Memaparkan catatan dengan label KRU buat filem. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KRU buat filem. Papar semua catatan

Selasa, 5 Oktober 2010

Magika memang Magik laaaaa

Hari minggu lepas, sekalipun peluh menitik hingga ke lantai di rumah terbuka kakak, namun berkesempatan juga tengok filem Magika arahan Edry Abdul Halim yang tengah panas ditayangkan kat panggung sekarang ni.

Macam yang ditulis orang lain di blog, aku memang sangat teruja untuk menilai kehebatan filem ni. Latar belakang dan maklumat tentang filem ini aku dah tulis dalam entri sebelum ni di Magika Macam Avatar Tak?, bolehlah selak semula kalau nak tahu maklumat pasal filem ni.

Sepanjang masa sejam setengah tu, aku sangat teruja. Kagum. Terhibur. Banyak perkara buatkan aku teruja.

Pertama: cantik sangat maya karin jadi pari-pari bunian tu. Scene ni memang aku teruja sangat nak tengok, apalagi bila ramai yang dah tengok filem ni komen sinematografinya cukup cantik. Pendek kata, aku benar-benar menghayati filem ni dari awal hingga akhir dengan rasa bangga yang amat. Fuhhhhhh! Siapa kata Malaysia tak boleh kan? Dah pasti Malaysia boleh. Lepas ni, David Teoh ada saingan baru ya hu hu hu asal positif apa salahnya kan?


Kedua: lakonan Diana Danielle tu pun hidup. Taklah nampak dibuat2 macam yang biasa dia berlakon sebelum ni. Hidup sangat. Dia gaduh dengan Fimie tu pun hidup. Lakonan dia kali ni juga nampak selamba sikit, bukannya memaksa diri untuk melakonkan satu-satu watak. Suaranya pulak...agak merdua juga.

Ketiga: Ziana Zain memang nenek sihir yang terbilanglah. Lupakan terus lakonannya dalam Maria mariana ke, Sembilu ke atau mana-mana filem masa dia anak dara dulu...lakonan dia kali ni memang cun habis dengan sanggul tingginya tu. Belum tengok lagi gaya dia jalan hu hu hu sangat menggeletek ibu jari kakilah!

Empat: Boleh tengok Mawi berambut panjang menggunakan teknik rebonding kot. Tapi sadis sikitlah sebab Mawi tak pandai sangat berlakon kecuali bila sampai bab nyanyi tu, baru keluar suara machonya. Namun, taklah sampai cacatkan filem ni. Lagipun, bakat Mawi belum teruji lagi dalam bidang lakonan kan? Takat berlakon dalam Jin Noti je, kira Magika boleh berikan dia pengalaman baru (Fuhhhh macamlah aku ni pengulas filem yang hebat pulak kan hu huhu peminat fanatik Mawi jangan marah yaaaaaa...).


Lima: M.Nasir jadi Naga Tasik Chini, nyanyi dua baris lagu je tapi diulang-ulang beberapa kali dengan nada suara yang berbeza. Macho sangat.

Enam: Teknik yang digunakan. Fuyoooooo kira setanding dengan filem-filem luarlah. Penggunaan teknologi buatkan filem ni hidup. Nampak macam real je. Begitu juga dengan cara filem ni dipersembahkan. Rasa macam tak percaya pulak aku sedang menonton filem dari Malaysia. Selain adegan anjing kejar Ayu dan Bad, monyet ganas lalu di tempat mereka, kewujudan jambatan kayu dan aksi naga tasik Chini menyerang, aku paling suka dengan paparan Diana dan Mawi sedang menyanyi di dua dunia yang berbeza. Fuyoooooo cantik sangat perbezaan kedua-dua alam itu diketengahkan.

Tujuh: Puteri Gunung Ledang memang meletop! Selama ni, ramai anggap dia tu cantik jelita dan ayu menawan. Kat dalam filem ni, dia tu dah jadi Andartu dan hodoh. Walaupun watak Bendahara yang dilakunkan Sabri Yunus hanya muncul satu scene sahaja, tetapi mampu gamatkan panggung. Apa tak gelaknya, Datok Bendahara itu rupanya “lemah lembut” orangnya bercakap kelantan campur hu hu hu naik sengal gigi aku gelak.

