Memaparkan catatan dengan label Kota Bharu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kota Bharu. Papar semua catatan

Selasa, 14 September 2010

Kota Bharu Kena Serang


Selamat Hari Raya Aidilfitri. Hanya pada malam ini berkesempatan untuk jengah dunia maya buat seketika. Kat rumah yang tak berapa nak pedalaman ini, maxis tak ada line langsung. Nasib baik ada celcom yang boleh dibedal. Walaupun teramat perlahan rangkakannya, itu lebih baik dari tak dapat langsung kan. Dan, walaupun macam ciput khinzir, tetap juga tak boleh nak kemas kini blog. Sadis!

Biarpun satu Malaya heboh tentang arwah Sosilawati, namun... Kota Bharu tetap kena serang. Sesak merata tempat. Kalau jalan Gua Musang-KB pun dah cecah hampir satu juta kenderaan dijangka melaluinya, belum lagi ikut Ipoh-Grik dan KT-Jertih. Bila semua dah masuk...memang padat!

Aku tinggalkan Bangi pada Khamis lepas. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan, hanya satu jam sahaja jem merangkak dengan kelajuan 30km sejam. Selebihnya boleh cecah 80km per jam walaupun boleh pecut lebih laju dari itu jika bijak memecut dalam acara potong memotong. Sebab aku terkenangkan nasihat sendiri “berhati-hati di jalan raya...ingatlah orang yang tersayang”, maka, paling lajupun 100km je aku tekan minyak.

Awan membiru sepanjang jalan. Cantik kan?


Mak aihhhhh panjang juga kena susur bukit ni...


Nak tengok belakang tak? Cuba tengok cermin sisi tu...panjang tak?


Jam 2.30 petang aku dah sampai di rumah dengan selamat. Entri ni aku hanya nak tampal gambar indah sepanjang perjalanan KL-KB dan KB-KL sahaja. Kota Bharu dah kena serang untuk seminggu musim raya ni. Jadi, selamat berpesta dengan kesesakan ya...itukan dah jadi lumrah pada musim perayaan di Kelantan kan? Kalau Kelantan tak sesak bila musim raya, itu memang nak kena hairan.

Interprem dengan dua orang budak ensem bagi makan angsa sat!


Isnin aku dah datang Bangi semula. Dan Bangi, lengang. Agak sunyi. UKM lagilah. Gambar ni jem masa nak masuk Raub. Depan panjang beratur...belakang pun panjang jugak...banyak-banyak sabar ikut giliran ya!


Terima kasih kepada Cik Bintang dengan tart sedap ni. Nak lagi boleh?


Di kesempatan ini, aku nak ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Maaf zahir batin.

Psssst! Entri ni dah basi kan? Tak apalah...perangat balik hu hu hu

Selasa, 27 Oktober 2009

Zulhijjah Datang Lagi

Ramai orang tertunggu-tunggu ketibaan Syawal walaupun ianya baru sahaja berlalu. Maklumlah, setelah sebulan berjuang melawan lapar dan dahaga, mengekang pelbagai tahap nafsu, jadi...Syawal jadi sesuatu yang indah untuk diraikan. Namun bagi kami sekeluarga, Zulkaedah dan Zulhijjah lebih ditunggu dalam debar. Tahun ini, alhamdulillah, Mek dan Ayah termasuk dalam senarai antara puluhan ribu jemaah yang akan mengerjakan haji.

Keterujaan kami bermula sejak dapat tahu nama mereka termasuk dalam senarai. Orang tua tu dah naik darah tinggi berkala-kala masa terima surat tu. Kalut dan risau sebab tak pergi kursus haji lagi. Jadinya, mengurangkan tekanan tersebut, kami adik beradik pakat beli Viva untuk mudahkan semua urusan dan perjalanan. Beli DVD player dan dvd atau cd berkaitan haji yang boleh mereka tonton sepanjang masa yang mereka nak (Dua hari lepas DVD tu rosak. Rasanya sebab terlalu lasak diguna pakai. Nasib baik masih varanty lagi, tapi akan ambil masa juga untuk dibaikpulih. Kira hayatnya dalam 3 bulan ajelah tu hu hu hu...rasa macam cepat betul rosaknya tu walaupun berjenama jugaklah).

