Memaparkan catatan dengan label Biro Bantuan Guaman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Biro Bantuan Guaman. Papar semua catatan

Isnin, 13 Mei 2013

Khidmat Guaman Percuma di UKM


Ada berita baik kepada sesiapa yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan khidmat peguam. Semoga entri ini membantu ramai orang…

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyediakan khidmat nasihat guaman percuma kepada orang ramai. UKM merupakan satu-satunya sahaja universiti yang menyediakan perkhidmatan undang-undang percuma sambil memberi latihan kepada para siswazah undang-undangnya.

Ramai orang memerlukan nasihat guaman tetapi mereka kurang arif mengenai tatacara atau segan tampil ke hadapan untuk membuat aduan. Klinik Bantuan Guaman UKM berjaya memperkenalkan orang ramai yang kurang berkemampuan kepada peguam-peguam yang sanggup mengendali kes mereka secara percuma hingga ke mahkamah.

FUU UKM telah menubuhkan Klinik itu sebagai projek kerjasama dengan UNIKEB. Ibu pejabatnya terletak di Aras 3, Wisma UNIKEB di luar kampus UKM. Ia beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat (10 pagi - 4 petang), dan ditutup semasa cuti umum .

Klinik itu telah memberi perkhidmatan undang-undang pro bono atau percuma sejak 22 Jun 2011. Perkhidmatan itu disediakan oleh pelajar Fakulti Undang-Undang (FUU) di bawah pengawasan Pengarah klinik, kakitangan akademik dari FUU dan pengamal undang-undang dari luar. Ia juga mendapat sokongan peguam, penyelidik, pendidik, ahli akademik dan siswa.

Matlamat penubuhan klinik itu adalah untuk menyediakan khidmat nasihat undang-undang kepada mereka yang memerlukannya tetapi kekurangan kemampuan. Ia juga menyediakan latihan amali kepada siswa fakulti itu di bawah penyeliaan pengamal undang-undang dan para pensyarah yang berkhidmat secara sukarela.

Klinik Bantuan Guaman itu juga bertujuan memberi pengalaman kepada mahasiswa undang-undang UKM dengan suasana pengurusan klien.Segala persoalan undang-undang akan dikendalikan oleh para pensyarah dan pengamal undang-undang manakala urusan pentadbiran harian di Klinik itu diuruskan oleh siswa Fakulti.

Perkhidmatan klinik itu diiktiraf oleh Majlis Peguam yang turut menghantar graduan undang-undang untuk latihan bersama kakitangan Fakulti Undang-Undang UKM. Peguam-peguam yang akan mengendalikan kes-kes klien ke mahkamah terdiri dari sukarelawan Biro Bantuan Guaman Negeri Selangor.

Ia menawarkan khidmat nasihat perundangan secara percuma kepada orang ramai (termasuk kakitangan dan para pelajar) dan segala maklumat yang diberikan adalah dirahsiakan.

Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghubungi talian 03-89214919 atau email kbg@ukm.my. Klinik ini terletak di Aras 3, Wisma Unikeb, Universiti Kebangsaan Malaysia. Boleh juga layari laman sawang Klinik Bantuan Guaman UKM.