pun memang tahu yang semua orang memang dah sangat-sangat tahu kita memang tak suka si mulut lebar ini. Mulut itu payah nak tutup melainkan dengan cara yang nampak macam terhormat. Akhirnya, semua orang tahupun si mulut lebar itu telah lama kita cuba pijak supaya dia terbenam dalam bumi. Masalahnya, dia tidak juga terbenam. Tanah itu terlalu keras untuk menerima dia, ataukah kasut kita tidak begitu kuat menekannya?

Kitapun sangat tahu betapa kian ramai yang sudah tidak respek kita lagi, namun sebab kita ada kuasa, ada kita hairan? Kita tetap nak mantap dan dipandang gah. Lalunya, cara terbaik adalah gunakan kuasa veto. Sesiapa yang tak suka, bolehlah nyah sahaja dari bumi ini. Cari sahaja bumi lain untuk berpijak. Namun, sedarkah kita bahawa “doa orang yang teraniaya itu sangat mudah dimakbulkan Allah?” Bila tiba saat kejatuhan, tertanggungkah diri dengan segala silap dan dosa kepada sebegitu ramai orang? Bukankah sejarah sering memaparkan bahawa “kesilapan yang kita buat hari ini akan ditanggung kesannya kepada ganerasi akan datang?”. Bagaimana andai silap kita hari ini anak cucu kita yang perlu tanggungnya. Pada masa itu, masihkah kita tahan hati melihat?

Aku tertarik untuk kongsikan artikel yang aku tersepak baca semasa cari maklumat tentang dua tiga perkara berkaitan kerja aku. Di bawah aku petik artikel berkenaan:

Jika dilihat dari perspektif Islam, menerusi pendapat beberapa orang tokoh sarjana Islam seperti Al-Farabi (870-950/2M), Ibnu Sina (980-1037M) dan al-Mawardi, seorang pemimpin merupakan individu yang mempunyai keperibadian yang unggul dan akhlak yang mulia. Bagi Ibnu Sina, seseorang pemimpin yang berwibawa mestilah mempunyai kebolehan dan keistimewaan melebihi orang lain supaya ia boleh memimpin rakyat dan negara. Islam telah mengetengahkan konsep “insan kamil” (manusia sempurna) sebagai pemimpin yang berwibawa yang hanya dapat dizahirkan oleh para nabi dan rasul (Idris, 1996). Sementara Al-Farabi mengatakan bahawa pemimpin yang unggul merupakan seorang yang berfikiran tinggi, memiliki sifat mulia serta akhlak terpuji dan fizikal yang sempurna. Manakala al-Mawardi dalam bukunya Al-ahkam as-Sultaniyah menjelaskan beberapa kriteria seorang pemimpin yang berwibawa, iaitu:
  1. Seseorang yang adil dengan erti kata yang sebenarnya dalam semua tindakan sama ada pada dirinya atau kepada orang lain.
  2. Mempunyai ilmu agama (faqih) yang sempurna hingga melayakkan beritijihad dalam sesuatu perkara apabila ia perlu berbuat demikian.
  3. Mempunyai anggota badan yang sempurna supaya ia dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan lancar.
  4. Memiliki pancaindera yang sempurna dari segi penglihatannya atau pandangannya dan pendengarannya kerana kecacatan dalam salah satu daripadanya boleh mengurangkan keupayaannya mengendalikan sesuatu urusan negara.
  5. Mempunyai fikiran yang baik supaya ia dapat mengatasi segala masalah rakyat dan mengendalikan kebajikan mereka.
  6. Bersikap berani berjihad memerangi musuh kerana mahu menjamin keselamatan rakyat.


Nak tahu lebih lanjut lagi tentang hak pemimpin, kepemimpinan dan komunikasi antara keduanya, baca lebih lanjut di http://eprints.utm.my/6301/1/aziziyahkomunikasi.pdf

Tak kiralah kategori manapun kita, bila menjadi seorang pemimpin sama ada pemimpin keluarga, bos yang hensem, bos tak berapa hensem di gerai makan, ketua di tempat kerja, Perdana menteri sekalipun, jadilah pemimpin yang selayaknya. Tugas dan amanah untuk memimpin itu sangat berat bagi orang yang memahaminya, tetapi menjadi sangat seronok dan menyeronokkan bagi orang yang tak berapa nak faham tetapi mempunyai tujuan yang tertentu.