Semasa orang lain kalut lakukan persiapan untuk menyambut Aidilfitri, kami juga kalut siapkan kelengkapan mereka termasuk beli beg, pakaian ehram, buku-buku dan sebagainya. Semuanya kena dua. Masa beli beg menjelang Aidilfitri dulu, ramai orang hairan dengan keterujaan kami membeleknya hinggakan ada sorang kakak tu berborak dengan kami. Selamba bodoh je kami kata “Beg raya”. Mesti dia pelik, orang nak raya beli pakaian dan keperluan raya yang lain, tapi kami beli beg sampai dua. Besar pulak tu. Macamlah nak pergi raya ke Scotland.

Bila dah beli awal-awal tu, tak terasa sangat terbeban setiap bulan. Kami beli sedikit demi sedikit. Senaraikan semua benda yang nak dibeli, dari sebesar-besar barang hinggalah ke barang sekecil pisau cukur. Seluar dalam untuk ayah pun anak-anak dia yang beli...siap jenama buaya lagi tu. Padahal, kita orang sendiri pakai seluar dalam cap ayam je hu hu hu. Bila terjumpa kat mana-mana barangan yang kami senaraikan tu, akan teliti semua itu dan bandingkan harga. Sms yang lain kalau dah beli. Kalau rasa macam dah ok, masa tu jugak rembat dan simpan dalam kotak. Bila ada antara kami yang balik kampung, barangan tu akan dikirimkan.

Dua minggu lepas merupakan kemuncak persiapan kami. Aku sendiri pergi Lembaga Tabung Haji untuk semak tarikh sebenar mereka akan bertolak. Dia orang gelabah ala-ala tenuk dah tunggu surat panggilan dan tunggu tarikh sebenar. Makin dibiarkan, boleh naik darah tinggi lagi sekali. Jadinya, aku pergi je semak di Tabung Haji belakang rumah tu. Terus sms semua orang bagi tahu tarikh tersebut dan buat semua orang kalut.

Selepas raya hingga sekarang, aku memang tekan gear 5 buat kerja dan kejar tarikh akhir. Namun, memang tiada pilihan bila dah tahu tarikhnya. Kakak dan adik aku kat sini cikgu, jadinya mana boleh balik kampung sesedap rasa. Sekarang bukannya musim cuti sekolah. Aku yang memang jadi tukang mop tangga ni memang dah Sahlah perlu ambil cuti. Hanya aku saja yang perlu membolehklan diri balik kampung siapkan semua benda. Walaupun tengah kelam kabut tak cukup hari, perlu juga balik. Nak jadi cerita, tarikh akhir untuk kerja yang aku buat pada masa tersebut telah dilanjutkan hingga sepuluh hari. Bolehlah aku joli sekejab ya...

Aku mintak cuti seminggu sebelum itu lagi tetapi hingga hari Isnin (selepas Deepavali), status cuti itu masih lagi belum lulus sebenarnya. Terpaksa juga aku telefon pejabat tanyakan hal itu dan sahkannya. Risau jugak kot nanti berlaku perkara berbangkit. Maklumlah, orang memang tunggu saja aku buat silap untuk penyekkan jadi kerepek. So, hati-hatilah dengan setiap perkara yang akan dibuat dan jangan benarkan wujud ruang untuk timbulkan peluang. Betul tak?

