Khamis, 1 April 2010

Kumulakan Bulan Baru dengan Ucapan “Terima Kasih MAXIS”

Aku tahu hari ni ramai orang akan buat perangai pelik-pelik. Meraikan kehadiran April Fool yang entah apakah bendanya itu. Buang masa betul fikirkan tentang sesuatu yang entah beri faedah ke tidaknya itu. Namun, aku nak mulakan tarikh keramat pada bulan April ini untuk buat ucapan. Ucapan terima kasih kepada MAXIS. Kira macam April Fool jugaklah kot!
Sebelum tulis lebih panjang lebar, sila jawab pertanyaan ini: Anda menggunakan MAXIS? Anda pengguna Maxis tegar? Anda puas hati dengan semua perkhidmatan yang MAXIS berikan? Jawab ke tidak, sama sahaja. Aku bukan dengar pun!

Aku guna perkhidmatan Inche Maxis yang hensome ni sejak Ogos 2008. Sebelum itu aku pengguna Celcom yang tegar. Sangat tegar dan fanatik. Line pulak tu, bukannya pakai goring-goreng dan buang ni. Entah kenapa aku boleh tukar guna Maxis, dah lupa pulak (maaf, saya sedang mengalami kelupusan daya ingatan hu hu hu). Dan ini bukanlah kali pertama aku memendam rasa dengan MAXIS. Anda agak rasa itu adakah rasa CINTA?

Dipendekkan cerita yang maha panjang ini, aku beli top up pertengahan Mac. Malamnya terus top up tetapi entah mengapa kad gores dan gores itu tidak sempurna digores. Satu angka tidak jelas sama ada 8 atau 6. Bila mencuba lebih dari tiga kali, kad itu telahpun kena tahan. Esoknya, terpaksa guna telefon pejabat untuk selesaikan masalah itu kerana MAXIS memang kenakan bayaran ke setiap call centernya pun (panggilan peribadi dari pejabat perlu dijelaskan bayaran sendiri ya…bukannya free. Ulang suara: bil akan sampai setiap bulan bagi penggunaan telefon bersifat peribadi. Jadi jangan anggap ini salahguna harta benda kerajaan Malaysia).

Aku perlu telefon Call Center sebanyak dua kali tetapi masalah tetap tidak selesai juga. Akhirnya terpaksa surf tapak sesawangnya, sebab rasa macam tanduk dah keluar kat kepala. Kalau telefon call center lagi sekali, kot adalah pulak orang di call Center tu kena sawan. kali ini Cuba buat aduan di website, tetapi kotak aduan rosak (huh u hu). Darah dah naik masa itu, tetapi akhirnya jumpa juga alamat emel seperti berikut;
Corporate Communications Department
Maxis Berhad
Level 18, Menara Maxis
Kuala Lumpur City Centre
50088 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel No : 03-2330 7000 (General)
Fax No : 03-2330 0008
Email: corpinfor@maxis.com.my
The Maxis Corporate Communications Department will attend to your enquiry as soon as possible.

Apalagi, mengadukan daku seperti berikut;

Saya telah membuat tambah nilai berjumlah RM30 pada 17 Mac 2010 (malam) sebanyak beberapa kali tetapi masej yang saya terima adalah "Maaf, kod tambah nilai ini tidak sah". Saya kemudiannya diminta untuk menghubungi *122*2 ataupun 1 300 820120 untuk urusan seterusnya. Apabila hubungi *122*2, saya diminta untuk hubungi 1300820120.

Bila hubungi 1300820120, saya diminta untuk tambah nilai sebab kredit tidak mencukupi. Bukankah saya tengah nak tambah nilai? Ada ke perkhidmatan syarikat lain yang mengenakan bayaran kepada penggunanya yang tengah bermasalah untuk tambah nilai?
Pada 18 Mac 2010, saya telah hubungi 1300820120 menggunakan no telefon pejabat. Saya dimaklumkan yang tambah nilai berkenaan tidak menghadapi apa-apa masalah. Saya diminta untuk melakukan tambah nilai lagi. Saya melakukannya sekali lagi dan mengikut beberapa saranan yang diberikan oleh call center, malangnya saya masih lagi menghadapi masalah yang sama: TAK BOLEH NAK TAMBAH NILAI PUN!

Sekali lagi saya bazirkan bil dan telefon call center dan diberi beberapa saranan lagi termasuk: matikan telefon untuk seketika, menggunakan telefon bimbit lain dan menggunakan semua cara untuk tambah nilai berkenaan iaitu dail *100*, dail *122*2 dan dail *111*, tetapi masalah berkenaan masih tidak dapat diatasi.

