Selasa, 14 Mei 2013

Bila Hantu Mengilai Tak Ada Maknanya Lari Sampai Terkucil Dalam Kain


Fuhhhhhh! Tajuk tak leh blah!
Entri ini akan jadi sangat panjang…sila tetapkan hati anda untuk cekal menelaah huh u hu

Kisahnya berlaku Isnin lepas, 13 mei 2013… begini ceritanya:

Sejak kebelakangan ini, lebih kurang beberapa minggu lepas ataupun sebenarnya dah masuk sebulan lebih, terdengar suara-suara dari staf am tentang kawasan pejabat kami yang sudah tidak begitu tenteram lagi. Dah tak tenteram dek gangguan makhluk Allah yang tak dapat dilihat dengan mata kasar. Kejadian misteri!

Kata si A, dia selalu dengar suara menangis kesedihan dan kesakitan setiap kali bertugas mengunci pintu-pintu di kawasan pejabat. Kejadian berlaku ketika lewat senja atau purata jam tujuh petang.

Si B pulak kata, badannya kerap ditiup angin panas seperti nafas seseorang di bahagian belakang telinga. Ada kala terdengar bisikan yang tidak begitu jelas buah butirnya.

Si C pulak cerita, dia pernah Nampak kelibat tertentu di kawasan pejabat terutama di bahagian belakang. Semasa mereka bermesyuarat di bilik perbincangan ketika jam sudah menghampiri jam lima petang dan ke atas, kelibat berkenaan terlihat melintas di luar jendela. Dah tentulah itu bukan kelibat manusia kerana jendela tersebut sangat tinggi untuk dilihat sekiranya berada di luar bahagian belakang itu. Ada ketika yang lain, beberapa orang yang lain pernah nampak kelibat dari arah belakang seorang perempuan berambut panjang di kawasan lorong bangunan. Sebenarnya, di pejabat kami, tak ada seorangpun staf perempuan yang tak bertudung.

Semasa mengetahui tentang cerita-cerita mistik seram berkenaan, aku tidak hiraukan sangat kerana sering juga hal sebegini aku alami. Sila rujuk entri aku berjudul Misteri Kaki Kena Sepak untuk ketahui pengalaman misteri yang aku pernah alami sebelum ini.

Hari Jumaat sebelum PRU13 dulu, tetiba terdapat surat edaran majlis Bacaan Yaasin dan doa selamat supaya kejadian-kejadian mistik dan menakutkan sebegini serta gangguan tidak lagi berlaku. Aku tak dapat hadirinya kerana mula bercuti untuk acara yang lain.

Hampir sebulan sebelum itu, sebahagian ruang pejabat kami kepanasan kerana masalah penghawa dingin…ke pendingin hawa? Mana satu betul ni? Jadi, agak lama juga aku merempat buat kerja kat tempat lain, merata tempat jadi tempat lepak. Bila dah dibaiki, aku sangat teruja untuk kembali ke tempat kerjaku semula. Jadinya, balik dari cuti yang panjang, aku sudah bersedia untuk balik lambat dari pejabat untuk siapkan banyak kerja.

Malangnya, selepas manghrib, iaitu kira-kira dalam jam 7.45 malam, telingaku mula terdengar hilaian dan ketawa perempuan yang panjang. Awalnya, aku tidak hiraukan sangat kerana tidak begitu mengganggu. Ingatkan ada sesiapa tengah berseronok bersukaria, tetapi bila tengok jam dan masa sebegitu, aku padamkan volume speaker computer yang sejak tengahari aku kumandangkan THR gegar secara online.

Suasana yang senyap sunyi buatkan suara mengilai dan ketawa panjang pada waktu maghrib itu sangat jelas ke pendengaranku. Ngeri. Bulu romaku automatik menegak dan rasa seram sejuk badanku. Dadaku berdegup kencang. Rasa macam nak luruh jantungku sekejap.

Semakin lama, semakin galak pula dia mengilai. Aku tarik nafas panjang dan lepaskannya perlahan. Aku ulang beberapa kali sambil pejamkan mata. Masa itulah aku ingat semula pesan para ustaz yang aku dengar: “makhluk itu hanya boleh menakut-nakutkan kita sahaja, tetapi dia tak boleh ambil nyawa kita. Hanya Allah sahaja yang boleh cabut nyawa kita”. Jadinya, kalaupun aku mati hari itu, matiku itu bukan sebab hantu tersebut tetapi sebab serangan sakit jantung.