Duhai pemimpinku nan bijaksana, daku sangat-sangat perlukan ini!

Rabu, 17 Februari 2010

Entri Merapu Kepada Boss Ensem

Ini adalah entri rindu alias merapu yang pertama kalinya aku tulis. Khusus untuk boss aku yang sangat-sangat ensem itu. Aku tahu boss aku tak akan baca. Dia tahu aku ada blog sebab beberapa rakan sering menyebutnya semasa mesyuarat bulanan. Kononnya penggunaan blog ni macam terkini, tapi...dia tidak pernah tahu tentang blog ini. Jadinya, kemungkinan untuk dia baca sangat rendah.

Aku sebenarnya sangat kagum dengana baru kami itu. Bila tersebar ura-ura bos lama akan pindah ke tempat lain sebagai bos juga, petanda dia akan dilantik sebagai bos memang kami dah nampak. Ramai yang bersyuklur. Konon-kononnya dia lebih “memahami” impian kami semua, dia lebih adil dan baik kerana sifat waraknya, dah tentu corak pemerintahannya akan sama seperti wazir agung dunia lampau yang kita temu dalam kitab tua. Itulah harapan kami. Dan harap itu lebih berbunga-bunga bila musim haji yang lepas, (kata ayah, haji besar), Pak Lah yang kita sayangi itu juga ke sana menjadi tetamu, bos baru aku yang ensem itu juga mengunjunginya.

Kami ramai-ramai doakan agar dia mendapat haji yang mabrur. Haji yang diterima. Dan kembalinya dia semula menjalani musim pemerintahan, dia menjadi lebih baik. Lebih alim. Lebih warak. Cakapnya pun semakin kurang. Jalannya makin tunduk. Dan semua orang lebih kagumi dia. Aku juga. Aku harapkan dia benar-benar menjadi ketua yang akan buat keputusan, memimpin dan bertindak berlandaskan nilai Islam yang dipegang. Kononnya zaman kegemilangan pemimpin-pemimpin yang berpaksikan ketamudan Islam telah muncul setelah berlalunya era ala-ala yang sukar untuk dilabelkan sebagai apa. Nak kata sosialis, macam musim pemerintahan Malik al Walid, nak kata komunis, ada jugak nilai murni nak majukan ummah. Mahu dinilai sebagai tamadun muawiyyah, macam pula bintang tiga. Macam zaman Jepun pun ada. Pendek kata, terjajah dalam senyuman. Apa-apapun musim dah berlalu. Dia sedang meluaskan tanah jajahannya di tempat baru. Bila berada di tempat baru, aku sangat berharap agar dia sedar betapa berbahagianya dia ketika bersama-sama kami dahulu berbanding rakyat lain di tanah jajahan barunya.

Kata orang puteh “jangan nilai buku berdasarkan kulit”, begitu juga dengan setiap manusia. Ada masa, kulitnya memang cantik, comel dan menawan sekali. Siap dengan warna lembut dan indah. Ada lukisan bunga rumput yang comel bagai. Ataupun, ada juga rama-rama cantik yang berterbangan di kudup bunga kecil itu. Di alam nyata, indah masihkah sebegitu?

Kepada Bosku yang Ensem, Harapan kami memang menggunung untuk berada di bawah pimpinan yang betul. Kami mengharapkan limpahan kurnia bila berpayung di bawah pimpinan yang adil. Kami harapkan bos yang ensem ini lebih memahami keperluan setiap orang yang berada di bawah pimpinannya.

