Jumaat, 25 September 2009

Travelog Raya Siri 4: Balik KL

Rabu dah balik KL kerana perlu ke Perpustakaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di Batu 10 Gombak keesokan hari. Bertolak dari rumah jam 8.05 pagi. Jam sembilan dah sampai rumah mak cik di Kuala Krai dan hantarkan puding roti yang aku buat malam sebelumnya. Walaupun dah sarapan nasi di rumah, kenalah sarapan nasi goreng lagi sekali. Kang kecil hati pulak orang tua tu.

Jam sepuluh bertolak ke Gua Musang. Perjalanan lancar, hanya sesekali sahaja merangkak macam penyu belimbing (penyu merangkak ke?) kerana terdapat gajah-gajah yang angkut balak. Bukan ke sebelum ni depa semua tu tak boleh berada di jalan raya ke semasa cuti perayaan?

Sampai di Genting Sempah jam 2.45 petang. Agak awal juga. Jadinya, aku sms saja seorang rakan yang tinggal di Seri Gombak yang katanya sampai dari Kuala Kangsar pada Selasa. Jam empat petang aku dah mengadap mangkuk me bandung. Kami berbual hingga jam 6.30. masa memang cepat benar berlalu. Dah lama tak jumpa, macam-macam yang diborakkan hingga lupa rasa penat dan rasa lapar.

Perjalanan sedikit perlahan semasa balik ke Bangi melalui MRR2. Jam 7.30 baru sampai dengan letihnya. Hati tercuit saat terpandang bunga-bunga kertas yang tengah lebat menyambut Syawal gugur kelayuan!








Nikmati ajelah pemandangan terindah sepanjang jalan yang panjang tu...





wifi slow pulak hari ni...minggu depan ajelah upload gambor ye...sabor!












Travelog Raya Siri 3: Bila musim Raya

Raya bagi aku hanyalah tradisi bersesak di jalan raya, kembali ke kampung halaman jumpa Mek ayah dan adik beradik. Kemudiannya jumpa beberapa orang sedara mara yang bertandang ke rumah kami. Keterujaannya hanyalah itu, jumpa mek ayah dan beberapa orang adik dan abang di kampung halaman. Kakak dan seorang lagi adik selalu aku jumpa di sini.

Jadinya tiap kali datangnya raya, kami beraya sesama sendiri. Saudara mara hanya beberapa kerat sahaja (kecuali sekarang, kami sendiri tak sedar yang bilangan saudara mara kami kian bertambah) yang perlu kami kunjungi. Itupun saudara mara yang sama-sama sesak macam kami, tetapi tetap membantu sedaya upaya masa kami lalui jalan sukar.

Kami dah biasa tidak diterima walaupun pada hari semulia Aidilfitri hanya kerana status kami sebagai “miskin tegar” dan sentiasa layak menerima bantuan makanan bagi kanak-kanak termiskin masa sekolah dahulu. Jadinya, jalan terbaik untuk kami adalah berada di rumah sahaja biarpun pada hari segembira itu. Selepas solat sunat hari raya, kami biasanya akan makan-makan sesama keluarga sebelum tukar pakaian dan berehat dengan bagusnya. Hari raya pertama biasanya terpenuh dengan kebosanan kerana tiada aktiviti yang boleh dilakukan selain dari melingkar sahaja di rumah. Raya ke dua dan ke tiga barulah terasa macam raya sikit kerana ada kunjungan saudara mara yang tidak memandang jijik dengan keluarga kami.

Kini, semuanya dah berubah. Koleksi saudara mara kami bertambah dengan begitu cepat. Itupun setelah kami anak beranak mampu ubah status ekonomi keluarga, ubah keteguhan pondok kami dengan tiang kongkrit (dulu depa takut rumah kami runtuh kot kalau depa yang bersaiz xxxl tu datang rumah), ubah juga beberapa cara hidup kami. Setiap kali raya, aku memang sangat kagum dengan Mek kerana hidangan rayanya boleh tahan hingga lebih sebulan (bayangkanlah banyak mana hidangan raya yang Mek ada untuk itu walaupun mek tidaklah beria-ria sangat siapkannya). Semua itu kami yang bawa balik sedikit seorang dan disumbangkan oleh sanak saudara (sama ada yang pernah datang atau pernah memandang kami tanpa anak mata sebelum ini).

