Sabtu, 30 Januari 2010

Kau Biarkan Aku Sendirian Memendam Luka Ini


Aku benar-benar menderita, tidakkah kau tahu?
Aku terluka, tidakkah kau dengar rintih hati ini?

Setelah aku benar-benar mencintaimu, saat itukah kau berpaling dan biarkan aku merintih sendirian. Detik sebeginikah kau benar-benar tega melihat aku terkedu tanpa arah?

Aku tidak pernah hargai sesiapa sama seperti menghargaimu. Membenarkan cinta membelai seluruh diri, segenap jasad. Tidakkah kau tahu, hembus nafas ini berlagukan senandung namamu? Tidakkah kau sedar, setiap alir darah ini hanya memuja memanggil namamu?

Dalam tidur, dalam jaga, tahukah kau yang aku sering terkenangkanmu?

Memang benar, kau bukanlah sesiapa yang berikan aku segala. Namun, kau terlalu banyak menyimpan nostalgia tentang kita.

Sudah lupakah detik kita basah bersama dalam gerimis? Menahan dingin tempias yang menerpa ke muka, sekalipun perit menyentak wajah, namun dingin itulah yang kuingat sampai bila-bila.

Sudah lupakah detik kita bersama nikmati indah suasana nyaman tepian Tasik Cempaka? Saat kita bergembira merempuh angin petang dalam ria, berlegar sekitar Bangi kala waktu terluang? Biar sesibuk manapun aku, kau sentiasa kupuja. Kau sentiasa kuingat. Kau sentiasa kuperlukan. Dahulu, kini...akan datangpun (Awas~! Ini bukannya iklan UMNO atau Barisan Nasional. Tak ada kaitan langsung dengan politik mana-mana parti).

Aku akan sentiasa mengenangmu biar berzaman waktu berlalu. Selamanya. Kau banyak mengajar aku tentang erti hidup. Memberikan aku keyakinan untuk terus berdiri biar di mata orang lain aku tidak lagi wujud. Menyalurkan kekuatan untuk aku terus bertahan. Aku akan sentiasa hargainya. Percayalah.

Aku menderita. Benar-benar sengsara. Tak tertanggung dek bahu memikulnya, tak terdaya dek rasa meratapinya. Setega itukah kau biarkan rintih ini berlagu senandungkan sendu di jiwa?

Usahlah merajuk. Usahlah berduka. Janganlah bersedih. Kalaupun aku punya pilihan yang lain, tidak bererti cintaku padamu akan berubah. Tidak bermakna kasihku akan berkurang. Tidak juga bermakna kau tersisih dari hatiku...dari hidupku. Kasih ini, ingatan ini, perhatian ini akan sentiasa sama sahaja seperti dahulu. Budimu yang segunung itu sentiasa juga aku ingat, akan kukenang sampai bila-bilapun. Percayalah.

Ini tidak hanya ikrar, lebih dari janji dan akad. Biar datang apapun yang lebih baik, kau tetap punya nilai yang tersendiri. Tidak bolehkah kau akui itu? Tidak bolehkah kau kenangkan penderitaan ini kala rajukmu yang panjang itu?

Janganlah merajuk lagi ya. Aku mohon!
Bila dia buat hal....aku memang benar-benar nanar! Adussssssss!

Khamis, 28 Januari 2010

Marilah Mari...Kita membaca

Sebelum balik, tetiba masuk emel ni. Jommmmmmmmm lah keringkan poket lagi bulan ni ;)

Sempena pembukaan sekolah penggal pertama 2010 dan sambutan hangat daripada pengunjung pada tahun 2008 dan 2009, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad melalui anak syarikatnya iaitu Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) dengan kerjasama Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) untuk kali ke-3 akan menganjurkan jualan gudang buku dan majalah. Maklumat adalah seperti di bawah:


Tarikh: 27 Jan 2010 - 7 Feb 2010
Masa : 10 pagi - 6 petang
Lokasi: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.,
No. 1 & 3, Jalan 3/91A, Taman Shamelin Perkasa,
56100 Cheras, Kuala Lumpur


Buku-buku yang dijual pada hari tersebut merangkumi lebih 4000 judul dalam pelbagai siri seperti motivasi, keluarga, kewanitaan, masakan, fesyen, novel, kanak-kanak dan juga buku akademik untuk tadika, sekolah dan universiti. Manakala majalah-majalah pula merangkumi majalah Al-Islam, Hai, Harmoni, Kawan, Mangga, Mastika, Pemikir, Saji, Umph, URTV, Wanita dan Remix.


