Isnin, 22 Jun 2009

Kota Kinabalu III

18 Jun 2009

Hari terakhir di Kota Kinabalu. Rasa memang belum puas lagi melencong kat sini. Tak pergi mana-mana tempat pun sepanjang tiga hari kat sini kecuali UMS dan Pasar Filipina. Rancangan awalnya aku nak ponteng aktiviti hari kedua dan melencong ke mana-mana untuk sehari. Tak kiralah gunung ke, laut ke. Nasib baik sempat pergi waterfront petang semalam. Dapatlah hidu bau angin laut. Tengok kapal dan feri dari jauh dengan air mulut meleleh sampai dagu. Itupun dah lebih baik daripada tak dapat tengok langsung. Apa daya, aku kena buat kerja pada hari kedua tu. Tak boleh elak. Siap kena jadi pengerusi lagi. Jadinya, kenalah kanselkan rancangan curi tulang tu. Adoiii la. Kalau tak, kan best bersenang lenang tak payah ingat dunia. Boleh berkubang dalam laut kejar duyung lagi.

Pagi-pagi lagi aku packing barang siap-siap. Dah janji dengan Shanty untuk sarapan bersama-sama. Hari ni hari ulang tahunnya yang ke 50. Wajahnya yang sentiasa ceria dan peramah buatkan dia tak nampak pun macam dah 50. Nampak muda. Mungkin sebab dia sentiasa saja ceria, tersenyum dan ketawa. Caranya saling tak tumpah macam Pn. Sita yang sepejabat denganku dulu, yang dah bersara tahun lepas.
Shanty...aku kagum dengan ketabahannya.
Aku lambat sebab ralit packing barang. Tak sedarpun jam lima minit lagi dah pukul 8 pagi. Bilik yang tak ada tingkap macam dalam kotak kertas ni buatkan tak sedar dunia ni sebenarnya siang atau malam. Kala terpandang jam kat telefon Nokia kesayanganku itu, baru sedar waktunya memang dah lewat. Terus saja aku telefon Shanty, beritahu dia aku lambat sikit dalam 10 minit. Tak mahu dia tunggu lama. Masa tu aku belum bersiram lagi, apalagi wangikan diri. Kiranya pagi-pagi tu mandi kerbau sajalah. Tak sampai sesaat dah siap. Macam P.Ramlee mandi pulak! Biasanya ambil masa paling kurang 15 minit, tidak termasuk waktu yang dikhaskan untuk termenung.

Sarapan pagi kami agak santai. Tak tergesa-gesa. Tak juga gopoh. Sambil makan sambil sembang. Sebenarnya lebih banyak sembang dari makan. Orang lain dah habis makan dan pergi entah mana-mana, tetapi kami masih lagi berceloteh panjang. Macam dah lama kenal. Kali ini baru sempat kami berbual panjang tentang pelbagai perkara.

Shanty ni OKU. Dia berkerusi roda kerana mengidap polio sejak kecil. Kaki kirinya kelihatan lebih kecil sedikit berbanding sebelah kanan. Menurutnya juga, dia mengidap kanser. Ovari dan rahimnya telah dibuang. Dan dia tidak menjalani kaedah kemoterapi, tetapi masih lagi hidup. Ramai rakan-rakannya yang jalani rawatan itu telah lama tiada. Ceritanya lagi, dia dapat kanser sebab dia minta dengan Tuhan untuk sakit. Dia sangat sedih apabila ayahnya meninggal. Dan Tuhan kabulkan doa dia. Tuhan berikan dia kanser, tetapi dia hanya sakit. Tidak mati.

Sepanjang berbual dengannya, aku sedar tentang banyak perkara. Dia seorang penganut Kristian yang patuh. Sentiasa bersyukur tentang apa sahaja yang berlaku dalam hidupnya. Selalu berdoa memohon kekuatan dan keredhaan tuhan. Tiap kali terkenangkan kata-katanya itu buatkan aku terfikir pula tentang banyak perkara dalam hidupku. Dan aku, ingin sekali jadi seperti dia. Jalani hidup dengan cara yang sangat mudah. Tanpa menyukarkan apa-apa perkara yang boleh dimudahkan. Biarkan diri jadi lebih tenang dan hayati erti sebenar sebuah kehidupan. Hargai apa yang ada. Cintai kehidupan selayaknya.
Nikmati pandangan indah sambil sarapan...

Banyak juga pengalaman memilukan yang dilaluinya sebagai OKU diceritakan padaku. Wajah cerianya kerap kali bertukar antara ceria dan suram, disulami pula dengan tawa lepasnya kala menyebut tentang peristiwa mengembirakan dan melucukan.