Dan kini juga, aku dah semakin tidak reti untuk beraya dengan meriah seperti orang lain. Kakak, walaupun dah ada anak enam, masih lagi kekok untuk mengubah tradisi “memerap” keluarga kami tiap kali musim perayaan. Begitu juga adik perempuanku, seringkali memilih untuk berada di rumah membantu Mek cuci pinggan mangkuk berbanding keluar bersama suaminya. Satu kejutan dan dilema untuk adik ipar aku. Aku tak salahkan mereka sebab aku juga rasa begitu. Rasa lebih senang berada di rumah. Datanglah berapa ramai tetamupun, kami sudi untuk meraikannya, namun...kami tidak tahu bagaimana cara terbaik untuk merewang raya. Sebab itulah, aku tak begitu kesah tidak punya baju raya biar sehelaipun dalam tempoh lebih 10 tahun ini hinggakan aku sendiri tidak mampu menyebut secara tepat tarikh terakhir aku memilikinya.

Kamilah antara penyebab kepupusan tradisi sambutan raya mengikut acuan Melayu!



Khamis, 24 September 2009

Travelog Raya Siri 2: Aku yang lambat balik


Sabtu petang: dah lewat masa kakak sms tanyakan cd surah al-baqarah. Rumah kami kat kampung tu makin banyak dihurung jin dan hantu. Aku memang heran sesangat dengan masyarakat kita yang ramai sangat dah ada phD (perasaan hasad DENGKI) padahal masa kami merempat dulu, kami tak mintak ehsan sesiapa pun, apalagi TV3. Sekarang ni tak lah senang sangat pun, hutang tetap keliling pinggang, tapi baik sikit je dari dulu. Kami juga tak lah bongkak diri sampai tayang gelang sampai siku bak mami jarum. Kami tak susahkan sesiapa, tak ganggu sesiapa juga. Bila ada orang yang terlebih phD ni menyusahkan hidup keluarga kami, kami juga tak susahkan dia balik pun. Buat tak tahu saja macam tak ada apa-apa yang berlaku. Dah buat macam tu pun masih lagi tak puas hati?

CD yang pelbagai surah untuk halau hantu, termasuk mp3 yang Suzry kirimkan melalui emel kepada semua rakan-rakan itu juga ada. Dahululah. Sampai sekarang pun aku ingat masih ada kat rak CD di rumah. Yakin pulak tu ada. Jadinya, CD .... kat pejabat tu aku tak bawa baliklah. Ingatnya cukuplah dengan apa yang ada kat rumah.

Bila balik rumah, ternyatanya dengan penuh kekaguman, aku menyedari semua tu dah tak ada. Dah kena kidnap. Dua tahun lepas aku ada bela teman serumah yang kidnap banyak barang-barang aku termasuk almari pakaian, meja makan dan taperware (mahal tu weh!), termasuk juga barang-barang lain yang kecil seperti alatan dapur, buku-buku (termasuk novel), malah spanar dan keperluan untuk bertukang. Kiranya, apa-apa sajalah yang dia rasa berkenan dan dia tak ada lagi. Nasib baik peti ais tak sempat dia angkut hu hu hu. Jadinya, dia dah kidnap sama CD-cd bacaan al-qur’an jugalah tu...boleh ke gitu. Macam yang sering dilakukan ramai jiran India aku dulu yang ambil bunga-bungaan orang untuk dibawa ke kuil. Alahai!

Semua barang-barang tu besar (termasuk yang kecil-kecil), aku sendiri pun tak pasti dia angkut dengan apa dan siapa balachi yang tolong dia angkut. Meja makan tu saja dah enam kerusi, apa lagi almari pakaian tu. Memang kena guna lori. Seusaha itu dia angkut barang-barang buruk aku?

Berbuka je malam tu, terus aku terjah PKNS nak cari Cd baru. Banyak kedai dah tutup sedangkan ramai juga manusia berpusu membuat belian terakhir. Kedai buku Shabab lagilah tutupkan? Aku bergegas ke Kompleks Diamond pula. Banyak kedai juga dah tutup termasuk kedai yang jual cd agama. Akhirnya aku balik dengan sedikit putus asa sambil melilau tengok kalau-kalau ada tudung yang sesuai untuk Mek. Memang susah untuk dapatkan tudung yang agak labuh ke bawah sedikit. Sekarang ni pesen orang pakai tudung nampak leher, pakai baju nampak anak baju. Pakai kain macam tak pakai kain hu hu hu...jangan marah ya, idea spontan. Jari tak terkawal taipnya.

