Memaparkan catatan dengan label KLIA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KLIA. Papar semua catatan

Jumaat, 19 Jun 2009

Kota Kinabalu

15 Jun 2009

Pagi-pagi lagi ke pejabat untuk telefon pihak penganjur di Unimas. Nak tahu kat tempat mana perlu aku pergi nanti sepanjang aktiviti di KK nanti. Jam 11.30 balik ke rumah semula untuk ambil bagasi dan terus ke KLIA jam 12.00 tengahari. Penat. Berpeluh. Sebelum bertolak, sempat juga siram bunga. Masa balik kampung minggu lepas, dah layu sebahagian pokok bunga. Baru tiga hari. Kali ni empat hari pula. Entahkan sempat diselamatkan atau tidaknya nanti. Tawakal ajelah nampaknya!

Siapa suruh aku suka tanam pokok kan? Dulu, aku bela ikan juga. 10 hari tinggal, bila balik semula...semuanya terapung. Rasa bersalahpun ada juga. Selepas itu, tidak bela ikan lagi. Entah kenapa agak sukar nak tinggalkan hobi tanam pokok ni. Impiannya nak ada kebun kecil dengan satu rumah munggil, di tepi anak sungai pula. Mana nak cari? Entah tercapai tidaknya impian itu. Ada sesiapa nak derma rumah sebegitu tak?

Tiba di KLIA jam 12.45 tengahari. Kira sedang eloklah tu. Tak perlu tunggu lama-lama. Bosan. Namun, dua bulan tak datang KLIA, ada perubahanlah pulak. Penumpang perlu check in sendiri guna mesin. Benda macam ni lah yang aku malas. Aku bukanlah orang yang suka berurusan dengan benda mati. Berbanding pergi muzium, aku lebih suka pergi zoo. Boleh lihat benda hidup, bukannya tinggalan sejarah yang dah lama berlalu.

Dunia dah semakin maju, tenaga manusia memang kurang diperlukan. Dari sudut kos, dah tentu jimatkan. Mesin tu tak letih. Tak penat. Tak perlu shif. Tidak seperti manusia yang perlukan semua itu. Mesin akan kurangkan tenaga kerja. MAS memang untung dapat jimatkan kos operasi, namun, pada masa yang sama tenaga kerja akan dikurangkan. Ekonomi sedang gawat, semakin ramailah penganggur bertauliah di negara kita.

Check in itu tak berjaya walaupun telah diulang hingga tiga kali. Kan dah kata, aku memang tak suka berurusan dengan mesin. Mesin tu pun macam tahu je. Nasib baik mesin tu hanya reject check in aku aje, bukannya maki aku kan...itu untungnya mesin. Tak akan maki, tak akan senyum juga. Jadinya, terpaksalah aku guna manual di kaunter. Dapatlah tengok manusia senyum kan? Mesin tu bukannya tahu senyum atau ucap terima kasih pun. Bila tengok boarding pass, mataku terbuka luas. 36G???? Alamak, belakangnya!

Kalau naik belon begini, dapat tempat duduk di belakang, alamatnya kena lambunglah! Tak mustahil boleh mabuk udara bila kapal terbang rempuh awan. Goyang. Gegar. Harap-harapnya taklah pening-pening lalat nanti. Namun akhirnya aku sedar, nanti akan naik Airbus 320 berdasarkan tempat duduk itu 36G. Kalau takat boeing 272, tempat duduknya takat F je. Kalau dah terlebih hingga G, maknanya Airbus sebab airbus muat hingga 10 tempat duduk untuk satu baris (hingga angka K). Lega sikit hati. Paling tidak, goyangnya memang tak rasa sebab airbus ni besar. Keduanya, cepat sampai.