Ada 2 perkara yang sangat tidak wajar berlaku di sini:
1. Saya dikenakan bayaran apabila menghubungi call center. Setakat ini hanya maxis SAHAJA yang mengenakan bayaran sebegini padahal pengguna TIDAK PERNAH minta mereka bermasalah apabila mnggunakan perkhidmatan ini.

2. Semua saranan yang diberikan operator di call center tidak menyelesaikan masalah. Malah, saya disarankan untuk pergi ke call center yang terdekat (Cheras) yang memerlukan saya habiskan satu tong petrol, buang masa dan tenaga,..macam pengguna ni tak ada kerja lain selain dari uruskan benda kecik macam ni. Bukankah pengguna lebih senang TUKAR sahaja syarikat telekomunikasi dengan kos hanya tak sampai pun RM10. Macam itu sahaja MAXIS lepas tangan setelah KIKIS dan TIPU duit pengguna melalui top upnya yang bermasalah, bayaran untuk Call Center yang entah apa-apa itu?????

Saya tahu ramai yang menggunakan maxis, tetapi tidak mustahil jumlah yang ramai itu akan berkurangan secara beransur-ansur kerana hal sebegini tidak akan didiamkan sahaja oleh pengguna yang tidak puas hati.

Saya telah mengisi borang maklum balas secara online untuk mengadu hal ini. Malangnya, setiap kali borang aduan online tersebut saya “summit”, masej berikut tertera:

We’re Sorry
The page you’re requested is temporarily unavailable. Please try again later, Thank You.

Kali ini muncul persoalan yang ketiga: Adakah Maxis sebenarnya benar-benar ikhlas menyediakan borang aduan online sekiranya beginilah servis yang ada, ataupun sekadar mengaburi mata pengguna? Pengguna yang fed up dengan situasi ini akan melupakan hal-hal aduan yang cerewet dan buang masa itu. Makanya, nama maxis tetap bersih dari timbunan aduan pengguna. Maaf, ini mungkin spekulasi…namun, ada kemungkinan untuk betul kan?

Mohon perhatian dan pertimbangan pihak tuan untuk menyelesaikan masalah ini. Ia bukan setakat berkaitan tambah nilai berharga RM30, tetapi juga kepuasan pengguna, kebolehpercayaan dan rasa tidak puas hati.

Terima kasih dengan perhatian dan kerjasama yang diberikan. Saya sangat berharap perkara sebegini tidak akan berlaku lagi.

yang benar,
Blab la bla (nama akulah tu)

Emel berkenaan aku hantar menggunakan emel rasmi. Sungguh tak senonohkan…guna emel rasmi untuk hal-hal yang sengaja dirasmikan. Jadi, kawan-kawan…usah diikutkan perangai tak guna ini. Sila gunakan harta benda pejabat untuk kegunaan rasmi sahaja. (Pinjam nama ajelah…bukannya luak pun! Ada hati lagi tu nak bela diri huh u h u).

Dah selesai emel berkenaan, aku terus buat kerja. Maklumlah, kerja tersangat banyak belum siap. Tadipun dah buang masa setengah jam uruskan hal-hal yang sebenarnya tak perlupun. Sambil buat kerja, sambil online dengan Cik Bintang yang sedaya upaya dok sabarkan supaya lupakan sahaja perangai Inche MAXIS tu. Terlambat! Emel dah hantar. Nak buat macam mana, zaman klik klik klik ni memang memudahkan banyak urusan. Tak sempat dia kata JANGAN, aku dah klik hu hu hu Mana boleh tarik balik bila dah pos secara maya sebegitu kan?

Tengah ralit beronline dengan Cik Bintang, selang seli juga buat kerja yang berlambak dah terlebih tarikh lupus ini, Inche Nokia pulak berdecit. Encik MAXIS sms tanyakan rate kepuasan pelanggan yang belum aku berikan dari perkhidmatan hampehnya seketika tadi. Spontan sahaja aku letak no 1 (satu kan juara yang jadi rebutan) dan balas sms tersebut. Dan semua itu aku lupakan terus sesaat kemudian. Banyak lagi perkara perlu aku lakukan dalam hidup ini selain hal-hal remeh sebegitu. (RM30 tetap tak remeh pada aku!)

