Memaparkan catatan dengan label Lombok. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Lombok. Papar semua catatan

Khamis, 30 Oktober 2008

Agungnya Cinta Kanda Lombok

Aku copy and paste artikel ni dari berita Harian hari ni, Khamis 30 Oktober 2008 yang boleh juga dibaca secara online melalui http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Nasional/20081030105533/Article/




KUALA LUMPUR: Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia mengesahkan bilangan wanita negara ini yang lari atau dilarikan ke republik itu meningkat kepada 18 kes tahun ini, berbanding hanya enam tahun lalu.


Sebahagian besar kes dilaporkan membabitkan mereka yang dikesan berada di Lombok, manakala beberapa kes di Sulawesi dan Aceh, dengan kebanyakan sudah berkahwin dengan lelaki Indonesia yang dikenali. Jurucakap kedutaan itu berkata, kes terbaru membabitkan wanita berusia 32 tahun yang dilaporkan ke kedutaan itu semalam. Wanita itu dikesan berada di Aceh, selepas lima hari dilaporkan hilang dari negara ini.


"Kita sedang mengesan dan mendapat maklumat lanjut mengenai wanita itu. Kes enam lagi wanita yang dilaporkan sepanjang tahun ini pula dalam proses dokumentasi, manakala 11 yang lain sudah diselesaikan. “Kira-kira 70 peratus daripada kes itu membabitkan wanita yang berada di Lombok,” katanya ketika dihubungi, semalam.



Bila baca sebahagian daripada petikan di atas ni, serasa nak garu kepala pun tak kena. Nak usap dagu pun tak ada janggut yang nak diusap, nak tegakkan misaipun lagi la tak ada misai yang boleh ditegakkan. Semuanya jadi tak kenalah. Terkebil-kebil sajalah kelopak mata memandang skrin komputer.



Apa yang dikejar anak gadis tempatan sebenarnya? Kalau seorang dua bolehlah dikira kes terpencil di tempat yang terpencil juga. Sekarang ni kes dah semakin besar dan dibesar-besarkan. Malu mak bapak tu usah dikiralah. Tahan juga muka dengan lensa kamera, lensa tv. Angkara cintakah atau nafsu?





Kes anak gadis Malaysia lari ke Indonesia, bermasalah dengan warga Pakistan, Bangladesh dan warganegara lain bukannya kes baru. Sudah terlalu lama terjadi. Sejak kes Raja Bahrain melarikan kedua-dua anaknya dari Australia entah berbelas tahun lampau telah menyedarkan ramai pihak tentang masalah yang timbul apabila berkahwin dengan warganegara asing (sekalipun bukan semua warga asing sebegitu). Namun, selepas itu kes demi kes timbul. Itu setelah berlaku perkahwinan. Sebelum berkahwin, bagaimana? Namun, entah kenapa, anak gadis tempatan kita tidak juga serik.


Mungkin pengaruh filem asing semakin meluas di Malaysia. Peminat Shah Rukh Khan atau Amitabh Bachan akan terkejar-kejar mat Bangla atau Pakistan jual karpet. Peminat telenovela Bawang Putih Bawang Merah akan terlari lari mengikut Kanda Lombok. Selepas ini, warga mana pula akan jadi sasaran untuk dikejar?


Terkenang juga diri dengan cerita seorang rakan. Teman sekampungnya juga lari ke Indonesia setelah perkahwinannya ditentang keluarga. Cinta punya pasal sanggup sahaja redah onak dan duri. Dilambung gelombang di tengah samudera berbelas jam, berkelana di daratan berhari-hari. Terpaksa tukar warganegara kerana kesulitan untuk perbaharui visa tiap bulan. Anaknya juga warganegara Indonesia.


Begitu agungnya nilai cinta. Sanggup hidup bersusah payah makan ubi seperti zaman Jepun, tidak mendapat rawatan kesihatan yang sewajarnya kerana bukan warganegara dan hidup bertani dengan teknologi yang entah berapa puluh tahun tertinggal dari di negara sendiri. Agungnya cinta. Orang kata hujan emas di negara orang, lebih baik hujan batu di negara sendiri. Namun agungnya cinta mengatasi segala. Hujan Emas di Malaysia ditinggalkan untuk menikmati hujan batu, lembing, api dan entah apa-apa jenis hujan lagi di negara orang hanya kerana cinta. Agungnya cinta.





Barangkali aku bukanlah sang pencinta yang agung. Aku tak mampu untuk bertindak sejauh itu. Cinta tetap cinta. Namun tuntutan cinta ada batasnya. Cinta tak akan lepaskan keluarga semudah itu. Tak akan tinggalkan Malaysia tercinta ini, apalagi lurutkan status warganegara. Tak akan sia-siakan ilmu yang diperoleh di universiti dan menjadi petani tak bertamadun sebegitu. Kalaupun mahu jadi petani, jadilah petani moden.





Barangkali cintaku tak seagung cinta mereka. Aku tak sanggup hilang segala-galanya. Yang aku sanggup...kutip semuanya. Keluarga. Insan tercinta. Ilmuku. Kerjaku. Dan, Agungnya nilai cinta. Tamakkah diri?


Ada sesiapa berani sahut cabaran???