Masa boarding 1.30 tengahari di terminal A2. Walaupun terminal A ni panjang sikit, sebab masa masih ada, tak kesahlah walaupun sebenarnya aku memang alergik dengan terminal A. Letih kena jalan! Nak buat macam mana, nak tak nak kenalah jalan juga, kecualilah ada alasan untuk guna kerusi roda. Jadinya, melangkahlah aku macam siput ke terminal A2. Sepanjang jalan tu singgah merata tempat. Boath perfume. Coklat. Majalah. Jam. Kat tempat jam tu lama sikit aku berhenti. Tengok sana sini kalau-kalau ada jam cantik yang murah (macamlah ada yang macam tu kat sini) untuk gantikan jam lama aku tu. Enjinnya dah sampai waktu untuk rosak. Dua kali tukar bateri, tahan seminggu je. Kira okey juga jam tu rosak. Dah 15 tahun dia berkhidmat untuk aku (sejak 1994). Cuma, yang tak kenanya, kenapalah dia rosak pada waktu yang tak sesuai? Masa aku tengah sengkek!

Tak banyak pilihan jam yang mampu aku beli. Bentuknya yang besar macam gerabak keretapi tu buatkan tak terliurpun nak beli walaupun niat asal memang akan rembat je kalau ada yang harganya bawah RM300. Memang ada...Cuma tak berkenan bentuknya. Kenalah pilih betul-betul. Mana tahu jam baru tu nanti akan aku pakai hingga 20 tahun akan datang.

Orang memang ramai. Patutpun guna airbus. Memang penuh. Hanya ada beberapa tempat kosong saja kecuali tempat yang ada kelas kat depan tu. Ingatkan, bila cuti sekolah dah habis, aku tak payah beratur panjang. Manalah nak tahu ramai lagi yang sambung cuti sehari lagi.

Sebab tempat dudukku agak terkebelakang, maka aku antara penumpang yang masuk awal. Baru je duduk, datanglah sorang mak cik yang seksi ni. Macam minah Arab. Pakai baju sulam-sulam tak ada lengan dan singkat hingga paras lutut saja. Rambut perang. Kukunya merah menyala (tak kan pakai inai kan...korang sendiri tau kan dia calit dengan apa). Make up tu tak payah kiralah, macam burung hantu. Sebab tempat duduk aku kat tepi, jadinya aku cubalah nak bangun. Konon-kononnya nak bagi laluan kat mak cik ni. Mudahkan dia tolak beg pakaian berjenama kat tempat simpanan barang kat atas tu. Beg tu memang nampak pun dah tau berat. Kalau hempap kepala aku, dah sah-sah boleh sawan babi kat situ.

Namun, dia yang memang tak sabar-sabar nak tonyoh masuk begnya tu bukan pedulipun kat aku yang dok terkial-kial bangun dan beri laluan kat dia. Dia ingat aku ni baik sangat ke? Aku bangun tu pun sebab nak elak kepala aku ni jadi mangsa beg mahal dia tu kalau hempas atas kepala. Sewel nanti sape nak jawab? Tau lah aku ada ambik insuran, tapi kalau dah sewel dan biol, ada insuran juta-juta pun ada makna ke? (ni bahasa orang tengah marah. Memangpun aku marah!)

Dah selesai dia tonyoh beg masuk ke tempat simpanan barang di bumbung airbus tu (sempat juga dia tonyoh kepala aku sama. Bukannya nak minta maaf. Kurang ajar punya mak cik!). Selamba badak je dia duduk kat tempat dia tu macam mak datin. Baca majalah hiburan artis antarabangsa. 10 minit kemudian, datang pramugari manis minta dia check boarding pass sebab tempat tu adalah tempat duduk orang lain. Padan muka! Berlagak lagi! Masa tu barulah terhegeh-hegeh nak sengih sana sini. Ingat orang heran?

