Dah berapa kali kalian sampai manik urai? Yaaa Manik Urai, tempat paling teruk dilanda bah kuning tahun lepas.
Aku? Baru tiga kali. Kalau nak bandingkan dengan Raja Shamri dan Geng We Are The Third Force, Together We Are Stronger. Sejak awal banjir Disember 2014, mereka tidak pernah berhenti untuk meneruskan misi membantu mangsa banjir besar bah kuning di serata negeri Kelantan. Tahniah! Semoga semangat mereka kuatkan semangat kita juga.
Walaupun dah akhir bulan Mei 2015…dah hampir 6 bulan banjir kuning berlaku di Manik Urai, Gua Musang dan Dabong, namun bagi sesiapa yang pernah jejakkan kaki di Manik Urai, kawasan paling teruk ditenggelamkan banjir kali ini, kita masih boleh saksikan lagi penduduk berada dalam khemah. Bayangkanlah dengan cuaca panas, kering, berdebu…anak kecil, anak remaja, ibu bapa, warga emas bergelumang dalam habuk dan debu di bawah khemah.
Setiap kali menatap status
Raja Shamri, mata memang berkaca. Ramadhan semakin hampir. Bagaimana mereka nak lalui puasa tahun ini dengan serba kekurangan. Serba dhaif. Paling utama, mereka sangat perlukan tempat berlindung dari panas dan hujan.
|
Geng Pak Yunus kutip derma untuk mangsa banjir Manik Urai semasa perlawanan akhir @ final piala FA TRW lawan Lions di Bukit Jalil lepas... |
|
aku malu dengan kegigihan Pak Yunus dan Gengnya |
|
hati selembut tisu walaupun rambut sekeras batu... cayalah Bro!! |
Masa aku ke Manik Urai bulan lepas, rasa nak nangis guling-guling bila seorang kakak tu cerita “kalau hari hujan, kami beramai-ramai duduk di satu tempat dalam rumah ni. Tempat tu je tak tiris, tempat lain bumbung rumah kami adalah langit” dan rumah kakak itu, bumbungnya adalah plastik khemah yang lutsinar. Nampak langit. Boleh bayangkan bagaimana suasana mereka berhimpit anak beranak ketakutan di tempat yang tidak basah dalam keadaan trauma tentang banjir, angin atau hujan itu akan mengibar-ngibarkan plastik-plastik khemah yang menjadi bumbung rumah mereka. Boleh bayang bagaimana kilat yang memancar-mancar sangat jelas dalam pandangan mereka?
Semasa singgah ke sebuah rumah seorang warga emas, rumahnya sedang dicuci menggunakan waterjet. Cuci dinding dan lantai yang ditenggelami air hingga bumbung. Bumbung rumah warga emas ini telah ditukar dengan bumbung zink. Jadinya, nenek ni akan pindah masuk rumahnya. Kena cuci dulu.
|
inilah rumah warga emas itu, keadaannya peringkat awal banjir...kini, batang balak itu masih tergolek sebelah rumahnya, sampah yang lain dah tak ada |
Hati aku tak mampu kata apa-apa bila nenek ni mintak “kalau boleh, ambo nak mintak rak kecik hak murah-murah, nak buat letak baju dan pinggan. Rumah makcik ni hanya ada lantai dan dinding je, lain-lain semua dah hanyut. Tadak gapo sekaro,”
Apa rasanya bila kita tak mampu memberi? Mudahkah nak kata tak boleh? Subhanallah, mereka warga emas yang tak daya nak kerja lagi. Mereka ibu muda yang perlu mengasuh anak-anak kecil sedangkan suami kehilangan pekerjaan selepas banjir, mencari rezeki untuk sesuap nasi pun teramat payah.
Manik Urai Lama ini sekampung tenggelam dek banjir kuning. Bagaimana hanya nak tolong nenek ini sahaja sedangkan masih ramai lagi nenek lain, warga emas lain yang juga perlukan bantuan. Kerdilnya diri. Selepas 6 bulan dilanda banjir kuning, Manik Urai hanya mampu berteleku. Kehidupan memang sedang mereka uruskan, sedang mereka teruskan, namun mereka kehilangan daya upaya. Mereka kekurangan kekuatan. Mereka masih lagi trauma. Mereka kehilangan segala-galanya kecuali nyawa.
Hulurkanlah mereka doa. Simpati. Berikan mereka kekuatan. Bantulah mana yang terdaya. Kalaupun sekadar gali parit dan longkang keliling masjid, mereka sangat hargainya. Walaupun sekadar bertandang, bertanya khabar, mereka amat sanjunginya. Dan hati aku tak adalah tabah mana bila melihat wajah-wajah warga emas, wajah-wajah anak kecil, wajah-wajah anak sekolah ini. Tapi, aku turut jadi kuat bila mereka sangat cekal mendepaninya. Mereka sangat syukuri musibah yang melanda. Subhanallah.
Jika berkemampuan, hulurkanlah sumbangan kewangan. Raja Shamri dan Geng We Are The Third Force, Together We Are Stronger bakal mengadakan Kayuhan Sejuta Kasih bagi mengutip dana dan menebarkan rasa prihatin dengan mangsa banjir di Kelantan pada Disember 2014 lepas. Berikut maklumat tentang Kayuhan Sejuta Kasih;
Tarikh: 3hb Jun 2015
Tempat berlepas: Surau Jumaat- Madrasah Al-Islahiah Addiniah, No.61 Jalan Taman Ibu Kota, Taman Ibu Kota, Setapak 53100 Kuala Lumpur.