Sempena jualan gudang ini, pihak penganjur menawarkan diskaun sehingga 70 peratus. Oleh yang demikian, dijemput semua pihak sama ada pelajar sekolah, kolej, universiti, guru, ibu bapa dan semua masyarakat untuk hadir pada hari jualan tersebut. Bagi kemudahan pengunjung, selain penjualan tunai, pembayaran melalui kad kredit juga disediakan.


Selain dari produk buku dan majalah, terdapat juga penyertaan daripada syarikat telekomunikasi terkemuka, Celcom, Chemical Company of Malaysia (CCM) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang membuka gerai jualan dengan harga istimewa.


Sebagai nilai tambah kepada jualan kali ini, pihak penganjur menyediakan beberapa hadiah untuk dimenangi oleh para pengunjung seperti cabutan bertuah dan pembeli bertuah. Sebarang pertanyaan berkaitan dengan jualan tersebut, sila hubungi pejabat UP&D di talian 03-92856577 atau 03-92853860.


Untuk maklumat lanjut, sila layari:


http://www.upnd.com.my/index.php?option=com_content&view=article&id=67:jualan-gudang-kumpulan-utusan-2010&catid=1:berita-upad&Itemid=56

Isnin, 25 Januari 2010

Fajar Menyingsing Ketika Hatiku Masih Impikan Lena nan Panjang

Januari 19 dah pun berlalu. Dan aku, baru kini berkesempatan untuk meluangkan sedikit masa menelaah apa yang telah dilalui pada 2009, yang yang sempat dicapai, apa yang tertinggal dan tidak sempat untuk direalisasikan. Lalunya, kenapa perlu tunggu hingga 19 Januari berlalu? Ada apa dengan Januari 19?

Tiada apa istimewapun tentang 19 Januari. Hanyalah pada tarikh Masihi itu aku diputerikan. Itu sahaja. Dan kerana tarikh itu, rasanya belum ada lagi apa-apa sejarah yang gemilang pernah aku ciptakan untuk perlu dibanggakan. Belum ada. Akan datang belum tahu. Harapnya ada. Kenapa 19 Januari perlu ditunggu untuk tulis semua ini? Kenapa tidak pada awal tahun baru seperti yang sering dibuat blogger lain?

Pertamanya, kerana detik-detik awal tahun baru itu aku masih lagi berhempas pulas menyudahkan aktiviti tahun lama yang masih belum terlaksana sepenuhnya. Pada detik awal tahun baru itu, lelah yang kukendong sepanjang tahun juga masih belum sempat dilegakan biarpun sepanjang Disember 2009, setiap Jumaatnya adalah hari cuti. Pada detik-detik sebelum tibanya 19 Januari itu, kepala masih lagi penuh dengan pelbagai agenda yang perlu dilangsaikan secepatnya, hinggakan tak punya ruangpun untuk menyusun agenda bagi tahun baru, belum punya kesempatan menelaah kekurangan lalu yang patut ditambahbaik.

2009 dah berlalu. Hampir sebulan. Biarpun agak lewat dari kebiasaan, namun aku tahu semua ini begitu perlu untuk aku selesaikan banyak perkara pada tahun ini. Janjiku tahun lepas, 2010 aku perlu lebih baik dari semua tahun-tahun yang pernah aku lalui sepanjang hidup ini. Terlalu tinggi sebenarnya impian itu. Dalam dua rasa yang berbeza; antara ketekalan hati yang ingin mencapainya dan kebimbangan andai mimpi itu hanya hidup di dalam lena. Semua itu tak pernah aku gapaipun sepanjang hidup ini, namun, andai tak nekad untuk menapak hari ini, sampai bilapun langkah itu tak akan bermula. Jadinya, pada 2010 ini, aku terpaksa beranikan diri untuk mulakannya. Walaupun sebenarnya, di hati masih juga ada takut. Ada was-was. Ada gusar.