Memberi peluang secara sama rata, bukannya kepada orang-orang tertentu yang disukai, dan, mengabaikan orang lain yang tidak disukai. Mendengar secara lebih “terbuka” dari semua pihak, bukan hanya kepada mana-mana orang yang pandai manipulasi kata-kata semata. Bukan sekadar mendengar pujian yang menggunung tinggi, namun pada masa yang sama terisi racun yang menular sisa. Kami harapkan bos yang ensem itu sudi juga mendengar kata-kata terkandung duri yang merobek-robek tangkai hati, namun duri itulah yang perlu kita cabut sama-sama. Agar nanti terhindar nanah. Agar juga dapat disapu darah dari lelehnya tujukan. Kemudiannya, sama-sama kita sapu minyak gamat. Kalaupun parutnya akan sentiasa ada dan sukar untuk kita hilangkan, paling kurang nyilu dan bisa dari luka itu dapat kita sembuhkan.

Bukan mudah untuk jadi bos. Buat masa ni aku memang belum layak untuk jadi bos, namun peluang tetap ada. Sayangnya, itu bukan cita-cita utama. Banyak sebabnya. Besar tanggungjawabnya dengan Allah, dengan diri, dengan orang lain. Menjadi bos perlu dengar dari setiap orang yang terlibat. Perlu juga selidik betul benar tiap perkara yang ditohmah agar nanti tidak berlaku bias. Tidak menyalahkan orang yang tidak bersalah. Tidak menghukum secara tergesa sebelum selidik. Tidak juga menyekat peluang kepada orang-orang tertentu walaupun orang itu kita tak suka. Kalau memang orang itu layak untuk lakukan jaringan dengan dunia luar, perlukah kita tahan? Wajarkah kita sekat? Hanya kerana kita jadi bos yang ensem tetapi tidak dijemput, wajarkah peluang orang lain kita sekat dengan kuasa kebal kita sebagai bos?

Kalau kita jadi bos, memanglah rasa macam tercabar kalau anak buah kita yang “entah apa-apalah sangat” pencapaian atau prestasi tahunannya itu, tiba-tiba mendapat undangan dari luar sebagai tetamu di tempat mereka. Apalah istimewanya staf kita yang entah apa-apa pencapaiannya itu hingga diundang sebegitu rupa. Bukankah kita yang dah bergelar profesor ini lebih layak. Maklumlah kita ni kan profesor. Kita ni kan ketua. Kita ni kan bos. Lagi tak masuk akal bila undangan itu datangnya dari luar negara. Luar negaralah katakan. Mana mungkin staf kita yang entah apa-apa itu boleh terkenal hingga ke seberang kan? Memang tak masuk akal.

Kalau kita jadi bos, mampukah kita untuk tidak mencantas anak buah daripada naik ke atas dan terima apa yang patut dia terima, walaupun, kita rasa kita yang lebih layak. Tahan hatikah kita melihat sahaja anak buah menderu-deru, berbondong-bondong mencipta kejayaan, apalagi berpeluang pulak cipta nama ke tanah seberang? Besar jugak cabaran perasaan ya, bila kita jadi bos ni.

Menjadi bos memang bukannya mudah kan? Kalau ada seorang staf di bawah pengawasan kita telah menyihir staf yang lain, bagaimana kita harus bertindak? Macam mana kita perlu bereaksi? Ambil peduli atau biarkan? Atau hanya mendengar sepenuhnya kata-kata sang penyihir? Kemudiannya, perlahan-lahan pula kita pun berada di bawah kekuasaan si tukang sihir. Sebenarnya, siapa bos? Kita ke atau si tukang sihir? Yakinkah kita untuk sentiasa berfikiran “waras” bila semua perkara akan berlaku atau tidak akan berlaku hanya setelah kita kata “ya” atau “tidak”.

Ngantuklah...angin bercuti sempena Tahun Baru Cina (dengan ngauman Rimau) masih tebal. Malaslah pulak nak mengomel pasal bos aku yang taklah berapa ensemnya pun. Saje je aku cakap ensem tu untuk bodek dia. Sekarang ni, bila dah rasa mengantuk macam ni, aku tetiba je rasa bosan untuk bodek ayat-ayat penuh gula (Gula dah naik! kurangkan penggunaan gula, elakkan diabetis...iklan jab!). Tak de maknanya!