Tentatif Program "KAYUHAN SEJUTA KASIH" (Draf Awal):
3hb June 2015 (Rabu)
8.00 pagi - Berkumpul dihadapan Madarshah AlIslahiah Addiniah, Taman Ibu Kota, Setapak, Kuala Lumpur.
- Taklimat
- Bacaan Doa
- Sidang Akhbar
- Minum/Sarapan pagi.
- Solat Dhuha dan Hajat.
8.30 pagi -Pelepasan Kayuhan Sejuta Kasih
1.30 ptg. - Solat Zohor/Asar di Masjid Jamik Bentong. Makan Tengahari.
2.30 ptg. - Kayuhan Sejuta Kasih disambung semula.
5.00 ptg. - Dijangka sampai ke Mentakap.
6.00 ptg. - Sampai Temerloh. - Bermalam di Rest House Temerloh/solat Maghrib/Isyaq
(Pekena Patin Tempoyak)
4 hb June 2015 (Khamis)
5.40 pagi- Solat Subuh
8.00 pagi - Sarapan/ minum pagi.
8.30 pagi - Kayuhan Sejuta Kasih diteruskan.
1.30 ptg. - Dijangka sampai Maran. Solat Zohor/Asar / Makan tengahari.
2.30 ptg. - Kayuhan Sejuta Kasih disambung.
6.00 ptg. - Dijangka sampai Kuantan dan Bermalam. Makan Malam di Tanjung Lumpur/Solat Maghri/Isyaq
5hb June 2015 (Jumaat)
5.40 pagi - Solat Subuh
8.00 pagi - Sarapan/minum pagi.
8.30 pagi - Kayuhan Sejuta Kasih disambung lagi.
1.30 ptg. - Dijangka sampai Kemaman.
Solat Jumaat/ Asar/ Makan Tengahari.
2.30 ptg. Kayuhan Sejuta Kasih diteruskan.
6.00 ptg. - Dijangka sampai Dungun dan bermalam/makan malam/solat Maghri/Isyaq
6hb June 2015 (Sabtu)
5.40 pagi - Solat Subuh
8.00 pagi - Sarapan/minum pagi.
8.30 pagi - Kayuhan Sejuta Kasih di sambung lagi.
1.30 ptg. - Dijangka sampai Kuala Trengganu.
Solat Zohor/Asar dan makan tengahari.
2.30 ptg - Kayuhan Sejuta kasih diteruskan.
6.00 ptg. - Dijangka sampai di Jertih/Besut dan bermalam. Solat Maghrib/Isyaq dan Makan malam.
7hb June 2015 (Ahad )
5.40 pagi - Solat Subuh
8.00 pagi - Sarapan/ minum pagi.
8.30 pagi - Kayuhan Sejuta Kasih diteruskan lagi.
1.30 ptg. - Dijangka tiba Pasir Putih. Solat Zohor/Asar/ Makan tengahari.
2.30 Ptg. - Kayuhan Sejuta Kasih disambung
6.00 Petang dijangka sampai ke Kota Baharu dan Bermalam/ makan malam/solat Maghrib/Isyaq.
8hb Jun 2015 (Isnin)
5.40 pagi - Solat Subuh
8.00 pagi - Sarapan/ minum pagi.
8.30 pagi. - Kayuhan diteruskan lagi.
1.30 Petang dijangka tiba Kuala Krai/Solat Zohor/Asar/makan tengahari. Kayuhan Sejuta Kasih ditamatkan ditempat /kawasan/daerah kejadian banjir besar paling dahsat terjadi.
#Ketepatan tarikh sampai dan waktu berlepas disetiap destinasi boleh berubah bergantung pada cuaca dan keadaan.#
Datanglah beri sokongan. Datanglah kayuh bersama. Bagi sesiapa yang terbuka hati untuk menderma kepada mangsa banjir di Manik Urai, Kuala Krai, Tumpat, Gua Musang dan Dabong, bolehlah jadikan akaun Raja Shamri sebagai perantaraan. Itupun jika anda yakin beliau boleh salurkan sumbangan anda itu kepada mangsa banjir. Aku yakin. Aku percaya. Bank in sahaja di akaun;
Maybank Jerteh : 5130 4105 0271 (Raja Shamri)
Kemudian Whatsup Raja Shamri: 017-3872232 beritahu nilai sumbangan anda kepada beliau. Namun begitu, nak ingatkan anda, Raja Shamri tidak keluarkan resit derma untuk anda yang bolehkan anda membuat tuntutan di Lembaga Hasil dalam Negeri dalam tuntutan cukai tahunan anda. Beliau bukan NGO, persatuan atau perbadanan yang jalankan khidmat masyarakat. Kita hanya minta tolong beliau salurkan sahaja. Kita yang sempurna anggota badan ini tak berdaya untuk meneruskan misi bantuan pasca banjir berbanding Raja Shamri walaupun dia berkaki palsu. Yaaa sebelah kakinya palsu. Dia OKU, tetapi dia lebih gigih dari kita. Aku sangat malu. Tersangat malu!
Banyak pengalaman yang aku kutip sepanjang di Manik Urai. Banyak gambar dirakamkan. Banyak kisah divideokan. Banyak rasa tak terluah yang ramai orang tak tahu ada dalam simpanan aku. Pengalaman banjir kuning? Mungkin, kalau ada kesempatan, boleh aku kongsikan di blog tak seberapa ini. Yaaaa ada yang bercerita sambal ketawa, namun tawa itu sarat dengan tangisan dan kepedihan. Walaupun kita cuba memahami, mereka lagi tahu rasa itu.
Sedikit sumbangan kita mampu membantu mereka hidup lebih selesa Ramadhan nanti.
PssssT: semua gambar dalam entri ini diambil dalam
FB Raja Shamri. Harap maklum.