2008 aku belajar melangkah setelah terguling jatuh ke gaung maha dalam. 2009 aku berlari awalnya, namun mula memecut selepas pertengahan tahun. Gear lima. Aku perlu sangat-sangat berterima kasih dengan makcik-makcik sihir yang sentiasa sahaja jatuhkan tongkat saktinya ke kepalaku. Terima kasih banyak-banyak. Tanpa sihir daripada makcik-makcik ini, dah tentu aku masih lagi bertatih dengan lembut gemalai laksana puteri lalang, mudah digoyangkan angin. Mudah juga diranapkan hujan. Dengan sihir yang tidak pernah surut daripada mereka, aku menjadi pemberontak. Aku memecut dengan gear lima yang makin merimaskan mereka. Terima kasih kumpulan ahli sihir! Aku tetap akan terus melakukan penentangan biar berapa lamapun sisa usia ini.

Awal 2009 aku lalui dengan rasa sebegini
Pertengahan tahun, cabaran lebih hebat menjadikan aku seakan nanar, lalu dihujungnya bagaimana? Cik Bintang lewat sms sebelum tahun baru mengatakan yang 2009 aku "sedih, terluka, kecewa...ermmm dan yang sewaktu dengannya. Tapi macam dalam proses bangkit semula. ok tu :-)" Tidak dinafikanpun, malah aku mengakuinya.

Di puncak Bukit Jugra aku telah memutuskan perkara sebegini;
i. Tingkatkan lagi kekuatan yang kerap benar menjunam jadi sisa. Biar sebagaimana cerita tentang hidup ini perlu ditempuh, terlalu banyak perkara yang belum aku lakukan sebelum menutup mata. Masa semakin singkat, lalunya, tidak perlulah buang masa dengan sesuatu yang remeh temeh. Masa untuk meratap hiba dah tamat! [
Setelah 2009 berakhir, nyatanya...aku dah berjaya harunginya. Sepanjang 2009, aku hanya senaraikan 2 perkara sahaja, namun dipenghujungnya, ternyata perkara 2 itu menjadi 6. Tidak percaya bukan? Aku pun. Dan aku patut sangat-sangat kukuskan pulut kuning ayam panggang untuk diberikan kepada mckcik-makcik sihir dan gerombolannya. Tahniah untuk diri! Terima kasih juga kepada Cik Bintang yang tidak pernah jemu mendesak, memujuk, merajuk, dan adakalanya menggunakan ketam batu untuk gerakkan semula uraf sarafku, urat minda juga. Usah jemu untuk tahun ini juga ya. Terima kasih sanggup melayan kerenahku yang kerapkalinya keras kepala dan ikut suka sendiri ini.]
ii. Isnin ini jadi pemula untuk aku tekan gear 5. Yup...terus ke gear 5. Sejak setahun ini, aku hanya tekan gear 2 sahaja. Banyak masa dibazirkan untuk meratapi kesedihan dan “kematian”. Jadinya, kalau selepas ini aku kian tidak punya waktu untuk kemas kini blog, apalagi lepak di forum borak, ampunkan daku rakan-rakan! Aku sedang berusaha untuk beli donia...harapnya aku tak akan lupa tentang mati. Ada dua perkara lagi dalam hidup ini perlu aku capai dalam tempoh terdekat ini. Perkara ke tiga: langsaikan hutang. Selepas itu, aku lebih bersedia untuk tinggalkan donia penuh kalut ini. [Tidak mudah untuk terus tekan gear 5, namun aku bersyukur...aku mampu lakukannya. Awalnya, memang was-was, namun akhirnya aku kian yakin untuk terus melangkah. Hingga 2009 berakhir dan tahun baru dah menebarkan permaidani indahnya untuk kulangkahi, gear itu masih juga kekal. Jadinya, 2010 aku akan teruskan lagi usaha dan cara ini. Kalau boleh kekalkan dengan gear 5, amat bagus, namun akan lebih baik andai gear itu ditingkatkan ke gear 6 atau 7. Moga-moga mampu dicapai.]