Akhirnya jumpa juga tudung lembut yang sejuk untuk Mek pakai walaupun warna pilihan hanya ada 3 sahaja: biru laut, putih dan purple. Bila telefon, Mek pilih purple. Kalau ada warna gelap kan lagi bagus. Masa tengah bersesak nak balik, aku ternampak satu kedai yang jual macam-macam barang keperluan seperti baju melayu, tudung, telekung solat, alat tulis, buku-buku agama dan macam-macam lagi lah...kira macam Astro tu. Terus saja singgah dan cari cd-cd sebegitu kalau-kalau ada. Jumpa sedikit sahaja. Rasa putus asa tu datang balik. Semua orang yang datang situ untuk beli pakaian raya, samping atau songkok je. Akhirnya aku ternampak juga cd yang disusun di bawah susunan songkok. Apalagi, terus borong 5 keping.

Pagi Raya: Alamak! Terbangun lambatlah pulak! Entah macam mana aku boleh pergi tutup alarm telefon (dah pasang dua tu...letak atas meja tulis lagi, memang perlu bangun dan berjalan untuk tutupkan). Bila sedar, memang dah siang. Enam lebih. Setelah mandi ala-ala kambing begitu, akhirnya aku bertolak dari rumah pada jam 6.45 pagi. Biasanya pada waktu sebegini aku sudah solat di Genting Sempah. Kali ni baru mula turun dari rumah. Entah jam berapalah nanti akan sampai.

Perjalanan memang selesa walaupun dah banyak kereta. Rupanya bukan aku seorang yang biol balik kampung pada pagi raya. Pasang lagu dikir barat kuat-kuat sepanjang perjalanan bagi elakkan mengantuk sambil sesekali aku turut berkaroeke. Jangan tanya suara aku merdu ke tidak, namun apa yang pasti, sepanjang jalan balik langit diselubungi awan kelabu yang kadang kala dihiasi rintik hujan. Sebab aku nyanyilah tu kot!

Perjalanan yang panjang ini terpenuh dengan pemandangan indah sepanjang laluan. Namun, bila sampai di puncak tertinggi (masih lagi di negeri Pahang, Bukit Tujuh kami panggil. Aku paling suka pemandangan di sini sebab selain tempatnya yang memang berada di puncak bukit, kita boleh nampak kawasan hutan yang menghijau. Suasananya sangat cantik pada waktu pagi sebegini, hijau dan dipenuhi kabus. Ikutkan hati nak saja berhenti di situ dan menghayati keindahannya, namun kawasan ini merupakan antara kawasan paling bahaya dan sering berlaku kemalangan kerana selain jalannya yang sempit, berliku dan curam juga. kalau bukan aku yang memandu, memang aku akan snap gambar banyak-banyak di sini.) suasana nyaman dan hijau itu sudah berubah. Dari puncak, kelihatan kawasan bukit yang sedang ditarah rakus untuk penanaman getah (kalau tak silap).

Tiba di R&R Gua Musang pada jam 10.45 pagi. Kalau ikutkan perancangan, atau kebiasaannya, pada waktu sebegini aku dah sampai Kuala Krai. Kira macam satu jam terlewat dari biasa. Bila dah waktu tengah hari sebegini, kenderaan makin banyak di jalan raya. Itu yang cuba dielakkan. Maklumlah, orang nak pergi beraya ni...mereka lebih hargai nyawa berbanding aku. Bawa kereta pun dengan kelajuan kereta kuda walaupun bunyi keretanya macam jet pejuang.

Di R&R ni ramai juga orang berhenti. Berbaju raya semuanya. Semuanya juga dalam perjalanan jauh dan mungkin baru balik beraya pagi ni macam aku. Ada juga beberapa buah kereta dipandu keluarga berbangsa Cina yang ambil kesempatan musim perayaan untuk melancong kot. Namun apa yang aku kagumkan, mereka ni sempat lagi bersihkan kawasan R&R yang berterabur dan bersepah dengan botol serta tin air minuman. Walaupun mereka dalam agenda melancong, tetap sempat lagi kutip rezeki kan?

Ketika brek aku tekan di belakang rumah jam 2.30 petang, (kami memang tak suka parking kereta depan rumah. Kawasan belakang rumah, kami boleh parking di tempat berbumbung. Kira menumpang berteduh dengan lembu yang ayah bela. Tempat itupun agak tersorok sedikit, jadi kalau kami menyusun kereta pun, tak ramai orang tahu melainkan memang mereka skodeng ke kawasan tersebut. Biasanya, saudara mara terdekat sahaja yang akan parking kereta di situ) ada tetamu yang beransur pulang. Salah seorang daripadanya tinggal di Bangi juga, dan dia pulang ke kampung mengambil masa hingga 16 jam pada hari Jumaat. Nasib badanlah!