Dia memiliki sebuah motosikal OKU yang diubahsuai untuk memudahkan semua urusan. Pernah sekali, sebuah teksi hon kepadanya bagai dunia mahu kiamat, hanya kerana dia bermotosikal OKU. Pada agakku, motosikal yang ditunggangi Shanty memakan ruang lebih besar berbanding motosikal biasa yang lain semasa dijalan raya. Jadi pemandu teksi tersebut tidak dapat memotong ke hadapan dengan mudah. Hanya kerana itu, dia menerima hinaan dan maki. “Kau OKU, apa boleh buat?” kata-kata kasar dan kesat pemandu teksi berkenaan buatkan Shanty panas hati. Sidak setelah perang mulut di lebuhraya tersebut hingga dia hampir dipukul, pemandu teksi berkenaan berambus juga sekalipun mulutnya tidak berhenti-henti menyumpah.

Banyak lagi peristiwa menyakitkan yang dialaminya sepanjang usia 50 tahun yang disambutnya hari ini. Tidak mudah untuk menjadi OKU. Apa yang lebih susah adalah berdepan dengan masyarakat yang sempurna fizikalnya tetapi cacat otak. Menganggap OKU sebagai musuh yang perlu dihapuskan, sedangkan, sesiapa sahaja ada peluang untuk menjadi OKU walaupun pada masa ini dia sempurna. Dalam masa sesaat pun boleh berubah. Saat ini kita manusia sempurna, mana kita tahu beberapa saat akan datang kita akan terlibat dalam kemalangan hingga jadikan kita OKU pada masa depan?

Hingga jam 10, kami masih lagi leka berbual, menuntut staf di situ minta kami beredar kerana ada acara lain (Aku tahu, bukannya ada apa-apa acara, dia orang je malas nak menunggu sebabnya masa sarapan hingga jam 10 pagi sahaja. Kami duduk berbual saja, bukannya kacau orang!). Semalam kami janji nak lepak dan tengok-tengok 1Borneo di sebelah hotel. Lebih kepada isi masa sebenarnya. Jadi kami bergerak ke 1Borneo dan mula melilau menjelajah dari satu kedai ke kedai yang lain. Kedai-kedai pun belum banyak lagi yang dibuka. Disebabkan hari ini adalah hari jadinya, aku belanja kek blueberry, sementara aku pula, macam biasalah akan belasah kek keju. Hakikatnya, aku yang gelojoh makan kek keju itu dengan beria sekali, sedangkan dia hanya minta bungkuskan. Dah lama tak makan kek keju kan. Tak ada siapa nak teman aku makan kek keju. Nasib baik hari ni jumpa Shanty. Reda sikit gian aku makan kek keju.

Tak banyak tempat pun kami jelajah kat 1Borneo ni. Masa terlalu cepat berlari. Tak sedarpun. Kutinggalkan dia di 1Borneo jam 11.30 untuk bersiap dan bertolak ke lapangan terbang dan kembali ke Bangi. Katanya dia nak jelajah 1Borneo puas-puas sebelum balik.
Ada pameran reptilia selama 1 bulan, tapi aku tak masuk...geli!
Kafe ini belum buka lagi...tapi macam menarik je
Keunikan 1Borneo...

Perjalanan ke lapangan terbang meriah. Pemandu teksi sangat mesra dan peramah orangnya. Bercerita tentang Kota Kinabalu dan jelaskan semua perkara yang aku tanya. Aku pun tak tahu sejak bila mulut aku ni susah nak berhenti cakap setiap hari. Dah penatlah bercakap macam ni. Rasa macam nak kembali jadi diam terpenuh misteri macam dulu. Katanya juga dia berasal dari Lahad Datu. Mmmmm pahlawan Bajau rupanya! Bagi sesiapa yang perlukan perkhidmatan teksi sepanjang berada di bandar Kota Kinabalu, bolehlah telefon sang pahlawan bernama ATU di talian 012-8223357 atau 016-8223357. Mmmm cantik nombor telefonnya. Dia memang bertuah, boleh dapatkan nombor yang sama bagi kedua-dua telefonnya.

Dah check in, terus saja aku boarding dan lalui imegresen. Jalan-jalan dalam sepuluh minit di sekitar terminal sambil mengintai kalau-kalau ada kedai bebas cukai jual jam. Tak ada. Hanya rokok, pewangi dan coklat sahaja yang bebas cukai. Harapnya nanti mendarat di terminal C (antarabangsa). Bolehlah aku shooping sekejab kat sana ye.