Petangnya, semasa santap nasi kerabu tepi longkang yang jadi kegemaranku kerana aroma longkangnya itu, seorang jejaka bersuara lunak menelefon bertanyakan kenapa rating aku untuk perkhidmatan MAXIS hanya SATU. Jawapan aku mudah sahaja: Kalau masalah saya tak selesai, adakah sesuai saya berikan 5?

Makanya, dengan lemah lembut tetapi penuh macho dan kejantanan suaranya itu, dia lakukanlah apa-apa yang patut untuk selesaikan masalah aku itu. Makanya juga berjanjilah dia untuk uruskan dan telefon semula nanti. Sebab aku tengah gelojoh menyuap nasi kerabu dengan lauk ayam goreng masak madu yang manis dan sedap itu, aku mengiakannya sahaja. Aku ucap terima kasih sahaja. Tunggu sahajalah apa nak jadi selepas itu. Bukannya aku boleh dapat apa-apapun kalau sumpah serah atau tengking maki dia. Baiklah teruskan makan nasi kerabu itu sampai habis kan kan kan.

Esoknya Miss Tina pula telefon. Kali ini tindak balasnya berdasarkan emel lemah lembut dan berbunga-bunga bahasa yang aku hantar itu. Katanya dia akan cuba bantu. Dia akan semak. Dia akan telefon semula. Akupun ucaplah terima kasih lagi. Dua hari kemudian dia telefon lagi. Katanya: kami tak dapat kenalpasti nombor yang cik bagi tempoh hari, jadi…boleh tak berikan kami no SN nya? Makanya, dengan kelam kabutnya macam akan dapat bayaran berjuta-juta (rupiah pun belum tentu), akupun terjahlah cari kad yang dah keronyoh tetapi masih lagi tersimpan dalam beg lusuhku di bawah meja itu. Makanya, aku sebutkanlah semua nombor itu. Miss Tina pun berjanjilah semula akan uruskannya. Dia janji akan top upkan jumlah yang sama. Dia janji akan beritahu bila dah masuk nanti. Akupun ucapkanlah terima kasih lagi. Lagi. Lagi. Dan lagi.

Dua hari kemudian, pada petang yang hening…pada hari Senin yang mendung dengan penuh kejoongan (joong=mendung), maka menyanyi-nyangilah Inchi Nokia dengan lagu ini….(dengar lagu dulu boleh? Kurangkan sikit ketegangan minda la la la)




Miss Tina yang bersuara merdu itu yang telefon rupanya. Katanya: Miss, saya sudah top up cik punya kredit sebentar tadi. Terima kasih menggunakan perkhidmatan MAXIS.

Alamak…suaranya memang benar-benar merdu. Memang sedap di dengar. Sangat indah dan klasik. Dan aku makanya, mengucapkan terima kasih kepadanya. Bila semak baki kredit…jeng jeng jeng…RM 54. Bla bla bla (campur dengan baki yang ada). Terima kasih MAXIS. Walaupun taklah secekap mana dan mengambil masa hingga melebihi 10 hari…akhirnya dikembalikan juga.

Persoalannya sekarang: Perlukah aku BERTUKAR?

Isnin, 29 Mac 2010

Ada Apa dengan Pesta Buku Antarabangsa KL 2010

Semua orang dah cerita tentang kehebatan dan kemeriahan IKLBF 2010 gegak gempita di banyak blog. Walaupun aku dah pergi pada hari pertama IKLBF berlangsung (Jumaat 19 Mac), tetapi tak ada apa yang aku beli kerana pada hari tersebut aku hanya jadi Cik Kiah yang mengetuai rombongan. Tambahan pula, kakak bawa dua orang anaknya, tugas aku bukan sahaja jadi pemandu (nasib baik tak tersesat barat kecuali tersalah masuk dan tersalah keluar kawasan parking di The Mall sahaja. Lainnya, semua berjalan lancar), tetapi juga tukang kawal dan kepung ct si kanak-kanak ribena tu.
Suka posing
Muka letih
Along dah penat la ct...jangan main lagi! Atok yang nengokpun turut penat.
Ini namanya sungai...mmmm macam longkang je!

