Jumaat, 8 Oktober 2010

Persandingan Kayangan: Bila Malaysia menjadi Lokasi Angkasawan Mendarat

Ampunkanlah daku dengan tajuk yang ekstrem ini. Entri ini hanya kisah picisan tentang Angkasawan pertama negara, Dato’ Sheikh Muszaphar Shukor Al-masri yang popular dan menjadi idaman Malaya itu.

Aku pernah jumpa jejaka hensem ni secara life, berbual sepatah dua kata. Puri Pujangga, UKM jadi saksi.

Dia lebih hensem dalam gambar dan di kaca tv berbanding live (dari kaca mata aku yang rabun ini), tetapi ketinggiannya itu aku memang kagum. Dan dia, memang boleh jadi duta kepada apa-apa sahaja kerana seni komunikasinya sangat baik. Mantap. Sentiasa bersedia.

Berada bersamanya, kita tak diabaikan biar siapapun kita. Biar sekecil manapun kita. Biar tak punya apa-apapun kita (masa terserempak dengan dia, aku makan tengahari dengan kita orang punya Timbalan pengarah. Tak pastilah pulak kalau hanya aku sahaja...masihkah dia begitu? Yang pasti, dia pun bukannya kenal kita orang punya timbalan pengarah tu pun hu hu hu jangan rasa hati ya Madam Ungku).

Dia memang hak milik masyarakat. Dan, dia sudah bersedia untuk itu. Walaupun sering akan disapa, ditahan dan diserbu dengan pelbagai kerenah, dia tetap jua dengan senyum hensemnya itu. Tak percaya? Tengok je senyum chumilnya kat sini...



Tergamam dengan kechumilannya yang mesra bagai dah kenal berpuluh tahun itu, terlupa nak tarik dia ambil gambar. Lagi pula dia bersama VIP, sungguh tak sopan untuk menjerit-jerit sawan sekadar nak ambil gambar. Dah balik, timbalan pengarah kita orang yang comel itu pula meroyan (ohhhh sungguh tak sopan penggunaan perkataan ini, ampunkan daku!) sebab menyesal tak tarik si hensem itu ambil gambar.

Moga-moga perkahwinannya dengan Dr. Halina Mohd Yunos yang menjadi “Wedding of the decade” itu kekal abadi dunia akhirat tak kiralah konsep apa majlis persandingan yang mereka gunakan. Selamat pengantin baru dan selamat menyambut ulang tahun ketiga kepada Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar ke angkasa lepas menaiki Soyuz TMA-11 yang dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Sama-samalah kita doakan mereka bahagia. Sama-samalah kita doakan rumahtangga mereka sejahtera dan dijauhi fitnah syaitan laknatullah. Sama-samalah kita doakan jodoh mereka kekal abadi, dunia akhirat. Doakan yang baik-baik aje ya...mendoakan kebaikan untuk orang lain tidak akan mengurangkan kebaikan yang ada dalam kehidupan kita.

Khamis, 7 Oktober 2010

Jerit-jerit Maher Zain

Bila Maher Zain mendarat di Gombak
IIUM bagai dilanda gempita
dan aku terperosok di bumbung dewan
Terkedu dalam geger jerit
dara nan ayu

Palestine; Tomorrow will be free
juangnya mana?

Aku memang jakun untuk acara sebegitu





Psttttttt: Aku sedang belajar memendekkan catatan

Bersama lirik, jom hayati...aku dah mabuk lagu ni!

Selasa, 5 Oktober 2010

Magika memang Magik laaaaa

Hari minggu lepas, sekalipun peluh menitik hingga ke lantai di rumah terbuka kakak, namun berkesempatan juga tengok filem Magika arahan Edry Abdul Halim yang tengah panas ditayangkan kat panggung sekarang ni.

Macam yang ditulis orang lain di blog, aku memang sangat teruja untuk menilai kehebatan filem ni. Latar belakang dan maklumat tentang filem ini aku dah tulis dalam entri sebelum ni di Magika Macam Avatar Tak?, bolehlah selak semula kalau nak tahu maklumat pasal filem ni.

