Isnin, 22 Jun 2009

Kota Kinabalu II

17 Jun 2009

Hari ke tiga di Kota Kinabalu. Dengarnya petang nanti ada acara ronda-ronda bandar. Maknanya, tak payahlah aku membazir tambang teksi. Kalau dia orang bawa ke beberapa tempat kat kawasan bandar pun dah ok, sebab masa memang tak banyak. Dapatlah aku melingkar puas-puas esok pagi sebelum balik kan?

Acara di UMS memang bermula jam 8 pagi, tetapi jam 7.30 baru aku pergi sarapan. Semasa dalam lif yang sempit itu, aku berkenalan dengan seorang kakak (Shanti), OKU (berkerusi roda), berbangsa India yang datang sambut ulang tahun ke 50nya selama seminggu di Kota Kinabalu. Dia sendirian, hanya ditemani pekerja hotel yang tolakkan kerusi roda ke Elusion Sky Lounge. Orangnya peramah, terus sahaja ajak sarapan bersamanya.

Aku memang dah lambat. Ingatkan nak sarapan seadanya sahaja dan pecut ke UMS secepat mungkin. Namun, nampak macam kurang ajar pula sebegitu. Jadinya, aku temani dia sambil berbual. Dia memang peramah dan nice sangat-sangat. Ada-ada sahaja yang kami bualkan. Sempat lagi dia ajak aku sambut parti kecil untuk sambut hari lahirnya malam nanti. Selepas potong kek, boleh berkaraoke sampai pagi katanya.

Aku hanya ketawa kecil. Aku beritahunya yang suara aku sumbang kalau menyanyi. Bimbang kalau-kalau boleh mentangkan banjir pula. Dalam tawa panjang, dia beritahu “suka-suka saja”. Dengan sifat peramahnya itu, memang sukar nak menolak. Akhirnya aku beritahu dia yang aku tak pasti jam berapa aktivitiku hari ini habis. Aku berjanji untuk temani dia bersarapan esok pagi sambil berbual dengan lebih santai. Aku juga janji untuk jalan-jalan di 1Borneo yang terletak di bangunan sama dengan hotel kami esok hari kalau masa mengizinkan. Nyatanya dia amat gembira dengan tawaran itu.

Sepanjang aktiviti hari ini, aku selang seli dengan membaca novel Puteri Imaneisya “Kasih Ini Milik Kita” yang baru kumulakan saat punggung kulabuhkan ke bangku.

Selepas makan tengahari, pihak penganjur sediakan bas dan bawa peserta ke bandar. Ke pasar Filipina sebenarnya. Pasar ini terletak di tebing Teluk Likas. Cantik pemandangannya. Jadinya, kerjaku hanyalah snap gambar sana sini sahaja berbanding beli barang. Sekalipun gambar itu taklah cantik dan jelas sangat kerana gunakan kamera telefon sahaja, namun itu terlebih baik daripada tak ada langsung.

Bas akan bertolak balik dari kawasan itu pada jam 5 petang. Kami ada masa 2 jam 30 minit untuk beli belah di kawasan tersebut. Memandangkan hanya aku satu-satunya rakyat Malaysia dalam rombongan berkenaan (peserta Malaysia yang lain membawa haluan sendiri. Peserta dari Indonesia sahaja yang ikut kerana itu lebih jimat berbanding tambang teksi sendiri yang mahal. Kiranya aku ni tergolong antara yang kedekutlah...), maka aku tunjukkan arah kepada mereka hingga tiba di pasar Filipina tu. Macamlah aku arif sangat dengan Kota Kinabalu. Takat tunjuk arah pasar Filipina tu, dapatlah. Dah sampai sana, masing-masing bawa haluan.

Di sini aku lebih banyak snap gambar, termasuk gambar dua orang remaja yang memang mintak gambarnya dirakamkan. Aku hanya beli dua keping kraftangan diperbuat daripada rumbia kot (aku pun tak pasti- baunya macam rokok daun arwah tok ayah aku hu hu hu), boleh letak atas meja sebagai alas (boleh juga dibuat alas apa-apapun, aku bukannya reti manfaatkan benda-benda yang sebegini. Ikut suka kaulah Dina nak buat alas apapun) untuk Dina sempena dia masuk rumah baru. Otak aku dah penat pikir nak beli apa untuk dia sempena masuk rumah baru. Masa balik kampung dulupun aku cari juga benda-benda yang sesuai, tetapi tak jumpa satu apapun yang berkenaan. Dua kali tawaf pasar Filipina, akhirnya benda alah itu je lah yang aku beli untuk kau ya, Dina. Untuk aku, beli 1 kg udang kering dan ikan masin. Nanti aku akan bahagikan pula dengan kakak dan adik aku. Salah hari boleh sampai ke kampung tu...(aku kan dah tak masak sangat sekarang ni, dari membazir, baik aku hantar kampung. Merasalah jugak mak aku udang kering Sabah ni. Dah lama dia tak rasa. Kalau dulu, ikan terubuk tu dah jadi makanan ruji mereka, macam beli kat pasar malam aje. Kalau aku tak beli, adik yang masa tu tengah belajar di Politeknik Kuching akan borong berpuluh ekor sebagai bekalan).
Lupa la pulak apa nama pasar ni...
Ni dia suasana di Pasar Filipina...
Pandangan luar Pasar Filipina
Uniknya...boleh jahit apa-apa je di kaki lima

Kat belakang pasar Filipina tu pula ada pasar malam. Betul-betul di tebing teluk. Masa tu, para peniaga masih belum mula berniaga lagi. Mereka sedang bersiap sedia buka gerai. Banyak kapal dan bot singgah kat jeti Jeselton kelihatan dari sini. Apalagi, snap gambar sajalah tak putus-putus. Sekalipun jadi perhatian ramai dengan cara jakun aku tu, aku peduli apa. Tiap kali bertembung mata dengan orang-orang yang memandang aku dengan pandangan pelik itu, senyum ajelah aku. Nampak macam peramah je kan, tapi sebenarnya kaver line hu hu hu...

