Seronok kan kalau boleh selalu pergi shooping. Apalagi kalau musim jualan murah sama ada semasa jualan mega, jualan musim perayaan, jualan musim cuti ataupun jualan tiap hujung bulan bila dapat gaji. Diskaunnya adakala tak masuk akal. 80 peratus tu...bukan senang nak dapat, walaupun aku masih mengidamkan jualan hingga 100 peratus diskaun. Ada ke?
Sogo memang antara tempat klasik yang aku suka pergi bila nak beli belah atau lepak. Sebabnya, tak ramai orang. Lagi pula senang, ada stesen Bank Negara untuk komuter. Tak payahlah aku tukar train di Sentral. Masa balik juga begitu manfaat. Ada tempat duduk berbanding kalau naik di Sentral yang perlu berasak-asak.
Namun, ada satu perkara yang agak menyedihkan tiap kali ke Sogo. Pusat beli belah sebesar itu, meletakkan suraunya di kawasan yang paling terpencil. Di kawasan letak kereta yang panas. Pengap. Kecil dan sempit juga.
Pada waktu puncak seperti musim perayaan dan hari minggu, ruangnya padat dan basah dengan air tapak kaki pengunjung. Waktu Maghrib terutamanya, ada masanya tiada ruang untuk berdiripun sementara menunggu giliran solat.Sekalipun ada kipas disediakan, pengudaraan yang tidak sempurna buatkan ruang sempit itu lebih pengap. Lebih hangat.
Sesekali beli belah di Time Squere, jenguk-jenguklah suraunya di tingkat 8 bagi muslimin dan tingkat 7 untuk muslimat. Aku tak pernahlah masuk ke surau muslimin tetapi surau muslimat yang disediakan itu tidaklah sempit sangat. Ada penyaman udaranya. Ada kipasnya. Namun, kesedaran pengguna yang rendah menyebabkan kemudahan ini “sedih” untuk dipandang. Sejadah dan telekung solat bukan sahaja berbau hapak dan kusam, tetapi amat kotor. Bersepah di lantai tanpa berkemas dengan rak yang disediakan atau ampaian terbiar kosong. Itu belum lagi dicampur dengan sepahan tisu yang digunakan cik adik manis buat mengelap lebihan gincu. Mmmm kalau diikutkan, cantik molek orangnya tetapi...pengotor! Dengarnya Islam mementingkan kebersihan! Fuihhhhhh. Hal-hal sebeginilah yang sukarkan kita nak jawab bila ditanya oleh orang bukan Islam. Mohon maaf, tidak dapat disertakan gambar buktinya kerana suasana tidak mengizinkan snap sekeping dua gambar. Melibatkan aurat juga.
Di bangunan Low Yatt yang majoriti dikuasai kaum Cina pun, meletakkan suraunya di tingkat UG (dahulu) tetapi kini telah dipindahkan ke B2, di tingkat bawah tanah searas dengan tempat letak kenderaan. Surau dahulu (di aras UG) sempit, namun penyaman udara memberi keselesaan kepada pengunjung. Bersih dan teratur juga. Dan kini, bila berpindah ke aras B2, surau berkenaan lebih selesa. Luas, bersih. Bukan sahaja ada kipas, tetapi ada juga penyaman udara.
Cuma sedikit canggung bila tempat wuduknya dibina bersebelahan antara tempat wuduk lelaki dan wanita. Bagi sesetengah orang memang tak kesah, namun bagi dua tiga tengah orang yang lain, rasa tidak selesa. Maklumlah, untuk mengambil wuduk, memerlukan wanita membuka sebahagian besar daripada tudungnya. Mmmm janggal lah pulak!
Di pusat beli belah Bukit Bintang dan Wang Plaza, surau comelnya memang terjaga. Selesa. Bersih. Kemas dan teratur. Telekung wakafnya juga kira bolehlah digunakan dengan selesa, tanpa bau hapak. Walaupun bilik wuduknya agak jauh sedikit, namun kecacatan sebegitu boleh dimaafkan bila selesa berada di dalam surau comelnya itu.
Nak surau yang lagi selesa masa beli belah, pergilah ke KLCC. Luas. Bersih. Selesa. Yang biasa-biasa aje suraunya bila berkunjung ke MidValey. Di Alamanda, Putrajaya...seadanya sahaja. Taklah secantik dan sebersih di Buikit Bintang Plaza, namun tidak juga sampai ke tahap surau di Sogo atau Berjaya Time Squere. Kiranya selesa seadanya sahaja. Kalau dahulu, semasa Alamanda baru dibuka, suasana dan persekitaran suraunya sama seperti di KLCC. Dah lah luas, bersih, selesa dan menyenangkan. Namun kini, tahapnya turun sedikit walaupun masih tergolong antara surau yang masih selesa digunakan.
Tak kira surau manapun kita pergi semasa beli belah, perkara utama yang perlu diingat adalah awasi barangan sendiri terutama dompet dan telefon canggih yang dibawa. Entah mengapa, tempat ibadat sebegitu menjadi tempat paling bagus untuk mencopek. Sedihkan!