Masa tengah kalut cari signal wifi, seorang nenek yang jelas nampak brutalnya menyapaku. Peramah orangnya. Terus saja bercerita tentang penerbangannya yang masih lagi lama, jam 4.30 petang. Ramah dia bercerita pengalamannya lebih sebulan di rumah anak tersayang. Banyak tempat dia telah pergi. Labuan. Bandar. Kundasang. Air terjun dan macam-macam aktiviti lagi dia buat. Nasib baik dia tak cakap yang dia pergi skuba kat mana-mana pulau. Kalau tak, mana lah aku nak letak phD aku ni (perasaan hasad dengki) kat dia. Aku kan tak sempat pergi mana-mana. Apa tak jelesnya.
Airport Tepi laut...cantik!

Cerita itu, cerita ini termasuklah cerita tentang anak bujangnya yang masih lagi belum berkahwin walaupun rambutnya dah terserlah sama bilangan antara hitam dan putih. Bila dia sebut sahaja pasal tu, terus sahaja anak bujangnya itu berbicara itu ini tentang perkahwinan. Dia nak kahwin dengan perempuan kaya yang cantik. Perempuan yang dia tunggu dah kahwin. Cerita saham, nilai matawang, ekonomi dan macam-macam analisis.

Awalnya aku ingat dia berbual dengan emaknya kerana tidak jelas sangat buah butir tuturnya tetapi dia terus berkata-kata walaupun maknya itu diam saja. Cara dia bercakap tu macam ada orang lain di hadapannya untuk lawan dia bercakap walhal dia duduk berseorangan di situ dengan matanya tegak memandang ke hadapan. Ada masanya dia menganalisis suasana ekonomi dan pasaran semasa. Penuh yakin, walaupun tidaklah jelas sangat buah butirnya. Akhirnya aku sedar, ada sesuatu yang tidak kena kerana dia sebenarnya sedang berbicara dengan seseorang yang aku tak nampak pun.

Wajah maknya yang ada masanya gembira bila aku melayannya berbual-bual (sambil aku menaip tulisan ini), ada masanya terkandung sendu dan kecewa saat memandang anak bujangnya yang bercakap sendirian itu. Masa dia tengah syahdu tu lah aku terus menulis, walaupun sebenarnya aku tahu perempuan yang usianya lebih 70 tahun itu seringkali mengelap matanya menggunakan telekung yang dipakai. Konon-kononnya macam aku tak nampak la dia menangis. Rasa ingin tahu memang menggunung tapi, kalau aku tanya kang orang tua tu meraung tergolek-golek kat situ kang...sape yang nak jawab? Aku ni bukannya pandai sangat pun memujuk. Aku rasa macam pernah jumpa mereka sebelum ini tetapi dah lupa di lapangan terbang mana. Hatiku kuat mengatakan yang aku pernah bersua muka dengan mereka dan berbual-bual mesra sebegini juga.

Memandangkan 30 minit lagi penerbangan akan berlepas, aku minta diri ke bilik air. Dua jam setengah dalam penerbangan tentunya tidak selesa andai menuntut aku ke tandas. Jadinya, baik kosongkan tong drumku awal-awal. Bila kembali semula, dua beranak itu sudah tidak ada. Mereka sepatutnya berlepas di gate A5, tetapi menunggu di gate A3. Mungkin mak cik itu bosan dan mahu berbual-bual.

Penerbangan deelay dan dijangkakan pada jam 4.40 petang. Satu jam 40 minit lebih lewar dari waktu dijadualkan. Entah apalah nak dibuat dalam masa sepanjang itu? Semua buku dah masuk bagasi. Aku memang tak bersedia untuk berada di sini lebih lama. Dah rindu bantal kat rumah!
Lengang!
Akhirnya aku putuskan untuk tulis blog ni dalam word hinggalah bateri hampir kering. Aku terpaksa pindah tempat duduk ke tepi tiang untuk charge bateri. Manalah tahu dalam flight nanti tetiba aku terlebih rajin pula. Ralit berangan, mata tersilau pada seseorang. Tahu siapa?

Mak cik Arab yang seksi hari tu juga balik hari ini? Dengan pakaian yang sama juga. Alahai, harap-harapnya taklah satu flight dengan aku lagi. Apalagi berjodoh pulak duduk sebelah. Minta dijauhkan!

Hari ini macam-macam orang yang aku jumpa. Macam-macam jenis ada. Antara Shanty yang tabah, pahlawan Bajau yang ramah dan mak cik yang masih tercari-cari calon menantu yang cantik dan kaya serta mak cik Arab yang seksi...kepelbagaian warna manusia yang berbeza.