Bila aku beritahu dah berada di kampung dan akan cuti panjang (seminggu termasuk weekend, lima hari sahaja hari kerja. Baki cuti untuk tahun ni masih ada lagi 25 hari la la la...), terus sahaja mereka janji akan sahkannya dalam sistem. Kalau tak luluskan pun nasiblah, aku memang dah ada kat kampung, dah tak boleh buat apa. Lagipun bukan salah aku. Aku dah isi borang tu seminggu awal, tak ada alasan untuk terbalikkan salah tu kat aku. Boleh tak buat gitu? Apa-apa ajelah Labu!

Sabtu jam 10.30 pagi dah turun dari rumah, makan bersama-sama adik dan adik ipaq sebelum mereka hantar ke ERL Putrajaya. Inilah pertama kali gunakan perkhidmatan ini. Biasanya pergi KLIA dengan urusan kerja, ambil aje teksi dan claim kemudiannya. Ingatkan macam naik komuter, asal saja sampai, boleh naik sahaja dan berdesup terjun ke KLIA. Rupa-rupanya, bukan semua train tersebut berhenti ambil penumpang di setiap stesen. Ada yang berhenti di beberapa stesen sahaja dan terus ke KL Sentral. Ada pula yang berhenti di semua stesen yang dilalui. Jadinya, sepanjang masa menunggu itu, dua buah train hanya lalu depan mata kami tanpa berhenti dan angkut kami sama. Masa menunggu: 18 minit. Nasib baik datangnya tepat masa.

Perjalanan menggunakan ERL memang selesa. Dengan tiket berharga RM6.40 dari Putrajaya (stesennya berdepan dengan hospital Putrajaya), orang kata memang berbaloi sangat-sangat. Selesa, laju, bersih dan kira mewah juga berbanding komuter atau Lrt. Kos pun rendah sahaja. Kalau nak ke LCCT, perlu turun di stesen Salak Tinggi dan ambil bas. Train ini akan terus ke KLIA. Sekejab sahaja dah sampai.

Sampai agak awal juga, terus check in dan masuk terminal B5. Banyak masa terluang digunakan untuk online. Maklumlah talian wifi percuma di KLIA kan. Kalau di lapangan terbang lain, memang kena pergi lepak di starbuck baru boleh dapat percuma, di KLIA, kita boleh duduk saja di mana-mana penjuru dan boleh online sementara menunggu masa terbang. Kira sempat jugalah borak dengan cik Bintang Chomel ;)

Jam empat petang mendarat di Lapangan terbang Sultan Ismail Kota Bharu. Tangkap limo pergi stesen teksi Kota Bharu. Sementara tunggu penumpang lain (di Kelantan, teksi akan tunggu penumpang penuh dulu baru jalan, kecuali kita sanggup bayar tambang lebih), aku jejalan tengok kawasan sekitar terutama kawasan stesen bas. Dah lama tak tengok terutama setelah bangunan kompleks beli belah baru tu siap sepenuhnya. Masa balik dulu, belum siap. Sekarang dah guna.

Jam 4.30 bertolak menghala ke Ketereh walaupun hanya dengan 2 orang penumpang sahaja. Pak cik tu mintak RM10 dengan aku untuk tambang hingga ke depan tangga rumah. Terpaksa setuju sahaja. Maklumlah, dah letih, panas dan melekit sangat-sangat. Teksi di sini masih lagi guna Mercedes Benz tua yang memang tak ada penghawa dingin. Lencun dengan peluh. Sampai rumah dalam pukul 5 lebih, terus sahaja tolong kakak ipar siapkan minuman untuk tetamu yang datang. Tengok mukanya pun dah tahu dia memang letih sangat. Aku yang memang tak cukup tidur sejak berminggu lepas, terpaksa buang niat untuk qada tidur secukupnya di kampung.