iii. Sesuatu yang telah berlalu itu, lepaskanlah dengan rela walaupun hati sebenarnya amat berat. Kemudiannya, lupakannya secara perlahan-lahan sama ada secara rela atau paksa...moga aku mampu lakukannya. [Bukanlah sesuatu yang mudah untuk lepaskan apa yang mencengkam jiwa dan pernah jadi titik kelam dalam hidup. Sangat payah. Namun, masa yang berputar buatkan minda kian mampu dikawal. Biarpun hal ini tidak mampu aku laksanakan sepenuhnya, namun kemampuan untuk realisasikan 50 peratus dari itu pun sudah cukup bagus. Aku hanya harapkan tahun ini dan hari depan, semua ini akan terhakis habis dari dalam hati, dalam dada, dalam minda...dalam jiwa. Tuhan, bantulah daku!]

iv. Sesuatu yang tidak pasti itu, abaikan sahaja kerana ketidakpastian akan sentiasa melengahkan masa. Kita akan lebih dihargai dan diingati setelah tiada, jadinya...izinkan aku untuk ghaib dari hidupmu secara perlahan-lahan. Macam nak merajuk je kan? Bukan merajuk...sedar diri! [Telah berjaya diabaikan seadanya. Telah mampu dikawal mengikut akal fikir, bukannya nafsu rasa dan kehendak hati. Terima kasih, Tuhan...beri daku kekuatan untuk terus menjaga susila diri dan tidak terjebak dalam alun rasa nan bergelombang. Terima kasih juga, biarkan aku berdiri pada jalan yang sunyi untuk nikmati betapa indahnya alam nan pandai bercerita ini.]

v. Teruskanlah berlari biarpun perlahan. Larian itu akan sentiasa disenjah tarik agar aku terguling ke lereng, namun, bukankah menarik bila kita boleh jadi pencabar paling tegar untuk orang lain? Aku bukan nak berdiri di puncak sebagai maharaja, tetapi aku juga tak akan biarkan orang lain memijak kepalaku untuk ke sana berbekalkan taktik kotor. Kalau betul kau layak jadi maharaja, silakan...namun bersihkan kakimu dahulu, agar permaidani yang kau pijak kelak tidak terpalit selut! [Setelah 2009 berlalu, bila saja 2010 menjelma...hari ini, aku mula menyedari bahawa aku hari ini bukanlah aku pada Januari 2009. Tidak lagi. Aku kini kian kuat macam monster yang dapat bekalan bayam hijau dari popaye, berlari memecut ke hadapan tanpa sudi untuk berhenti lagi. Dan hari kelmarin, aku tahu tentang satu lagi perkara; aku menjadi orang pertama yang berani membantah kata-kata dan arahan makcik sihir. Secara terbuka pula. Sesuatu yang tidak pernah orang lain sangkakan. Namun, pada masa yang sama, dia berjaya stresskanku berminggu lamanya. Kira macam “win-win situation”; dia berjaya menyusahkan aku, aku juga berjaya melawan semula sebagai pemberontak yang keras kepala. Dan orang lain yang memandang, mensyukurinya. Walaupun mereka tidak berani menentang, mereka tahu, ada seorang “aku” yang pra-san berupaya melawan. Aku tahu tindakan itu tidak menangkanku, namun, aku juga tahu tindakan itu juga tidak akan menenangkan dia. Adil bukan?]

Lalunya bagaimana dengan 2010? Perjuangan masih panjang, Perjalanan masih lagi jauh. Selagi nyawa masih dijasad, aku tetap akan perjuangan apa yang perlu aku juang. Nasib diri. Nasib agama, bangsa dan negara. Demi Islam yang kuanuti, untuk Malaysia yang kucintai, untuk Melayu yang menunjangi. Jadi sepanjang tahun 2010 ini, beberapa perkara aku akan buat dengan sepenuh daya biarpun aku tahu, semua usaha itu akan ada pasang surutnya.
i. Habiskan pengajianku secepat mungkin. Inilah yang paling sukar terutama bila belajar dan berkerja pada masa yang sama. Namun, aku tahu...gear 5 itu perlu dikekalkan, kemudian ditingkatkan lagi menjadi gear 6 dan 7. Bermakna, makin kuranglah waktu untuk tidur. Mmmmm hilang sudah nikmat donia!!!

