Aku pernah berjanji untuk menulis sependek mungkin dalam setiap entri. Namun, beberapa kerat entri sahaja aku kontot-kontotkan tulisan itu, kali ini akan jadi panjang semula hu hu hu azam tengah tahun memang macam tu kan? Tak kekal. Azam akhir tahun, lagilah tak kekal hu hu hu
Hati meronta-ronta untuk tulis isu ini. Kalau aku tak tulis, aku rasa aku akan berdosa. Sangat berdosa. Berdosa sebab tak tegur, tak beritahu ataupun juga tak nyatakan pendapat aku, walaupun aku tahu, apa yang bakal aku tulis ni agak panas sedikit isunya. Akan sebabkan ramai orang akan marah aku. Terpulanglah. Paling tidak, aku ada usaha untuk menyatakannya. Tanggungjawab aku dah lepas.
Bila aku baca Kosmo bahagian hiduran dengan tajuk kecil
Darah Haid Jamu Makhluk Halus, hati jadi tak sedap. Aku memang jarang baca tentang hal-hal hiburan, namun tak bererti aku tak tahu. Lebih-lebih lagi tentang filem.
Sekarang ni, macam dah jadi trend untuk filem atau drama bersiri di TV bela hantu yang memang terang-terang menyalahi Islam. Tujuan asalnya memang baik, nak beri kesedaran kepada penonton agar jauhi dari perkara mungkar. Persoalannya, sejauhmana berjaya? Ataukah, semakin membiak aktiviti itu dalam masyarakat kita?
Memang aku akui, diakhir drama seram itu akan dicatatkan “sesiapa yang melakukan kesilapan bla bla bla...” namun, berapa orang yang baca tulisan tersebut? Bermula semalam, filem Penunggu Istana telah ditayangkan di pawagam. kononnya, “filem realiti seram genre paranormal pertama di Malaysia” adalah keseraman realiti hasil cantuman video yang dirakamkan oleh lima pelajar universiti (terdiri daripada Sara Ali, Nadzirah Ahmad Nadzri, Nor Zafirah Abd. Rahim, Mustaqim Mohamed Zaki dan Amar Asyraf) sewaktu berada di sebuah lokasi misteri di daerah Papan, Perak, dikenali sebagai Istana Billah.
Tak salah untuk mengkaji hal-hal berkaitan jin, makhluk halus, syaitan dan seangkatan dengannya. namun, yang jadi salahnya bila ketaksuban itu menyebabkan kita tergelincir dari Islam. Kalau sampai tahap “memuja” dan “menjamu”, adakah itu masih lagi boleh diterima? Cuba fahami petikan yang aku ambil dari Kosmo ini;
Difahamkan pada awalnya mereka bercadang untuk membuat kajian paranormal itu sebagai satu projek universiti mereka. Setelah mereka berjaya mengesan sesuatu yang aneh semasa berada di Istana Billah, perasaan ingin tahu mereka semakin membuak-buak untuk meneroka lebih jauh. Mereka akhirnya bertindak melampaui batas dan mula melanggar pantang larang yang telah dipesan oleh Uncle Seekers. Mereka mula membakar kemenyan untuk upacara memuja 'penunggu' di situ agar memunculkan diri. Tidak cukup dengan itu, mereka juga telah menggunakan darah haid salah seorang pelajar perempuan di kalangan mereka, dipercayai untuk menjamu makhluk halus tersebut.
Kalian rasa ada beza tak dengan cara “menengok” yang sering dilakukan masyarakat kita bila hilang barang? Tahu macam mana “menengok itu dibuat? bila seseorang itu kehilangan barang atau apa sahaja, maka mereka akan pergi jumpa bomoh dan minta bomoh itu tenggokkan kat mana letaknya barang itu, atau siapa yang ambil barang itu.
Nampak macam tak ada apa-apa, macam biasa-biasa sahaja. Orang kata ikhtiar. Apa salahnya pergi jumpa bomoh kan? Yup! Hal itu menjadi biasa-biasa sahaja sebab sudah terlalu biasa berlaku dalam masyarakat kita. Apalagi kalau orang yang dihormati dalam masyarakat yang buat. Kemudiannya, menjadi ikutan. Menjadi amalan. Menjadi tidak apa.
Aku bukan anti filem Melayu. Kalau benda baik, memang aku puji melambung-lambung, malah berlebih-lebih pula. Aku pernah ulas tentang filem
Magika, juga filem
Hikayat Merong Mahawangsa. Kedua-dua filem tu memang bagus, memang membanggakan, jadi aku puji.
Aku tabik. Malah aku juga pernah ulas filem hindi,
Dostana. Siap
dua entri lagi aku tulis pasal filem Dostana ni
Duhai rakyat Malaysia, duhai adik-adik...duhai seluruh orang Islam di Malaysia, duhai diriku sendiri, aku memohon sangat-sangat. Hentikanlah semua perkara yang boleh menjerumuskan kita (termasuk diri aku sendiri) dari berlaku syirik. Dengan hanya satu perbuatan yang biasa-biasa sahaja, yang kita sendiri tak sedarpun sebenarnya...kita telah menduakan Dia. Kita telah tergelincir iman. Nauzubillahi min zaaliq!