Pesawat dijangka tiba KLIA jam 7.20 malam. Bermakna jam 9 barulah pintu pagar rumah kubuka. Rindunya pada bounggavilla. Empat hari tak bersiram, masihkah panjang lagi hayatnya?



10 ulasan:

dina berkata...

aku rasa nak nangis baca pasal Syanti, dia tabah tanpa mengharap bantuan. dia perlukan sahabat untuk terus menyokong hidupnya. aduss, kenapa banyak idea dah mula muncul dalam otak aku ni... masa aku tengah sibuk pulak tu... kau memang nak bagi aku stuck ni... aku kena habiskan YKDF dulu... tulun2!

anyss berkata...

Peram dulu, Dina...biar jadi tuak dulu. Siapkan YKDF ko tu dulu, sambil peram sampai manis macam tapai. Dah siap YKDF...terus dah boleh sambung tulis yang baru kan?

Kalau perlu, nanti aku kenalkan ko dengan Shanty. Dia dok PJ je...aku pun janji nak selalu e-mel dan call and jumpa dia kat mana-mana nanti.

Aku mintak dia tulis semua pengalaman menarik dia tu, dan dibukukan. Nanti boleh mintak sponser dengan MAKNA dan OKU untuk terbit. Kalau jadi projek tu, aku nak mintak Najib lancarkan. Ok tak idea tu? hu hu hu...aku pulak terlebih berangan!

dina berkata...

kau memang full of ideas, elok gak kau buat gitu, at least kau bagi semangat, aku perasan pernah ada novel tentang kanser Seindah Derita-Norhayati Berahim, tapi tak detail... aku rasa kau buleh buat lebih detail... aku teringin nak buat tentang polio tapi aku taknak le asyik buat watak org sakit je... kang org ingat aku ni penulis novel berpenyakit...mintak simpang ye sifu!

azieazah berkata...

Wahhh... terasa ingin sekali menyertai perjalanan Anyss ni..

memang kadang2 seseorang itu merasa dirinya malang... tp sebenarnya bertuah..

Anyss pun bertuah juga, kerana berpeluang bertemu pelbagai warna kehidupan...

anyss berkata...

Buatlah dalam novel yang lain. Tulis tentang bagaimana golongan ni begitu bersemangat harungi hidup walaupun orang yang sihat ni seje je cari penyakit.

Aku suka tengok orang berjaya. Kalaupun aku tak mampu buat, aku bangga sangat kalau tengok orang lain boleh buat. Kira aku jadi tukang sorak pun tak apa...ok pe gitu!

Aku jugak kagum dengan orang yang tak pernah salahkan Tuhan dengan tiap apa yang berlaku. Tetap fikir positif dan tak mudah mengalah walaupun kita yang tengok ni rasa macam longlai nak tertiarap...tabik spring gitu!

azieazah berkata...

Kat mana-mana pun depa dok menyebut novel sulung Dina ni...

best atau tak, itu bukan soal, tapi mesti nak kene cari la.. kat mana ada? harga berapa?

anyss berkata...

Mok Yang: Betul tu...kita selalu anggap diri tak bertuah kan? Padahal, terlalu ramai lagi insan lebih malang dari kita...insap! insap!

anyss berkata...

Mok Yang: harganya tak mahal sangat, tak sampai RM20 pun. Sama-sama sokong rakan-rakan kan...

iza~de~bintang berkata...

Amboi padatnya cerita sehari.

Kagumlah dengan Shanti tu. Teringat seorang teman. Dia oku, sentiasa tenang. Kenangan firt time dia melangkah masuk dewan kuliah, masih segar dalam ingatan saya. Semua orang terpana. Terpaku. Saya pun sama. Dia tak ada kaki. Turun dari kerusi roda terus melompat naik atas kerusi di barisan paling depan. Dewan kuliah yang bising, automatis sepi. Ramai jugak yang bergenang air mata. Sedih dan kagum bercampur.

Saya pernah duduk di belakang dia dan saya malu sendiri. Sebab tulisan dia cantik hehe. Kelakar pulak, rasa macam bukan dia yg oku. Selepas hari itu tak ada perasaan lain dalam hati saya. Bangga sangat dengan dia, walaupun kami berbeza kursus :) err sebenarnya wajah dia masuk kategori manis + hensem jugak lah :D tak tahu lah mana dia sekarang ni.

anyss berkata...

Iza;
Kerapkalinya kita lebih lemah dari OKU...