ii. Angka 2 ditingkatkan jadi 3. Kalaupun aku tak mampu capai 6 seperti tahun ini dek pemotongan buget hingga 40% perbelanjaan department, namun...tidak salah untuk terus berusahakan? Bermakna, kurangkan keluar ke tempat jauh yang menggunakan kos yang tinggi. Bermakna juga, perlu menggunakan perbelanjaan sendiri. Aku tahu, jika itu yang berlaku, bermakna kian terbatas lagi keupayaan untuk mencapai angka 3 itu. Namun, pada masa yang sama, aku sedar, apa yang telah aku usahakan pada 2009 akan dapat dilihat hasilnya pada 2010. Jadi, tidak mustahil juga hasrat ini akan tercapai. Andai dapat, pencapaian untuk tahun hadapan perlu dimulakan semenjak tahun ini lagi. Hasilnya akan dituai nanti.

iii. Mengkaji setiap sudut penilaian yang akan digunakan setiap tahun. Jadinya, aku akan lebih tahu dimana perlu kutambah usaha dan capai. Harapnya, bila penilaian tahun 2010 yang akan dibuat pada awal tahun 2011, aku mampu dapat raih cemerlang. Walaupun itu bukan target utama dalam hidup, namun aku perlu kerja “smart” bukan sahaja “kuat” semata-mata. Markah penilaian sekurang-kurangnya 87 peratus.

iv. Teliti dan penuhi setiap aspek yang perlu bagi mendapatkan status “kanan”. Kesilapan lampau tidak akan aku ulangi lagi dalam hidup ini. Biarlah sekali.

v. Aku perlu jadi lebih kuat. Fizikal dan mental. Larianku masih lagi jauh. Andai satu hari pada 2010 ini, aku tak berdayapun untuk melangkah, apalagi berlari...sudikah hulurkan tangan, temani langkahku biarpun langkah itu terlalu perlahan bak seorang kakek yang cuba mendaki tembok besar China. Boleh tak?

Mimpi ini terlalu indah semasa aku cuba menganyamnya. Aku cukup sedar, ia amat sukar dibentuk biarpun untuk warnakan pada bilah-bilah impian itu. Apa lagi membenturnya mengikut kata hati, menggambarkan impi jadi nyata tersedia depan mata. Bila 2010 menebarkan cahaya emasnya, bila Januari telah berlari tanpa melupakan detik dan saat, bila hari melangkah begitu cepat tak terkejar dek kaki, aku tetap tahu yang perjuangan akan tetap kudepani. Mampukah untuk aku langsaikan semua ini bila tiba di hujung 2010 nanti?

Senarainya terlalu panjang. Payah juga untuk direalitikan. Aku sedar, untuk capai semua ini, aku tidak boleh lupakan semua senarai ini biar sesaatpun. Aku perlu kerja keras sepanjang tahun. Aku perlu lupakan banyak kebiasaan dalam hidup untuk capai semua ini. Aku perlu lupakan banyak kemanisan mimpi dan suasana santai. Lelah 2009 belum lagi usai sepenuhnya, namun kalut 2010 tetap perlu kuuruskan jua. Selamat datang 2010. Kalaupun langkah ini tempang, sudikah bantuku untuk realisasikannya ke alam nyata?

Selasa, 12 Januari 2010

Sesepi Lalang di Kuburan yang Tiada Sudi disapa Angin Malam




Khamis, 31 Disember 2009

Bercerita Tentang Lagenda di Pulau Indah Lagi

Hari Ketiga.