Tiba masa untuk dia tidur, tanpa peduli keadaan sekeliling, dia tidur je dengan nyenyak. Tak meragampun. Walaupun aku duduk di pentas semasa masuk Karangkraf dengan gempita suara deejay dan lagu-lagu yang diputarkan (betul-betul berada di hadapan corong pembesar suara), dia tidur tanpa berketik. Nyenyak je. Kemudian kami ke Dewan Tun Razak diseberang sungai. Aku terus sahaja ke PTS dan duduk di kerusi hadapan pentas, manakala adik, kakak dan seorang anak buah yang lain teruja jelajah setiap gerai. Janjinya kami jumpa kat PTS. Terima kasih PTS, sediakan kerusi dan pentas kecil yang boleh jadi tempat persinggahan untuk orang-orang yang macam kami ni. Macam musafir pulak!

Bila adik juga berhenti dan tadah punggung di kerusi hadapan pentas di PTS, aku curi peluang sekejab ke gerai Creative Enterprise dan jumpa Mok Yang. Sekejab sahaja, hanya jenguk. Janji akan datang semula pada Khamis nanti. Tiga jam kemudian, dia bangun. Itupun penat kejutkan. Letihlah katakan. Walaupun kami balik dah agak lewat, jam tujuh petang, namun hakikatnya aku hanya sempat menjengah sekali imbas ke MAPIM dan DBP tanpa sempat belekpun. Selebihnya lebih banyak kejar ct.

Mewarisi bakat melukis ayahanda Jaafar Taib; Iwan. Dulu aku panggil dia jejaka idaman Malaya. Dia dah tak cam akupun rasanya, maklumlah...dah makin jelita la la la ;)
Khamisnya aku batalkan untuk pergi semula kerana tiba-tiba sahaja ada urusan terdesak yang perlu aku selesaikan segera. Sabtu 27hb Mac aku memang dah khususkan masa itu untuk ke majlis pelancaran buku Aku, Dia dan Gitar (Nurfa). Orang kata beri sokongan moral kepada penulisnya. Beli novel pada masa pelancaran ini boleh dapat pakej yang menarik...sehelai baju T, sebuah novel dan beg kertas. Harganya hanya RM19.90 (ke RM19? Yaaaaa ampun...tetiba je jadi lupa hu hu hu kira halallah ya. Lagipun pakej istimewa tu dah pun habis. Nak dapatkan lagi dah tak dapat dah...). Jangan jeles ya! Cantik dan comel kan?

Barisan penulis yang lancarkan novel pada hari tersebut; Nurfa nan chomel berada di tengah-tengah. Pinky girl. Rasa bahagiakan...sambut ulangtahun kelahiran, sambut kelahiran novel sulung. Tahniah! Tahun depan 2 novel lagi ya ;)

Berserta air mineral dan kek yang comel lagi...kebetulan, tak sempat sarapan pun pagi tu. Jadinya...ngap je sebelum majlis pelancaran bermula.

Selepas itu terlari-lari anak mencari lokasi untuk pelancaran novel Faisal Tehrani pula. Sudahlah manusianya bersesak, dok pi mai pi mai...akhirnya terus ke gerai Ameen Books bertanyakan staf di sana. Terus rembat novel Bahlut (Faisal Tehrani), Beruk (Azizi Abdullah) dan Rawa (Isa Kamari). Tentu Faisal Tehrani kagum sebab inilah pertama kalinya aku beli novel dia (setelah dia hasilkan 19 buah novel. Ampunnnn ya, Tuan Haji Muda...buku-buku tuan haji boleh tahan tahap mahalnya walaupun nipis. Dan aku akui intinya buatkan buku tuan haji sangat bernilai. Hanya kali ini aku lebih terdorong untuk belinya kerana isu dalam novel ini sendiri. Jangan rasa hati ya tuan haji, kalau kena dengan isunya, BETA memang akan beli hu hu hu). Sempat juga minta autograf dengan Cikgu Azizi untuk novel Beruk. Sebenarnya, ini pertama kali aku pergi jumpa penulis untuk minta autograf. Tak pernah buatpun sebelum ini kecuali novel yang ditulis kawan-kawan. Padahal, peluang untuk aku berbuat begitu sangat terbuka luas.

Novel pertama tuan haji Faisal Tehrani yang aku beli, novel pertama penulis Indonesia yang aku beli di tanah Malaysia ;) Cantik kan caver novel dari Seberang tu...Terlihat gigih berjuang meredah arus kehidupan. Sendirian di bawah sinar bulan...kalau rembulan dah tenggelam di wajahmu, maknanya...
Akhirnya terlari-lari pula ke surau, seterusnya menyeberang jalan ke tingkat 4 The Mall untuk bersarapan dan makan tengahari. Usah tanya jam berapa ketika itu. Mengejar masa sejak pagi (buat kerja sikit sebenarnya dan kemalasan yang melampau untuk mencari makanan) buatkan terbabas untuk makan. Selesai makan, terus ke surau untuk asyar dan redah kesibukan dalam pesta buku semula hingga jam tujuh malam sebelum kembali ke Bangi.

