Rabu, 6 Julai 2011

Permohonan Program Matrikulasi 2012 Telah dibuka

Kepada adik-adik yang mengambil Peperiksaan SPM tahun 2011, yang berminat untuk mengikuti Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia bagi tahun 2012 nanti, permohonan untuk mengikuti kursus ini telahpun dibuka.

Pemohon mestilah pelajar bumiputera warganegara Malaysia yang berumur tidak melebihi 20 tahun pada 1 Januari 2012 dan menghantar borang permohonan sebelum atau pada 10 Oktober 2011. Pelajar juga perlu mendaftar dan mengambil mata pelajaran tertentu dalam Peperiksaan SPM tahun 2011. Sila semak syarat-syaratnya di laman sesawang Program Matrikulasi ini.

Mulai sesi 2011/2012, Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia hanya menggunakan permohonan melalui internet sahaja. Untuk dapatkan keterangan lanjut, adik-adik bolehlah ke laman sesawang Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia.

TARIKH TUTUP: Tarikh tutup permohonan program Matrikulasi 2012 ialah pada 10 Oktober 2011.

Pelajar boleh membuat semakan permohonan dengan melayari laman web Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu www.moe.gov.my pada awal atau pertengahan bulan Februari 2012 untuk membuat pembetulan maklumat yang dibenarkan sekiranya perlu.

Pelajar boleh membuat semakan keputusan permohonan program matrikulasi ambilan 2012 dengan melayari laman web Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu http://www.moe.gov.my pada awal atau pertengahan bulan April 2012 untuk mengetahui status permohonan.

Bagi pemohon yang tidak berjaya boleh membuat rayuan yang dibuka selama dua (2) minggu bermula dari tarikh pengumuman keputusan permohonan pada pertengahan April 2012. Pemohon yang tidak berjaya berkemungkinan ditawarkan untuk memasuki Program Matrikulasi Dua Tahun (PDT).

Permohonan secara atas talian boleh dibuat melalui borang permohonan secara online.
Cepat! Cepat! Cepat! Rancanglah masa hadapan bermula dari sekarang!

PsssT: Tahniah kepada pasukan Kelantan yang berjaya menjuarai Liga Super 2011 yang menewaskan Sabah 2-1 di Kota kinabalu; memungut mata 56 mata, 52 jaringan dan juga merupakan pasukan paling sedikit bolos gol iaitu 21 jaringan. Ikuti cerita selanjutnya di Sekadar Berkongsi. Gomo Kelate Gomo!

Selasa, 5 Julai 2011

Mengapa Menulis Blog?




mengapa kalian menulis blog
asalnya mungkin suka-suka
tak rasa nak serius
kemudian jatuh cinta
akhirnya…ketagih!
pernah berlaku begitu?

Mengapa menulis blog?
mulanya aku punya blog ini
sebab orang lain
ada blog
lalunya tanganpun gatal buat blog
dah ada blog
akupun menulis
dan menulis
hanya sebab ada blog

kemudiannya blog ini menjadi medan
luahan rasa
lebih banyak rasa geram
rasa sakit hati
seluruh rasa yang mengepung dalam dada
rasa tak puas
yang mencengkam dada
rasa benci juga
sebabnya
rasa yang tak terurus itu boleh buatkan aku gila
macam tak tengok filem Merong Mahawangsa
nak mengamuk atau sepak orang
tak mustahil juga boleh
bunuh orang
(sila jangan bunuh orang…bukan kita je nak hidup
orang lainpun nak juga hidup)
statistik orang sakit mental di Malaysia
makin hari makin bertambah
usah tersenarai sama

akhirnya aku rasa lelah
melayan perasaan
bukankah hidup ini untuk dinikmati
bukannya mencari salah orang
bukan untuk membenci juga
kan bagus buang ion-ion negatif dalam badan
dalam otak
dalam minda
tukarkan menjadi ion-ion positif
yang mengembirakan
mengujakan
carilah keseronokan yang membahagiakan
bukankah kita yang menentukan
apa yang diingini?

