Memaparkan catatan dengan label Chef wan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Chef wan. Papar semua catatan

Isnin, 23 Ogos 2010

Gadis Melayu: Realiti dan Fantasi


Ceritera 1

Di satu ruang. Beberapa insan.
Mereka bukan bisu namun tanpa suara dan kata-kata.
Mereka bukan musuh, tidak juga sahabat.
Kala komunikasi telah mati, kosongkah ruang atau
Dirikah terapung tanpa rasa?

Ceritera ii

Ramai bercita-cita nak menyertai Gadis Melayu. Anggun. Bergaya. Dikenali. Berkualiti.
Sebelum isi borang menyertai program realiti tersebut, adakah anak-anak gadis ini telahpun bersedia dengan benda-benda remeh dalam hidup mereka?
tak perlu risau dengan hal-hal yang besar seperti perlu masak dengan rasa yang sedap dan hebat, petah berbicara macam juara debat dunia, atau membaca al-Qur’an bak seorang qariah tersohor negara. Boleh tak lakukan hal-hal sepele sebegini dahulu?
1. Beri salam bila masuk rumah. Walaupun tak ada sesiapa di rumah, malaikat masih sudi menyambut salam itu. Percayalah.
2. Senyum bila bersua dengan orang lain, walaupun tidak kenal. Tak luak pun senyum itu biar diberikan kepada entah berapa juta orang. Wajah kita yang ayu itu akan lebih ayu dengan senyum manis itu. Cubalah.
3. Walaupun anda hanya goreng telur dan rentung dikuali, laplah dapur yang anda gunakan itu. Kesan minyak akan tinggalkan kesan lekit. Tak kan tak rasa segan dengan chef Wan yang masak keliling dunia, tak tinggalkan kesan lekitpun. Takat telur mata kerbau goreng yang rentung, kesan lekit itu sampai satu rumah?
4. Sentallah kuali yang telah berjaya anda rentungkan masa goreng telur mata kerbau itu. Dah lah kuali itu bukan anda punya, gunakan dengan percuma pula...nak sental dengan sabun yang percuma itupun anda tak boleh lakukan? Pergi rumah mak mertua nanti bagaimana? Kalau dah kamera ada depan kuali untuk siaran langsung hari langsung pertandingan akhir Gadis Melayu nanti, anda tak akan kekok nanti.
5. Jari jemari anda masih lagi akan halus dan lembut walaupun anda berjaya basuh semua peralatan yang diguna hingga tanggal kesan minyaknya. Hingga hilang kesan arang pada pantat kuali dan periuk. Tengok tak rancangan Shahirah pergi kenduri dengan sunlight? Dia tetap ayu dan bergaya walaupun kena sental pinggan mangkuk dan periuk belanga yang banyak begitu. Kalau masa kenduripun dia masih boleh kelihatan anggun bergaya, takkan anda tak boleh. Dua tiga biji pinggan sahajapun, bukan banyak mana!
6. Kalaupun anda tak pernah kerja cleaner atau bahagian kebersihan di Kementerian Kesihatan, anda masih tak perlukan sijil pengesahan mana-mana jabatan kerajaan macam nak dapatkan sijil halal perlu disahkan jakim. Takat nak buang habuk dalam rumah, sekejab je pun hayun penyapu, semua dah bersih. Tak perlu ada QC pun untuk sahkan status bersih tu. Baik untuk kesihatan kaki juga.
7. Tak perlu juga belajar hingga ke universiti empat menara yang bergading-gading untuk anda pegang batang mop. Anggap sahaja anda hayun kayu golf di kelab golf terkemuka dunia disamping Harimau Kayu je...opssssss marah pulak Tiger Wood. Hayun mop tu baik untuk kesihatan. Berat badanpun boleh kawal, tak perlu guna macam-macam produk kesihatan yang mengandungi racun berjadual. Anda juga yang anggun bergaya dengan berat badan dalam piawai. Tak perlu membazir ke slim world. Mahal tu! Jangan membazir.

Dah masa untuk solat subuh. Kalau dibiarkan, harus lagi melalut panjangnya ni. Anggap sahaja entri ini adalah entri orang kempunan tak sempat nak habiskan neskefe panas masa sahur tadi. Siapa suruh liat nak bangun awal?