Ingatkan pesta buku dah habis dari diari harian. Ahad, aku cadang ke kedai buku di Wisma Yakin dengan senarai panjang buku yang diperlukan. Namun, tidak satupun aku peroleh kat sana. Akhirnya, terpaksa juga redah kepadatan manusia di pesta buku di PWTC. Ke Creative Enterprise lagi sekali tetapi Mok Yang tak ada, hanya berbual-bual seketika dengan kak Zah. Sempat sambar 2-3 buah buku termasuk buku ini;

Dina, beli tak buku ni? Kalau belum, sila ke Creative semula ya...mesti kau tengah jeles dengan aku kan?

Sekalipun manusia sesak di mana-mana sahaja, tetapi akhirnya perlu aku akui sesuatu...poket dah makin nipis sejak balik dari PWTC petang tadi. Hanya 14 buah sahaja aku borong, namun harganya cecah hingga RM350, belum termasuk senarai panjang yang mohon pengedar carikan. Entah berapa panjang bilnya akan sampai nanti.


Sabtu, 27 Mac 2010

Unik dan Tersendiri

Manapun kita pergi, pasti kita akan temui sesuatu yang unik, pelik atau aneh pada pandangan dan pengalaman kita, namun hakikatnya itulah yang dikatakan keunikan. Semakin banyak merantau, makin luas pandangan, makin lebar pengalaman yang ditimba. Agar nanti, kita sedari bahawa kita bukanlah manusia agung yang diciptakan.

Banyak yang boleh dipelajari, banyak yang boleh direnungi, banyak juga yang boleh difikirkan. Ada masa kita rasa kita ini lebih segala sedangkan hakikatnya...tiada apapun hak yang kita punya itu kekal abadi (itupun kalau ada...kalau sebenarnya bukan hak kita?). Andai satu saat kita menyangka, hanya kitalah insan paling malang tersudut di penjuru bumi ini, setelah direnungi dan difikirkan seketika, sebegitukah?

Mmmmm malas nak tulis panjang-panjang. Di bawah sekadar beberapa hal yang boleh dilihat; barangkali sekadar jamu mata, barangkali juga ada sesuatu yang boleh difikirkan.

Bagi kita mungkin nampak antik, baginya...mungkin hanya cara itu yang terdaya.


Makan sireh berpinang tidak...sireh manis, ada tak di tempat lain?

Barangkali sukar untuk lafazkan...namun, masih banyak cara lain kan?

Ada apa-apa komen tak tentang gosip panas yang sampai ke Tanah Rencung ini?

Selasa, 23 Mac 2010

Apabila Bulatan Mempunyai Nilai Seni


Walaupun Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bagai singa mengaum untuk ramai orang menjengahnya, walaupun aku sudah ke sana pada hari pertama pembukaannya lagi, namun...catatan ini tiada kena mengenapun dengan hal itu. Catatan kali ini masih lagi merayau di bumi Aceh.

Barangkali ramai yang dah bosan. Dah jelak. Dah muak. Namun, kiranya bosan, jelak, muak atau nak muntah sekalipun, aku dengan rasa tanpa peduli, tetap juga ingin mampirkan tentang bumi Aceh yang pernah kuhirup oksigennya. Bukanlah satu kebanggaan yang tiada taranya bila dapat ke sana (walaupun memang kuakui rasa bangga itu tetap ada), namun lebih besar dari itu adalah rasa tanggungjawab untuk ketengahkan kepada paparan umum. Rasa bertanggungjawab untuk sebarkan apa yang sepatutnya diketahui oleh lebih ramai orang. Rasa perlu untuk menambah hasil tulisan berbahasa Melayu (yang kucintai itu...walaupun aku tidak pernah berarak di hadapan Istana Negara untuk terjemahkan nilai cintaku ini) secara maya agar koleksinya lebih banyak dan mudah dicapai (surf). Jadinya, apa perlu aku kesahkan sangat tentang muak, loya, bosan, jelak atau nak muntahnya sesetengah orang itu?