Arwah Tok Ayah dan ayah juga selalu pesan “perkara paling susah nak buat adalah untuk jadi berani pada ketika kita tengah takut. Bila berdepan dengan musuh, jangan biarkan musuh tahu kita tengah takut. Kita kena tunjukkan kepada musuh yang kita tak pernah takut kat dia…jadi, secara psikologinya, musuh tu akan takut dengan kita,”.

Tiba-tiba sahaja aku jadi berani. Kena berani sebenarnya. Pura-pura berani. Berlakon jadi berani, padahal…lutut sudah goyang pun hu huhu. Lalunya, ketika edisi mengilai-ngilai menjerit terpekik terlolong itu berlangsung, daku tampalkan status berikut di facebook:

Aku kuatkan volume speaker dan pasang bacaan surah al-baqarah, kemudian buat kerja. Aku nekad untuk balik jam 9 malam, walaupun asalnya bercita-cita nak tawan jam 10 malam.

Antara komen di FB:
 

Walaupun dah pasang surah al-baqarah dengan kuat, hilaian dan pekik lolong makhluk yang tidak kutahu di mana tempatnya dan siapakah gerangannya itu semakin galak pulak mengilai, memekik. Kuat pulak tu. Suara-suara itu hanya diam lebih kurang jam 8.30 malam apabila azan isyak berkumandang dari masjid berhampiran.

Aku pula Berjaya balik hingga jam 9 malam. Persoalannya: suara siapakah itu? Mengapa nak kena mengilai-ngilai bagai pepetang hari menjengah ke malam itu? Apa yang dia nak? Apahallah dia tak duduk diam-diam je kat rumah. Bisinglah!

Nasib baik dia tak tunjukkan wajahnya...kalau tak, tak cukup tanah aku nak lari!
Siapa kata aku berani? Aku pun penakut juga sebenarnya, hanya pura-pura je jadi berani...

 


Isnin, 13 Mei 2013

Khidmat Guaman Percuma di UKM


Ada berita baik kepada sesiapa yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan khidmat peguam. Semoga entri ini membantu ramai orang…

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyediakan khidmat nasihat guaman percuma kepada orang ramai. UKM merupakan satu-satunya sahaja universiti yang menyediakan perkhidmatan undang-undang percuma sambil memberi latihan kepada para siswazah undang-undangnya.

Ramai orang memerlukan nasihat guaman tetapi mereka kurang arif mengenai tatacara atau segan tampil ke hadapan untuk membuat aduan. Klinik Bantuan Guaman UKM berjaya memperkenalkan orang ramai yang kurang berkemampuan kepada peguam-peguam yang sanggup mengendali kes mereka secara percuma hingga ke mahkamah.

FUU UKM telah menubuhkan Klinik itu sebagai projek kerjasama dengan UNIKEB. Ibu pejabatnya terletak di Aras 3, Wisma UNIKEB di luar kampus UKM. Ia beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat (10 pagi - 4 petang), dan ditutup semasa cuti umum .

Klinik itu telah memberi perkhidmatan undang-undang pro bono atau percuma sejak 22 Jun 2011. Perkhidmatan itu disediakan oleh pelajar Fakulti Undang-Undang (FUU) di bawah pengawasan Pengarah klinik, kakitangan akademik dari FUU dan pengamal undang-undang dari luar. Ia juga mendapat sokongan peguam, penyelidik, pendidik, ahli akademik dan siswa.

Matlamat penubuhan klinik itu adalah untuk menyediakan khidmat nasihat undang-undang kepada mereka yang memerlukannya tetapi kekurangan kemampuan. Ia juga menyediakan latihan amali kepada siswa fakulti itu di bawah penyeliaan pengamal undang-undang dan para pensyarah yang berkhidmat secara sukarela.

Klinik Bantuan Guaman itu juga bertujuan memberi pengalaman kepada mahasiswa undang-undang UKM dengan suasana pengurusan klien.Segala persoalan undang-undang akan dikendalikan oleh para pensyarah dan pengamal undang-undang manakala urusan pentadbiran harian di Klinik itu diuruskan oleh siswa Fakulti.

Perkhidmatan klinik itu diiktiraf oleh Majlis Peguam yang turut menghantar graduan undang-undang untuk latihan bersama kakitangan Fakulti Undang-Undang UKM. Peguam-peguam yang akan mengendalikan kes-kes klien ke mahkamah terdiri dari sukarelawan Biro Bantuan Guaman Negeri Selangor.

Ia menawarkan khidmat nasihat perundangan secara percuma kepada orang ramai (termasuk kakitangan dan para pelajar) dan segala maklumat yang diberikan adalah dirahsiakan.

Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghubungi talian 03-89214919 atau email kbg@ukm.my. Klinik ini terletak di Aras 3, Wisma Unikeb, Universiti Kebangsaan Malaysia. Boleh juga layari laman sawang Klinik Bantuan Guaman UKM.


Jumaat, 10 Mei 2013

Bila Allah Tidak Izinkan Lagi

Ramai orang terlupa tentang kebesaran kuasa Allah. Aku juga!

Bila dia berbuat jahat, setiap kejahatannya itu bagaikan direstui. Lalu kita merasakan sangat tidak adil dengan situasi itu, padahal Allah lebih tahu percaturan terbaik setiap hambaNya.

Bila dia mendapat hidup yang lapang, dia tidak bersyukur. Masih jua tamak untuk menguasai. Lalunya kita merasakan sangat tidak adil dengan situasi itu, padahal Allah lebih tahu percaturan terbaik setiap hambaNya.

Bila dia dianugerahi rezeki yang mencurah, dia tidak menghargainya. Masih lagi haloba untuk mengaut laba dunia biarpun menggunakan jalan yang salah. Seakan terlupa kepanjangan usia yang kian memendek. Padahal Allah sendiri sering mengingatkan dalam kitab, mati itu pasti datang biar sejauh mana kita lari.

Ketika dilimpahi dengan kasih sayang yang melimpah ruah, dia terlupa untuk menghargai hingga sanggup mengkhianatinya… Allah lebih tahu percaturan setiap hambaNya yang ada masanya terlalu sibuk untuk insafinya.

Dan ketika Allah mendatangkan musibah kepadanya, masihkah lagi dianggap ujian untuk dia yang terlalu jauh tersasar itu? Bila Allah tidak izinkan lagi, maka tamat sudah perancangan manusia. Tidakkah kita sedar, ujian untuk dia itu masih juga menjadi ujian untuk kita juga. Menguji sejauh mana empati kita selepas dikhianati. Menguji setakat mana kentalnya jiwa kita untuk memaafkan dia, memberi sedikit ruang untuk dia kembali ke pangkal jalan.

Allah maha tahu. Allah maha hebat dan berkuasa, melebihi segala jenis kehebatan yang ada di dunia.

Biarpun mahu rasanya bergembira dengan apa yang berlaku itu, namun aku tahu, antara dia dan Allah siapalah kita untuk menghakiminya. Semoga dia sempat untuk kembali ke pangkal jalan sebelum benar-benar terlambat.

Usah menganiaya orang demi kepentingan sendiri. Doa orang teraniaya itu tanpa hijab. Doa yang Mudah makbulnya. Dan doa aku saat dianiayai sebegitu pernah makbul dalam waktu yang cepat juga tanpa aku sendiri menyangkanya. 

Ketika itu, aku sendiri terkedu sama ada untuk gembira dan syukurinya, ataupun bersedih. 
 



Khamis, 9 Mei 2013

Yeehahhhhh! Sudah Kembali!


Dah kembali ke bumi Malaysia nan terchenta.

Macam-macam hal berlaku walaupun hanya 3 hari aje aku keluar dari sempadan. Kalau lagi lama, entah apa-apa lagilah ya…

Nengok jugaklah pasal perhimpunan 805 di Stadium Kelana Jaya. Meriah betul. Sesak tak bergerak kereta ya…

Aku masih lagi bercuti hingga Ahad ni. Jadi, malas nak semakkan otak dengan banyak perkara yang dah tertinggal tu. Banyak kerja aku belum siap hu hu hujadi sekarang ni masa untuk berkerja keras walaupun masih dalam tempoh bercuti. Budak sekolah nak  buat kerja sekolah ya ;)






Rabu, 8 Mei 2013

Masalah Berbahasa Melayu?


Jika anda bermasalah untuk berbahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan...bolehlah dapatkan bantuan di sini:


Mereka sedia membantu anda.
Cubalah!