Memaparkan catatan dengan label Pantai Chenang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pantai Chenang. Papar semua catatan

Khamis, 31 Disember 2009

Bercerita Tentang Lagenda di Pulau Indah Lagi

Hari Ketiga.

Jam 8.45 pagi kami dah bertolak ke Porto Malai. Kami tiba jam 9.30 pagi. Ada peningkatan berbanding semalam. Sepanjang hari di sini, masing-masing ada acara sendiri. Makan tengahari kami lebih awal berbanding semalam. Aku, KM dan DJ makan semeja di kawasan tertutup yang berhawa dingin. Kami sebat semua benda yang ada dengan meriah macam orang dari Somalia. Meriah dan riuh rendah berbual tentang perkara yang tidak ada dalam acara. Hari ini DJ akan balik KL untuk ke Bali (bercuti) keesokan harinya. Jadinya, kunci van diserahkan padaku, sementara dia ambil teksi ke lapangan terbang. Selepas minum petang (siap bungkus sandwich lagi...memang macam rombongan cik kiah), kami bergerak tinggalkan Porto Malai. Itupun setelah ambil masa lebih 30 minit untuk merakamkan sebanyak-banyak gambar yang dapat di pelabuhan Porto Malai tersebut. Telefonku entah berapa kali buat hal dan jem kerana itu. Faham-faham sendirilah berapa banyaknya gambar yang aku ambil. Bila bateri dah kurang, mulalah dia meragam dan jem. Terpaksa on dan off berkali-kali. Kali ini Mr.T nan ensem tu pula yang memandu. Lebih lancar perjalanan kami dan tidak tergesa-gesa. Maklumlah, Mr.T ni lebih seperti geng dan kawan-kawan, DJ tu pulak lebih bersifat abang dan ayah. Walaupun boleh bergurau dan gelak ketawa, namun rasa hormat kepadanya lebih seperti hormat sebagai orang tua (bukannya tua sangatpun, tapi caranya lebih seperti bapak-bapak kepada kami). Sedangkan, Mr.T ni lebih seperti rakan-rakan. Jadinya, kami singgah merata di mana-mana sahaja yang rasa nak singgah termasuk juga di tepi pantai nan indah untuk nikmati pemandangan matahari tenggelam. Aku dan Mr.T memang peminat tangkap gambar yang tegar, tetapi yang lain hanya menikmati. Beri peluang untuk aku yang “gila” ni nikmati keseronokan. Mungkin mereka pun perasan yang aku hanya peminat minyak gamat sahaja hu hu hu. Sekalipun tidak sempat untuk menikmati pemandangan indah dengan kereta kebel, namun, aku amat hargai sikap sporting mereka itu. Amat sangat. Nasib baik masa itu telefon dah nyawa-nyawa ikan dah nak habis bateri, kalau tidak, dah tentu sampai malam mereka kena tunggu. Singgah juga di kedai gamat. Borong minyak dan air gamat lagi! Siap kena perli, kononnya aku nak buka cawangan minyak gamat di Bangi. Kami balik ke hotel untuk tukar uniform dan simpan peralatan kerja. Van buruk itu tidak begitu selamat untuk kami usung laptop atau kamera ke mana sahaja. Demi keselamatan harta kerajaan Malaysia dan hak persendirian, kami putuskan untuk simpannya di hotel. Tambahan pula kami perlu ambil Nani yang nak ikut sama ke KUAH.

Dari hotel, kami makan di Jeti. Jam 9.30 malam baru bertolaka ke Pekan Kuah. Kedai Haji Ismail secara tepatnya. Masing-masing masih belum beli apa-apa selain dari coklat. Apalagi dengan KM yang baru kini nak ikut serta. Kakinya dah elok bila kena urut dengan minyak gamat. Aku pula hanya ikut sahaja. Tak pasang niat nak beli apapun. Orang kata, nak kenali siapa rakan-rakan kita, kenalilah mereka semasa perjalanan sebegini. Jadi itulah yang aku lakukan; Untuk lebih mengenali mereka.