Paparan kali ini hanyalah tentang seni bulatan di tengah jalan raya. Bulatan jalan raya di Malaysia biasanya ditanam dengan bunga-bungaan atau pokok-pokok, kalau tidakpun semak samun. Hanya bulatan terbesar di dunia (gamaknya) yang terletak di Putrajaya mempunyai taman, Istana dan hotel berbintang-bintang. Selain dari itu, sebahagian besar bulatan di negara kita biasanya ditanami dengan pokok-pokok dn bunga-bungaan. Nampak cantik dan berseri. Indah mata memandang.


Jika anda bersiar-siar di Banda, Aceh ataupun ke mana-mana bahagianpun di Aceh dari Banda ke Langsa, anda akan dapat melihat pelbagai jenis dan ukiran serta binaan bulatan jalan raya yang pelbagai jenis dan bentuk; dari bentuk tradisi hingga reka bentuk moden. Sangat indah. Tersendiri. Menjadi identiti Aceh yang sebenarnya adalah tinggalan Belanda yang masih lagi diguna pakai hingga kini. Tengok sendirilah gambar-gambar ni...

















Disebabkan malas yang amat untuk edit betul2 gambar ni...kira halallah ya ;)

Khamis, 18 Mac 2010

Berpetualang ke Aceh: Satu Catatan Kembara

Aku jejakkan kaki untuk pertama kalinya di Aceh pada tanggal 19 Februari 2010. Pertama kalinya. Ketika pesawat melayah turun, mata dihidangkan dengan satu dataran yang luas penuh kehijauan, padahal sebelumnya aku melihat satu kawasan pergunungan yang tandus dan terlihat gersang (mungkin kerana ketinggiannya itu). Kian rendah mencecah bumi, barulah tahu bahawa kawasan yang penuh kehijauan itu adalah sawah padi yang terbentang luas dan menghijau subur. Tak ubah seperti mendarat di lapangan terbang Sultan Abdul Halim, Alor Star pula rasanya. Hijau dan indah.

Bila berada dalam jambatan udara di lapangan terbang Iskandar Muda yang masih terkesan baru sahaja siap dan digunakan, mata terpaut menyaksikan dua banjaran gunung yang mengapit kawasan lembah berkenaan. Subhanallah. Teramat indah. Cantik. Menakjubkan. Andai cuaca elok, pemandangan berkenaan sangat cantik. Tak ubah seperti lukisan.

Sebelum dibadai tsunami, tanah Aceh bergolak dengan perang saudara. Setelah 6 tahun berlalu, terlalu banyak perubahan yang berlaku dan semua ini diakui oleh penduduk tempatan. Mereka mula melihat hikhmah yang dikecapi dari kedukaan yang membendung selama ini.

Hari pertama, kami hanya ke Perkampungan Persahabatan Indonesia-Tiongkok atau lebih dikenali sebagai Kampong Jackie Chan (kami terpaksa ubah rancangan asal kerana pesawat telah mengalami kelewatan hingga 4 jam). Kawasan ini merupakan kawasan perumahan yang dibina untuk mangsa tsunami oleh dermawan dan diberikan kepada mangsa tsunami. Terdapat lebih kurang 690 buah rumah telah dibina di kawasan ini dengan keadaannya seakan-akan rumah kos rendah di Malaysia. Walau bagaimanapun, disebabkan kedudukannya yang jauh dari pusat bandar (lebih kurang 14 km), ramai daripada mangsa tsunami telah menjualnya kepada orang lain. Kawasan perumahan ini sangat cantik, terletak di atas sebuah bukit yang mengadap laut, iaitu berhampiran dengan Teluk Krung Raya. Pemandangannya sangat indah. Angin menderu menerpa tanpa perlu pasang kipas pun.

Malamnya kami makan me ketam sebelum kembali ke hotel semula untuk berehat. Kami menginap di Hotel (lupalah pulak nama hotel tu, dah ingat nanti update lagi ya....) dengan RP300 ribu semalam (dalam RM dianggarkan dalam lingkungan RM112). Hotelnya agak selesa walaupun malam itu bilik kami basah dengan ekon yang bocor. Namun asal kami dapat tidur dengan lena, ada kami peduli pasal air ekon tersebut? Sarapan paginya biasa-biasa sahaja. Ada nasi goreng, lontong, roti keping, bubur nasi dan buah-buahan. Aku sangat suka dengan buah nenasnya yang sangat manis, ditambah dengan sesudu kicap pedas yang sebenarnya digunakan untuk makan bubur. Namun, aku menikmati buah nenas tersebut sampai satu piring. Manis dan enaknya masih terasa lagi di tekak hingga hari ini.