Awalnya, aku ingatkan Edry saja je buat gimik kosong dengan meletakkan sebegitu ramai pelakon terkenal. Sebelum ni kan cara sebegini mampu tarik pengunjung ke panggung. Namun, bila dah tengok filem Magika ni, barulah aku tahu bahawa tuan pengarah muda ini nak pastikan hasil yang terbaik sahaja. Semua watak dalam filem ni memang bagus lakonannya walaupun mereka muncul beberapa scene sahaja.

Filem Magika ni filem muzikal dengan suara penyanyi asal. Diana pelakon utamanya, dan dia menyanyi dengan baik sekali. Berlakonpun baik. Bergaduh dengan Fimie pun baik juga hu huhu dan lakonan Fimie juga comel. Dahlah muka dia memang comel.

Mmmmm malas lah aku nak puji banyak-banyak lagi, Edry tak bagi tiket percumapun kat aku sebab puji dia melambong-lambong ni. Apapun, aku bangga dengan filem Magika ni. Aku tak sabar nak tunggu Hikayat Merong Mahawangsa pula. Kalau nak tahu sehebat mana filem ni, silalah ke panggung terdekat. Kalau ada sesiapa nak bagi aku tiket FREE tu, aku masih sanggup untuk masuk tengok filem ni sekali lagi.

PsssssT: Terima kasih kepada Cik Bintang yang sudi jadi “Teman nan Mesra” semenjak dua menjak ni... Nanti kita sebat Cheese Kek Tiramitsu ya lain kali...

Pssst: Semua gambar dalam entri ni aku k utip dari data Enche Google. Terima kasih!

Khamis, 30 September 2010

Magika Macam avatar tak?


Aku kenal KRU adik beradik masa depa tetiba muncul dalam kumpulan bertiga yang mengagumkan. Waktu tu manalah ada kumpulan rap kat Malaysia ni yang nyanyi sambil lompat-lompat dan gaya lompat yang serupa. Kemas dan cantik je. Lepaas tu barulah tumbuh kumpulan lain yang sekarang ni pun dah tenggelam semula. Lepas tu, mereka buat bisnes pulak. Sekarang ni, depa pula yang teraju industri hiburan tanahair dengan lebih kukuh dan jadi “mastermind’ kemunculan artis/penyanyi baru yang meletup letup macam Eyzlnn, Adam, dan nama lain lagi.

Bila mereka buat CicakMan, aku lagi kagum. Macam tak percaya je bila kita boleh buat filem pelik-pelik macam CicakMan tu…ingatkan barat je boleh panjat-panjat bangunan macam spiderman ke, superman ke…sekarang ni pula, Edry muncul pula dengan filem Magika. Fuhhhhh! Kagum betul aku, padan benar dengan pelaburan depa yang juta-juta buat bangunan besar kat Cyberjaya tu kan?

Filem “Magika” adalah filem bercorak muzikal walaupun hanya 50 peratus sahaja nyanyian, selebihnya berlakon, tetapi kebanyakan lagu yang dimuatkan dinyanyikan sendiri oleh para pelakonnya. Ini yang menjadi kekuatan kepada filem Magika. Salah satu lagunya, Penyembuh Rindu nyanyian duet Mawi dan Diana Danielle. Lagu-lagu lain yang dimuatkan ialah Gebang (Maya Karin), Asal Menjadi Cantik (Ning), Rahsia Awet Muda (Ziana), Kita Bersaudara (KRU), Mana Nak Lari (Aleya, Amani, Adibah dan Ziana) dan Naga Tasik Chini (M. Nasir, Mawi, Diana dan Fimie).

Penggambaran filem ini mengambil masa selama 30 hari dan dijalankan di beberapa buah lokasi seperti FRIM, UPM, Putrajaya , Ulu Yam dan disebuah studio di Batu Caves.