Sepanjang masa sejam setengah tu, aku sangat teruja. Kagum. Terhibur. Banyak perkara buatkan aku teruja.

Pertama: cantik sangat maya karin jadi pari-pari bunian tu. Scene ni memang aku teruja sangat nak tengok, apalagi bila ramai yang dah tengok filem ni komen sinematografinya cukup cantik. Pendek kata, aku benar-benar menghayati filem ni dari awal hingga akhir dengan rasa bangga yang amat. Fuhhhhhh! Siapa kata Malaysia tak boleh kan? Dah pasti Malaysia boleh. Lepas ni, David Teoh ada saingan baru ya hu hu hu asal positif apa salahnya kan?


Kedua: lakonan Diana Danielle tu pun hidup. Taklah nampak dibuat2 macam yang biasa dia berlakon sebelum ni. Hidup sangat. Dia gaduh dengan Fimie tu pun hidup. Lakonan dia kali ni juga nampak selamba sikit, bukannya memaksa diri untuk melakonkan satu-satu watak. Suaranya pulak...agak merdua juga.

Ketiga: Ziana Zain memang nenek sihir yang terbilanglah. Lupakan terus lakonannya dalam Maria mariana ke, Sembilu ke atau mana-mana filem masa dia anak dara dulu...lakonan dia kali ni memang cun habis dengan sanggul tingginya tu. Belum tengok lagi gaya dia jalan hu hu hu sangat menggeletek ibu jari kakilah!

Empat: Boleh tengok Mawi berambut panjang menggunakan teknik rebonding kot. Tapi sadis sikitlah sebab Mawi tak pandai sangat berlakon kecuali bila sampai bab nyanyi tu, baru keluar suara machonya. Namun, taklah sampai cacatkan filem ni. Lagipun, bakat Mawi belum teruji lagi dalam bidang lakonan kan? Takat berlakon dalam Jin Noti je, kira Magika boleh berikan dia pengalaman baru (Fuhhhh macamlah aku ni pengulas filem yang hebat pulak kan hu huhu peminat fanatik Mawi jangan marah yaaaaaa...).


Lima: M.Nasir jadi Naga Tasik Chini, nyanyi dua baris lagu je tapi diulang-ulang beberapa kali dengan nada suara yang berbeza. Macho sangat.

Enam: Teknik yang digunakan. Fuyoooooo kira setanding dengan filem-filem luarlah. Penggunaan teknologi buatkan filem ni hidup. Nampak macam real je. Begitu juga dengan cara filem ni dipersembahkan. Rasa macam tak percaya pulak aku sedang menonton filem dari Malaysia. Selain adegan anjing kejar Ayu dan Bad, monyet ganas lalu di tempat mereka, kewujudan jambatan kayu dan aksi naga tasik Chini menyerang, aku paling suka dengan paparan Diana dan Mawi sedang menyanyi di dua dunia yang berbeza. Fuyoooooo cantik sangat perbezaan kedua-dua alam itu diketengahkan.

Tujuh: Puteri Gunung Ledang memang meletop! Selama ni, ramai anggap dia tu cantik jelita dan ayu menawan. Kat dalam filem ni, dia tu dah jadi Andartu dan hodoh. Walaupun watak Bendahara yang dilakunkan Sabri Yunus hanya muncul satu scene sahaja, tetapi mampu gamatkan panggung. Apa tak gelaknya, Datok Bendahara itu rupanya “lemah lembut” orangnya bercakap kelantan campur hu hu hu naik sengal gigi aku gelak.

Awalnya, aku ingatkan Edry saja je buat gimik kosong dengan meletakkan sebegitu ramai pelakon terkenal. Sebelum ni kan cara sebegini mampu tarik pengunjung ke panggung. Namun, bila dah tengok filem Magika ni, barulah aku tahu bahawa tuan pengarah muda ini nak pastikan hasil yang terbaik sahaja. Semua watak dalam filem ni memang bagus lakonannya walaupun mereka muncul beberapa scene sahaja.