Sabtu, setelah sarapan di hotel, Pak Sani (walaupun masih muda dan hensem lagi, kenalah panggil dia Pak hu hu hu...aku lainlah, kena panggil Neng!) utuskan Pak Bor (Burhanuddin) sebagai supir kami. Kami bayar khidmat Pak Bor sebanyak RP100 ribu sehari (lebih kurang RM35 sehari. Penat woooo nak kena ikut kami pergi mana-mana sahaja sepanjang hari dari pagi hingga malam. Rasa macam tak berbaloi pulak, tetapi Pak Sani kata dah ok dengan jumlah sebegitu). Kami check out dari hotel dan merancang perjalanan ke Langsa, kampung halaman Pak Sani. Perjalanan agak lambat dimulakan kerana beberapa perkara perlu diuruskan dahulu termasuk mencari supir kerana Pak Bor tidak dapat tinggalkan Banda disebabkan isterinya sedang menunggu hari (janganlah pulak ada yang tanya hari apa isteri Pak Bor tu tunggu...karang tak pepasal ada yang kena lepok pulak). Akhirnya, Pak Sani putuskan dia sendiri yang memandu. Walaupun kami semua ada lesen memandu, namun tidak ada seorangpun yang berani untuk memandu bagi gantikan Pak Sani. Kesian Pak Sani, sangat letih kami buli. Sekalipun cara memandu orang-orang di Aceh lebih bersopan berbanding orang-orang bandung, namun mereka masih lagi memandu dengan laju tanpa kemukakan isyarat kenderaan yang cukup. Nak buat macam mana, itu dah negara depa, ikut suka depalah nak memandu cara gaya macam manapun kan.

Perjalanan ke Langsa menurut Pak Sani memakan masa selama 8 jam sahaja. Pada pendapat kami, tidaklah jauh sangat kalau sekadar lapan jam. Namun, apabila dah mulakan eksplorasi berkenaan (banyak yang kami jelajah sepanjang kembara tersebut), barulah kami sedar yang penerangan Pak Sani itu sebenarnya tidaklah menyeluruh. Lapan jam itu untuk orang Aceh yang memandu dengan tekun, bukannya seperti kami yang sentiasa sahaja nak berhenti untuk lakukan pelbagai aktiviti makan. Dah makan, berhenti lagi...kosongkan tangki pula. Kemudian berhenti makan lagi. Perut sangat sendat hingga dah tak mampu untuk di isi apa-apa lagi.

Kami membilang bandar-bandar, pekan-pekan dan kawasan terkenal yang dilewati bermula dari Banda hingga ke Langsa. Menurut Cik Bintang yang bertanyakan kepada Pak Cik Google, Langsa itu kedudukannya lebih 400km ke Timur. Menurut Pak Sani juga, perjalanan ke Langsa hanyalah 3 jam sahaja jika bertolak dari Medan. Bermakna, kalau kami bersabar selama tiga jam lagi selepas sampai di Langsa, kami akan tiba di Medan. Fuhhhhhh bayangkan berapa jauh perjalanan kami itu hinggakan aku dapat rasakan punggung dah jadi kematu akibat terlalu lama duduk.


Bermula di Banda, kami ke Gunung Selawah yang terhampar dengan kehijauan tanaman padi dan tiba di Saree. Saree merupakan tempat yang paling tinggi sepanjang perjalanan kami ini. Sejuk dan nyaman tempatnya. Kiranya, lebih kurang macam Cameron Higlands. Sepanjang perjalanan sebelum tiba di Saree, pemandangan di kiri kanan adalan banjaran gunung. Hutan-hutan yang menghijau dan menenangkan mata yang memandang. Di tepi jalan kawasan ini ada gerai-gerai yang jual ubi-ubi, sayur-sayuran, jagung dan kerepek. Namun sayur sangat kurang ditemu, manakala bunga-bungaan tidak kelihatan langsung. Kami singgah seketika di Saree untuk beli jagung rebus, minum kopi hilangkan mengantuk dan meninjau-ninjau kawasan sekitar. Juga bergambar. Tak lupa juga membeli buah limau sebagai buah tangan untuk keluarga Pak Sani nanti.


Sopan je dia orang tu bonceng motor kan? Lipat macam mana pun tetap boleh seimbangkan badan...tak jatuh tu.


