Sabtu, 20 November 2010

Menangani Stress Musim Peperiksaan


Entri sebelum ini berkisah tentang Stress Menjelang Peperiksaan yang biasa berlaku kepada pelajar yang akan menghadapi peperiksaan penting. Stress sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak kira pelajar, orang biasa atau pekerja. Malah, bayi juga boleh stress.

Kali ini aku nak kongsi tentang bagaimana untuk menangani stress. Hal ini sangat penting kerana jika tidak ditangani secara sepatutnya, ia bukan sahaja akan memakan diri sendiri, tetapi stress yang kronik boleh bahayakan orang lain di sekeliling. Dah banyak kes yang berlaku kan? berikut adalah beberapa cara yang boleh kita sama-sama amalkan bila berdepan dengan stress;


1. Minum air dengan kadar yang banyak untuk membekalkan oksigen
Air putih sangat baik untuk kesihatan, sebab itu orang yang nampak awet muda dan nak sentiasa awet muda sentiasa mengamalkan minum banyak air putih. Jaga juga pemakanan dan kesihatan diri. Dahlah nak kena beri tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan, kalau tiba-tiba sakit dan mendapat stress yang terlampau, itu akan kurangkan fokus adik-adik.

2. Cukup tidur.
Untuk saat-saat akhir sebegini, aku tidak galakkan adik-adik berjaga malam secara melampau untuk ulangkaji. Sepatutnya saat sebegini, adik-adik dah bersedia sepenuhnya, kecuali hanya tengok nota pendek pada tajuk-tajuk tertentu yang diramalkan akan keluar dalam peperiksaan. Itupun membaca secara ringan dan santai, bukannya menelaah dan menghafal. Bukannya baru nak mula belajar.

Tidurlah dengan cukup. Sebelum tidur juga, semak jadual peperiksaan untuk kali terakhir. Mana tahu, kalau-kalau adik-adik tersalah tengok jadual. Inilah kesilapan paling tak boleh diterima kalau berlaku. Bila terlepas waktu peperiksaan hanya kerana adik-adik cuai atau terlambat bangun, menyesalnya bukan untuk sehari dua. Bagi yang bersemangat waja, mereka akan mengulang ambil semula pada tahun hadapan (setahun perlu tunggu untuk tebus silap ini) atau sekurang-kurangnya ambil peperiksaan Julai yang orang kata lebih sedikit tahap susahnya. Saya tak tahu sebab belum pernah ambil untuk kertas Julai.

Cukup rehat dan tidur buatkan minda adik-adik lebih tenang, segar, bersemangat dan bersedia untuk menghadapi peperiksaan. Ini secara tidak langsung akan kurangkan stress.


3. Jaga pernafasan. Tarik nafas melalui hidung, tahan hingga kiraan tiga saat kemudian lepaskan melalui mulut
Setiap orang memang akan stress bila berhadapan dengan sesuatu yang digelar ujian. Tanyalah pemidato terbaik duniapun, dia tetap gementar setiap kali berhadapan dengan penonton atau pendengarnya. Apa yang berbeza adalah bagaimana cara dia berhadapan dengan perasaan gementar dan stress tersebut.

Setiap kali adik-adik rasa gementar, gemuruh dan stress, amalkanlah cara pernafasan yang betul. Tarik nafas perlahan-lahan, kosongkan otak sekejab, tahan nafas tersebut beberapa detik di dada sebelum lepaskan semula melalui mulut. Lakukanlah beberapa kali hingga dada adik-adik rasa lapang, rasa gementar semakin hilang dan rasa yakin diri perlahan-lahan muncul dalam diri. Pada peringkat awal, mungkin memerlukan masa yang agak lama juga tetapi apabila dah sentiasa lakukan begitu…dalam tempoh beberapa saat sahaja, adik-adik dah boleh kontrol diri semula.

4. Belajar cara bertenang dan kawal emosi sendiri
Hanya diri sendiri yang tahu bagaimana cara untuk bertenang dan mengawal emosi. Ada orang akan terkawal emosinya bila makan aiskrim atau coklat, ada orang cukup dengan hanya menyanyi lagu kegemaran, manakala sesetengah orang yang lain akan gunakan cara yang lain. Lain orang, lain caranya.

Salah satu cara yang aku amalkan setiap kali mahu buat pembentangan, laporkan kajian dan sebagainya terutama di hadapan khalayak dan orang-orang yang lebih terpelajar dariku, hadiri temuduga atau jumpa boss laporkan sesuatu biasanya aku akan ulang baca surah Al-Ikhlas (Qul huwallah hu ahad; lagi baik ketahui maknanya) secara berulang-ulang kali hingga hati rasa lapang. Hingga aku benar-benar yakin diri. Hingga aku kejapkan hati bahawa “hanya Allah sahaja yang patut aku gentar” tiada lain selain daripada itu. Ambillah berapa lama masapun untuk tenangkan emosi dan diri ini dengan mengulang baca surah berkenaan, kemudian senyumlah. Senyum itu akan tambah keyakinan diri juga.


5. Jalani cara hidup yang sihat; bersenam, jauhi dadah, alkohol dan rokok
Badan sihat, otak cerdas. Kurangkan stress dengan melakukan pelbagai kegiatan yang kita suka seperti menari, karaoke, bersenam atau ada juga yang akan masuk panggung wayang. Walau bagaimanapun semua aktiviti ini tidak boleh melampau pula, karang terlupa nak masuk dewan peperiksaan, cukuplah sekadar kurangkan stress. Jauhilah daripada perkara negatif seperti dadah, alkohol, rokok atau ubat batuk (ketagih, bukan sebab batuk ya).