Filem Magika ni filem muzikal dengan suara penyanyi asal. Diana pelakon utamanya, dan dia menyanyi dengan baik sekali. Berlakonpun baik. Bergaduh dengan Fimie pun baik juga hu huhu dan lakonan Fimie juga comel. Dahlah muka dia memang comel.

Mmmmm malas lah aku nak puji banyak-banyak lagi, Edry tak bagi tiket percumapun kat aku sebab puji dia melambong-lambong ni. Apapun, aku bangga dengan filem Magika ni. Aku tak sabar nak tunggu Hikayat Merong Mahawangsa pula. Kalau nak tahu sehebat mana filem ni, silalah ke panggung terdekat. Kalau ada sesiapa nak bagi aku tiket FREE tu, aku masih sanggup untuk masuk tengok filem ni sekali lagi.

PsssssT: Terima kasih kepada Cik Bintang yang sudi jadi “Teman nan Mesra” semenjak dua menjak ni... Nanti kita sebat Cheese Kek Tiramitsu ya lain kali...

Pssst: Semua gambar dalam entri ni aku k utip dari data Enche Google. Terima kasih!

Ahad, 3 Oktober 2010

Bila Kereta Peronda Kena Hon

Kalau anda biasa dengan Bandar Baru Bangi (sebenarnbya lebih kepada UKM), pasti akan tahu mana letaknya Wisma UNIKAB. Bangunan ini berada di jalan menuju Bangi Lama, di tepi jalan sahaja tetapi masih lagi dalam kawasan UKM. Apa ada di sini?

Bangunan ini hanya dua tingkat sahaja. Taklah meriah sangat dengan kedai-kedai, terutama bahagian atasanya walaupun memang ada kedai seperti kedai buku, namun taklah popular sangat. Apa yang jadi tumpuan kat sini kerana terdapat tiga buah bank iaitu CIMB, BSN dan Bank Rakyat. Dulu ada juga Bank Muamalat, tapi rasanya dah pindah. Mmmmm tak perasan pulak.

Ruang legarnya pula jarang sunyi daripada pelbagai jenis gerai jualan barangan kesihatan, avon, pakaian (terutama masa nak raya), ada masa perabut dan barangan elektrik. Disebabkan pengunjung jarang naik ke tingkat dua, biasanya kedai-kedai kat atas akan buka gerai di bawah. Di sini juga hanya ada satu kedai makan @ kafe yang agak sedap dan murah juga berbanding kedai makan yang lain di bangi namun waktu tutup perniagaannya agak awal. Jam tiga setengah petang tu dah agak tak ada orang.

Disebabkan ada tiga buah bank di sini, maka bangunan ini menjadi tumpuan ramai setiap musim terima gaji. Parking memang tak cukup hingga terpaksa parking di luar pagar (tepi jalan) ataupun di bahagian dalam pagar UKM.

Kawasan sekitar Wisma UNIKAB ini selalu sahaja sesak musim terima gaji. Maklumlah, jalan sehala. Kalau sebuah kereta buat hal, berderet kereta lain terpaksa tunggu. Cerita sebegini memang sentiasa sahaja berlaku. Ada sahaja orang nak ambil mudah. Kalau tak ada parking lot, ada juga orang yang suka cara mudah dan senang dia sahaja sanggup berhenti dan kemudian beratur di mesin ATM tanpa fikirpun yang dia dah buat kesesakan kat luar. Kereta besarnya dah halang laluan orang lain. cukup pentingkan diri. Di tengah pusat ilmu yang terbilang, kaya dengan orang ilmuan ni pun boleh berlaku “kemunduran” etika sebegitu, apalagi kat tempat lain kan?

Kat sini, memang biasa kita akan nampak kereta yang meminggir sedikit di belakang kereta lain yang diparking. Agak menghalang laluan kereta lain sebenarnya kerana laluan sehala itu muat untuk satu kenderaan sahaja. Bila ada sedikit halangan dengan kereta yang sedang menunggu sebegitu, kereta lain perlu lebih perlahan. Maklumlah, kalau tergesel ke apa, mengamuk pulak tuan kereta mahal tu, walaupun dia sebenarnya yang salah. Siapa suruh halang laluan orang kan?