Di Padang Tidji yang terletak dalam daerah Sigli, kami nampak sebuah masjid yang sangat indah. Masjid berkenaan berbentuk bulat seperti sebuah kubah masjid yang besar. Ya ampunnnnn tak sempat pun nak snap gambar maasjid tersebut kerana tidak menjangkakan pun akan terjumpa masjid seunik itu. Tambahan pula, kami tidak berhenti di situ kerana dah kerap sangat berhenti sebelum itu termasuk berhenti untuk minum air kelapa dan makan “gula yu”. Di sigli juga kami singgah seketika untuk dapatkan “sireh manis” yang sangat terkenal. Merasa jugalah aku kunyah sireh yang istimewa itu. Memang betul-betul manis. Sireh itu tidak ada kapur dan tak terasa pedas seperti sirih yang kita selalu jumpa di Malaysia. Tidak berwarna merah juga.

Dari Padang Tidji, terus ke Pidie Jaya, kemudiannya Merdu, Ulaa Gli (bermaksud kepala gunung) dan Samalangga. Kami singgah di Samalangga untuk menjejaki makam Tun Sri Lanang dan sempat jamak serta qasar di masjid desa berkenaan yang berhampiran dengan kawasan pemakamam tersebut. Dah gelap gelita waktu itu, kami redah juga pergi kerana masa untuk singgah lagi memang dah tak ada. Dengan bantuan penduduk tempatan, kami temui juga akhirnya makam tokoh tiga negara itu (Malaysia, Singapura dan Indonesia). Kami tiba di Lhokseumawe dah tengah malam, hampir jam dua belas. Bermakna hampir jam satu pagi waktu Malaysia. Memang penat dan lapar. Walaupun Pak Sani mengatakan perjalanan tinggal lagi tiga jam, kami memutuskan untuk bermalam sahaja di hotel Lido Graha (RP400 ribu semalam).

Esoknya, selepas sarapan, kami meronda sekitar bandar Lhokseumawe. Melihat masjidnya yang kukuh dan gah, pembangunan kawasan sekitaran yang giat dan membangun dan sempat singgah seketika di Pusong yang terletak berhampiran pantai. Masing-masing macam itik yang terlepas, berlumba-lumba melihat orang buat ikan masin.

Perjalanan diteruskan hingga memasuki Aceh Timur. Di kawasan ini kami melalui Perlak. Rasa macam masuk ke dalam buku Hikayat Hang Tuah atau Sejarah Melayu pula. Kami juga jumpa tempat-tempat yang digelar sebagai Samudera Pasai (ejaan sahaja sedikit berbeza. Menurut Pak Sani, ianya memang kawasan seperti yang tertera dalam buku Sejarah Melayu). Malah, kami sempat makan pulut bakar dan bengkang bersama air kopi dalam kehangatan tengahari di Idi, Perlak.

Sepanjang perjalanan yang panjang ini, kami bercerita diselang seli dengan dengkuran dan olengan kepala kerana tertidur. Dan aku pula, mengambil kesempatan dengan tertidurnya mereka itu untuk bertanya itu ini kepada Pak Sani. Selain sebab nak tahu, sebenarnya cuba memancing Pak Sani agar tidak mengantuk semasa memandu dan rasa lebih segar apabila berbual-bual.

Kami tiba di Dayah Darul Huda, Gedung, Langsa ketika hampir waktu asyar. Belakang macam nak patah dibuatnya, sepanjang hari sejak sebelumnya hanya duduk dalam mobil. Setelah berehat seketika dan berbual-bual dengan Ummi (ibu Pak Sani), kami melawat kawasan sekitar Dayah Darul Huda sebelum ke tempat kenduri yang terletak 500 meter sahaja dari rumah Pak Sani. Pada masa tersebut acara telahpun tamat. Ingatkan sempatlah kami menyaksikan budaya tempatan dalam perkahwinan mereka, namun impian itu tidak kesampaian. Kami hanya sempat ambil gambar pelamin sahaja. Biarpun begitu, perjalanan beratus kilometer memberi kenangan dan pengalaman yang bukan sedikit kepada kami. Kami berpatah balik ke banda, Aceh semula pada malamnya selepas mandi dan berehat seketika. Terima kasih yang tak terhingga kepada Pak Sani. InsyaAllah, semua itu tidak akan terhenti di sini sahaja. Akan ada kesinambungan yang lain lagi selepas ini. Aceh bagaikan terlalu akrab dengan kami. Orang Aceh jangan serik terima kami ya...