Jadi kawan-kawan, izinkanlah aku hentikan aje rapu tak bawa faedah ni di sini. Neskafe panas pun dah siap bancuh...nak menghayati kenikmati kafein tiap kali alirnya laju menerpa kerongkong. Nak rasai kenikmatan bila tiap titik darah mendapat aura...layan je lah neskafe kaw kaw ni (30 minit selepas tu aku memang sangat yakin, mata ini akan tertutup sepenuhnya dan melayar bahtera ke alam mimpi syahdu). Orang masih bercuti...semangat nak kerja untuk hari ni memang tak ada langsung (Itulah antara ciri orang yang tak wajar jadi bos)

Jumaat, 4 Disember 2009

Bila Memiliki Tongkat Sakti Bergelar "Kuasa"


Hari ini hari Jumaat. Jumaat entah berapa kali lepas, aku berpeluang untuk sembang kosong dengan salah seorang rakan sekerja. Dah agak lama masa untuk sembang kosong sambil minum kopi aku abaikan dalam aktiviti harian kerana sibuk mengejar tarikh mati. Apalagi, dah lama tak ada sesi minum kopi, banyak perkara yang sempat kami bualkan termasuk anyam ketupat.

Rakanku itu, nak kata bendul, memang dia sendiri mengakui yang dia agak bendul sedikit. Kisahnya minggu sebelum itu buatkan aku rasa nak terjun tingkap. Memang dia benar-benar bendul!

Sejak 2006 hingga dah nak habis tahun 2009, dia tidak pernah alami anjakan gaji biar satu sen pun. Bayangkanlah, sejak 2006, tak kira harga petrol naik atau turun, atau naik semula...gaji yang diterimanya tetap sama. Sebabnya hanya satu: Boss tak suka sikapnya yang berterus terang bila tak setuju tentang sesuatu. Kini boss baru ambil tempat. Boss lama pindah untuk jadi boss kat tempat lain pula. Dengan boss baru, dia dapat “cemerlang”, jadinya tak timbul soal gaji tak naik.

Dia hanya tahu tentang “setiap tahun memang akan naik gaji walau seburuk mana laporan boss dalam pencapaian tahunannya” masa dia nak mohon ikuti PTK. Permohonannya itu tak lepas dengan alasan gajinya tak capai tahap bla bla bla. Lalunya dia terkejut ungkalah kerana dalam surat iktiraf cemerlangnya itu tertulis gred gajinya. Siasat punya siasat, barulah tahu kenapa semua itu berlaku. Pecahlah rahsia itu. Dia bakal menerima tunggakan selama tiga tahun itu, termasuk tunggakan “ketakcukupan jumlah” bonus setiap tahun yang diterimanya. “Tak banyak...bolehlah pergi umrah,” katanya merendah diri. Umrah! Fuyooooooo...nak ikut!

Pesanku kepada semua bos di seluruh dunia (macamlah ada bos-bos yang akan baca tulisan ni!): Allah beri anda kuasa, kiranya disalahgunakan, jawablah di hadapanNya nanti. Itu belum termasuk doa orang yang teraniaya.

Nota terjah: Semasa di Bandung, lebih banyak “huru hara” yang dah bekas boss lama kami (yang dah tak berapa hensemnya) itu buat dan sedang buat telah bocor dalam proses anyam menyanyam ketupat. Ohhhh...perlukah aku percaya? Atau...perlukah aku tunggu “huru hara” itu diterjahkan kepadaku dulu baru boleh percaya? Cerita di atas belum jadi bukti yang cukupkah? Adoiiii lah! Tak payah lah kot fikir sangat, dia pun dah tak jadi bos aku lagi kan. Kesian sel-sel otak aku yang kian mereput dek aktiviti berfikir benda-benda tak perlu ni...hu hu hu boleh gitu?

Sebenarnya, kepalaku tengah pening-pening lalat berhujan pagi tadi sebab nak kejar meting. Sementara isi masa untuk "cha alif but" ...tunggu hujan rintih berhenti dan serlahkan warna pelagi sebenarnya, maka entri ini aku upload. Apa-apapun, cerita itu mungkin boleh dikutip sebagai pengajaran dengan konon-kononnya menjadi "kutbah" untuk hari ini. Eh, baik ajelah stop taip dulu kan...sebelum lalut pening-pening lalat ini makin panjang. Selamat berhujung minggu. Jom tadah hujan kat Jelebu weekend ni...