Itu intronya yer. Apa yang aku nak cerita sebenarnya hanya ini sahaja;
Minggu lepas, aku juga turut sesakkan keadaan kat sini; Sambil makan dan sambil bayar hutang kat bank berkenaan. Masa terhegeh-hegeh nak balik, aku tengok ada sedikit kesesakan kat sini. Sebuah kereta peronda polis (kawasan bank kan, selalu polis buat rondaan) aku tengok meminggir ke tepi. Aku pun tak faham kenapa pihak pengurusan tidak sediakan tempat parking khas untuk polis. Kalau aku jadi anggota polis tu, aku park je kat depan lobi tu...muat satu kereta. Lagipun, kereta peronda polis, takkan pak guard tu akan saman kalau park kat situ. Kereta awam pun guard tak saman hu hu hu

Jadinya, berderet panjanglah kereta lain di belakang. Nak jadi cerita, kereta belakang peronda tu sebuah kereta Benz yang semua orang tahu besar segedabak. Pompuan pulak bawak. Terkial-kiallah entah mak datin mana tu untuk ke depan sedangkan ruangnnya sempit. Lesen dia lesen kopi o kot, campur dengan keyakinan yang kurang...jadi dia gagal dalam cubaannya ke hadapan. Sebenarnya ruang masih muat untuk kereta dia, tapi dia yang tak reti nak brutal sikit hu hu hu

Maka terkial-kiallah dia dalam kereta besarnya itu tanpa diedari anggota polis dalam kereta peronda. Kalau akupun kat dalam kereta peronda tu, tak sedar sebab biasanya masih muat lagi untuk ke depan. Dah penat terkial-kial, akhirnya mak cik tu terpaksa hon juga. Mak cik kereta Benz dah hon kereta peronda polis daaaaaa. Anda bagaimana, ada berani?

Khamis, 30 September 2010

Magika Macam avatar tak?


Aku kenal KRU adik beradik masa depa tetiba muncul dalam kumpulan bertiga yang mengagumkan. Waktu tu manalah ada kumpulan rap kat Malaysia ni yang nyanyi sambil lompat-lompat dan gaya lompat yang serupa. Kemas dan cantik je. Lepaas tu barulah tumbuh kumpulan lain yang sekarang ni pun dah tenggelam semula. Lepas tu, mereka buat bisnes pulak. Sekarang ni, depa pula yang teraju industri hiburan tanahair dengan lebih kukuh dan jadi “mastermind’ kemunculan artis/penyanyi baru yang meletup letup macam Eyzlnn, Adam, dan nama lain lagi.

Bila mereka buat CicakMan, aku lagi kagum. Macam tak percaya je bila kita boleh buat filem pelik-pelik macam CicakMan tu…ingatkan barat je boleh panjat-panjat bangunan macam spiderman ke, superman ke…sekarang ni pula, Edry muncul pula dengan filem Magika. Fuhhhhh! Kagum betul aku, padan benar dengan pelaburan depa yang juta-juta buat bangunan besar kat Cyberjaya tu kan?

Filem “Magika” adalah filem bercorak muzikal walaupun hanya 50 peratus sahaja nyanyian, selebihnya berlakon, tetapi kebanyakan lagu yang dimuatkan dinyanyikan sendiri oleh para pelakonnya. Ini yang menjadi kekuatan kepada filem Magika. Salah satu lagunya, Penyembuh Rindu nyanyian duet Mawi dan Diana Danielle. Lagu-lagu lain yang dimuatkan ialah Gebang (Maya Karin), Asal Menjadi Cantik (Ning), Rahsia Awet Muda (Ziana), Kita Bersaudara (KRU), Mana Nak Lari (Aleya, Amani, Adibah dan Ziana) dan Naga Tasik Chini (M. Nasir, Mawi, Diana dan Fimie).

Penggambaran filem ini mengambil masa selama 30 hari dan dijalankan di beberapa buah lokasi seperti FRIM, UPM, Putrajaya , Ulu Yam dan disebuah studio di Batu Caves.