Kata kakak ipar, sejak dapat tahu tarikh keberangkatan (dua minggu lepas), rumah kami macam kena hurung semut. Orang datang tak putus-putus untuk jumpa Mek dan ayah. Hanya jam 12.30 tengahari hingga 2.30 petang sahaja Mek dan Ayah sempat rehat, makan dan solat. Adakalanya, ketika bang maghrib pun kami masih perlu layan tetamu. Belum sempat solat maghrib, tetamu yang lain (macam shif pulak dia orang ni datang) pula akan sampai. Mek selalu sahaja tak sempat makan, apalagi rehat. Nak solat pun terpaksa curi-curi saja. Malamnya hingga jam 12 kami masih ada tetamu. Adakala hingga jam 1 atau dua pagi.

Kakak ipar tak cukup tangan. Nak siapkan minuman untuk tetamulah, kena masak lagi, urus semua keperluan rumah seperti basuh dan sidai pakaian, kemas lagi. Air panas kena ada sepanjang masa. Nak mandipun kena pandai-pandai cari masa. Sepanjang masa dia perlu aktif jalan sana sini. Asal letak kepala sahaja, dia akan tertidur kat mana-mana pun walaupun semasa kami sedang berbual. Dah nampak keadaannya macam itu, tak sampai hati pulak nak tengok saja. Aku memang tabik spring dengan dia, tahan dengan kerenah Mek yang terlalu inginkan kesempurnaan (agaknya perangai aku pun macam gitulah juga kan) dan ikut citarasanya. Tahan juga layan orang yang ramai itu. Aku yang alaminya untuk tempoh tak sampai seminggu pun dah sakit-sakit badan, lenguh betis dan sakit tumit. Apa taknya, entah berapa jam sehari berjalan sana sini, buat semua kerja dan tak sempat dudukpun.

Ramai tak ramainya orang yang datang, entah berapa kilo gula sehari habis. Nescafe yang beratnya 400g (anggaran harga RM15) boleh habis paling lama dalam masa sehari setengah sahaja. Kira ni anggaran untuk bilangan tetamu yang datang ke rumah kami, tak ada niat nak hitung berapa banyak Ringgit Malaysia yang kami belanjakan. Itupun ayah boleh kata “Ayah tak royak ko sesape pun nak pergi ni...”. aku tak pasti berapa ramai yang datang kalau ayah memang buat pengumuman rasmi macam press conference hu hu hu.

Aku akui, memang tersangat letih, banyak tenaga digunakan dan tak cukup tidur. Tetamu nak kena layan, banyak kerja nak kena buat hinggakan nak keluar cari mana-mana barangan terakhir yang belum ada itupun susah. Kalau tak ada pembantu untuk sediakan minuman, basuh cawan dan urus hal ehwal dapur, tenaga Mek perlu diguna berganda pula. Kami sebolehnya tak mahulah dia terlalu letih, stress dan tak cukup tidur kerana semua itu akan ganggu urusan dia di sana nanti. Namun, tetamu yang datang juga perlu dilayan. Dan aku pula...masih lagi terfikirkan kerja yang masih belum siap. Dah berusaha untuk berjaga dan siapkan kerja-kerja itu pada malam hari, namun keletihan yang keterlaluan buatkan minda tidak mampu berfikir lagi kecuali hanya menginginkan bantal bucuk saja.

Sebelum ini, banyak kenduri termasuk kenduri kahwin telah kami lalui, namun aku memang akui keletihan kali ini terlalu banyak gandanya berbanding kendui-kenduri yang lepas. Masa kenduri kahwin, kita hanya penat beberapa hari sebelumnya hingga selesai sental periuk dan kemas pinggan mangkuk sahaja. Namun kali ini, sepanjang hari kami gunakan tenaga sebegini untuk tempoh yang lama juga. Kalau aku pun rasa nak pengsan, apalagi kakak ipar. Bila nampak saja aku balik, mukanya memang nampak berseri-seri. Bukan sebab dia terlalu rindukan adik ipaxnya yang sorang ni, tapi dia tahu aku balik untuk kurangkan tekanan dan beban kerjanya itu.

