Hari minggu yang cerah. Biarpun sepanjang Sabtu terlalu letih dengan kerja hingga buku lali bengkak semula akibat enam jam berdiri tanpa rehat (ingatkan terseliuh hanya perkara biasa yang akan baik semula setelah diurut, rupanya surut bengkak dek pandangan kasar tidak bermakna telah pulih sepenuhnya), hari minggu ini kubawa jua kaki ke tengah sesak ibu negara. Sasaran pertama: Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC.
Ada beberapa aktiviti berlangsung di PWTC ketika ini (Ahad). Pertama pameran Usahawan. Tak banyak tapak pun untuk pameran ini. Masa sejam sudah lebih dari cukup untuk dapatkan semua info dalam pameran ini. Terdapat gerai-gerai usahawan kecil dalam pelbagai industri. Produk kecantikan, dobi, pertanian, hasil tani, bank-bank tempatan, Tekun Nasional, tabung haji, Bank Negara Malaysia.
Biarpun pameran tu taklah besar sangat, tak juga meriah sangat berbanding pasar malam atau pasar minggu, namun banyak perkara baru boleh dilihat kat situ. Usahawan kita mampu macam-macam produk sekarang ni terutama daripada hasil tani. Ikan haruan bakar segera. Macam-macam jenis jus dan kopi. Macam-macam produk makanan seperti keropok lekor, kuih tradisi dan ada juga yang jual beriani. Entahkan segera entahkan terus makan, tak pulak aku pastikan sebab pada masa itu aku b aru sahaja makan. Jadinya, bila kenyang ni...daya tumpuan kepada makanan tu rendah sikitlah.
Aku tertarik dengan dua produk dalam pameran ini. Pertama, produk-produk yang dihasilkan daripada kurma. Mereka dah pelbagaikan kurma dengan pek yang menarik. Pembungkusan yang kemas dan nampak, profesional dan tak jangkapun produk itu dikeluarkan usahawan Melayu kita. Syarikat ini hasilkan produk dari kurma untuk dimakan macam biasa dalam kotak-kotak tu, kurma yang digabungkan dengan kekacang dan ada juga kurma ini disalut dengan coklat. Bila rasanya, memang sedap. Kalau tak ada promosi, memang tak mampu nak beli. Hanya beberapa biji sahaja untuk harga RM10. Dan aku yang suka barang FREE ni, hanya rasa yang FREE itulah sahaja. Memang sedap!
Kedua, kopi yang dihasilkan daripada herba tempatan. Macam-macam jenis herba dimasukkan. Dihasilkan di Pulau Pinang tetapi pasarannya dah ada di lembah Klang. Kata promoternya, kopi tersebut boleh diminum oleh orang yang sakit kencing manis dan migrine. Apalagi, aku pun nak test lah betul ke tidaknya. Migrine aku memang alah dengan kafein, jadinya, kopi yang sedap itu (memang betul-betul sedap. Tak payah tambah susu atau gula lagi. Memang dah sedia untuk diminum. Sangat sesuai untuk peminat kopi Tongkat Ali. Boleh diminum untuk lelaki dan wanita) aku minum tanpa was-was. Siap mintak segelas lagi kononnya nak buat ujikaji. Hasilnya, selesai sahaja segelas kopi yang sedap itu, aku terus pening-pening lalat. Hanya pening-pening lalat sahaja, bukannya kepala berdenyut seperti migrine yang biasa aku alami. Kerana ujikaji tersebut, aku terpaksa juga ambil dua biji ubat migrine. Risau jugak kalau jatuh terjelepuk dikhalayak ramai sebegitu. Tak pasal-pasal kebolehpercayaan terhadap kopinya itu diragui.
Aktiviti kedua di PWTC adalah pameran hartanah. Beberapa syarikat pemaju perumahan untuk rumah teres, kondo, ruang pejabat mengadakan pameran. Selebihnya ditumpang dek syarikat perabut, kad kredit, dan barangan rumah yang lain.