Selasa, 4 November 2008

Kisah Sepanjang Ahad

2 November 2008. Ahad.
Hari minggu yang cerah. Biarpun sepanjang Sabtu terlalu letih dengan kerja hingga buku lali bengkak semula akibat enam jam berdiri tanpa rehat (ingatkan terseliuh hanya perkara biasa yang akan baik semula setelah diurut, rupanya surut bengkak dek pandangan kasar tidak bermakna telah pulih sepenuhnya), hari minggu ini kubawa jua kaki ke tengah sesak ibu negara. Sasaran pertama: Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC.

Ada beberapa aktiviti berlangsung di PWTC ketika ini (Ahad). Pertama pameran Usahawan. Tak banyak tapak pun untuk pameran ini. Masa sejam sudah lebih dari cukup untuk dapatkan semua info dalam pameran ini. Terdapat gerai-gerai usahawan kecil dalam pelbagai industri. Produk kecantikan, dobi, pertanian, hasil tani, bank-bank tempatan, Tekun Nasional, tabung haji, Bank Negara Malaysia.

Biarpun pameran tu taklah besar sangat, tak juga meriah sangat berbanding pasar malam atau pasar minggu, namun banyak perkara baru boleh dilihat kat situ. Usahawan kita mampu macam-macam produk sekarang ni terutama daripada hasil tani. Ikan haruan bakar segera. Macam-macam jenis jus dan kopi. Macam-macam produk makanan seperti keropok lekor, kuih tradisi dan ada juga yang jual beriani. Entahkan segera entahkan terus makan, tak pulak aku pastikan sebab pada masa itu aku b aru sahaja makan. Jadinya, bila kenyang ni...daya tumpuan kepada makanan tu rendah sikitlah.

Aku tertarik dengan dua produk dalam pameran ini. Pertama, produk-produk yang dihasilkan daripada kurma. Mereka dah pelbagaikan kurma dengan pek yang menarik. Pembungkusan yang kemas dan nampak, profesional dan tak jangkapun produk itu dikeluarkan usahawan Melayu kita. Syarikat ini hasilkan produk dari kurma untuk dimakan macam biasa dalam kotak-kotak tu, kurma yang digabungkan dengan kekacang dan ada juga kurma ini disalut dengan coklat. Bila rasanya, memang sedap. Kalau tak ada promosi, memang tak mampu nak beli. Hanya beberapa biji sahaja untuk harga RM10. Dan aku yang suka barang FREE ni, hanya rasa yang FREE itulah sahaja. Memang sedap!

Kedua, kopi yang dihasilkan daripada herba tempatan. Macam-macam jenis herba dimasukkan. Dihasilkan di Pulau Pinang tetapi pasarannya dah ada di lembah Klang. Kata promoternya, kopi tersebut boleh diminum oleh orang yang sakit kencing manis dan migrine. Apalagi, aku pun nak test lah betul ke tidaknya. Migrine aku memang alah dengan kafein, jadinya, kopi yang sedap itu (memang betul-betul sedap. Tak payah tambah susu atau gula lagi. Memang dah sedia untuk diminum. Sangat sesuai untuk peminat kopi Tongkat Ali. Boleh diminum untuk lelaki dan wanita) aku minum tanpa was-was. Siap mintak segelas lagi kononnya nak buat ujikaji. Hasilnya, selesai sahaja segelas kopi yang sedap itu, aku terus pening-pening lalat. Hanya pening-pening lalat sahaja, bukannya kepala berdenyut seperti migrine yang biasa aku alami. Kerana ujikaji tersebut, aku terpaksa juga ambil dua biji ubat migrine. Risau jugak kalau jatuh terjelepuk dikhalayak ramai sebegitu. Tak pasal-pasal kebolehpercayaan terhadap kopinya itu diragui.

Aktiviti kedua di PWTC adalah pameran hartanah. Beberapa syarikat pemaju perumahan untuk rumah teres, kondo, ruang pejabat mengadakan pameran. Selebihnya ditumpang dek syarikat perabut, kad kredit, dan barangan rumah yang lain.