Macam-macam orang yang datang. Ramai yang aku tak kenalpun wujudnya mereka dari alam mana. Ada yang aku jumpa mereka masa kecil dulu, tetapi hilang netah kemana masa remaja hingga sekarang, baru jumpa balik. Ada juga yang aku tak pernah tengokpun sehayat ini. Yang bestnya boleh jumpa cikgu masa sekolah rendah dahulu; cikgu Nazimah. Aku pun tak pasti dia masih cam ke tidaknya muka aku yang dah tembam dan teramat Chomel ini hu hu hu. Sejak dulu lagi aku memang kurus kering dan berpenyakit (kot!), siap dengan hingus yang sentiasa meleleh sepanjang tahun hu hu hu (dapat bantuan makanan pelajar termiskin lagi tu hu hu hu).

Kemuncak kesibukan tersebut adalah pada hari Isnin 19, bila kami adakan sedikit majlis tahlil, doa selamat dan solat hajat. Walaupun buat secara layan diri, namun budaya perlu melayan tetamu itu masih menebal dalam masyarakat kita. Jadinya, ada masa masih perlu lagi sediakan makan secara berhidang untuk tetamu tertentu. Kaki tangan yang ada hanyalah aku dan kakak ipar sahaja yang akan lakukan semua kerja. Beberapa jiran yang datang tolong hanya tolong perkara-perkara tertentu sahaja, tambah pula mereka ini dah tahap mak cik-mak cik dah. Yang pangkat kakak-kakak ni, bantunya pun sedikit-sedikit sahaja, curi tulang untuk umpat sana sini tu yang banyak. Apapun, mereka tetap juga kurangkan bebanan kami berdua. Bayangkanlah kalau kami berdua sahaja buat semua benda, mahu dua hari tak siap lagi hu hu hu.

Bila semua tetamu dah balik, kerja kami masih lagi bertimbun. Bukan sahaja pinggan mangkuk dan gelas sahaja, tetapi juga semua periuk belanga dan besen yang besar gedabak itu juga. Ikutkan letih, memang rasa nak tidur saja tepi periuk itu, tetapi mengenangkan esok tentu akan tetap ada tetamu yang datang, aku gagahkan juga cuci semua kecuali periuk nasi dan periuk gulai. Malam itu, tidur kami tak bergerak. Macam tidur mati. Keesokan harinya, satu badan terasa lenguh dan sakit-sakit. Penat tak payah tanya, memang teramat sangat. Dan tetamu, tetap juga datang tanpa putus hinggalah malam terakhir Mek dan Ayah berada di kampung.

Selasa, 30 Disember 2008

Jom Sama-sama Fikir!

SATU
Bila ke pusat beli belah, di aras basment kita akan jumpa dengan penjaga parking pekerja asing. Entahkan dari Bangla, entahkan dari Nepal. Hensem-hensem pula. Lebih hensem daripada Datok Shah Rukh Khan (Datok????? Ohhh tidakkkkkkkkk!!!!).

Bila perlukan bantuan di pusat beli belah mega itu, tak kiralah di Time Squere ke, Sogo ke, Midvaley ke, Sungai Wang, Bukit Bintang Plaza ke, ataupun mana-mana pusat beli belah besar, gah dan kecil juga yang lain, tetap guna pekerja asing. Hensem juga. Lebih hensem daripada Hans Isac.

Guard kedai emas, jaga pasar raya, cleaner, pelayan kafe mewah, pekerja hotel semuanya warga asing yang hensem-hensem. Kalah Salman Khan. Saingan Nasir Bilal Khan dan entah berapa ramai keturunan khan lagi. Takat macam Mawi, dah tentu lagi kalah (marah peminat fanatik Mawi kat aku ni...hu hu hu...). Kalau dahulu, pekerja asing di Kota Bharu barangkali hanya bersaing dengan pekerja dari Thailand dan Vietnam sahaja, tetapi kini mamat Pakistan, Bangla, Nepal begitu mudah dilihat. Di pasar borong Wakaf Che Yeh yang kukunjungi semasa balik kampung Aidiladha lepas buatkan aku tertanya-tanya. Pelbagai persoalan yang timbul.