Ingatkan cerita habis kat situ je. Seronok je aku baca novel Dina (Kasih Aryssa), tetiba mak cik tu datang. Masa tu pilot dah umumkan pesawat akan mendarat. Semua anak kapal dah diarahkan ke tempat duduk masing-masing. Ada ke pulak dia datang nak angkut beg mahal berjenama dia tu kat atas kepala aku. Tertonggek-tonggek dia keluarkan begnya tu. Kalau masa tu pesawat memang dah cecah tayar ke landasan, dia ingat kepala aku ni masih selamat ke dihempap beg dia tu?

Aku tau ler beg kau tu mahal, tapi belajar-belajarlah sikit hargai nyawa orang. Beg tu boleh beli sejuta buah lagi kalau banyak duit. Kepala aku ni siapa nak ganti kalau kena hempap beg tu? Gaya je lebih, kalau betul banyak lebihan duit sangat, kenapa nak bersesak kat kelas ekonomi ni? Ambik je lah kelas bisnes. Tak pun kelas satu kan. Menyampah betul aku dengan makcik ni. Harapkan muka je calit warna warni ngalahkan mawas (aku mis tengok siri akhir zati dan mawas la...di KK tv9 tak sampai...huwaaaaaaaaaaa!), kepala letak kat lutut apa!

Nasib baiklah Kota Kinabalu memang menawan. Pijak saja bumi, hati jadi sejuk semula.




























Tiga empat tahun tak datang, KK memang banyak berubah. Airport baru dah boleh guna. Lebih selesa dan besar. Jalan ke lapangan terbang juga dah jadi 3 lorong. Dulu 2 lorong saja. Sepanjang jalan juga cantik dengan lampu-lampu jalan yang gah. Macam di Putrajaya pulak. Akhirnya, sampai juga aku di Court Yard Hotel yang terletak di 1Borneo.


Cantik tak no pendaftaran ni?









1Borneo ni baru je siap dan digunakan setahun. Lebih kurang macam midValey. Kira pusat beli belah terbesar di Borneo. Kat sini ada 4 buah hotel seperti Novatel, Borneo Hotel, Court Yard dan Tune hotel. Selebihnya adalah shooping kompleks yang ada macam-macam. Kira tempat orang-orang kaya lepaklah. Sebabnya, kalau aku, aku tak akan shooping kat sini kerana barang-barang yang dijual lebih kurang macam di KLCC. Yang berjenama. Yang murah-murah tu, payah nak jumpa. Takat nak makan fastfood tu bolehlah.




































Siksa amat dapat bilik yang tak ada tingkap. Macam tinggal dalam kotak je. Sesak nafas! Nak buat macam mana, ada masa tak boleh cerewet sangat. Terima ajelah seadanya. Ramai orang tak ada rumah pun nak tidur malam, kenalah bersyukur aku tidur bertemankan astro yang terpasang sepanjang masa.




















Dah check in, rest sekejab kat bilik, aku pakai selipar jelajah 1Borneo. Tempat pertama pergi adalah cafe internet. Masa telefon urusetia sekejab sebelum turun, dia beritahu semua aturcara ada dalam website. Bila ke cafe internet, tak dapat bukalah pulak. Membazir je RM2 aku. (Bestnya CC kat sini RM2 satu jam. Kat belakang rumah aku tu pun dah RM3 sejam. Shooping kompleks bertaraf banyak bintang ni pun masih RM2? Kagumnya aku!) Selepas tu jejalan sambil snap gambar sana sini mana yang rasa ok. Selebihnya sebab nak cari makanan isi tembolok. Manalah tahu tengah malam nanti kelaparan. Mana nak cekau? Order di hotel memanglah boleh. Tapi kalau harga sepinggan me goreng yang taklah sesedap mana tu sampai RM25, faham-faham sendirilah. Belum sampai masanya lagi untuk aku membazir sampai tahap tu. Tak ada pilihan lainlah pulak ceritanya.

Sepanjang dok pi mai pi mai merata itu, aku jumpa kedai “Something D’fferent” yang jual cenderamata. Maka tertunailah hajat Dina untuk tampal benda-benda pelik kat peti ais dia (tak payahlah aku letak gambar kan, mesti Dina akan snap gambar tu dan tampal kat blog dia. Kalau korang tak percaya, tengoklah nanti. Dina, jangan ko buat lupa lak nak tampal, karang blog aku kena baling dengan telur busuk lak). Macam-macam aku jumpa sampai naik geram pulak. Nasib baik berjaya menenangkan diri dan ambil yang paling comel dan unik je. Yang biasa-biasa tu, kira tak payahlah ye Dina. Nanti aku cari kat tempat lain pulak. Mana tahu dua tiga bulan lagi aku pergi Kuching ke, Alor Star lagi ke, ataupun Kuala Trengganu. Bolehlah aku beli yang rupanya macam keropok lekor kan?

Masa melilau kiri kanan tu, aku jumpa satu lagi kedai yang jual benda-benda pelik. Di dalamnya aku jumpa katak hijau yang comel. Pemetik api. Cantik dan comel je. Aku memang suka sangat-sangat dengan katak hijau ni jadi teruja amat. Namun, bila fikirkan benda tu tak ada fungsi sangat dalam hidup aku, niat untuk beli aku padamkan. Musim gawat ni, tak elok membazir. Terdetik juga nak beli untuk Caluk sebab dia juga suka katak hijau (aku memang macam ni, kalau jumpa benda-benda yang orang suka –kalau aku tau la dia suka apa-apa benda, kecuali rokok- aku memang akan beli), tapi bila fikir balik, terus kansel.

Sorilah Caluk, memang bukan rezeki kau. Tak elok beli barang kat suami orang tanpa sebab yang nyata. Kalaupun kau tak naik perasan, atau Jue tak baling aku dengan lesung batu, tapi elak fitnah itu lebih baik kan? Kalau kau berkenan dengan pemetik api kata hijau yang comel tu, siap ada bunyi katak lagi (lupa la pulak nak snap gambar...risau kena kejar dek tuan punya kedai yang hensem), nanti kau kirim ya. Bulan depan aku pergi KK lagi sekali. Aku boleh tolong belikan. Tolong beli ya, bukan free. Harganya RM15 tak termasuk segelas fresh oren penghilang dahaga aku masa pegi beli tu lagi.

Bukan apa, aku tak mau ada gosip dengan mana-mana suami orang. Bukan sebab takut dengan Jue, tapi hormati dan gembira dengan sebuah perkahwinan yang bahagia. Dah tentulah aku tak mahu kebahagiaan orang lain musnah. Adakala benda kecil pun boleh jadi perang besar kan. So, lebih mudah elakkan daripada awal lagi.
Comel je kedai ni kan?

Akhirnya, makan malamku hanyalah 2 ketul ayam KFC dan kentang putar. Aku tau lah nak boikot barang Israel, tapi kalau fastfood macam KFC, McD, Pizza Hut je yang aku yakin halal kat sini, kenalah makan yang tu kan. Memanglah ada food court dan banyak restoren yang boleh dipilih kat sini, tapi aku memang tak reti nak pilih yang mana. biasanya kalau datang Sabah atau Sarawak, aku akan makan KFC atau McD je walau berapa lamapun aku kat sini. Sebabnya, aku tak pandai nak tentukan kedai makan yang mana satu halal dan diusahakan oleh peniaga Islam. Rupa paras dan warna kulit mereka kat sini lebih kurang sama saja. Tak pandai nak beza. Jadinya, nak selamat, kira minggu ni muntahlah aku makan KFC dan McD. Alahai!


Nombor kegemaran aku...tetiba dapat masa simpan barang di Giant...wow!

Selasa, 11 November 2008

Aku Datang Lagi...

7 November 2008.
Entah kali ke berapa bumi Alor Star itu kupijak lagi. Setelah kalut di pejabat pada paginya; menyempurnakan apa yang perlu dibawa bersama, fotostat, mengambil tiket dari pihak yang menguruskannya, terkejarlah diri ke KLIA tanpa sempat bersarapan pun. Penerbangan MH1208 akan berlepas dari KLIA pada jam 13.55 memerlukan masa sejam untuk daftar masuk. Jam 12.15 diri sudah jejakkan kaki di KLIA yang tersergam megah itu.

Setelah selesaikan urusan daftar masuk, kaki menghala pula ke Pejabat Pos. Beberapa keping surat dan bil perlu dijelaskan juga setiap bulan sedangkan sepanjang siang diri terlari menghambat pelbagai tarikh akhir yang tidak pernah sudah, menyelit-nyelit lagi dengan mesyuarat-mesyuarat yang akan diakhiri dengan minum, ataupun melakukan penyelidikan yang lebih banyak berada di hadapan komputer untuk mencari maklumat. Untungnya zaman teknologi maklumat ini, tanpa perlu ke gedung ilmu pun masih dapat mengaut sebegitu banyak maklumat secara online. Syukurlah.

Dan kelelahan itulah buatkan rasa syukurpun ada bila syarat untuk daftar masuk itu sekurang-kurangnya sejam sebelum. Sempatlah juga menghela nafas seketika. Untuk itu, terus sahaja aku masuk ke dalam menuju ruang pelepasan. A5. Agak jauh juga perlu berjalan. Namun, pelbagai perkara yang ada sepanjang laluan ke A5 mampu melekakan. Di persimpangan menuju terminal A dan B terdapat deretan gerai pamerkan buku-buku, beg pakaian berjenama, pelbagai jenama make up dan pewangi pelbagai jenama juga, coklat, jam. Ralit seketika di situ. Hanya memerhati, meneliti. Maklumlah barangan bebas cukai. Harga di sini lebih murah berbanding di pusat beli belah di tengah Kuala Lumpur. Pernah kubandingkan. Beza harga itu ada kalanya cecah hingga RM50. Berbaloi juga andai beli di sini. Namun, bukannya tiap kali melintas di sini perlu dibeli. Barang yang harga ratusan ini bukanlah selalunya sesuai untukku. Maklumlah, bila diri sendiri yang perlu tanggung kosnya, agak berat sikit tangan mahu menghulur. Ada gigil. Lainlah kiranya tangan lain yang menghulur kosnya, dan tanganku pulak menarik barangannya. Tak salah bermimpi, namun...mmmmm simpanlah saja mimpi itu!

Tekak yang kering terpaksa juga dibasahkan. Masa lebih sejam sebelum boarding memanglah lama. Dan mahu atau tidak, kedekut atau tidak, sayang wang atau tidak, aku singgah juga ke satu kafe. Hanya minum ais lemon tea. Harganya hanya RM5.90. Kalau di bangi, sudah tiga gelas boleh kuteguk. Sudah kembung perut. Namun, sesekali, bukankah tidak perlu berkira sangat walaupun dalam handbeg yang baru kubeli seminggu sebelumnya (bulan yang paling banyak duitku melayang kerana beli handbeg, beli lap top, beli pen drive) ada terisi sebotol air mineral. Dan di kafe santai itulah aku sambung lagi kerja-kerjaku yang masih belum siap hingga tiba saat boarding.


Lapangan terbang Sultan Abdul halim Shah Alor Star yang baru. cantik kan?
Alor Star bukanlah tempat yang asing buatku. Dalam setahun, entah berapa kali buminya kupijak, sama ada untuk urusan kerja ataupun bertemu teman-teman. Malah, sebenarnya, bumi itu lebih kerap kukunjungi berbanding negeri kelahiranku. Keakraban diri dengan Alor star jadikan dialeknya berjaya kukuasai biarpun ada masanya kantoi juga dengan istilah-istilah tempatan yang agak pekat nilai kedaerahannya itu.


Tiap kali ke Alor star, Holiday villa bagaikan rumah sendiri. Lokasinya memang strategik. Bersebelahan dengan pusat beli belah City Plaza. Ada pasaraya billion di dalamnya. Ada deretan kedai-kedai menjual pelbagai barangan. Ada McD juga. Di sisi dan belakang hotel pula terdapat deretan kedai-kedai yang menjual pelbagai terutama pakaian. Tidak jauh dari situ ada kemudahan pelbagai bank. Ada juga bangunan Pekan Rabu yang tersohor di tengah Alor Star itu. Memandang ke bawah dari tingkap hotel, terlihat jalan luas terentang. Mydin. Kamdar juga.

Kala Jumaat malam seawal tujuh malam, di lorong sisi hotel yang letaknya betul-betul di hadapan City Plaza, terdapat gerai-gerai jualan up town. Walaupun tidak banyak gerai yang ada, lebih kurang dua puluh gerai sahaja, namun suasana meriahnya tetap terasa. Menjadi tempat lepak dan santai untuk anak-anak muda. Sepanjang Ramadhan lepas, jualannya berlangsung setiap hari. Meriah hingga jam dua atau tiga pagi.

Ni Pekan Rabu yang jadi kebanggaan orang Alor Star. Kalau nak dapatkan makanan tempatan, di sinilah tempatnya. Dodol dan makanan tempatan yang lain banyak dijual.
Ruang kosong antara City Plaza dan deretan kedai di seberang jalan itu juga diwujudkan gerai jualan makanan. Cantik direkabentuk ala-ala ruang santai di Bukit Bintang. Selesa untuk duduk-duduk sambil menikmati juadah. Santai juga. Namun gerai-gerai itu dibuka selepas jam 3 petang hingga larut malam dan awal pagi. Makan dengan santai di sini sambil menikmati keenakan hidangan rasa tempatan, pandangan bebas dilepaskan ke sekitar. Melihat gelagat muda mudi. Menghayati denyut kota ini yang hanya sesekali sempat ditelusuri.

Ni Pekan Rabu dalam bangunan Pekan Rabu. lebih kurang macam Pertama Kompleks je. Kalau tak sempat sampai Pekan Rabu ni...korang pegi je la nikmati suasananya di Pertama Kompleks. Ok tak idea tu?

Di situlah kunikmati nasi ayam yang sedap. Memang perut tengah lapar tahap kebulur, namun kelembutan nasinya, wangi aromanya, enak supnya...memang kena dengan selera laparku ketika itu. Sepinggan nasi bagai tak cukup. Bagai tak terisipun tembolokku. Namun, setelah dihabiskan bersama segelas teh o ais limau yang lebih enak rasanya berbanding ais lemon tea di KLIA, kekosongan terhalau jauh. Dan petang yang mendung itu kuhabiskan dengan melilau segenap gedung-gedung yang menjual pelbagai jenis barangan. Murah. Namun, sebahagian besarnya import dari Thailand. Namun, ada saatnya, harga itu lebih mahal dari harga di bangi.

Ni antara barangan makanan kering yang dijual di pekan Rabu. Ikan pekasam pun ada jual gak di sini.
Malamnya kuhabiskan dengan menyambung semula kerja yang masih belum juga siap. Kerja yang sepatutnya disiapkan oleh orang lain. Namun, disebabkan mereka tidak siapkan kerja mereka, mahu tak mahu aku kena siapkan juga. Kalau tidak, reputasi aku juga yang teruk esok. Dan kerna itu, jam 3.45 am, diri yang masih lagi dihuni kantuk dan rindukan selesanya tilam serta selimut terpaksa dibangkitkan juga dari mimpi. Segelas kopi panas kuminum menahan rasa mengantuk itu. Akhirnya, semua dapat disiapkan kala kumandang azan Subuh menerobos sela-sela tingkap hotel.

