Memaparkan catatan dengan label MidValley. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MidValley. Papar semua catatan

Rabu, 4 Februari 2009

Surau di Kompleks Beli Belah

Seronok kan kalau boleh selalu pergi shooping. Apalagi kalau musim jualan murah sama ada semasa jualan mega, jualan musim perayaan, jualan musim cuti ataupun jualan tiap hujung bulan bila dapat gaji. Diskaunnya adakala tak masuk akal. 80 peratus tu...bukan senang nak dapat, walaupun aku masih mengidamkan jualan hingga 100 peratus diskaun. Ada ke?

Sogo memang antara tempat klasik yang aku suka pergi bila nak beli belah atau lepak. Sebabnya, tak ramai orang. Lagi pula senang, ada stesen Bank Negara untuk komuter. Tak payahlah aku tukar train di Sentral. Masa balik juga begitu manfaat. Ada tempat duduk berbanding kalau naik di Sentral yang perlu berasak-asak.

Namun, ada satu perkara yang agak menyedihkan tiap kali ke Sogo. Pusat beli belah sebesar itu, meletakkan suraunya di kawasan yang paling terpencil. Di kawasan letak kereta yang panas. Pengap. Kecil dan sempit juga.


















Pada waktu puncak seperti musim perayaan dan hari minggu, ruangnya padat dan basah dengan air tapak kaki pengunjung. Waktu Maghrib terutamanya, ada masanya tiada ruang untuk berdiripun sementara menunggu giliran solat.Sekalipun ada kipas disediakan, pengudaraan yang tidak sempurna buatkan ruang sempit itu lebih pengap. Lebih hangat.

Sesekali beli belah di Time Squere, jenguk-jenguklah suraunya di tingkat 8 bagi muslimin dan tingkat 7 untuk muslimat. Aku tak pernahlah masuk ke surau muslimin tetapi surau muslimat yang disediakan itu tidaklah sempit sangat. Ada penyaman udaranya. Ada kipasnya. Namun, kesedaran pengguna yang rendah menyebabkan kemudahan ini “sedih” untuk dipandang. Sejadah dan telekung solat bukan sahaja berbau hapak dan kusam, tetapi amat kotor. Bersepah di lantai tanpa berkemas dengan rak yang disediakan atau ampaian terbiar kosong. Itu belum lagi dicampur dengan sepahan tisu yang digunakan cik adik manis buat mengelap lebihan gincu. Mmmm kalau diikutkan, cantik molek orangnya tetapi...pengotor! Dengarnya Islam mementingkan kebersihan! Fuihhhhhh. Hal-hal sebeginilah yang sukarkan kita nak jawab bila ditanya oleh orang bukan Islam. Mohon maaf, tidak dapat disertakan gambar buktinya kerana suasana tidak mengizinkan snap sekeping dua gambar. Melibatkan aurat juga.


Di bangunan Low Yatt yang majoriti dikuasai kaum Cina pun, meletakkan suraunya di tingkat UG (dahulu) tetapi kini telah dipindahkan ke B2, di tingkat bawah tanah searas dengan tempat letak kenderaan. Surau dahulu (di aras UG) sempit, namun penyaman udara memberi keselesaan kepada pengunjung. Bersih dan teratur juga. Dan kini, bila berpindah ke aras B2, surau berkenaan lebih selesa. Luas, bersih. Bukan sahaja ada kipas, tetapi ada juga penyaman udara. 

















Cuma sedikit canggung bila tempat wuduknya dibina bersebelahan antara tempat wuduk lelaki dan wanita. Bagi sesetengah orang memang tak kesah, namun bagi dua tiga tengah orang yang lain, rasa tidak selesa. Maklumlah, untuk mengambil wuduk, memerlukan wanita membuka sebahagian besar daripada tudungnya. Mmmm janggal lah pulak!

 















Di pusat beli belah Bukit Bintang dan Wang Plaza, surau comelnya memang terjaga. Selesa. Bersih. Kemas dan teratur. Telekung wakafnya juga kira bolehlah digunakan dengan selesa, tanpa bau hapak. Walaupun bilik wuduknya agak jauh sedikit, namun kecacatan sebegitu boleh dimaafkan bila selesa berada di dalam surau comelnya itu.

