Isnin, 24 November 2008

Jatuh Tangga Lagi



Jatuh cinta berkali-kali memang asyik. Pelbagai kata indah mampu dicipta. Ada yang mengatakan “Ketika tangan ini menggenggam tanganmu, Syurga telah jadi milik kita”. Wow! Tiba-tiba sahaja ramai orang mampu menjadi pujangga menghasilkan kata-kata indah tak terduga. Itu semasa jatuh cinta.


Kala jatuh tangga berkali-kali, bagaimana pula?
Agak lama juga blog ini tidak kuupdate. Sebabnya, aku jatuh tangga lagi. Terbolah!


Barangkali ada sesuatu yang tidak kena dengan tangga di pejabatku itu. (Sekadar ayat pernyataan untuk menafikan kecuaian diri. Padahal, bertahun sudah tangga itu berada di situ. Entah berapa banyak sudah kaki memijaknya berkali-kali. Tidak seorang pun yang jatuh kecuali aku. Berkali-kali pula. Di tangga yang sama. Tempat yang serupa.).


Ahad lepas (16 November 2008), seperti kelaziman yang biasa kubuat pada hari minggu kala bosan di rumah, ruang pejabat menjadi hala tuju. Kalaupun tidak lakukan kerja rasmi yang patut disiapkan mengikut tarikh yang ditetapkan, pada hujung minggu sebegitu aku lebih gemar bersantai di pejabat sambil surf internet. Sebabnya bukan sahaja PERCUMA tetapi capaiannya pada hujung minggu sebegitu agak laju benar. Namun pada Ahad tersebut, selain menyiapkan kerja-kerja pejabat yang perlu kukejar tarikh akhirnya, tujuan utamanya lebih kepada update antivirus DELL kesayanganku itu. Maklumlah wifi di UKM boleh dinikmati oleh pelajar secara percuma.


Jadinya, masa di pejabat hari itu banyak kuhabiskan untuk print bahan-bahan yang telah kusimpan dalam komputer. Lebih kurang satu rim kertas juga berjaya kucetak. Semuanya bahan-bahan yang akan kubawa balik dan siapkan di rumah. Bila sudah punya komputer riba sendiri, masa untuk berkerja lebih panjang. Siang dan malam boleh kerja. (Adakalanya terfikir juga tentang kebenaran kata-kata yang sengaja dilemparkan tentang “Melayu malas” ni. Kerja siang malam termasuk hari minggu tanpa bayaran tambahan itu masih dikira malas ke? Lama-lama fikirkan hal sekecil ini, kata orang yang sebegitu dan sebegini, rasanya tak siap kerjalah ya!).

Jam enam, aku sudah bersedia untuk balik. Pada hari minggu, tak terniatpun untuk meneruskan kerja di pejabat hingga malam seperti hari berkerja yang lain. Cukuplah sekadar hingga ke petang yang sebenarnya sudah terlalu tua itu. Petang sebegitu, agak rindu juga untuk berada di Taman Tasik Cempaka. Kalau tidak berlari mengelilingi tasik berbau “harum” itu, setidak-tidaknya hanya sekadar berjalan dua keliling. Itupun sudah cukup. Sudah menjejerkan peluh. Namun beberapa tarikh akhir yang dikejar (tak pernah habis deadline yang dikejar. Entah sampai bila) buatkan niat itu kuurung sahaja di kepala.


Orang kata malang tak pernah menyemarakkan baunya sebagai peringatan. Anak tangga itu entah sudah beribu kali kupijak. Dan kali ini, tetap juga seperti kes lama itu. Aku terlupa nak pijak anak tangga yang terakhir. Sebenarnya, dalam memori di kepala menyatakan anak tangga itu sudah habis kupijak. Langkaunya yang terakhir itu buatkan imbangan badan tidak dapat dikawal. Ataukah barangkali itu tandanya berat bertambah lagi, tak mampu ditampung dek badan? Nak kata power spek yang perlu ditambah, beberapa hari sebelumnya baru sahaja kutukar kaca mata baru.

Semasa jatuh tersimpuh di hadapan tangga (ayu je jatuh pun, penuh sopan santun!), diri lengkap mengenakan sweater dan topi keledar. Cukup ciri-ciri keselamatannya. Beg komputer riba diselimpangkan ke dada. Sebuah beg terkandung 3 jilid prosiding pula kubimbit. Nasib baiknya, komputer riba tidak terhempas ke lantai. Kalau tidak, bukan sahaja kaki yang sakit. Poket juga.

Saat itu, aku hanya mampu bertafakur (kalaulah istilah ini sesuai digunakan). Sempat juga berdiam diri beberapa minit dengan simpuh ayu di hadapan tangga. Tak pernah terdugapun untuk jatuh tangga lagi. Lagi tidak duga bila jatuh di tempat yang sama dengan sebab yang sama juga. Macam mustahil saja. Tengah mengelamun panjang itu, sebuah Perdana Hitam berhenti betul-betul di hadapan foyer. Entah kenapa Boss yang hensem itupun TERRAJIN pula datang ke pejabat pada waktu selewat itu. Terpaksalah tebalkan muka cover malu di situ seketika. Nasib baik masih mampu lagi untuk bangun dan memaksa diri start motor untuk balik walaupun sengal memang terasa. Kalau tak, tak boleh dibayangkan jika memerlukan bantuan Boss hensem itu untuk berdiri. Akan jadi macam dalam filem Hindikah? Ohhhhh, tidakkkkk!!!!