Malam ini baru nampak mereka borong sakan. Aku pula hanya beli 2 helai tuala (kalau tak pergi rak tu, tak belipun. Tetiba je teringat yang aku belum beli apa-apa untuk diri sendiri). Beli coklat untuk Cik Bintang juga. Sebenarnya aku bukanlah maniak coklat, jadinya tak teruja sangat nak beli. Tak tahupun coklat yang macam mana sedap. Terpaksa telefon Cik Bintang, tanya coklat macam mana yang dia suka. Namun akhirnya, sebat saja mana yang rasa dia suka. Harap-harap memang dia suka.
Penggemar coklat tegar tidak akan mampu menahan leleh ayaQ liuQ bila dah dikelilingi benda alah ini sebegini. Anda bagaimana?
Baliknya, terus pack barang mana yang rasa dah boleh dimasukkan dalam bagasi. Niat nak beli bagasi baru untuk ganti bagasi lama yang patah itu tidak kesampaian. Sambil mengemas, sambil online dengan Cik Bintang. Bila dah kumpul semua barang yang dibeli (minyak dan air gamat), rasa macam akan lebih beratlah pulak. Risau tetap ada. tak kan nak bayar sebab terlebih berat sedangkan barang-barang itu bukannya aku punya. Kiriman kakak sahaja. Belum campur dengan lelah heret dan pikulnya.

Akhirnya sebahagian daripada minyak dan air gamat itu aku masukkan dalam beg pikul baru yang berisi laptop. Sedikit sahaja muatannya berbanding beg pikul lama (dipinjamkan kepada kak Faridah yang tak muat nak masukkan pakaiannya). Harapnya semua berjalan dengan lancar nanti.



Hari KeEmpat


Hari terakhir kami di pulau lagenda. Bertolak ke Porto Malai jam 8.30 pagi. Acara memang bermula jam 9 pagi. Sebaik sahaja kami masuk ke dewan yang luas dan besar itu jam 9.15 pagi, acarapun bermula. Macam tunggu kami saja kan?

Walau bagaimanapun, DJ yang nak ke Bali telefon ketika acara dalam dewan masih berlangsung. Abang bomba dah tunggu di hotel, beritahunya. Tergesa-gesa kami balik ke hotel tanpa sempat minum pagi pun. Selesai semua urusan bayaran dan serah kunci kepada abang bomba, kami (hanya 4 orang sahaja, 3 orang lagi dah bertolak ke lapangan terbang untuk penerbangan jam dua petang) keluar makan tengahari di kompleks beli belah berhampiran hotel. Hanya 10 minit jalan kaki sambil main-main.

Terus ke tingkat atas. Hanya dua gerai sahaja buka di food court. Sambil tunggu order, kami sebat kuih muih dan pulut kukus inti kelapa. Lemak. Manis. Sedap. Dah lama tak makan. Selesai makan, turun bawah dan shoping. Aku hanya beli beg tangan kiriman adik. Bagasi yang nak beli tetap tak terbeli juga. Jam dua kami balik ke hotel semula dan rehat seketika sementara tunggu masa check out jam 4.30 petang.

Tradisi sebegini masih terjaga dan terus menjadi lagenda dalam kepesatan pembangunan Langkawi. Wajah sebegini kian sukar ditemu di Lembah Klang.
Empat orang sendat dalam satu teksi, walaupun dah beritahu awal-awal yang kami nak guna van besar. Maklumlah barang masing-masing tak payah nak cerita berapa banyak. Ukuran badan setiap orang juga boleh tahan. Malas nak banyak songel, masuk sahaja bersendat macam tin sardin pun.

Penerbangan jam 7.30 petang dan sampai di KLIA hampir jam 9. Aku dan Hasni ambil limo terus, namun perlu beratur panjang. Hampir jam 11 malam baru sampai di rumah dengan lelah yang panjang. Beg hanya larat dibawa masuk dalam rumah sahaja. Tinggalkan sahaja di bawah sementara aku masuk selimut selepas siap mandi. Nyamannya dapat tidur atas katil sendiri.

Inikah wajah Mahsuri yang jadikan pulau ini sebuah lagenda nan mahsyur? Gambar diframe indah ini kutemu di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Langkawi tetap indah. Sekalipun hanya sebahagian kecil sahaja wajahnya sempat dirakamkan, namun, aku amat berharap dapat panjat kereta kebel bila pergi ke sana lain kali nanti. Empat hari di perut pulau lagenda terpenuh mitos dan misteri itu, lelah memang menghimpit. Namun, pada masa yang sama, lari dari bumi Bangi yang basah dan pergi ke tempat sekering itu mengubah banyak perasaan. Terima kasih langkawi, walaupun datangku kali ini tidak sepenuh hati, namun, masih jua sempat nikmati matahari terbenamnya di pantai chenang dan jeti.

Wajah senja di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi saat menapak ke pesawat.
Di sini juga, banyak perkara yang aku pelajari. Catatan pengalaman juga turut bertambah. Dan aku kian mengerti, setiap apa yang berlaku dalam hidup kita ada sebab musababnya. Ada hikmahnya yang kita sendiri tidak tahu. Kalaulah aku ini aku yang dahulu, belum tentu lagi akan sertai rombongan cik kiah sebegini. Belum tentu juga akan kenali mereka lebih akrab hingga akal budi sebegini.