Aktiviti ke tiga di PWTC merupakan seminar dan pameran miritim Malaysia. Seminar tu dah pastilah kena bayar tetapi pameran tu percuma sahaja. Jadinya, aku bawakan diriku ke pameran tersebut dalam perjalanan ke The Mall untuk makan tengahari. Banyak juga ilmu boleh dikutip dalam pameran berkenaan seperti di Akademi Laut Malaysia, Universiti Malaysia Trengganu, The Association for European Transport (AET) [kat sini sempat la jugak aku tanyakan serba sedikit pasal lanun di Somalia tu…peramah dan baik hati je abang-abang hensem kat situ), UiTM Shah Alam dari Fakulti Kejuruteraan juga ada buat pameran, ramah-ramah adik-adik kat situ.

Satu tapak pameran yang menarik perhatian kat sini adalah syarikat Kejuruteraan Asas Jaya Sdn. Bhd. yang menguruskan kejuruteraan untuk alam sekitar. Satu je sempat aku tanya hingga ke akar umbinya sebab tertarik dengan cara mereka memerangkap sampah di dalam sungai. Cara tu tak payahlah ye aku terangkan secara panjang lebar sebab teknikal jugak. Nanti-nantilah kalau dah habis sangat idea nak udate blog, aku tulis pulak pasal tu.




Sasaran kedua: Midvaley. Sebenarnya nak pergi ke kedai buku. MPH antara kedai buku yang boleh dikunjungi kalau tidak mahu menjelajah dari satu kedai buku ke kedai buku yang lain. Selesa. Besar dan banyak pilihan. Nak pergi ke Kinakuniya di KLCC pun terpaksa tukar train. Jadinya MPH Midvalley antara pilihan yang terbaik. Senang nak pergi, mudah juga nak balik nanti.

Berikut buku-buku yang kucapai dari rak dengan mata yang kelabu;
1. Kota larangan Qui. Jong Chian lai, DBP 20062.

2. Perang Sangkil. Akiya, PTS 20073.

3. Epilog Nusantara. Hamlin Abolhi. DBP 20084.

4. Transgenesis Bisikan Rimba. Amir Husaini. PTS 20085.

5. Kemelut Kasih di Persada Juang. Harry Usup Umbar. DBP 2006.

6. Cekerawala Penulisan. Sohaimi Abdul Aziz. Usm. Ni bukan novel tapi buku pasal penulisan.

Lagi lama di MPH, dah sah-sah akan lagi banyak buku yang akan dipunggah. Inipun dah terlebih budget. Hampir dua ratus. Sekali fikir memanglah rasa mahal, namun bila fikirkan minda juga perlukan pengisian walaupun hanya dengan karya-karya sebegitu, hati cepat benar terpujuk. Lagi mudah memujuk diri bila kenangkan hanya itulah hadiah untuk diri dari penat lelah berkerja yang adakalanya melupakan detik indah mengulit mimpi.

Sementara menunggu Maghrib, kaki dihalakan ke Jusco. Agak banyak juga tawaran diskaun jualan hingga mencecah 80 peratus. Jadinya, enjoykanlah diri menjamu mata membelek mana-mana barang yang perlu. Setelah dua minggu menjelajah pusat beli belah hingga kaki bengkak-bengkak, di Jusco MidValey aku putuskan untuk beli handbeg baru dengan potongan harga 50 peratus. Cantik. Berbaloi. Memang benar-benar diperlukan. Namun, setelah itu...beg sandangku terasa ringan. Ringgit Malaysia dah semakin berkurang untuk bulan ini. Baru dua hari bulan November dijalani. Entahkan sempat sampai ke hujung bulan atau tidak. Tambah lagi, bulan ini agak ligat juga aku perlu lakukan kerja luar. Perlukan modal untuk perjalanan itu biarpun boleh dituntut balik.





Ketika menikmati Mi Kari di Food Court MidValey, kelibat Serina (anak Chef Wan) melintas dengan seorang mat saleh. Hensome. Kira macam sama cantik dan sama padanlah. Tak berani nak buat spekulasi siapa si hensem sebelahnya hanya kerana aku melihat. Lainlah kalau aku pergi tanya dan dia sahkan siapa gerangannya sang jejaka kacak itu.

Jam sembilan malam lebih aku menunggu train komuter ke Seremban. Ahad yang penuh dengan aktiviti. Dan malamnya penuh dengan lelah. Namun puas hati. Gembira juga.