Tak jauh dari pasar Filipina tu, ada waterfront. Masa aku datang dulu-dulu, waterfront ini masih dalam pembinaan. Itu masa tiga empat tahun lalu. Sekarang ni memang cantik pemandangan di kawasan waterfront tu. Berderet kedai makan. Macam romantik saja makan malam sambil mengadap laut. Angin malam yang berhembus, ombak yang mengalun. Lampu di tengah laut dek feri dan bot-bot. Cahaya lampu di Pulau Gaya yang bertentangan dengan Waterfront...tak terbayang dek impian. Mmmm macam best je buat lokasi untuk novel kan, Dina!

Sambil snap gambar sana sini tu, aku susur sepanjang waterfront. Masa masih banyak lagi, hampir 50 minit. Aku ingat nak lah lepak sekejab kat waterfront sambil sedut air kelapa. Menghayati keindahan laut kononnya. Tengok kapal. Berangan aku yang dok kat atas tu, tengah dating dengan Putera Raja Brunei ke, paling tak pun dengan Raja Gopal. Dari kedai makan pertama, hingga kedai makan terakhir, pintu hatiku tak terbuka pun untuk singgah kat mana-mana kedai walaupun tekak memang kering sangat. Haus. Dahaga. Kaki dah lenguh. (Maklumlah berkasut seharian hingga kasut itupun tunjuk protes. Dah pecah kedua-dua bahagiannya. Pergi kerja pun aku pakai sandel je, kali ni pakai kasut. Siksa amat!).

Aku tak dapat bezakan kedai makan mana satu yang halal. Pekerjanya, tuan punya kedainya hampir sama sahaja, tak mampu mata rabunku untuk bezakan. Aku berhenti di satu kedai, tetapi masih belum beroperasi lagi. Itupun hanya sebab nampak salah seorang pekerjanya bertudung. Walaupun hatiku 50-50 untuk minum di situ, tetapi aku berhenti juga. tanyakan pada pekerjanya. Mereka baru bersiap sedia untuk mulakan perniagaan. Akhirnya aku nampak dulang calsberg kat situ. Syukurlah kedai itu belum beroperasi lagi. Akhirnya aku sedar yang setiap kedai makan di situ memang menyediakan calsberg. Seleraku tumpul tiba-tiba. Haus hilang hanya dengan menelan air liur. Air liur yang kutelan kerana rasa syukur yang aku belum sempat minum di mana-mana kedai pun. Nikmati je lah suasana di waterfront kat bawah ni...













Tempat ni dulu stesen bas, sekarang dah jadi bangunan

Dari waterfront aku terus ke tempat bas menunggu. Tak ada siapa lagi yang dah siap borong barang. Hanya aku seorang. Masa masih ada 30 minit. Aku seberang jalan dan nampak satu kedai kain yang buatkan aku tersenyum seorang. Masuk sahaja ke dalam, aku tanyakan kepada taukeh kedai tu “Ada sut punjab tak?”. Dia geleng kepala. “Saya peminat Shah Rukh Khan tau...tak kan tak ada jual kat sini?” usikku buatkan hero hensem ala-ala Kamal Hassan itu tersengih dan beri alasan “baru saja habis”. Tak kesahlah bhai...asalkan aku boleh buang masa 10-15 minit kat sini!
Dina mesti pergi shooping kat kedai kain ni












Unik kan pondok polis tu...nak snap kereta sport sebenarnya...



Malamnya, hanya aktiviti lepak depan tv, sambil sambung baca novel “Kasih Ini Milik Kita”. Jam 2.30 khatam semuanya. Tunggulah, nanti kedua-dua novel yang berjaya aku khatamkan sepanjang berada di Kota Kinabalu ini akan aku ulas dalam blog ini.

2 ulasan:

dina berkata...

Pertamanya aku terharu, sebab kau ingat je kat aku tiap kali kau berada kat KK... huhuhu...

Keduanya, memang best bila aku fikirkan hal waterfront tu, aku dah mulai terbayang lokasi2 indah kat KK walaupun aku belum pernah jejakkan kaki.

Ketiga, kalau ada rezeki aku nak pegi kedai shahrukan tu, hampeh tul bhai tu eksploitasikan nama bofren aku!

Entri kau kali ni buat aku rasa terharu sangat2... ni yang nak nangis ni!

anyss berkata...

Dina: Aku izinkan ko nangis coz ko dah buat aku nangis baca Kasih Aryssa...adil lah tu!

Gambar2 di Pasar Filipina & Waterfront tu dah cukup utk ko jadikan lokasi dlm novel tanpa perlu pergi sana...dah lengkap. cuma aku lupa la pulak nak ambik gambar belah kedai2 tu. Lain kali aku tak akan cuai lagi ya :D

Aku ingat kat ko coz sblm pergi pun aku dah niat nak cari something utk ko. Ari tu tak sempat nak cari di KB...kira bayar utang lah tu kan...