 

 














Nak surau yang lagi selesa masa beli belah, pergilah ke KLCC. Luas. Bersih. Selesa. Yang biasa-biasa aje suraunya bila berkunjung ke MidValey. Di Alamanda, Putrajaya...seadanya sahaja. Taklah secantik dan sebersih di Buikit Bintang Plaza, namun tidak juga sampai ke tahap surau di Sogo atau Berjaya Time Squere. Kiranya selesa seadanya sahaja. Kalau dahulu, semasa Alamanda baru dibuka, suasana dan persekitaran suraunya sama seperti di KLCC. Dah lah luas, bersih, selesa dan menyenangkan. Namun kini, tahapnya turun sedikit walaupun masih tergolong antara surau yang masih selesa digunakan.

Tak kira surau manapun kita pergi semasa beli belah, perkara utama yang perlu diingat adalah awasi barangan sendiri terutama dompet dan telefon canggih yang dibawa. Entah mengapa, tempat ibadat sebegitu menjadi tempat paling bagus untuk mencopek. Sedihkan!


















Selasa, 30 Disember 2008

Jom Sama-sama Fikir!

SATU
Bila ke pusat beli belah, di aras basment kita akan jumpa dengan penjaga parking pekerja asing. Entahkan dari Bangla, entahkan dari Nepal. Hensem-hensem pula. Lebih hensem daripada Datok Shah Rukh Khan (Datok????? Ohhh tidakkkkkkkkk!!!!).

Bila perlukan bantuan di pusat beli belah mega itu, tak kiralah di Time Squere ke, Sogo ke, Midvaley ke, Sungai Wang, Bukit Bintang Plaza ke, ataupun mana-mana pusat beli belah besar, gah dan kecil juga yang lain, tetap guna pekerja asing. Hensem juga. Lebih hensem daripada Hans Isac.

Guard kedai emas, jaga pasar raya, cleaner, pelayan kafe mewah, pekerja hotel semuanya warga asing yang hensem-hensem. Kalah Salman Khan. Saingan Nasir Bilal Khan dan entah berapa ramai keturunan khan lagi. Takat macam Mawi, dah tentu lagi kalah (marah peminat fanatik Mawi kat aku ni...hu hu hu...). Kalau dahulu, pekerja asing di Kota Bharu barangkali hanya bersaing dengan pekerja dari Thailand dan Vietnam sahaja, tetapi kini mamat Pakistan, Bangla, Nepal begitu mudah dilihat. Di pasar borong Wakaf Che Yeh yang kukunjungi semasa balik kampung Aidiladha lepas buatkan aku tertanya-tanya. Pelbagai persoalan yang timbul.

Di pasar malam, di restoren, gerai-gerai tepi jalan juga, dikuasai warga asing. Ada yang tahu Bahasa Inggeris sedikit, ada yang tahu Bahasa Melayu sedikit-sedikit. Ada juga yang tidak tahu langsung keduanya, namun, mereka mampu juga hidup di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Persoalannya: mana pergi anak tempatan kita?

Seorang teman pernah menjawab “di Serenti, penjara dan pusat pemulihan akhlak” bila kuajukan pertanyaan yang serupa. Seorang lagi menambah “di bawah jambatan, sedang mabuk dadah dan pil kuda”.

Aku sendiri tak tahu jawapan untuk pertanyaan itu. Anda? Mahu berkongsi pendapat? Silalah komen. Pendapat pribadi anda tidak melambangkan ideologi saya sebagai pemilik blog asalkan jaga kesopanan dan kesusilaan warga Malaysia yang memang dah terkenal sebagai rakyat yang berbudaya tinggi.

DUA

Pada suatu hari Ahad dalam bulan Disember 2008, aku ke Kuala lumpur temankan bekas rakan serumah beli hadiah. Kami guna komuter di stesen UKM ke Bandar Tasik Selatan sebelum tukar train ke Plaza Rakyat. Leen nak ambil tiket untuk balik Ipoh sehari selepas Krismas.

Di Plaza Rakyat mataku tersilau dengan dua orang pondan (?) [lelaki yang nak jadi perempuan]. Melayu keduanya. Seorangnya nampak cantik. Bergetah. Rambut lurus panjang hingga melepasi bahu. Hampir mencecah pinggang sebenarnya. Make upnya cantik (aku yang asli gen perempuan ni pun tak pernah make up secantik dia sehayat umur ini). Potongan badannya memang menawan. Aku yang perempuan asli ini pun kagum dan cemburu dengan bentuk badannya itu. Punggung yang berisi, dada yang montok dan pinggang yang ramping. Tak ada lebihan lemak kat mana-mana. Lebih menawan dengan lirik mata galaknya.