Sinopsis Filem Magika

"Magika" merupakan filem ke 5 terbitan KRU Studios yang berkonsepkan muzikal dengan muatan pelbagai elemen termasuklah romantik, komedi dan kasih sayang di bawah arahan sulung Edry Abdul Halim. Filem ini mengisahkan dua beradik, Ayu dan Malik yang sangat sedih bila ibunya meninggal. Malik sangat tertekan dengan suasana tersebut kerana memikirkan dialah punca kematian ibunya. Selepas bertengkar dengan kakaknya pada suatu senja, Malik telah keluar berjalan-jalan di hutan sehinggalah tersesat ke dalam sebuah perigi buta yang membawanya ke alam ghaib bernama Magika.

Malik telah ditangkap Nenek Kebayan dan pengikutnya, Awang Kenit untuk dijadikan bahan jamu awet muda. Jamu tersebut dihasilkan melalui air mata kanak-kanak manusia. Fuyooooooo kesiannya kanak-kanak tu kena menangis bergelen-gelen tu...macam nak pergi pinang puteri gunung ledang pulak, kena ada air mata. Ayu yang terdengar jeritan adiknya cuba menyelamatkan Malik tetapi turut terperangkap di dalam "Magika'.

Penjelajahan Ayu mencari Malik di "Magika' membuatkan Ayu menempuh pelbagai rintangan. Mereka telah termasuk (tak sengaja ya…bukannya suka-suka main terjun perigi buta nak bunuh diri) dalam dunia Magica dan bertemu dengan pelbagai karektor popular dalam cerita dongeng, lagenda dan mitos Melayu, seperti Badang, Nenek Kebayan, Puteri Gunung Ledang, Bunian, Pak Pandir, Pokok Bersaudara, Bawang Putih Bawang Merah, Awang Kenit, Mahsuri, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Nujum Pak Belalang dan Hang Tuah. Walau bagaimanapun, Ayu sangat bernasib baik kerana dia bertemu dengan Badang (Mawi) yang membantu menyelamatkan mereka keluar dari dunia asing itu. Mmmmm nampak macam comel je Mawi bila ada rambut panjang yang rebonding rapi macam tu hu hu hu


Pelakon Magika

Magika menggabungkan lebih 15 pelakon ternama yang melakunkan watak-watak dunia dongeng, hikayat, cerita rakyat Melayu dengan barisan pelakon seperti berikut;
• Diana Danielle - Ayu (Pelakon Utama)
• Mawi - Bad (Pelakon Utama)
• Shafimie Saedon - Malik (Pelakon Utama)
• Ziana Zain - Nenek Kebayan (Pelakon Utama)
• Ning Baizura - Puteri Gunung Ledang (Pelakon Utama)
• Maya Karin - Bunian (Pelakon Utama)
• M.Nasir - Penunggu Gua (Pelakon Pembantu)
• Raja Azura - Mak Andeh (Pelakon Utama)
• Norman KRU - Pokok Bersaudara (Pelakon Utama)
• Edry KRU - Pokok Bersaudara (Pelakon Utama)
• Yusry KRU - Pokok Bersaudara (Pelakon Utama)
• Aznil Nawawi - Pak Pandir (Pelakon Pembantu)
• Datuk Jalaluddin Hasan - Murad (Pelakon Pembantu)
• Ogy Ahmad Daud - Ija (Pelakon Pembantu)
• Sharifah Amani - Bawang Putih (Pelakon Pembantu)
• Sharifah Aleya - Bawang Merah (Pelakon Pembantu)
• Adibah Noor - Makcik Halia (Pelakon Pembantu)
• Ruminah Sidek - Tok Wan (Pelakon Pembantu)
• Sabri Yunus - Bendahara (Pelakon Pembantu)
• Saiful Apek - Hang Tuah (Pelakon Pembantu)
• Mazlan Pet Pet - Hang Jebat (Pelakon Pembantu)
• Azlee Senario - Hang Kasturi (Pelakon Pembantu)
• Hamdan Ramli - Hang Lekir (Pelakon Pembantu)
• Illya Buang - Hang Lekiu (Pelakon Pembantu)
• Vanidah Imran - Mahsuri (Pelakon Pembantu)
• Norman Hakim - Lembing Awang Pulang Ke Dayang (Pelakon Pembantu)
• Nabil - Orang Minyak (Pelakon Pembantu)
• Zaibo - Nujum Pak Belalang (Pelakon Pembantu)
• Hadziq - Belalang (Pelakon Pembantu)
• Marsha Milan Londoh - Puteri Santubong (Pelakon Pembantu)
• Azhari Mohd Zain - Doktor (Pelakon Pembantu)