Lalunya blog ini juga turut berubah
hanya mencatatkan keseronokan hidup di dunia
apa yang aku suka
hanya sesekali sahaja terisi rungut
itupun dalam singgung yang jarang disedari
selainnya adalah
apa yang aku suka buat
apalagi kalau tidak berjalan
melihat keunikan Dhaka yang tak pernah ditulis orang lain
  buat macam kampung halaman sendiri 
 menapak di Bandung
atau sebilangan lokasi dalam negara
menjelajah tempat-tempat yang tak istimewapun buat orang lain
namun besar ertinya buat aku
indah dan mesra di hati
terpenuh tampalan kenangan manis
dan foto yang tak seberapa
hingga ada yang anggap
aku gila menunjuk
pergi merata
padahal
semua info itu perkongsian yang memberi maklumat
kepada orang lain
yang teringin sama menikmatinya
padahal juga
bukan semua tempat singgahan kaki ini
ada tampalannya di sini
agar tidak terusan daku diomong
terusan gemar pamer segala
(Waduhhhhh! sejak terjebak dengan Kitab Cinta
daku sudah tersampuk bicara syahdu sama Wali deh!)


ada aku kesah apa orang kata?
sejak azali aku tak mudah peduli
dengan kata orang
Lalunya, mengapa menulis blog ini?
tarik trafik?
taksub nak glamer?
gedik?
getis?

aku menulis sebab aku memang suka menulis
berapa panjangpun aku boleh tulis
makin dibiar
makin banyak yang ditulis
walaupun
masa sangat cemburukanku
biarpun
waktu teramat padat perlu diisi
akhirnya
bentuk beginilah gaya blog ini
yang ada kala memang puisi indah
ada masanya hanyalah leteran bak puisi
agar aku boleh kementotkan tiap patah kata
pendekkan ayatnya
padatkan isinya
dan
jimatkan masa menulisnya
hingga siap target
yang lebih perlu
disegerakan.

kalau gila trafik
aku tulis je blog lucah
boleh saja blog politik untuk tarik SEO

aku tampal aje gambar perempuan tanpa pakaian
atau cerita skandal sana sini
hasutan merata alam
fitnah merata tempat
provokasi pihak tertentu

aku menulis blog ini
hanya kerana aku memang benar-benar
suka menulis
bukan sebab sesiapa
bukan sebab
lain.

maka
seperti inilah blog ini
mengapa kalian menulis blog?


~~Anyss~~
Jun 2011
Bandar Baru Bangi

Ahad, 3 Julai 2011

Permohonan Lepasan SPM Melanjutkan Pengajian Ke INSPEN Sesi Akademik 2011/2012

Berminat dengan Pendidikan Harta Tanah? Inilah peluangnya. INSTITUT PENILAIAN NEGARA, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kementerian Kewangan Malaysia (INSPEN), menawarkan kursus di peringkat sijil, terbuka kepada Lepasan SPM, iaitu;
• Sijil Penilaian Harta Tanah (SPHT)
• Sijil Pengurusan Harta Tanah (SPGT)

SPHT adalah program pertama seumpamanya yang dijalankan di Malaysia. Kandungan program berorientasikan industri bagi memastikan graduan bersedia menghadapi keperluan dan cabaran di tempat kerja.

SPGT merupakan program kedua yang dijalankan oleh INSPEN. Program SPGT bertujuan untuk mengeluarkan graduan bagi mengisi kekurangan tenaga separa profesional yang terlatih dalam bidang pengurusan harta tanah sama ada di sektor awam atau swasta. Seperti SPHT, kandungan program ini juga berorientasikan industri bagi memastikan graduan bersedia menghadapi keperluan dan cabaran di tempat kerja.

Semua kurikulum program sijil ini telah:
  1. Berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
  2. Diiktiraf oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
  3. Disokong oleh badan profesional harta tanah iaitu Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah Malaysia (LPPEH) dan Pertubuhan Juruukur Malaysia (ISM).
  4. Diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) sebagai setaraf dengan Sijil Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Dengan itu, lulusan SPHT INSPEN yang menjawat jawatan Pembantu Penilaian Gred W17 dalam Perkhidmatan Awam Malaysia menikmati tangga gaji permulaan pada peringkat P1T9.
  5. Diiktiraf oleh University of Western Sydney (UWS), Australia. Dengan itu, lulusan SPHT INSPEN layak menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Pertama dalam Bachelor of Business and Commerce (Property) di UWS mengikut merit yang ditetapkan.
  6. Diiktiraf oleh Queensland University of Technology (QUT), Australia. Dengan itu, lulusan SPHT INSPEN layak menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Pertama dalam Bachelor of Urban Development di QUT mengikut merit yang ditetapkan.

Permohonan Melanjutkan Pengajian Ke INSPEN Sesi Akademik 2011/2012 Untuk Lepasan SPM Kini telah diBuka. Tunggu apa lagi? Sila terjah laman web rasmi INSTITUT PENILAIAN NEGARA untuk melihat syarat-syarat kursus ini, atau juga terus ke SINI. Permohonan secara dalam talian (online) di laman sesawang Inspen

Harap Maaf! Sila gunakan Internet Explorer (versi 6 dan keatas) untuk menggunakan sistem ini. Beginilah masej akan keluar kalau guna selain Explorer hu hu hu

Cepatttttt! Bagi adik-adik yang minat, boleh mohon sekarang. Tarikh tutup permohonan masih panjang lagi bermula 1 Mei hingga 7 September 2011.

PssssT:  Kalau tanya aku secara pribadi, aku memang sokong sesiapa yang mohon kursus ni sebab diiktiraf, bersifat praktikal (senang dapat kerja dengan syarat CGPA bagus) dan ada kerjasama dengan banyak universiti lain, kalau nanti nak sambung belajar ke peringkat lebih tinggipun mudah.


Sepanjang aku dok promosi peluang belajar kat blog ni, aku tidak diberi apa-apa bayaran, namun aku buat sebab nak luaskan sebaran maklumat. kalaulah maklumat sebegini aku boleh dapat masa belajar dulu, rasanya peluang untuk aku akan lebih banyak, salah hari dah jadi Perdana Menteri Malaysia pun hu hu hu berangan tak payah bayar ya adik-adik!. Jadi, adik-adik, jangan sesiakan peluang yang ada. Akak dulu tak ada peluang sehebat macam sekarang.

Sabtu, 2 Julai 2011

Kabinet Tak Benar Astro Naik Tarif

Jom bersesak pada hari Sabtu di Kuala Lumpur. Macam ni tak sesaknya kita di KL Sentral?



Kita kan ada gerabak pink!


Sebenarnya, entri hari ni yang sesak dan macam-macam cerita macam kerabu berpelagi ;)

Menurut Menteri komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr Rais Yatim Kabinet memutuskan stesen televisyen berbayar Astro tidak boleh menaikkan tarif perkhidmatan mereka selagi tidak mendapat kebenaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), agensi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Beliau berkata isu kenaikkan tarif Astro tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam (jumaat 1.7.2011). Notis yang dikeluarkan Astro itu bertentangan undang-undang mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Oleh itu, SKMM akan mengambil tindakan sewajarnya memberitahu Astro untuk tidak meneruskan kenaikan sehingga suatu masa yang lebih sesuai untuk dilaksanakan.

Astro didapati melanggar undang-undang sedia ada berdasarkan notis awal kenaikan yang diedar kepada pelanggannya. Jadi, bolehlah abaikan surat yang Astro hantar tu, pelanggan ASTRO boleh senyum lebar semula kecuali pada hari hujan ya...sila menangis setiap kali hujan! Macam filem tamil pulak kan...mood sedih hujanpun turun. Pelanggan ASTRO terbalik sikit, menangis sebab hujan yang turun.

Astro baru-baru ini mengumumkan akan melakukan pelarasan terhadap pakej ASTRO yang ditawarkan berkuat kuasa 11 Julai ini dengan harga langganan bergantung kepada pakej pilihan pelanggan. Kelam kabut satu dunia maya bila ASTRO buat kecoh macam tu kan.