Aktiviti ke tiga di PWTC merupakan seminar dan pameran miritim Malaysia. Seminar tu dah pastilah kena bayar tetapi pameran tu percuma sahaja. Jadinya, aku bawakan diriku ke pameran tersebut dalam perjalanan ke The Mall untuk makan tengahari. Banyak juga ilmu boleh dikutip dalam pameran berkenaan seperti di Akademi Laut Malaysia, Universiti Malaysia Trengganu, The Association for European Transport (AET) [kat sini sempat la jugak aku tanyakan serba sedikit pasal lanun di Somalia tu…peramah dan baik hati je abang-abang hensem kat situ), UiTM Shah Alam dari Fakulti Kejuruteraan juga ada buat pameran, ramah-ramah adik-adik kat situ.
Satu tapak pameran yang menarik perhatian kat sini adalah syarikat Kejuruteraan Asas Jaya Sdn. Bhd. yang menguruskan kejuruteraan untuk alam sekitar. Satu je sempat aku tanya hingga ke akar umbinya sebab tertarik dengan cara mereka memerangkap sampah di dalam sungai. Cara tu tak payahlah ye aku terangkan secara panjang lebar sebab teknikal jugak. Nanti-nantilah kalau dah habis sangat idea nak udate blog, aku tulis pulak pasal tu.
Sasaran kedua: Midvaley. Sebenarnya nak pergi ke kedai buku. MPH antara kedai buku yang boleh dikunjungi kalau tidak mahu menjelajah dari satu kedai buku ke kedai buku yang lain. Selesa. Besar dan banyak pilihan. Nak pergi ke Kinakuniya di KLCC pun terpaksa tukar train. Jadinya MPH Midvalley antara pilihan yang terbaik. Senang nak pergi, mudah juga nak balik nanti.
Berikut buku-buku yang kucapai dari rak dengan mata yang kelabu;
1. Kota larangan Qui. Jong Chian lai, DBP 20062.
Lagi lama di MPH, dah sah-sah akan lagi banyak buku yang akan dipunggah. Inipun dah terlebih budget. Hampir dua ratus. Sekali fikir memanglah rasa mahal, namun bila fikirkan minda juga perlukan pengisian walaupun hanya dengan karya-karya sebegitu, hati cepat benar terpujuk. Lagi mudah memujuk diri bila kenangkan hanya itulah hadiah untuk diri dari penat lelah berkerja yang adakalanya melupakan detik indah mengulit mimpi.
Sementara menunggu Maghrib, kaki dihalakan ke Jusco. Agak banyak juga tawaran diskaun jualan hingga mencecah 80 peratus. Jadinya, enjoykanlah diri menjamu mata membelek mana-mana barang yang perlu. Setelah dua minggu menjelajah pusat beli belah hingga kaki bengkak-bengkak, di Jusco MidValey aku putuskan untuk beli handbeg baru dengan potongan harga 50 peratus. Cantik. Berbaloi. Memang benar-benar diperlukan. Namun, setelah itu...beg sandangku terasa ringan. Ringgit Malaysia dah semakin berkurang untuk bulan ini. Baru dua hari bulan November dijalani. Entahkan sempat sampai ke hujung bulan atau tidak. Tambah lagi, bulan ini agak ligat juga aku perlu lakukan kerja luar. Perlukan modal untuk perjalanan itu biarpun boleh dituntut balik.
Ketika menikmati Mi Kari di Food Court MidValey, kelibat Serina (anak Chef Wan) melintas dengan seorang mat saleh. Hensome. Kira macam sama cantik dan sama padanlah. Tak berani nak buat spekulasi siapa si hensem sebelahnya hanya kerana aku melihat. Lainlah kalau aku pergi tanya dan dia sahkan siapa gerangannya sang jejaka kacak itu.
Jam sembilan malam lebih aku menunggu train komuter ke Seremban. Ahad yang penuh dengan aktiviti. Dan malamnya penuh dengan lelah. Namun puas hati. Gembira juga.