Filem arahan Edry Abdul Halim yang dihasilkan dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.4 juta itu mula ditayangkan pada 23 September 2010. Selepas empat hari ditayangkan di pawagam-pawagam di Malaysia dan Brunei, filem Magika telah berjaya memperoleh kutipan sekitar RM1.3 juta. Filem ini tercetus apabila Edry teringat teater muzikal pertama yang ditontonnya ketika berusia 12 tahun di London berjudul Tommy. Magika hanya menyasarkan kutipan sebanyak RM 4 juta sahaja.

Aku teringin sangat nak tengok ‘Maya Karin’ yang jelita itu jadi puluhan orang bunian. Mesti comel kan…

Aku harapkan, filem ini lebih berjaya daripada CicakMan. Selama ni kita kagum dengan watak dari luar je; atromen taro, superman, spiderman, macam-macam man lagilah termasuklah doeramon. Bila cicakMan muncul, aku tahu…satu perubahan besar akan berlaku dalam industri seni negara kita. Kita tak boleh harapkan orang luar iktiraf watak-watak dongeng Melayu dalam karya mereka. Kalaupun mereka buat, tidak lain untuk menjatuhkan martabat kita sahaja. Tengok sahaja Mat Jenin, Lebai Malang dan macam-macam watak lain telah dicipta untuk lemahkan bangsa kita. Sekurang-kurangnya apabila menonton Magika, kita dan anak-anak negara ini akan lebih mesra telinga dan mata dengan nama-nama seperti Pak Pandir, Badang, Mahsuri, Nenek Kebayan, Bawang Putih, Bawang Merah, Awang Kenit, Tasik Chini, Batu Belah Batu Bertangkup dan macam-macam lagi. Itu jangka pendek, untuk jangka panjang aku rasa lebih dari itu pun KRU brothers boleh buat. Dah ada studio besar segabak macam tu kat Cyberjaya, mesti kena manfaat sebaiknya kan?

Selepas ini ‘Hikayat Merong Mahawangsa’ pula mereka buat. Aku pasti tetap akan ada kelainan yang dapat diberikan kepada penonton. Dah baca Hikayat Merong Mahawangsa sejak dibangku sekolah, teringin juga nak tengok versi layar perak pula. Harap-harap taklah kena cincang lumat. Dengar khabar produksi yang lebih gah termasuk menggunakan skor muzik oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) digunakan.

Syabas diucapkan kepada KRU dan Edry kerana mampu mengangkat watak-watak terkenal dalam dongeng Melayu ke layar perak kerana ia sekurang-kurangnya dapat mengalih seketika tumpuan daripada Sleeping Beauty, Spider-Man, Cinderella, Zorro, Peter Pan dan macam-macam lagi watak rekaan Hollywood. Filem ini turut menampilkan teknik janaan komputer (CGI) sama seperti filem-filem terbitan KRU lain iaitu Cicak Man I dan Cicak Man II. Jadi, tak mustahil kalau hasilnya nanti boleh buatkan kita sebut “WOW!”.
Mmmmm macam best je filem ni. Rugilah pulak kalau tak pergi tengok kan? Ini kan kali pertama filem kita bawa penonton ke dunia fantasi. Ada macam filem Narnia tak? Avatar ke…Harry porter ke…Cik Bintang, jom masuk panggung!

Sesiapa yang dah tengok tu…silalah kongsi kat sini…