PssssT SATU:
Heboh juga bila tersebar khabar angin mendakwa Tan Sri Dr Jins Shamsuddin (Mohamed Zain Shamsuddin) sudah meninggal dunia akibat serangan jantung seperti tersebar dalam laman sosial Facebook dan Twitter, malah merebak pula ke blog. 

Menurutnya, “Ada kemungkinan berita kematian saya dikaitkan dengan arwah bekas Panglima Tentera Darat, Allahyarham Jeneral (B) Tan Sri Zain Hashim, yang meninggal dunia petang kelmarin. Mungkin mereka menganggap saya meninggal dunia kerana nama kami kedengaran sama,”. Beliau juga belum menerima panggilan telefon memohon maaf daripada individu yang menyebarkan maklumat kurang tepat itu. Opppppps!

PssssT DUA:
Ini cerita pelik @ aneh tapi benar-benar yang berlaku iaitu sebuah Kedai buah meletup di Pudu dipercayai tindak balas karbait dan air yang digunakan untuk peram buah.


Jumaat, 1 Julai 2011

Keputusan Kemasukan UiTM sesi Julai 2011 Telah keluar

Kepada adik-adik yang memohon untuk belajar di UiTM pada sesi Julai nanti, keputusannya dah boleh disemak dan diketahui bermula hari ini;

• Semakan keputusan permohonan belajar di UITM jaya bagi Program Penerapan ke Program Ijazah Sarjana Muda boleh disemak mulai 1 Julai 2011 jam 5.00 petang. Program Penerapan yang terlibat adalah;
• Penerapan Semester Akhir Diploma UiTM/Kolej Bersekutu UiTM
• Penerapan Pelajar Asasi UiTM/Trek Pantas UiTM (kecuali Diploma Perakaunan Trek Pantas)
• Lepasan Diploma UiTM (Program Perubatan, Pergigian dan Farmasi)

Semakan keputusan bagi program Diploma Pendidikan UiTM Sesi Julai 2011 boleh dibuat pada 27 Jun 2011 (Isnin) jam 2.00 petang.

Semakan keputusan bagi Program Profesional bagi AC550, AC551, AC553, AM550, BM551 & BM552 dijangka boleh disemak mulai 20 Jun 2011 jam 5.00 petang.

Bagi adik-adik yang gagal untuk mendapat tempat pada semester ini, boleh juga memohon semula untuk kemasukan semester 2 nanti. Iklannya keluar hari ini secara online;

Permohonan kemasukan ke UiTM bagi Semester 2 2011/2012 akan diiklankan dan dibuka pada 1 Julai 2011 melalui http://www.online.uitm.edu.my 


Permohonan Online Bagi Kemasukan Ke UiTM Bagi Program Diploma/ Asasi Dan Program Profesional Dibuka Pada 12 Tengahari 01 Julai 2011 Sehingga 31 Julai 2011. Pembelian No. Slip Melalui BSN Adalah Diperlukan Bagi Permohonan Online Tersebut. Terima Kasih.

CARA MEMOHON MELALUI APLIKASI DALAM TALIAN (ONLINE APPLICATION)
Permohonan untuk program yang ditawarkan adalah melalui aplikasi dalam talian (Online).
Permohonan dalam talian melalui laman web www.online.uitm.edu.my akan dibuka pada 1 Julai 2011 (Jumaat) Jam 12 Tengahari. 

Pemohon dikehendaki membuat pembayaran yuran pemprosesan dengan menggunakan nombor kad pengenalan pemohon (bukan wakil), di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN). 

Setelah membuat pembayaran, pemohon boleh melakukan permohonan melalui laman Web Aplikasi Elektronik UiTM yang beralamat www.online.uitm.edu.my dengan memasukkan nombor slip yang didapati dari kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN).

Pemohon dinasihatkan mencetak maklumat permohonan yang telah muktamad tersebut sebagai bukti permohonan telah dibuat

Nak tahu syarat-syaratnya, silalah ke http://esyaratjulai.uitm.edu.my

Selamat berusaha ya!