Isnin, 1 Disember 2008

Dostana







Pagi tadi (Jumaat, 21 November 2008, 8.35 pagi), baru sahaja mata mahu dilelapkan setelah semalaman berjaga dengan membaca, menelaah, menaip dan...main game juga, diri dikejutkan dengan satu panggilan telefon. Ada pos ekspress menggunakan GDEX daripada Airtime Management. Dah pasti aku tertanya-tanya surat saman daripada siapa. Sebab apa. Biasanya surat sebegitu yang gunakan pos ekspress atau berdaftar. Kalau setakat bil telefon atau bil untuk bayaran masuk jamban setiap hari (IWK), tidak pernah pula mereka membazir sebegitu.

Kata adik itu, tengahari baru dia hantar. Aku pesan siap-siap dengannya supaya ambil masa sikit menunggu disebabkan kakiku ini. Mata terus sahaja lelap sebaik panggilan ditamatkan. Otak sudah tidak mampu untuk berfikir lagi hinggalah mata terbuka semula pada jam 10.45 pagi. Itupun kerana tuntutan perut. Kalau tidak kerana perut yang minta untuk di isi, belum sanggup lagi untuk aku bangkit. Baru dua jam tidur sejak semalam.

Saat selesai mengunyah tiga keping roti bersalut tuna mayonis, adik itu tiba di depan pintu pagar rumah yang berkunci. Terjengkit-jengkitlah aku naik ke bilik mengenakan pakaian yang sopan sedikit sebelum terkial-kial kemudiannya membuka gril dan pintu gelungsur cermin (sliding door). Berbantukan tongkat, langkah tiba juga ke pagar di tengah panas terik itu.

Kala dibuka envelop putih itu, hanya empat keping pass percuma sahaja yang terisi di dalamnya. Filem Dostana. Filem Hindi. Ohhhh, tidakkkkkkkkkkkkkkkk!!!! Mimpikah aku?

Semua yang aku ajak untuk pergi tonton wayang percuma itu ketawa terbahak-bahak. Entah-entah sampai tergolek-golek di lantai. Pertama, sebab mereka memang tak minat tengok filem Hindi. Mereka lebih suka tengok cerita hantu dari industri filem Hong Kong. Boleh ketawa, kata mereka. Keduanya, aku tak pernah pergi panggung untuk tengok filem Hindi. Kalau tengok pun hanya tayangan di TV pada hari Sabtu sebab tak ada tayangan lain lagi yang nak ditengok. Dah tentu mereka ingat aku dah buang tebiat. Baru terseliuh pun dah buang tebiat, apalagi kalau kena sakit yang kaw-kaw boleh pendekkan umur (mulut dia orang memang ada insuran. Ikut sedap je nak cakap apa).

Bila cerita dengan kakak pasal pas percuma itu, kakak pun pelik. Kenapa filem Hindi. Kenapa tak filem Melayu ke, Indon ke, Korea ke, Perancis ke...sebabnya keluarga kami bukannya kaki filem Hindi. Kami memang cukup hairan bila ada orang suka filem Hindi. Menonton filem Hindi tiada dalam budaya keluarga kami. Dulu kakak iparku kaki filem Hindi. Sekarang katanya sudah tidak berminat lagi. Mungkin sebab selalu kena perli dengan abang. Kini, aku akan masuk panggung untuk tengok filem Hindi? Biar betul!!!

Bosan menjalani hidup dengan rehat yang panjang sebegini, jari terlebih gatal dan hantar sms ke siaran Time Radio Highway (THR) yang tiap malam kudengar keasyikan lagu-lagu hindustannya (filem tak berapa suka tonton, tapi lagu-lagunya agak merdu juga didengar sesekali). Sementara siang mendengar Klasik Nasional. THR jadi pilihan pada malam hari hanya kerana pengacaranya yang ceria itu, Gina. Tawanya buatkan dunia terasa indah. Akhirnya aku kemaruk mendengar suaranya. Pelik bukan? Lagi pelik bila cubaan pertama peraduan yang mereka anjurkan itu berjaya. Hadiahnya hanya 4 keping pass percuma filem Dostana. Apapun, terima kasih THR, terima kasih Sendi Mutiara yang jadi penaja.

Asalnya ada juga niat untuk merewang pergi tengok walaupun filem Hindi. Rasanya kalau tak tahan untuk duduk tiga jam di dalam panggung, aku keluarlah. Namun, setelah disemak, hanya beberapa buah panggung TGV sahaja yang tayang iaitu TGV Bukit Tinggi, kelang; Sunway Piramid, PJ dan Capital Square, KL. Memandangkan kaki masih lagi lebam, bengkak pun belum surut, rasanya upaya dan daya untuk gunakan pengangkutan awam ke Kuala Lumpur itu agak tipis. Jadinya, biarlah pas percuma itu kusimpan jadi kenangan sahaja. Ada sesiapa nak pass tersebut? Boleh dipertimbangkan, kiranya anda berminat. Ini dia rupanya pas itu.
Pass 1

Pass 2



Pass 3

Pass 4

Ni jadual mutakhir filem ni hingga 3 Disember 2008.


Dostana (U) - Hindi

Genre: Komedi


TGV Sunway Pyramid

5:20 PM 11:30 PM

TGV CapSquare, KL

12:30 PM 3:30 PM 6:30 PM 9:30 PM

Masih ada dua hari lagi untuk gunakan pass ni ....

Tiada ulasan: