Memaparkan catatan dengan label Holiday villa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Holiday villa. Papar semua catatan

Selasa, 11 November 2008

Aku Datang Lagi...

7 November 2008.
Entah kali ke berapa bumi Alor Star itu kupijak lagi. Setelah kalut di pejabat pada paginya; menyempurnakan apa yang perlu dibawa bersama, fotostat, mengambil tiket dari pihak yang menguruskannya, terkejarlah diri ke KLIA tanpa sempat bersarapan pun. Penerbangan MH1208 akan berlepas dari KLIA pada jam 13.55 memerlukan masa sejam untuk daftar masuk. Jam 12.15 diri sudah jejakkan kaki di KLIA yang tersergam megah itu.

Setelah selesaikan urusan daftar masuk, kaki menghala pula ke Pejabat Pos. Beberapa keping surat dan bil perlu dijelaskan juga setiap bulan sedangkan sepanjang siang diri terlari menghambat pelbagai tarikh akhir yang tidak pernah sudah, menyelit-nyelit lagi dengan mesyuarat-mesyuarat yang akan diakhiri dengan minum, ataupun melakukan penyelidikan yang lebih banyak berada di hadapan komputer untuk mencari maklumat. Untungnya zaman teknologi maklumat ini, tanpa perlu ke gedung ilmu pun masih dapat mengaut sebegitu banyak maklumat secara online. Syukurlah.

Dan kelelahan itulah buatkan rasa syukurpun ada bila syarat untuk daftar masuk itu sekurang-kurangnya sejam sebelum. Sempatlah juga menghela nafas seketika. Untuk itu, terus sahaja aku masuk ke dalam menuju ruang pelepasan. A5. Agak jauh juga perlu berjalan. Namun, pelbagai perkara yang ada sepanjang laluan ke A5 mampu melekakan. Di persimpangan menuju terminal A dan B terdapat deretan gerai pamerkan buku-buku, beg pakaian berjenama, pelbagai jenama make up dan pewangi pelbagai jenama juga, coklat, jam. Ralit seketika di situ. Hanya memerhati, meneliti. Maklumlah barangan bebas cukai. Harga di sini lebih murah berbanding di pusat beli belah di tengah Kuala Lumpur. Pernah kubandingkan. Beza harga itu ada kalanya cecah hingga RM50. Berbaloi juga andai beli di sini. Namun, bukannya tiap kali melintas di sini perlu dibeli. Barang yang harga ratusan ini bukanlah selalunya sesuai untukku. Maklumlah, bila diri sendiri yang perlu tanggung kosnya, agak berat sikit tangan mahu menghulur. Ada gigil. Lainlah kiranya tangan lain yang menghulur kosnya, dan tanganku pulak menarik barangannya. Tak salah bermimpi, namun...mmmmm simpanlah saja mimpi itu!

Tekak yang kering terpaksa juga dibasahkan. Masa lebih sejam sebelum boarding memanglah lama. Dan mahu atau tidak, kedekut atau tidak, sayang wang atau tidak, aku singgah juga ke satu kafe. Hanya minum ais lemon tea. Harganya hanya RM5.90. Kalau di bangi, sudah tiga gelas boleh kuteguk. Sudah kembung perut. Namun, sesekali, bukankah tidak perlu berkira sangat walaupun dalam handbeg yang baru kubeli seminggu sebelumnya (bulan yang paling banyak duitku melayang kerana beli handbeg, beli lap top, beli pen drive) ada terisi sebotol air mineral. Dan di kafe santai itulah aku sambung lagi kerja-kerjaku yang masih belum siap hingga tiba saat boarding.


Lapangan terbang Sultan Abdul halim Shah Alor Star yang baru. cantik kan?
Alor Star bukanlah tempat yang asing buatku. Dalam setahun, entah berapa kali buminya kupijak, sama ada untuk urusan kerja ataupun bertemu teman-teman. Malah, sebenarnya, bumi itu lebih kerap kukunjungi berbanding negeri kelahiranku. Keakraban diri dengan Alor star jadikan dialeknya berjaya kukuasai biarpun ada masanya kantoi juga dengan istilah-istilah tempatan yang agak pekat nilai kedaerahannya itu.


Tiap kali ke Alor star, Holiday villa bagaikan rumah sendiri. Lokasinya memang strategik. Bersebelahan dengan pusat beli belah City Plaza. Ada pasaraya billion di dalamnya. Ada deretan kedai-kedai menjual pelbagai barangan. Ada McD juga. Di sisi dan belakang hotel pula terdapat deretan kedai-kedai yang menjual pelbagai terutama pakaian. Tidak jauh dari situ ada kemudahan pelbagai bank. Ada juga bangunan Pekan Rabu yang tersohor di tengah Alor Star itu. Memandang ke bawah dari tingkap hotel, terlihat jalan luas terentang. Mydin. Kamdar juga.

Kala Jumaat malam seawal tujuh malam, di lorong sisi hotel yang letaknya betul-betul di hadapan City Plaza, terdapat gerai-gerai jualan up town. Walaupun tidak banyak gerai yang ada, lebih kurang dua puluh gerai sahaja, namun suasana meriahnya tetap terasa. Menjadi tempat lepak dan santai untuk anak-anak muda. Sepanjang Ramadhan lepas, jualannya berlangsung setiap hari. Meriah hingga jam dua atau tiga pagi.

Ni Pekan Rabu yang jadi kebanggaan orang Alor Star. Kalau nak dapatkan makanan tempatan, di sinilah tempatnya. Dodol dan makanan tempatan yang lain banyak dijual.
Ruang kosong antara City Plaza dan deretan kedai di seberang jalan itu juga diwujudkan gerai jualan makanan. Cantik direkabentuk ala-ala ruang santai di Bukit Bintang. Selesa untuk duduk-duduk sambil menikmati juadah. Santai juga. Namun gerai-gerai itu dibuka selepas jam 3 petang hingga larut malam dan awal pagi. Makan dengan santai di sini sambil menikmati keenakan hidangan rasa tempatan, pandangan bebas dilepaskan ke sekitar. Melihat gelagat muda mudi. Menghayati denyut kota ini yang hanya sesekali sempat ditelusuri.

Ni Pekan Rabu dalam bangunan Pekan Rabu. lebih kurang macam Pertama Kompleks je. Kalau tak sempat sampai Pekan Rabu ni...korang pegi je la nikmati suasananya di Pertama Kompleks. Ok tak idea tu?

Di situlah kunikmati nasi ayam yang sedap. Memang perut tengah lapar tahap kebulur, namun kelembutan nasinya, wangi aromanya, enak supnya...memang kena dengan selera laparku ketika itu. Sepinggan nasi bagai tak cukup. Bagai tak terisipun tembolokku. Namun, setelah dihabiskan bersama segelas teh o ais limau yang lebih enak rasanya berbanding ais lemon tea di KLIA, kekosongan terhalau jauh. Dan petang yang mendung itu kuhabiskan dengan melilau segenap gedung-gedung yang menjual pelbagai jenis barangan. Murah. Namun, sebahagian besarnya import dari Thailand. Namun, ada saatnya, harga itu lebih mahal dari harga di bangi.

Ni antara barangan makanan kering yang dijual di pekan Rabu. Ikan pekasam pun ada jual gak di sini.
Malamnya kuhabiskan dengan menyambung semula kerja yang masih belum juga siap. Kerja yang sepatutnya disiapkan oleh orang lain. Namun, disebabkan mereka tidak siapkan kerja mereka, mahu tak mahu aku kena siapkan juga. Kalau tidak, reputasi aku juga yang teruk esok. Dan kerna itu, jam 3.45 am, diri yang masih lagi dihuni kantuk dan rindukan selesanya tilam serta selimut terpaksa dibangkitkan juga dari mimpi. Segelas kopi panas kuminum menahan rasa mengantuk itu. Akhirnya, semua dapat disiapkan kala kumandang azan Subuh menerobos sela-sela tingkap hotel.

Bilik hotel yang jadi tempat aku landing tiap kali pergi Alor Star. Aku tanya petugas kat kaunter tu, depa kata harganya satu malam RM220 nett. Aku dok FREE je...

8 November 2008
Diri hanya sempat berbaring seketika menantikan air penuh dalam tab mandi. Merendamkan diri seketika dalam air hangat yang melonggarkan lesu tiap inci urat saraf. Mengejutkan buli-buli darah yang masih lagi lena sebenarnya. Seusai sarapan, kerjapun bermula hinggalah tamat jam 3 petang. Tanpa henti. 6 jam tu...ikutkan hati dan rasa, memanglah blur dan mengantuk. Apapun, kena juga kontrol diri. Kala tiba di hotel semula jam 3.30 pm, kepala tidak lagi pedulikan makan tengahari yang terlepas, namun lebih ingatkan kelembutan bantal yang menanti. Kehangatan gebar yang akan membalut diri. Dan aku tertidur hingga jam 6 pm. Nyenyak. Lena.




Tanpa secalit make up, setelah basuh muka seadanya, hajat di hati nak qada makan tengahari. Namun, kata orang, bila bukan rezeki untuk kita, apapun tetap bukan rezeki. Gerai nasi ayam yang sedap itu kukunjungi lagi. Duduk di kerusi dan menanti adik-adik yang berkerja di situ datang ambil pesanan. Namun sebegitu lama tunggu, tiada siapa yang datang. Tanpa pedulipun. Tatkala orang lain yang datang kemudian dilayan dahulu, angin baran tiba-tiba meruap datang. Sudah agak lama angin itu tidak bertandang. Entah kenapa di tempat orang dia berkunjung semudah itu. Lalunya, gerai itu kutinggalkan biarpun keroncong di perut usah dikira. Namun, memikirkan lebih banyak hal tidak elok akan berlaku kiranya aku terus di situ, kaki kubawa ke tempat lain.

Sebuah gerai lain jadi sasaran. Terpaksa menunggu lagi. Layanan bagus tetapi Q yang lama buatkan aku terpaksa angkat kaki lagi sekali. Bimbang tidak sempat untuk mandi. Akhirnya, aku memutuskan untuk beli roti di pasaraya Billion yang terletak di City Plaza yang kumakan dengan gelojoh sambil bersiap. Hanya sebagai alas perut sebelum kujumpa apa-apa makanan di lapangan terbang nanti.


Di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Star, kunikmati makan tengahari yang sudahpun bertindan dengan makan malam. Meehun Goreng Tomyam. Harganya RM5.90, sama mahalnya dengan harga segelas air di KLIA. Alhamdulillah, kenyang jugak. Itulah rezeki diperuntukkan untukku pada hari itu.

Penerbangan MH 1253 pada jam 21.20 selamat mendarat di KLIA lebih kurang jam 22.20. Sepanjang penerbangan, biasanya banyak aktiviti boleh dilakukan, membaca, menulis, menelaah, namun kali ini semua itu kulakukan sekitar sepuluh minit sahaja. Selebihnya melelapkan mata. Badan terlalu lesu. Mata terlalu kantuk. Diri tersangat letih. Di dalam limo juga begitu.


Sampai di rumah, setelah cuci muka seadanya, mimpi pun kukait!