Sinopsis Filem Magika

"Magika" merupakan filem ke 5 terbitan KRU Studios yang berkonsepkan muzikal dengan muatan pelbagai elemen termasuklah romantik, komedi dan kasih sayang di bawah arahan sulung Edry Abdul Halim. Filem ini mengisahkan dua beradik, Ayu dan Malik yang sangat sedih bila ibunya meninggal. Malik sangat tertekan dengan suasana tersebut kerana memikirkan dialah punca kematian ibunya. Selepas bertengkar dengan kakaknya pada suatu senja, Malik telah keluar berjalan-jalan di hutan sehinggalah tersesat ke dalam sebuah perigi buta yang membawanya ke alam ghaib bernama Magika.

Malik telah ditangkap Nenek Kebayan dan pengikutnya, Awang Kenit untuk dijadikan bahan jamu awet muda. Jamu tersebut dihasilkan melalui air mata kanak-kanak manusia. Fuyooooooo kesiannya kanak-kanak tu kena menangis bergelen-gelen tu...macam nak pergi pinang puteri gunung ledang pulak, kena ada air mata. Ayu yang terdengar jeritan adiknya cuba menyelamatkan Malik tetapi turut terperangkap di dalam "Magika'.

Penjelajahan Ayu mencari Malik di "Magika' membuatkan Ayu menempuh pelbagai rintangan. Mereka telah termasuk (tak sengaja ya…bukannya suka-suka main terjun perigi buta nak bunuh diri) dalam dunia Magica dan bertemu dengan pelbagai karektor popular dalam cerita dongeng, lagenda dan mitos Melayu, seperti Badang, Nenek Kebayan, Puteri Gunung Ledang, Bunian, Pak Pandir, Pokok Bersaudara, Bawang Putih Bawang Merah, Awang Kenit, Mahsuri, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Nujum Pak Belalang dan Hang Tuah. Walau bagaimanapun, Ayu sangat bernasib baik kerana dia bertemu dengan Badang (Mawi) yang membantu menyelamatkan mereka keluar dari dunia asing itu. Mmmmm nampak macam comel je Mawi bila ada rambut panjang yang rebonding rapi macam tu hu hu hu


Pelakon Magika

Magika menggabungkan lebih 15 pelakon ternama yang melakunkan watak-watak dunia dongeng, hikayat, cerita rakyat Melayu dengan barisan pelakon seperti berikut;
• Diana Danielle - Ayu (Pelakon Utama)
• Mawi - Bad (Pelakon Utama)
• Shafimie Saedon - Malik (Pelakon Utama)
• Ziana Zain - Nenek Kebayan (Pelakon Utama)
• Ning Baizura - Puteri Gunung Ledang (Pelakon Utama)
• Maya Karin - Bunian (Pelakon Utama)
• M.Nasir - Penunggu Gua (Pelakon Pembantu)
• Raja Azura - Mak Andeh (Pelakon Utama)
• Norman KRU - Pokok Bersaudara (Pelakon Utama)
• Edry KRU - Pokok Bersaudara (Pelakon Utama)
• Yusry KRU - Pokok Bersaudara (Pelakon Utama)
• Aznil Nawawi - Pak Pandir (Pelakon Pembantu)
• Datuk Jalaluddin Hasan - Murad (Pelakon Pembantu)
• Ogy Ahmad Daud - Ija (Pelakon Pembantu)
• Sharifah Amani - Bawang Putih (Pelakon Pembantu)
• Sharifah Aleya - Bawang Merah (Pelakon Pembantu)
• Adibah Noor - Makcik Halia (Pelakon Pembantu)
• Ruminah Sidek - Tok Wan (Pelakon Pembantu)
• Sabri Yunus - Bendahara (Pelakon Pembantu)
• Saiful Apek - Hang Tuah (Pelakon Pembantu)
• Mazlan Pet Pet - Hang Jebat (Pelakon Pembantu)
• Azlee Senario - Hang Kasturi (Pelakon Pembantu)
• Hamdan Ramli - Hang Lekir (Pelakon Pembantu)
• Illya Buang - Hang Lekiu (Pelakon Pembantu)
• Vanidah Imran - Mahsuri (Pelakon Pembantu)
• Norman Hakim - Lembing Awang Pulang Ke Dayang (Pelakon Pembantu)
• Nabil - Orang Minyak (Pelakon Pembantu)
• Zaibo - Nujum Pak Belalang (Pelakon Pembantu)
• Hadziq - Belalang (Pelakon Pembantu)
• Marsha Milan Londoh - Puteri Santubong (Pelakon Pembantu)
• Azhari Mohd Zain - Doktor (Pelakon Pembantu)