Dalam hati aku memang akui, dia lebih cantik daripada aku. Lebih anggun. Lebih menawan. Lebih bergaya. Malah, lebih semuanya, kecuali tak asli sahaja kejadiannya sebagai perempuan. Itu sahaja kurangnya dia. Kalau aku berjalan bergandingan dengannya, aku memang amat pasti, lelaki akan bersiul menggodanya, bukan aku! Namun, perhatian orang ramai saat itu bukan kepada si jelita itu. Semua mata pasti memandang pada teman di sebelahnya. Teman seangkatan dengannya.

Temannya itu berumur dalam lingkungan 50-an. Aku agaklah. Tak akan lebih muda dari angka itu. Lebih tak tahulah pula. Rambut panjangnya yang dah nipis itu diikatnya. Mengenakan jeans biru dengan tshirt merah ketat menampakkan lagi kekurusan (kering)nya berbanding ketinggiannya yang pasti menjadi idaman setiap wanita. Ikutkan bicara hati, akupun masih nak tinggi sedikit berbanding ukuran sekarang, apalagi bila tidak dapat kenakan kasut tumit tinggi untuk tempoh yang lama akibat kecederaan jatuh tangga dahulu. Pasti akan nampak lebih lampai dan menawan. Kini, ketinggianku dah kekurangan 2 inci bila berkasut tanpa tumit. Mmmm macam tak bersyukur pula kan, padahal, tinggi ni dah terlebih baikpun daripada jadi kenet. Namapun manusia, tak pernah rasa cukup dengan apa yang ada!

Tidak seperti si manis yang anggun berpotongan badan menggiurkan itu, dia tidak mengenakan sebarang make up. Tanpa lipstik juga. Bila usianya yang sebegitu, garis-garis ketuaannya itu begitu jelas. Ketara. Sangat terserlah. Dan kerana itulah, dia menjadi tumpuan setiap mata, tanpa mengira bangsa. Setiap orang yang memandang, pasti akan memerhatinya berkali-kali. Setiap orang.

Malah, kehadirannya di situ buatkan seorang pekerja train berlegar-legar di kawasan landasan beberapa ketika. Pura-pura bertugas dan membantu penumpang-penumpang. Sejak diperkenalkan train, tidak pernah pekerja mereka sededikasi itu. Di mana-mana stesen pun. Yang pernah aku jumpa, pekerja yang cuba mengawal penumpang yang akan bertolak-tolak masuk ke dalam train pada waktu puncak. Itupun di stesen tertentu sahaja.

Sepanjang hari, diri tertanya-tanya. Tak teringinkah dia menjadi lelaki sejati semula? Tidakkah dia tahu yang Malaysia sudah kekurangan lelaki sejati kini?

TIGA
Anda barangkali sering melihat tentang perkara-perkara ini;
1. Lelaki yang lembut dan lemah lembut yang kelembutan mereka melebihi tahap lembutnya perempuan. Ada yang sengaja nak lembut, ada yang diasuh jadi lembut. Ada pula yang memilih untuk jadi lembut. Mereka ini masih lelaki, berpakaian macam lelaki tetapi nampak kurang lelaki. Mereka suka melakukan aktiviti yang tidak dibuat oleh lelaki lain.
2. Lelaki yang tukarkan diri dan penampilan menjadi wanita. Mereka ini lebih wanita daripada wanita. Ada kala sukar dikesan yang dia sebenarnya lelaki. Ada masa wanita pun kagum dengan penampilan mereka yang lebih menawan, ayu dan lembut daripada wanita sendiri.
3. Perempuan yang kasar macam lelaki tetapi dia masih lagi perempuan. Hanya buat kerja-kerja lasak macam lelaki. Kasarpun ada kala mengalahkan lelaki. Tong gas pun boleh angkat.
Perempuan begini bukan nak jadi lelaki, hanya kasarnya tu mengalahkan lelaki. Mereka terpaksa buat kerja tanpa bantuan lelaki. Kira macam perempuan besilah kononnya. Suka aktiviti lasak dan mencabar. Kalau tanya, dia masih lagi mengaku yang dia seorang perempuan.
4. Perempuan yang nak jadi lelaki. Ubah penampilan, cara bertingkahlaku, cara bercakap dan sebagainya. Mereka golongkan diri mereka sebagai pengkid.

Ada yang kata, semua tu sebab naluri mereka yang bercelaru. Mereka hanya tonjolkan apa yang mereka nak sahaja. Kononnya tersalah gen, sebabkan mereka terperangkap dalam jasad yang tidak sepatutnya jadi milik mereka. Kalau kita persoalkan tentang “naluri” ini dan kewajaran mereka untuk ikut dengan kehendak naluri itu, mereka akan tuduh kita “tak faham”.

Aku akui wujudanya khunsa, namun jumlahnya terlalu kecil. Menurut Islam, golongan khunsa boleh tentukan atau pilih salah satu jantina yang kuat dalam diri mereka. Persoalannya, bagaimana dengan golongan yang tidak ditakdirkan sebagai khunsa itu?

Siang tadi, seorang temanku dari Kota Bharu datang ke Kuala Lumpur dan lepak di KLCC. Katanya, negara kita memang dah betul-betul maju. Lelaki sama lelaki, dan perempuan sama perempuan pun boleh berpelukan, berpegangan tangan di khalayak umum tanpa silu. Mungkin mereka kawan karib, kataku balas SMSnya. Anda fikir begitu?

Selasa, 4 November 2008

Kisah Sepanjang Ahad

2 November 2008. Ahad.
Hari minggu yang cerah. Biarpun sepanjang Sabtu terlalu letih dengan kerja hingga buku lali bengkak semula akibat enam jam berdiri tanpa rehat (ingatkan terseliuh hanya perkara biasa yang akan baik semula setelah diurut, rupanya surut bengkak dek pandangan kasar tidak bermakna telah pulih sepenuhnya), hari minggu ini kubawa jua kaki ke tengah sesak ibu negara. Sasaran pertama: Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC.

Ada beberapa aktiviti berlangsung di PWTC ketika ini (Ahad). Pertama pameran Usahawan. Tak banyak tapak pun untuk pameran ini. Masa sejam sudah lebih dari cukup untuk dapatkan semua info dalam pameran ini. Terdapat gerai-gerai usahawan kecil dalam pelbagai industri. Produk kecantikan, dobi, pertanian, hasil tani, bank-bank tempatan, Tekun Nasional, tabung haji, Bank Negara Malaysia.

Biarpun pameran tu taklah besar sangat, tak juga meriah sangat berbanding pasar malam atau pasar minggu, namun banyak perkara baru boleh dilihat kat situ. Usahawan kita mampu macam-macam produk sekarang ni terutama daripada hasil tani. Ikan haruan bakar segera. Macam-macam jenis jus dan kopi. Macam-macam produk makanan seperti keropok lekor, kuih tradisi dan ada juga yang jual beriani. Entahkan segera entahkan terus makan, tak pulak aku pastikan sebab pada masa itu aku b aru sahaja makan. Jadinya, bila kenyang ni...daya tumpuan kepada makanan tu rendah sikitlah.

Aku tertarik dengan dua produk dalam pameran ini. Pertama, produk-produk yang dihasilkan daripada kurma. Mereka dah pelbagaikan kurma dengan pek yang menarik. Pembungkusan yang kemas dan nampak, profesional dan tak jangkapun produk itu dikeluarkan usahawan Melayu kita. Syarikat ini hasilkan produk dari kurma untuk dimakan macam biasa dalam kotak-kotak tu, kurma yang digabungkan dengan kekacang dan ada juga kurma ini disalut dengan coklat. Bila rasanya, memang sedap. Kalau tak ada promosi, memang tak mampu nak beli. Hanya beberapa biji sahaja untuk harga RM10. Dan aku yang suka barang FREE ni, hanya rasa yang FREE itulah sahaja. Memang sedap!

Kedua, kopi yang dihasilkan daripada herba tempatan. Macam-macam jenis herba dimasukkan. Dihasilkan di Pulau Pinang tetapi pasarannya dah ada di lembah Klang. Kata promoternya, kopi tersebut boleh diminum oleh orang yang sakit kencing manis dan migrine. Apalagi, aku pun nak test lah betul ke tidaknya. Migrine aku memang alah dengan kafein, jadinya, kopi yang sedap itu (memang betul-betul sedap. Tak payah tambah susu atau gula lagi. Memang dah sedia untuk diminum. Sangat sesuai untuk peminat kopi Tongkat Ali. Boleh diminum untuk lelaki dan wanita) aku minum tanpa was-was. Siap mintak segelas lagi kononnya nak buat ujikaji. Hasilnya, selesai sahaja segelas kopi yang sedap itu, aku terus pening-pening lalat. Hanya pening-pening lalat sahaja, bukannya kepala berdenyut seperti migrine yang biasa aku alami. Kerana ujikaji tersebut, aku terpaksa juga ambil dua biji ubat migrine. Risau jugak kalau jatuh terjelepuk dikhalayak ramai sebegitu. Tak pasal-pasal kebolehpercayaan terhadap kopinya itu diragui.

Aktiviti kedua di PWTC adalah pameran hartanah. Beberapa syarikat pemaju perumahan untuk rumah teres, kondo, ruang pejabat mengadakan pameran. Selebihnya ditumpang dek syarikat perabut, kad kredit, dan barangan rumah yang lain.