Seminggu tangga pejabat tidak kupijak. Hari ke enam pun buku lali masih lagi bengkak. Jelas terlihat lebamnya. Menjadi kehitaman di tiga kawasan belakang buku lali kaki kanan. Kecederaan kaki kiri hanya sedikit sahaja. Tidak begitu terasa berbanding kaki kanan. Tidak begitu bengkak juga.

Kaki kanan pernah terseliuh kerana terjatuh di tangga yang sama awal Ramadhan lepas. Namun seliuh itu tidaklah teruk sangat berbanding kecederaan kali ini walaupun pada ketika itu aku rasa seliuh itu amat memeritkan. Bila hal yang sama berlaku, dengan kecederaan yang extra, barulah tahu aku patut bersyukur ketika jatuh dahulu kerana cederanya kecil sangat. Namun, sudah terlambat kan?

Seminggu tanpa mampu lakukan apa-apa, terkurung di rumah tanpa keluar walaupun ke pintu pagar (baru malam semalam, Khamis 20 November 2008 aku keluar untuk buang sampah, kutip surat dan kertas iklan di pagar, kemudian siram pokok serai yang telah kering daunnya tidak bersiram. Kesian serai tu...penganiayaan fizikal pulak! Hari ini, bila keluar ke pagar rumah untuk mengambil surat kiriman laju, mata tersilau motorku yang telah dikopak lubang kuncinya. Tuan ada di dalam rumah dengan pagar yang bermanggapun masih ada juga yang berniat nak GHAIBkan kapcai itu?) sekadar berada di atas katil dengan betis diletakkan seselesa mungkin di atas bantal. Sebarang pergerakan diminimumkan seminimum yang mampu. Hanya ke bilik air untuk membuat pelaburan dan mandi, atau turun ke dapur untuk mengisi tembolok. Itupun seadanya sahaja.

Katil itulah jadi tempat lepak siang malamku. Kalaulah aku upload gambar katilku yang meriah dengan segala macam barang (buku-buku, novel, bahan-bahan bacaan yang diprint pada hari aku terjun tangga tu, alat tulis, botol air mineral, radio, tongkat, beg komputer riba, komputer riba, charger telefon, charger komputer riba, telefon, tisu, air freshhener sebab aku tak suka bau ubat gosok tu, ubat-ubat, vcd, kertas-kertas dan segala macam barang yang sering kugunakan). Semua barangan berkenaan perlu ada berdekatan dan mudah dicapai bila diperlukan.

Radio terpasang hampir sepanjang hari dari siang ke malam, malam ke siang semula. Radio rehat bila tuannya mengait mimpi sahaja. Itupun bila malam. Kala siang, biarpun diri tertidur, siaran Klasik Nasional sentiasa berkumandang. Diri diulik lagu-lagu merdu berentak nasional. Lagu-lagu lama. Sesekali disulami dengan berita, sukan dan khabar jemaah haji dari Tanah Suci. Lebih kerap lagi decit katak dari sms di telefon yang sentiasa menemani. Mengurangkan bosan. Terima kasih!

Kala kesibukan mencapai darjah tertinggi, berehat dan bersantai sebegini bukanlah pilihan yang terbaik. Hanya jasad terlebih rehat hingga terasa belakang bagai kebas. Tanpa sambungan internet, tanpa TV juga...hidup bagai berkurun tertinggal ke belakang. Entah sudah sampai ke zaman batu berapa kambria lampau. Dan kepala pula, ligat memikirkan bermacam perkara yang perlu diselesaikan, namun tiada upaya untuk laksanakannya. Untuk top up kredit telefonpun siksanya amat.

Pada detik yang sama, diri amat hargai masa terluang terpenuh rehat ini. Sudah berbulan diri mengejar mentari hingga terlupa mengait sinar bulan. Mungkin, detik ini agak sesuai untuk ganti semula waktu rehat yang kuabaikan selama berbulan itu. Qadha tidur juga. Hanya sesekali saja kan. Namun...risau juga. Baru seminggu bersenang-lenang di rumah, berat badan bertambah lagi. Adussssss!!!!!

5 ulasan:

caluk@cencaluk berkata...

semoga cepat sembuh

lieyssa berkata...

salam Anyss...

get well soon...

Nursuzry berkata...

patut la dah lama x nampak ko...
sian btul akak aku sorang ni...

jangan lupa makan ubat ye...

dina berkata...

la, kau jatuh lagi nyss? aku mati2 ingat kau pegi outstation... that's y kau tak online lama dah?
kesian la kau nyss... huhuhu

anyss berkata...

Terima kasih semer...x tau la plak ada orang rindu aku....hu hu hu