Di pasar malam, di restoren, gerai-gerai tepi jalan juga, dikuasai warga asing. Ada yang tahu Bahasa Inggeris sedikit, ada yang tahu Bahasa Melayu sedikit-sedikit. Ada juga yang tidak tahu langsung keduanya, namun, mereka mampu juga hidup di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Persoalannya: mana pergi anak tempatan kita?

Seorang teman pernah menjawab “di Serenti, penjara dan pusat pemulihan akhlak” bila kuajukan pertanyaan yang serupa. Seorang lagi menambah “di bawah jambatan, sedang mabuk dadah dan pil kuda”.

Aku sendiri tak tahu jawapan untuk pertanyaan itu. Anda? Mahu berkongsi pendapat? Silalah komen. Pendapat pribadi anda tidak melambangkan ideologi saya sebagai pemilik blog asalkan jaga kesopanan dan kesusilaan warga Malaysia yang memang dah terkenal sebagai rakyat yang berbudaya tinggi.

DUA

Pada suatu hari Ahad dalam bulan Disember 2008, aku ke Kuala lumpur temankan bekas rakan serumah beli hadiah. Kami guna komuter di stesen UKM ke Bandar Tasik Selatan sebelum tukar train ke Plaza Rakyat. Leen nak ambil tiket untuk balik Ipoh sehari selepas Krismas.

Di Plaza Rakyat mataku tersilau dengan dua orang pondan (?) [lelaki yang nak jadi perempuan]. Melayu keduanya. Seorangnya nampak cantik. Bergetah. Rambut lurus panjang hingga melepasi bahu. Hampir mencecah pinggang sebenarnya. Make upnya cantik (aku yang asli gen perempuan ni pun tak pernah make up secantik dia sehayat umur ini). Potongan badannya memang menawan. Aku yang perempuan asli ini pun kagum dan cemburu dengan bentuk badannya itu. Punggung yang berisi, dada yang montok dan pinggang yang ramping. Tak ada lebihan lemak kat mana-mana. Lebih menawan dengan lirik mata galaknya.

Dalam hati aku memang akui, dia lebih cantik daripada aku. Lebih anggun. Lebih menawan. Lebih bergaya. Malah, lebih semuanya, kecuali tak asli sahaja kejadiannya sebagai perempuan. Itu sahaja kurangnya dia. Kalau aku berjalan bergandingan dengannya, aku memang amat pasti, lelaki akan bersiul menggodanya, bukan aku! Namun, perhatian orang ramai saat itu bukan kepada si jelita itu. Semua mata pasti memandang pada teman di sebelahnya. Teman seangkatan dengannya.

Temannya itu berumur dalam lingkungan 50-an. Aku agaklah. Tak akan lebih muda dari angka itu. Lebih tak tahulah pula. Rambut panjangnya yang dah nipis itu diikatnya. Mengenakan jeans biru dengan tshirt merah ketat menampakkan lagi kekurusan (kering)nya berbanding ketinggiannya yang pasti menjadi idaman setiap wanita. Ikutkan bicara hati, akupun masih nak tinggi sedikit berbanding ukuran sekarang, apalagi bila tidak dapat kenakan kasut tumit tinggi untuk tempoh yang lama akibat kecederaan jatuh tangga dahulu. Pasti akan nampak lebih lampai dan menawan. Kini, ketinggianku dah kekurangan 2 inci bila berkasut tanpa tumit. Mmmm macam tak bersyukur pula kan, padahal, tinggi ni dah terlebih baikpun daripada jadi kenet. Namapun manusia, tak pernah rasa cukup dengan apa yang ada!

