Memaparkan catatan dengan label makcik tukang sihir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label makcik tukang sihir. Papar semua catatan

Selasa, 27 Oktober 2009

Hatiku Terkedu Memandang Warna Senja


Jumaat petang 16 October 2009: satu surat buatkan semua keghairahan hidupku sepanjang hari lebur. Nasib baik surat tu aku terima dah petang, dah nak habis waktu kerja (Malam sebenarnya...waktu kerja aku kan habis bila matahari dah lena di peraduan malam).

Ada apa dengan surat itu? Bagi orang lain mungkin tidak besar maknanya, tapi bagi aku...surat itu buatkan semangat merudum seketika. Surat itu berupa pekeliling tentang syarat baru untuk kenaikan pangkat. Bila pekeliling itu dikuatkuasakan, maka...impian untuk mohon kenaikan pangkat hujung tahun nanti lebur secara perlahan-lahan.

Saat itulah, tiba-tiba aku rasa menyesal tak isi borang kenaikan pangkat itu awal tahun dahulu, sedangkan syaratnya memang dah cukup. Apa nak buat, dahulu rasa malas nak pikir sangat hal-hal sebegitu. Bila mak cik tukang sihir tu buat hal berderet-deret (saja cari pasal sebenarnya. Aku pun tak faham kenapa dengan semua orang dia nak cari pasal. Hanya...dalam ramai-ramai orang itu, aku sorang aje kot yang melawan dengan cara paling ayu hu hu hu, tapi sebenarnya sempat juga menyebabkan mak cik-mak cik tu tertinggilah pulak tekanan darahnya. Yang lain reti kutuk belakang, sedangkan kat depan diam menikus. Jadinya, kira aku ni cabaran terbaik untuk depa dua ekoq lah ye hu hu hu), barulah aku gatal nak isi borang. Dan kini, makin gatallah tangan aku sebab kempunan nak isi borang itu.

Bermakna, paling awalpun aku boleh isi semula borang tu pada tahun 2012. Lambatnya! Terlalu lama tu! Aku risau mak cik-mak cik tu dah pencen. Karang tak dapatlah nak berpencak silat lagi. Walaupun sekarang ni dah ada “anak tukang sihir”, tapi yang tu aku tak berapa nak heran sangat sebabnya, maklumlah...baru aje berstatus anak kan. Jadi, senang sangatlah untuk aku goncang dia punya kuasa sihir tu. Sekali libas saja dia dah tercangak-cangak cari jalan nak sembunyi. Orang kata cabaran tak hebat sangat.

Maka sesungguhnya, aku memang agak terkilan sekali dengan pindaan syarat untuk kenaikan pangkat itu. Kalaulah aku tahu akan berubah begini, dah tentu aku akan mintak awal-awal lagi. Kalau takat perlu ambil PTK 5 je, tak jadi masalah sangat. Kedua-duanya aku boleh selesaikan pada tahun hadapan, namun ada syarat lain yang perlu aku penuhi. Padahal syarat itu tak pernah ditimbulkan sebelum ini.

Apa yang aku kecewakan itu hanyalah...aku perlu tunggu sekurang-kurangnya hingga 2 tahun lagi untuk penuhi semua syarat itu. Dua tahun itu terlalu lama untuk aku tunggu. Sebabnya, aku dah rancang untuk dapatkannya paling lewat pertengahan tahun hadapan. Dan semua perancangan itu perlu diubah gara-gara pekeliling tersebut.

Apa yang aku belajar dari semua ini adalah: Cepat dan jangan tangguh. Kalau dah layak, isi sahaja borang dan mohon. Kalau tunggu lama-lama lagi, orang yang jadi “pengubah dasar” akan tambah macam-macam lagi syarat agat tidak ramai yang mampu naik ke atas. Caranya itu semacam: tak mahu turun ke bumi dan tak mahu orang lain naik ke langit. Aneh betul!