Aktiviti ke tiga di PWTC merupakan seminar dan pameran miritim Malaysia. Seminar tu dah pastilah kena bayar tetapi pameran tu percuma sahaja. Jadinya, aku bawakan diriku ke pameran tersebut dalam perjalanan ke The Mall untuk makan tengahari. Banyak juga ilmu boleh dikutip dalam pameran berkenaan seperti di Akademi Laut Malaysia, Universiti Malaysia Trengganu, The Association for European Transport (AET) [kat sini sempat la jugak aku tanyakan serba sedikit pasal lanun di Somalia tu…peramah dan baik hati je abang-abang hensem kat situ), UiTM Shah Alam dari Fakulti Kejuruteraan juga ada buat pameran, ramah-ramah adik-adik kat situ.

Satu tapak pameran yang menarik perhatian kat sini adalah syarikat Kejuruteraan Asas Jaya Sdn. Bhd. yang menguruskan kejuruteraan untuk alam sekitar. Satu je sempat aku tanya hingga ke akar umbinya sebab tertarik dengan cara mereka memerangkap sampah di dalam sungai. Cara tu tak payahlah ye aku terangkan secara panjang lebar sebab teknikal jugak. Nanti-nantilah kalau dah habis sangat idea nak udate blog, aku tulis pulak pasal tu.




Sasaran kedua: Midvaley. Sebenarnya nak pergi ke kedai buku. MPH antara kedai buku yang boleh dikunjungi kalau tidak mahu menjelajah dari satu kedai buku ke kedai buku yang lain. Selesa. Besar dan banyak pilihan. Nak pergi ke Kinakuniya di KLCC pun terpaksa tukar train. Jadinya MPH Midvalley antara pilihan yang terbaik. Senang nak pergi, mudah juga nak balik nanti.

Berikut buku-buku yang kucapai dari rak dengan mata yang kelabu;
1. Kota larangan Qui. Jong Chian lai, DBP 20062.

2. Perang Sangkil. Akiya, PTS 20073.

3. Epilog Nusantara. Hamlin Abolhi. DBP 20084.

4. Transgenesis Bisikan Rimba. Amir Husaini. PTS 20085.

5. Kemelut Kasih di Persada Juang. Harry Usup Umbar. DBP 2006.

6. Cekerawala Penulisan. Sohaimi Abdul Aziz. Usm. Ni bukan novel tapi buku pasal penulisan.

Lagi lama di MPH, dah sah-sah akan lagi banyak buku yang akan dipunggah. Inipun dah terlebih budget. Hampir dua ratus. Sekali fikir memanglah rasa mahal, namun bila fikirkan minda juga perlukan pengisian walaupun hanya dengan karya-karya sebegitu, hati cepat benar terpujuk. Lagi mudah memujuk diri bila kenangkan hanya itulah hadiah untuk diri dari penat lelah berkerja yang adakalanya melupakan detik indah mengulit mimpi.

Sementara menunggu Maghrib, kaki dihalakan ke Jusco. Agak banyak juga tawaran diskaun jualan hingga mencecah 80 peratus. Jadinya, enjoykanlah diri menjamu mata membelek mana-mana barang yang perlu. Setelah dua minggu menjelajah pusat beli belah hingga kaki bengkak-bengkak, di Jusco MidValey aku putuskan untuk beli handbeg baru dengan potongan harga 50 peratus. Cantik. Berbaloi. Memang benar-benar diperlukan. Namun, setelah itu...beg sandangku terasa ringan. Ringgit Malaysia dah semakin berkurang untuk bulan ini. Baru dua hari bulan November dijalani. Entahkan sempat sampai ke hujung bulan atau tidak. Tambah lagi, bulan ini agak ligat juga aku perlu lakukan kerja luar. Perlukan modal untuk perjalanan itu biarpun boleh dituntut balik.





Ketika menikmati Mi Kari di Food Court MidValey, kelibat Serina (anak Chef Wan) melintas dengan seorang mat saleh. Hensome. Kira macam sama cantik dan sama padanlah. Tak berani nak buat spekulasi siapa si hensem sebelahnya hanya kerana aku melihat. Lainlah kalau aku pergi tanya dan dia sahkan siapa gerangannya sang jejaka kacak itu.

Jam sembilan malam lebih aku menunggu train komuter ke Seremban. Ahad yang penuh dengan aktiviti. Dan malamnya penuh dengan lelah. Namun puas hati. Gembira juga.