Tidak seperti si manis yang anggun berpotongan badan menggiurkan itu, dia tidak mengenakan sebarang make up. Tanpa lipstik juga. Bila usianya yang sebegitu, garis-garis ketuaannya itu begitu jelas. Ketara. Sangat terserlah. Dan kerana itulah, dia menjadi tumpuan setiap mata, tanpa mengira bangsa. Setiap orang yang memandang, pasti akan memerhatinya berkali-kali. Setiap orang.

Malah, kehadirannya di situ buatkan seorang pekerja train berlegar-legar di kawasan landasan beberapa ketika. Pura-pura bertugas dan membantu penumpang-penumpang. Sejak diperkenalkan train, tidak pernah pekerja mereka sededikasi itu. Di mana-mana stesen pun. Yang pernah aku jumpa, pekerja yang cuba mengawal penumpang yang akan bertolak-tolak masuk ke dalam train pada waktu puncak. Itupun di stesen tertentu sahaja.

Sepanjang hari, diri tertanya-tanya. Tak teringinkah dia menjadi lelaki sejati semula? Tidakkah dia tahu yang Malaysia sudah kekurangan lelaki sejati kini?

TIGA
Anda barangkali sering melihat tentang perkara-perkara ini;
1. Lelaki yang lembut dan lemah lembut yang kelembutan mereka melebihi tahap lembutnya perempuan. Ada yang sengaja nak lembut, ada yang diasuh jadi lembut. Ada pula yang memilih untuk jadi lembut. Mereka ini masih lelaki, berpakaian macam lelaki tetapi nampak kurang lelaki. Mereka suka melakukan aktiviti yang tidak dibuat oleh lelaki lain.
2. Lelaki yang tukarkan diri dan penampilan menjadi wanita. Mereka ini lebih wanita daripada wanita. Ada kala sukar dikesan yang dia sebenarnya lelaki. Ada masa wanita pun kagum dengan penampilan mereka yang lebih menawan, ayu dan lembut daripada wanita sendiri.
3. Perempuan yang kasar macam lelaki tetapi dia masih lagi perempuan. Hanya buat kerja-kerja lasak macam lelaki. Kasarpun ada kala mengalahkan lelaki. Tong gas pun boleh angkat.
Perempuan begini bukan nak jadi lelaki, hanya kasarnya tu mengalahkan lelaki. Mereka terpaksa buat kerja tanpa bantuan lelaki. Kira macam perempuan besilah kononnya. Suka aktiviti lasak dan mencabar. Kalau tanya, dia masih lagi mengaku yang dia seorang perempuan.
4. Perempuan yang nak jadi lelaki. Ubah penampilan, cara bertingkahlaku, cara bercakap dan sebagainya. Mereka golongkan diri mereka sebagai pengkid.

Ada yang kata, semua tu sebab naluri mereka yang bercelaru. Mereka hanya tonjolkan apa yang mereka nak sahaja. Kononnya tersalah gen, sebabkan mereka terperangkap dalam jasad yang tidak sepatutnya jadi milik mereka. Kalau kita persoalkan tentang “naluri” ini dan kewajaran mereka untuk ikut dengan kehendak naluri itu, mereka akan tuduh kita “tak faham”.

Aku akui wujudanya khunsa, namun jumlahnya terlalu kecil. Menurut Islam, golongan khunsa boleh tentukan atau pilih salah satu jantina yang kuat dalam diri mereka. Persoalannya, bagaimana dengan golongan yang tidak ditakdirkan sebagai khunsa itu?

Siang tadi, seorang temanku dari Kota Bharu datang ke Kuala Lumpur dan lepak di KLCC. Katanya, negara kita memang dah betul-betul maju. Lelaki sama lelaki, dan perempuan sama perempuan pun boleh berpelukan, berpegangan tangan di khalayak umum tanpa silu. Mungkin mereka kawan karib, kataku balas SMSnya. Anda fikir begitu?