Jam 8.45 pagi kami dah bertolak ke Porto Malai. Kami tiba jam 9.30 pagi. Ada peningkatan berbanding semalam. Sepanjang hari di sini, masing-masing ada acara sendiri. Makan tengahari kami lebih awal berbanding semalam. Aku, KM dan DJ makan semeja di kawasan tertutup yang berhawa dingin. Kami sebat semua benda yang ada dengan meriah macam orang dari Somalia. Meriah dan riuh rendah berbual tentang perkara yang tidak ada dalam acara. Hari ini DJ akan balik KL untuk ke Bali (bercuti) keesokan harinya. Jadinya, kunci van diserahkan padaku, sementara dia ambil teksi ke lapangan terbang. Selepas minum petang (siap bungkus sandwich lagi...memang macam rombongan cik kiah), kami bergerak tinggalkan Porto Malai. Itupun setelah ambil masa lebih 30 minit untuk merakamkan sebanyak-banyak gambar yang dapat di pelabuhan Porto Malai tersebut. Telefonku entah berapa kali buat hal dan jem kerana itu. Faham-faham sendirilah berapa banyaknya gambar yang aku ambil. Bila bateri dah kurang, mulalah dia meragam dan jem. Terpaksa on dan off berkali-kali. Kali ini Mr.T nan ensem tu pula yang memandu. Lebih lancar perjalanan kami dan tidak tergesa-gesa. Maklumlah, Mr.T ni lebih seperti geng dan kawan-kawan, DJ tu pulak lebih bersifat abang dan ayah. Walaupun boleh bergurau dan gelak ketawa, namun rasa hormat kepadanya lebih seperti hormat sebagai orang tua (bukannya tua sangatpun, tapi caranya lebih seperti bapak-bapak kepada kami). Sedangkan, Mr.T ni lebih seperti rakan-rakan. Jadinya, kami singgah merata di mana-mana sahaja yang rasa nak singgah termasuk juga di tepi pantai nan indah untuk nikmati pemandangan matahari tenggelam. Aku dan Mr.T memang peminat tangkap gambar yang tegar, tetapi yang lain hanya menikmati. Beri peluang untuk aku yang “gila” ni nikmati keseronokan. Mungkin mereka pun perasan yang aku hanya peminat minyak gamat sahaja hu hu hu. Sekalipun tidak sempat untuk menikmati pemandangan indah dengan kereta kebel, namun, aku amat hargai sikap sporting mereka itu. Amat sangat. Nasib baik masa itu telefon dah nyawa-nyawa ikan dah nak habis bateri, kalau tidak, dah tentu sampai malam mereka kena tunggu. Singgah juga di kedai gamat. Borong minyak dan air gamat lagi! Siap kena perli, kononnya aku nak buka cawangan minyak gamat di Bangi. Kami balik ke hotel untuk tukar uniform dan simpan peralatan kerja. Van buruk itu tidak begitu selamat untuk kami usung laptop atau kamera ke mana sahaja. Demi keselamatan harta kerajaan Malaysia dan hak persendirian, kami putuskan untuk simpannya di hotel. Tambahan pula kami perlu ambil Nani yang nak ikut sama ke KUAH.

Dari hotel, kami makan di Jeti. Jam 9.30 malam baru bertolaka ke Pekan Kuah. Kedai Haji Ismail secara tepatnya. Masing-masing masih belum beli apa-apa selain dari coklat. Apalagi dengan KM yang baru kini nak ikut serta. Kakinya dah elok bila kena urut dengan minyak gamat. Aku pula hanya ikut sahaja. Tak pasang niat nak beli apapun. Orang kata, nak kenali siapa rakan-rakan kita, kenalilah mereka semasa perjalanan sebegini. Jadi itulah yang aku lakukan; Untuk lebih mengenali mereka.

Malam ini baru nampak mereka borong sakan. Aku pula hanya beli 2 helai tuala (kalau tak pergi rak tu, tak belipun. Tetiba je teringat yang aku belum beli apa-apa untuk diri sendiri). Beli coklat untuk Cik Bintang juga. Sebenarnya aku bukanlah maniak coklat, jadinya tak teruja sangat nak beli. Tak tahupun coklat yang macam mana sedap. Terpaksa telefon Cik Bintang, tanya coklat macam mana yang dia suka. Namun akhirnya, sebat saja mana yang rasa dia suka. Harap-harap memang dia suka.
Penggemar coklat tegar tidak akan mampu menahan leleh ayaQ liuQ bila dah dikelilingi benda alah ini sebegini. Anda bagaimana?
Baliknya, terus pack barang mana yang rasa dah boleh dimasukkan dalam bagasi. Niat nak beli bagasi baru untuk ganti bagasi lama yang patah itu tidak kesampaian. Sambil mengemas, sambil online dengan Cik Bintang. Bila dah kumpul semua barang yang dibeli (minyak dan air gamat), rasa macam akan lebih beratlah pulak. Risau tetap ada. tak kan nak bayar sebab terlebih berat sedangkan barang-barang itu bukannya aku punya. Kiriman kakak sahaja. Belum campur dengan lelah heret dan pikulnya.