Bilik hotel yang jadi tempat aku landing tiap kali pergi Alor Star. Aku tanya petugas kat kaunter tu, depa kata harganya satu malam RM220 nett. Aku dok FREE je...

8 November 2008
Diri hanya sempat berbaring seketika menantikan air penuh dalam tab mandi. Merendamkan diri seketika dalam air hangat yang melonggarkan lesu tiap inci urat saraf. Mengejutkan buli-buli darah yang masih lagi lena sebenarnya. Seusai sarapan, kerjapun bermula hinggalah tamat jam 3 petang. Tanpa henti. 6 jam tu...ikutkan hati dan rasa, memanglah blur dan mengantuk. Apapun, kena juga kontrol diri. Kala tiba di hotel semula jam 3.30 pm, kepala tidak lagi pedulikan makan tengahari yang terlepas, namun lebih ingatkan kelembutan bantal yang menanti. Kehangatan gebar yang akan membalut diri. Dan aku tertidur hingga jam 6 pm. Nyenyak. Lena.




Tanpa secalit make up, setelah basuh muka seadanya, hajat di hati nak qada makan tengahari. Namun, kata orang, bila bukan rezeki untuk kita, apapun tetap bukan rezeki. Gerai nasi ayam yang sedap itu kukunjungi lagi. Duduk di kerusi dan menanti adik-adik yang berkerja di situ datang ambil pesanan. Namun sebegitu lama tunggu, tiada siapa yang datang. Tanpa pedulipun. Tatkala orang lain yang datang kemudian dilayan dahulu, angin baran tiba-tiba meruap datang. Sudah agak lama angin itu tidak bertandang. Entah kenapa di tempat orang dia berkunjung semudah itu. Lalunya, gerai itu kutinggalkan biarpun keroncong di perut usah dikira. Namun, memikirkan lebih banyak hal tidak elok akan berlaku kiranya aku terus di situ, kaki kubawa ke tempat lain.

Sebuah gerai lain jadi sasaran. Terpaksa menunggu lagi. Layanan bagus tetapi Q yang lama buatkan aku terpaksa angkat kaki lagi sekali. Bimbang tidak sempat untuk mandi. Akhirnya, aku memutuskan untuk beli roti di pasaraya Billion yang terletak di City Plaza yang kumakan dengan gelojoh sambil bersiap. Hanya sebagai alas perut sebelum kujumpa apa-apa makanan di lapangan terbang nanti.


Di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Star, kunikmati makan tengahari yang sudahpun bertindan dengan makan malam. Meehun Goreng Tomyam. Harganya RM5.90, sama mahalnya dengan harga segelas air di KLIA. Alhamdulillah, kenyang jugak. Itulah rezeki diperuntukkan untukku pada hari itu.

Penerbangan MH 1253 pada jam 21.20 selamat mendarat di KLIA lebih kurang jam 22.20. Sepanjang penerbangan, biasanya banyak aktiviti boleh dilakukan, membaca, menulis, menelaah, namun kali ini semua itu kulakukan sekitar sepuluh minit sahaja. Selebihnya melelapkan mata. Badan terlalu lesu. Mata terlalu kantuk. Diri tersangat letih. Di dalam limo juga begitu.


Sampai di rumah, setelah cuci muka seadanya, mimpi pun kukait!

Isnin, 22 September 2008

Seorang Sahabat yang itu...


Lelah mengejar mentari di Alor Star selama 3 hari bagai mendera fizikal. Diri bagai sudah lunyai berlari ke sana sini, mengisi masa terluang di setiap sela detik menunggu dengan membaca sebuah novel berjudul @ Dimensi Buni karya Ryina Ikhwan. Dalam teksi. Di KLIA sementara menunggu waktu perlepasan. Dalam penerbangan yang mengambil masa 55 minit. Di bilik hotel yang suram sambil memanggil rasa kantuk yang enggan berkunjung biarpun lesu fizikal usah dikira. Dan, setiap detik yang terluang sebenarnya. Hingga akhirnya, novel itu, biarpun agak berat untuk dikhatamkan, berjaya jua dihabiskan sepanjang 3 hari yang lelah itu.