Sabtu, 19 September 2009

Travelog Raya Siri Satu



Masa balik pejabat petang semalam, UKM dah nampak benar sepinya. Hanya pelajar asing terlihat masih lagi di perpustakaan dan pusat kemudahan. Kakitangan Ukm sendiri pun dah ramai yang bercuti. Kawasan letak kereta lengang. Tidak ada lagi masalah parking yang membebankan kepala ramai orang kebelakangan ini.

Semasa penuhkan tong minyak dengan petrol malam semalam, suasana di pasaraya dan stesen minyak masih meriah. Begitu juga di bank. Ramai orang dan terpaksa beratur panjang.

Sebab plan nak balik kampung pada hari ni, pepagi buta lagi...jadinya paksakan juga biji mata yang sudah terlatih tidur seawal 12 tengah malam pada kebiasaannya, menutup tirai pada jam 10 malam. Susah banget, bah! Walaupun siangnya pusing keliling satu donia sempurnakan segala urusan sebelum bercuti, bila tiba bab tidur awal ni...mata memang payah benor nak lelap. Padahal, badan memang dah letih gila. Nasib baik je diri belum sempat gila je hu hu hu.

Entah jam berapa tertidur, namun jam 2 pagi, ada sms ucap raya buatkan aku terjaga semula. Dah lah payah benor nye nak lelap, adalah pulak makhluk allah yang entah dari mana, nak menjalinkan persaudaraanlah pulak...tapi tak kena tempat. Kok ye pun nak eratkan silaturRahim, tengoklah jam sikit SAYANG. Dah lah malam sebelumnya ada orang telefon hampir jam 3 pagi tanya bilik untuk disewa. Tak kan itupun tak reti nak pikir, hang dok benua mana sampai tak reti nak hitung waktu tu dah jam berapa. Tau ler aku selalu membuta lambat, tapi sendreyyy mau ingat la! Tak kan itupun nak kena cakap.

Rasa macam baru sesaat lelap mata, alarm tepon dah berbunyi. Dah 4.15 ke ni? Adoiii mata masih nak lelap ni macam mana? Dalam kemalasan tahap maksima, terpaksa juga campak selimut tebal ke tepi (semalam ujan weh...best nyee kalau boleh sambung tido), lompat katil terus serbu bilik air.

Bertolak dari Bangi jam 4.35 (macam mandi P.Ramlee je kan...tapi, sempat lagi tu minum nescafe panas dan bubur lambok sebagai sahur. Kira kali pertama pada hari terakhir Ramadhan aku bersahur). Dengan semangat yang benar-benar waja bercampur harapan yang menggunung, kaki tekan pedal minyak je. Di jalan raya, dah banyak kereta pada waktu yang seawal itu. Jam 5 aku dah sampai tol Gombak. Baru je tekan minyak meluncur di lebuh raya, tetiba je kena tekan brek. Adoiiiii la, pepagi buta ni dah jem ke?

Tolonglah! Kalau awal-awal lagi aku tahu jem sampai macam ni kat tengah hutan ni, memang aku teruskan saja tarik selimut pada pagi yang berbahagia ini. Dah lah perjalanan tersengguk-sengguk merayap macam lipan, panjat bukit lagi tu. Dah separuh jalan kat tengah bukit nan indah tu (kalau nampaklah...mesti ada kabus pepagi macam, tu...), kesan minum nescafe tadi mula terasa. Kat tengah hutan ni weh...macam mana nak buang? Bukannya boleh berhenti tepi lebuhraya dan buat selamba badak kat tengah khalayak ramai tu membuang merata-rata (walaupun ramai yang terpaksa buat dek tak tahan sangat, termasuk dua orang anak gadis yang manis. Bapaknya yang prihati buka bonet dan keluarkan botol air mineral. Tak sempat nak tengok takat mana perjalanan cerita itu sebab kereta dan gerak ke hadapan walaupun perlahan. Harapnya mereka guna kain batik sebagai penghadang. Takat hari ni, aku belum lagi sampai ke tahap tu rasanya).

Letih dan siksa tau tersangkut dalam jem seumpama itu. Paling tak best kalau nak membuang sesuatu dari usus. Penat pujuk diri dan alihkan fungsi otak agar fikirkan perkara lain, tapi akhirnya...tetap fikirkan tentang nikmat kelegaan jika mampu keluarkan bahan buangan itu. Nak sampai hentian rehat dan rawat Genting sempah pun terasa macam entah berapa kurun. Macamlah perjalanan tu teramat jauh sangat.