Pada masa ini juga adik-adik perlu lebih jaga diri. Elakkan daripada perkara yang tidak diingini berlaku seperti kemalangan jalan raya, jaga kesihatan supaya tidak sakit dan tidak melibatkan diri dengan aktiviti bahaya seperti bergaduh, mandi sungai atau melakukan aktiviti lasak macam daki gunung (Daki gunung? sempat lagi ek?). Kalau dah sakit, cedera atau terlibat dalam kemalangan, makin menyusahkan diri pula untuk ambil peperiksaan di katil hospital. Kalau dah elak, tetapi masih juga jadi, kira telah ditakdirkan…lainlah pula cerita.

6. Komunikasi dengan orang lain tentang hal yang sama
Orang kata, belajar dari pengalaman, walaupun pengalaman orang lain. Nasihat daripada orang yang dah pernah lalui perkara yang sama dengan apa yang akan kita lalui itu lebih tulus dan ikhlas, kecuali orang itu ada niat serong dengan kita. Jadi, tanyalah kepada orang yang dah berjaya lepasi halangan itu dengan cemerlang. kita tak akan rugi kalau bertanya.

Untuk tips saat akhir sebegini, payah juga kalau baru nak kaji bagaimana Nur Madihah berjaya dengan cemerlang walaupun ada dua buah buku diterbitkan tentang ini. kalau anda pernah membeli buku tersebut sebelum ini, boleh sahaja membacanya sepintas lalu. kalau baru hari ini nak pergi beli di kedai buku yang belum tentu lagi anda akan perolehinya, rasanya langkah itu lebih buatkan adik-adik bertambah stress. Namun, boleh sahaja berbual kosong dengan ahli keluarga terdekat untuk dapatkan tips dan panduan.

7. Doa
Walaupun doa aku letakkan pada nombor terakhir, namun tidak bermakna ia tidak penting. Ia sebenarnya lebih bermakna “setelah berusaha, maka angkatlah tangan dan mintalah kepada Yang Kuasa”. Makanya, sila berusaha, bukan hanya tahu berdoa nak cemerlang tanpa usaha. Sama seperti, “tambat dahulu unta sebelum berdoa agar unta tersebut tidak terlepas dan lari” (errrr…ramai ke unta di malaysia ni?).

Ramai orang kata (entah siapalah orang tu!), kalau dah tertulis sejak azadi takdir hidup kita, usaha macam mana pun tak guna. Itu kan memang takdir? Usah silap. Takdir boleh diubah, dan senjata yang boleh mengubah takdir adalah doa. Berdoalah dengan seikhlasnya. Dengan sesungguh hati. Dan dan pengharapan kepada Allah akan mengubah takdir yang telah tertulis (itu ustaz cakap masa sekolah dulu). Jadi, berdoalah. Mintalah. Tapi ingat, minta dan doalah hanya kepada Allah. Jangan syirik. Ramai orang kita sekarang ni telah lakukan syirik tanpa sedar. Bahaya tu!


Moga-moga cara ini boleh membantu anda. Aku bukanlah pakar psikologi, motivasi atau kaunselor, namun biasanya aku mampu tangani semua perkara walau seburuk mana situasinya pun. Perkara utama yang aku pegang adalah: yakin diri. Seterusnya berserahlah kepada Yang Kuasa. Biar sehebat mana kita, siapalah sangat berbanding Sang Pencipta.

Bila yakin dan berusaha, seterusnya berserah kepada Ilahi, insyaallah, kita akan mampu gapai apa yang diimpikan walaupun semua itu bukannya mudah. Paling tidak, kita masih lagi berpeluang untuk berusaha dan mengatasinya dengan tenang. Akhirnya, sama ada anda dapat capai atau terkandas setelah diusahakan sebaiknya, yakinilah bahawa apa yang diperolehi itu adalah dengan izinNya. Dengan ketentuanNya. TakdirNya. Apa yang berlaku itu adalah Yang Terbaik sepatutnya berlaku. Jadinya, terimalah dengan hati yang terbuka. Hidup ini mudah sahaja, usahlah kita sukarkannya. Usah juga kita ambil lebih mudah daripada sepatutnya.

Selamat menduduki peperiksaan!


6 ulasan:

paan berkata...

belajar jer dgn relax . lulus gagal , pikir lepas dapat result . mesti xstress . haha

anyss berkata...

Paan: hu huhu cara kita serupa. Gasak je, lain tu kemudian criter hu hu hu sib baik lepas, tu pun nyawa-nyawa ikan ;)

Sharinginfoz berkata...

tidur penting.... satu lagi usaha, doa dan tawakkal

Nas berkata...

nice tips walaupun aku da 2 minggu abes exam..
hehehe....aku exam week aku relex je..online n blogging gak..
hahahhahaa..harap2 result ok :P

Tanpa Nama berkata...

Phew, banyak nya tips. Kalau macam ni, sihat walafiat la alamatnya tiap kali exam datang..
www.friscodaniel.com

anyss berkata...

Sharinginfoz: yup! tidur sangat penting.

Nas: exam akan ada lagi pada masa hadapan...sepanjang hidup ni ;)

Friscodaniel: hu hu hu hanya sebagai panduan.