Agak lama tidak mendera fizikal sebegitu, stamina diri nyata benar telah menurun. Kembali ke kamar semula, diri bagai terhenyak dan selesa dalam lembut tilam yang sentiasa kuimpikan biar seberapa selesapun hotel berbintang yang kutumpangi. Perbandingannya memang nyata benar, namun rasanya tetap jua di situ. Kamar itu jua yang kuingat. Yang kurindu.

Kala duduk di kerusi pada pagi Isnin yang redup ini, hati terbuai riang menerima email daripada seseorang. Seorang teman yang sudah terlalu lama sebenarnya tidak bertemu mata. Kami kenal, bertemu dan mula berinteraksi sejak sekolah menengah tinggi dahulu. Setelah itu hanya warkah jadi titipan. Kemudiannya, seiring dengan kecanggihan dunia, email pula sering berbalas biarpun kesibukan diri masing-masing banyak membataskan waktu. Namun, dia tetap seorang sahabat yang tak mungkin terlupakan biarpun sudah punya isteri dan anak-anak, punya kesibukan dengan kerjanya sebagai seorang guru.

Diri amat berterima kasih padanya. Sekalipun dengan ragu-ragu, dia menyapaku lewat email awal tahun lalu. Aku cukup berterima kasih dengan keinginannya untuk menyambung semula hubungan kami yang sentiasa tenggelam timbul itu biarpun sebenarnya dia sangat rendah diri. Tahukah dia yang “nilai” seorang kawan itu lebih daripada segala? Tidakkah dia tahu yang aku terlalu gembira dengan sapaannya itu? Tidakkah dia rasakan yang aku terlalu terharu bila dia muncul semula dalam hidupku?

Apa yang kita ada hari ini, bukannya terusan akan dibawa sepanjang hidup. Jika Allah menghendaki kembali apa yang dipinjamkannya pada kita, sesaat masapun sudah cukup untuk melenyapkan segala-galanya. Lalunya, untuk apa perlu dibanggakan segala perhiasan dunia ini. Sahabat, ini bukannya bererti diri membuang nilai dunia, sekadar menyatakan bahawa semuanya hanya bersifat sementara. Ada kala kita memilikinya, ada masa yang lain kita akan kehilangannya. Lalunya, untuk apa untuk rasa kerdil dengan perbezaan darjat dan kedudukan dunia ini sedangkan kita belum tahu lagi apa yang kita ada di alam sana.

Diri ini tetap diri yang dulu. Sahabatmu yang lama itu. Hati masih lagi sebegitu. Jadinya, abaikanlah perhiasan dunia yang Allah anugerahkan dengan nilai kesementaraan ini. Itu hanya nilai yang diberikan manusia. Itu hanya cara untuk membezakan kedudukan di dunia.

Sahabat, teruskanlah perjuangan. Teruskanlah berusaha. Tingkatkan lagi keazaman. Tetapkanlah hati. Dari lelah yang panjang, pasti akan ada hasilnya. Pasti akan membuahkan nilainya. Percayalah pada diri. Percayalah pada naluri. Bakat yang Allah anugerahkan, usah dipersia. Jalan mungkin masih panjang, namun separuhnya telahpun Berjaya diredah. Kalau hati ikhlas dengan apa yang diperjuangkan, suatu masa nanti, tidak akan sia-sia jua. Dari kejauhan ini, daku hanya mendoakan agar kebaikan jua berada di sisimu. Dari jauh ini, daku tidak pernah lupa menitipkan harapan dan doa. Moga dirimu, moga apa yang diperjuangkan, moga apa yang diidamkan akan dicapai jua nanti. insyaAllah.