Filem arahan Edry Abdul Halim yang dihasilkan dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.4 juta itu mula ditayangkan pada 23 September 2010. Selepas empat hari ditayangkan di pawagam-pawagam di Malaysia dan Brunei, filem Magika telah berjaya memperoleh kutipan sekitar RM1.3 juta. Filem ini tercetus apabila Edry teringat teater muzikal pertama yang ditontonnya ketika berusia 12 tahun di London berjudul Tommy. Magika hanya menyasarkan kutipan sebanyak RM 4 juta sahaja.

Aku teringin sangat nak tengok ‘Maya Karin’ yang jelita itu jadi puluhan orang bunian. Mesti comel kan…

Aku harapkan, filem ini lebih berjaya daripada CicakMan. Selama ni kita kagum dengan watak dari luar je; atromen taro, superman, spiderman, macam-macam man lagilah termasuklah doeramon. Bila cicakMan muncul, aku tahu…satu perubahan besar akan berlaku dalam industri seni negara kita. Kita tak boleh harapkan orang luar iktiraf watak-watak dongeng Melayu dalam karya mereka. Kalaupun mereka buat, tidak lain untuk menjatuhkan martabat kita sahaja. Tengok sahaja Mat Jenin, Lebai Malang dan macam-macam watak lain telah dicipta untuk lemahkan bangsa kita. Sekurang-kurangnya apabila menonton Magika, kita dan anak-anak negara ini akan lebih mesra telinga dan mata dengan nama-nama seperti Pak Pandir, Badang, Mahsuri, Nenek Kebayan, Bawang Putih, Bawang Merah, Awang Kenit, Tasik Chini, Batu Belah Batu Bertangkup dan macam-macam lagi. Itu jangka pendek, untuk jangka panjang aku rasa lebih dari itu pun KRU brothers boleh buat. Dah ada studio besar segabak macam tu kat Cyberjaya, mesti kena manfaat sebaiknya kan?

Selepas ini ‘Hikayat Merong Mahawangsa’ pula mereka buat. Aku pasti tetap akan ada kelainan yang dapat diberikan kepada penonton. Dah baca Hikayat Merong Mahawangsa sejak dibangku sekolah, teringin juga nak tengok versi layar perak pula. Harap-harap taklah kena cincang lumat. Dengar khabar produksi yang lebih gah termasuk menggunakan skor muzik oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) digunakan.

Syabas diucapkan kepada KRU dan Edry kerana mampu mengangkat watak-watak terkenal dalam dongeng Melayu ke layar perak kerana ia sekurang-kurangnya dapat mengalih seketika tumpuan daripada Sleeping Beauty, Spider-Man, Cinderella, Zorro, Peter Pan dan macam-macam lagi watak rekaan Hollywood. Filem ini turut menampilkan teknik janaan komputer (CGI) sama seperti filem-filem terbitan KRU lain iaitu Cicak Man I dan Cicak Man II. Jadi, tak mustahil kalau hasilnya nanti boleh buatkan kita sebut “WOW!”.
Mmmmm macam best je filem ni. Rugilah pulak kalau tak pergi tengok kan? Ini kan kali pertama filem kita bawa penonton ke dunia fantasi. Ada macam filem Narnia tak? Avatar ke…Harry porter ke…Cik Bintang, jom masuk panggung!

Sesiapa yang dah tengok tu…silalah kongsi kat sini…