Jumaat, 28 November 2008

Puisi Spontan



Puisi ni (kalaulah boleh dikatakan sebagai puisi), tercipta secara spontan. Kutulis khas kepada seorang pembaca setia blog ini. Masa sekolah dulu bercita-cita nak jadi doktor, tapi tak dapat keputusan yang terbaik untuk matapelajaran sains. Setelah itu, bercita-cita pula nak kahwin dengan doktor (hu hu hu sampai sekarang pun cita-cita tu tak tercapai sebab doktor ni lemah lembut sikit berbanding aku yang brutal ni...). Jadinya, ilmu untuk merawat itu tak termiliki sebab aku tak minat dengan kerjaya Jururawat. Alasannya, takut darah. Padahal, doktor pun main dengan darah juga. Alasan!

Anda dialu-alukan untuk beri pendapat dan komen sebelum puisi ini dihantar ke mana-mana penerbitan. Itupun belum tentu lagi depa nak terima dan siarkan. Harap-harapnya puisi ini boleh jadi puisi yang akan dikaji pelajar sekolahlah ye...hu hu hu, belum hantar lagi angan-angan dah sampai ke awan. Dari gaya angan tu aku dah tau memang tak akan diterima. Biasanya macam itulah!


Sang Pejuang yang Terluka Parah

Kembali dari perjalanan yang jauh terpenuh sesat
dalam lesu tanpa upaya mengheret kakipun
hanya kayu mati menongkat tempang diri
kutemu seorang pejuang yang terluka parah

Darah yang mengalir dari lukanya
telah kehitaman
Balur dan lelah terpenuh seluruh diri
mengalirkan nanah
Patah riuk kakinya bertopangkan senapang kehabisan peluru
Tanpa topi pelindung kepala.

Berikan aku seteguk air, pintanya.
Rakus dia habiskan bekal air terakhirku.
Rawatlah aku untuk kembali bertempur
pohonnya berkali.

Aku terduduk di rumput kering
Menyandarkan belakang ke pohon tak berdaun
Meneliti diri sendiri
Tatih ini berbantukan dahan mati yang kukutip di perjalanan
Keluar dari sesat kuharung onak duri
meredah jalan pulang nan berliku
Lelasnya berbekas di betis
Masih tertusuk duri tak terbuangkan
Masih berbekas calar pedihnya
Upaya diri hanyalah sisa.

Duhai Sang Pejuang yang cedera parah,
aku telah lelah untuk terus berlari
aku sudah letih menghayun langkah
Di bawah pohon terpenuh ranting ini
sama-sama kita membalut luka
Sambil bercerita tentang harapan
sebelum menyambung perjalanan
sebelum kembali ke medan perang.




Segala pendapat, pandangan dan saranan sangat dialu-alukan. Kepada Sang Pejuang yang Terluka Parah, tabahlah!

2 ulasan:

dina berkata...

kalau aku seorang guru sastera, aku akan petik puisi ini untuk latihan sastera anak murid aku. tapi malangnya aku hanya kerani cabuk. aku hanya boleh menjadikan puisi ini sebagai pedoman...

anyss berkata...

Di dunia, kita dinilai berdasarkan taraf sebegitu, Dina. Namun, lebih penting dari itu adalah berapa banyak kita menyumbang kepada agama, negara, keluarga, diri sendiri...dan, sejauhmana ikhlasnya kita menjalankan tiap tanggungjawab itu.
Pada mata dunia, mungin kita bukan sesiapa, namun jagalah agar di sisiNya kita lebih mulia dari seisi dunia. Ni bukan kuliah Subuh ya, Dina...sebagai ingatan untuk diri aku sendiri jugak. Aku kena selalu ingat begitu, kalau tak, biasalah...kita ni manusia lemah. Lalai sekit je ada JIN bertanduk goda kan hu hu hu