Akhirnya sebahagian daripada minyak dan air gamat itu aku masukkan dalam beg pikul baru yang berisi laptop. Sedikit sahaja muatannya berbanding beg pikul lama (dipinjamkan kepada kak Faridah yang tak muat nak masukkan pakaiannya). Harapnya semua berjalan dengan lancar nanti.



Hari KeEmpat


Hari terakhir kami di pulau lagenda. Bertolak ke Porto Malai jam 8.30 pagi. Acara memang bermula jam 9 pagi. Sebaik sahaja kami masuk ke dewan yang luas dan besar itu jam 9.15 pagi, acarapun bermula. Macam tunggu kami saja kan?

Walau bagaimanapun, DJ yang nak ke Bali telefon ketika acara dalam dewan masih berlangsung. Abang bomba dah tunggu di hotel, beritahunya. Tergesa-gesa kami balik ke hotel tanpa sempat minum pagi pun. Selesai semua urusan bayaran dan serah kunci kepada abang bomba, kami (hanya 4 orang sahaja, 3 orang lagi dah bertolak ke lapangan terbang untuk penerbangan jam dua petang) keluar makan tengahari di kompleks beli belah berhampiran hotel. Hanya 10 minit jalan kaki sambil main-main.

Terus ke tingkat atas. Hanya dua gerai sahaja buka di food court. Sambil tunggu order, kami sebat kuih muih dan pulut kukus inti kelapa. Lemak. Manis. Sedap. Dah lama tak makan. Selesai makan, turun bawah dan shoping. Aku hanya beli beg tangan kiriman adik. Bagasi yang nak beli tetap tak terbeli juga. Jam dua kami balik ke hotel semula dan rehat seketika sementara tunggu masa check out jam 4.30 petang.

Tradisi sebegini masih terjaga dan terus menjadi lagenda dalam kepesatan pembangunan Langkawi. Wajah sebegini kian sukar ditemu di Lembah Klang.
Empat orang sendat dalam satu teksi, walaupun dah beritahu awal-awal yang kami nak guna van besar. Maklumlah barang masing-masing tak payah nak cerita berapa banyak. Ukuran badan setiap orang juga boleh tahan. Malas nak banyak songel, masuk sahaja bersendat macam tin sardin pun.

Penerbangan jam 7.30 petang dan sampai di KLIA hampir jam 9. Aku dan Hasni ambil limo terus, namun perlu beratur panjang. Hampir jam 11 malam baru sampai di rumah dengan lelah yang panjang. Beg hanya larat dibawa masuk dalam rumah sahaja. Tinggalkan sahaja di bawah sementara aku masuk selimut selepas siap mandi. Nyamannya dapat tidur atas katil sendiri.

Inikah wajah Mahsuri yang jadikan pulau ini sebuah lagenda nan mahsyur? Gambar diframe indah ini kutemu di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Langkawi tetap indah. Sekalipun hanya sebahagian kecil sahaja wajahnya sempat dirakamkan, namun, aku amat berharap dapat panjat kereta kebel bila pergi ke sana lain kali nanti. Empat hari di perut pulau lagenda terpenuh mitos dan misteri itu, lelah memang menghimpit. Namun, pada masa yang sama, lari dari bumi Bangi yang basah dan pergi ke tempat sekering itu mengubah banyak perasaan. Terima kasih langkawi, walaupun datangku kali ini tidak sepenuh hati, namun, masih jua sempat nikmati matahari terbenamnya di pantai chenang dan jeti.

Wajah senja di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi saat menapak ke pesawat.
Di sini juga, banyak perkara yang aku pelajari. Catatan pengalaman juga turut bertambah. Dan aku kian mengerti, setiap apa yang berlaku dalam hidup kita ada sebab musababnya. Ada hikmahnya yang kita sendiri tidak tahu. Kalaulah aku ini aku yang dahulu, belum tentu lagi akan sertai rombongan cik kiah sebegini. Belum tentu juga akan kenali mereka lebih akrab hingga akal budi sebegini.