Sekalipun semangat pernah merudum, namun aku tahu, dalam masa dua tahun ini, aku akan pastikan aku layak untuk isi borang tersebut. Dua tahun memanglah lama, namun tidaklah selama lima tahun atau sepuluh tahun. Aku tak bercita-cita nak jadi bos pun, namun ada dua benda aku akan dapatkan sebelum pencen. Tempoh untuk jejak pencen itu masih lama, aku memang pasti lebih dari dua benda itupun aku mampu dapat walaupun di sini terlalu ramai tukang sihir menggunakan penyapu untuk terbang. Kalau hidup aku panjang hingga sempat pencen, aku berdoa agar ketika itu aku tidak akan menjadi “anak tukang sihir” mahupun “tukang sihir” ataupun “nenek sihir”. Aku hanya nak jadi diri aku sahaja. Dalam hidup ni pun, tak banyak benda yang aku nak sangat. Nama, pangkat, glamer, kuasa atau terlebih kaya dari orang lain pun aku tak heran sangat, entah kenapa Allah takdirkan aku tak punya rasa iri untuk penuhi semua itu. Aku hanya nak “selesa dan bahagia” dengan kerja aku sekarang dan hidup aman damai sesedap rasa aku.

Aku tahu, aku bukanlah manusia yang bercita-cita tinggi melangit, aku hanya nak jadi diri sendiri yang punya beberapa “benda” dalam dunia terpenuh keinginan duniawi ini. Benda yang aku kejar itu sebenarnya hanyalah kehendak dunia semata-mata kerana walaupun aku niatkan “kerana Allah”, di sisi Allah tak sebesar mana maknanya. Hanya manusia yang agungkannya. Hanya keinginan dan nafsu manusia yang dambakannya. Dan aku sebenarnya terlalu takut untuk miliki semua itu kerana risau kalau-kalau nanti akan menyebabkan aku pula menjadi tukang sihir. Kalaupun kerisauan itu tetap ada, aku tetap juga mengangankannya. Pertama, kerana itu yang aku ingini sejak sekolah. Kedua, buktikan aku juga mampu capai apa yang mereka kejar, lebih daripada apa yang mereka dapat dan jangkakan. Ketiga, aku nak buktikan yang “benda itu” bukanlah faktor utama menyebabkan manusia BERTUKAR jadi tukang sihir. “Benda itu” hanyalah benda, diri sendiri yang tentukan sama ada nak jadi pari-pari atau tukang sihir.

Semasa di Bukit Jugra, aku bertekad untuk naik pangkat pertengahan tahun depan, namun kini list tersebut perlu aku buang dari entri mindaku. Pindahkan ke jangka masa dua tahun. Dengan itu juga, aku perlu ubah beberapa perkara lain dalam hidup ini untuk disesuaikan dengan semua keperluan tersebut. Perubahan drastik yang perlu aku buat adalah: siapkan belajar secepat mungkin. Aduhhhh minggu depan nak kena beritahu R.A aku supaya kerja lebih laju lagi. Mesti dia stress gila kerja dengan aku kan hu hu hu.

Sebut pasal R.A ni, dah nampak beberapa reaksi tak senang daripada beberapa individu bila aku gajikan R.A. tahu kenapa? Cabaran yang aku beri dah pastilah kian sengit! Sebelum ada R.A pun aku mampu buatkan beberapa bontot panas nak duduk, apalagi kalau dah ada R.A Hu hu hu...aku akan sentiasa mencabar sesiapa sahaja yang sanggup bersaing secara sihat. Andai ada antara mereka bersaing dengan cara tak sihat pun, jangan risau...aku tetap tak akan “kadah keting” sesiapa. Kalaupun mereka menang pertarungan di dunia fana ini, aku tidak pernah akan musnahkannya kecuali takdir Allah jua yang akan merentapnya dari mereka. Boleh gitu?

Boleh tak boleh pun kira boleh ajelah. Aku nak hidup dengan tenang di dunia terbentang luas ini, dan berbahagia bila berada di sana. Ada sesiapa nak ikut perjuangan tanpa “kadah keting” ini? Jom...majulah diri kita untuk kehidupan sejagat, majulah kita untuk kehidupan selamanya.

Ada kaitan tak tajuk nan dramatis tu dengan cerita yang dramatis juga ini? Mmmmm kira halallah ya hu hu hu...

p/s: “Kadah keting” merupakan dialek kelantan yang bermaksud menghalang orang lain ke hadapan (maju) dengan cara menyilang kaki di hadapan lawan secara tiba-tiba. Lawan yang tersandung kaki itu akan jatuh gedebuk macam nangka busuk. Ada masanya kita sempat lihat musuh menghalang kita sebegitu, tetapi disebabkan sifatnya yang berlaku secara tiba-tiba itu, kita tidak sempat untuk mengelak atau melawan. Jadinya, berhati-hatilah ketika melangkah, mana tahu ada orang silangkan kaki di hadapan kita supaya kita jatuh.