Di genting sempah, terpaksa pula cari parking yang memang dah sah-sah payah nak dapat. Dengan kurang ajar dan tahap kesopanan yang teramat rendah, aku mencelah saja di tengah-tengah Stream yang mengangakan pintunya lebar-lebar dan Waja dengan tuan punya kedua-dua buah kereta ini berborak cantekkkk punya. Dah aku sondolkan juga muncul viva tu kat situ, terpaksalah depa tutup pintu dan bersurai dari lepak tu. Sebagai menghargai jasa baik mereka yang sedang beramah tamah tu, aku ucapkan terima kasih dan terlari-lari tupai ke bilik air untuk mencari keselesaan. Beratur panjang jangan cakap, rasanya lebih dari setengah jam. Aku jeling jugak ke tandas lelaki, taklah berbaris sampai dua pusingan kat luar bangunan. Depa ni kongsi jamban ka?

Ada jugak aku mintak dengan orang depan untuk masuk dulu. Saja je cuba, kotlah dia tak terlalu terdesak sangat. Kalau dia beri laluan untuk aku, aku memang akan tabik spring. Sanggup aku kenduri kari ayam sekor kalaulah dia bagi. Tapi, dia memang tak bagi hu hu hu. Terpaksalah tunggu lagi 2 minit sebelum aku mampu menyelesakan diri kemudiannya.

Masa tengah jem kat tengah hutan tadi, adik sms beritahu dia belum lagi sampai rumah, masih di Machang. Dia yang balik selepas berbuka semalam. Nak kata apa, memang kampung kami jauh dan terpenuh jem. Setiap kali musim perayaan entah berapa juta kenderaan mendarat ke neegeri kelate yang terpenuh cik mek molek come lote tu (aku je belum sempat come lote hu hu hu).

Dah rasa selesa perut sikit, aku tefon adik. Dah sampai rumah pun. Aku tanya Mek, nak kena balik terus hari ni ke tidak. Mek jawab “balik”. Aku pandang jalan raya yang masih lagi sendat dengan kereta. Kawasan Genting Sempah melimpah dengan orang, kereta, bingit dengan hon. Perjalanan belum lagi sampai suku, tapi jemnya memang boleh buatkan pahala puasa berkurang. Stress dengan suasana boleh buatkan hilang pertimbangan. Kalaupun tidak bergaduh dengan pemandu lain, paling tidak mulut akan tersebut juga benda-benda yang tidak enak didengar telinga.

Telefon kakak tanya pendapat dia juga. Dia balik Jumaat tengah malam. Dia cakap terpulang kat aku. Bila fikirkan semula, dengan viva yang memang mempunyai kuasa kuda teramat tinggi dan boleh memecut hingga 180km/j itu, suasana jem, hari yang mendung dengan tanda-tanda nak hujan makin ketara, dan pinggang yang dah mula lenguh (sori bukan nak kondem viva, barangkali...aku ni dah tua kot hu hu hu bukan 18 lagi ke?, tulang mudah reput!) aku akhirnya memutuskan untuk patah balik. Dan keputusan itu merupakan keputusan yang terbaik pada saat itu kerana hujan mula turun dengan lebat. Jem di belakang juga teramat panjang hingga aku sendiri tidak pasti berapa jaraknya. Apa yang nyata, selepas bayar tol di Gombak, pesta lampu brek pun bermula.

Kasihan pulak kat adik, bahan-bahan untuk dia masak nasi minyak malam ni semuanya ada dalam kotak di bonet kereta yang aku bawa. Semalam aku dah ingatkan dia untuk bawa sekali, tapi muatan keretanya memang dah banyak walaupun tak lah sendat sangat. Kerepek ubi dan barang-barang untuk buat kek coklat juga ada dalam kotak itu, termasuk sekali roti dan bahan-bahan untuk buat puding roti. Nampak gayanya, esok mereka hanya makan nasi minyak dan kuih-kuih yang ada kat kampung ajelah. Yang lain masih belum balik dengan aku. Sesiapa yang datang pada hari raya pertama ke rumah kami akan alami sedikit kerugianlah. Jadinya, datanglah raya ke dua ya...itupun aku sempat goreng mehun aje kot hu hu hu. Campur dengan puding roti!

Hari ini, kawasan UKM terlebih sunyi lagi. Pengawal keselamatan memandangku dengan muka semacam sahaja semasa aku melintas pintu utama. Kalau dok rumah memang sah aku akan tarik selimut balik, malam karang tak ngantuk la pulak. Pagi Raya kan nak mengembara beratus batu ni...aduhaii!

Travelog ini akan bersambung semula selepas raya.

Isnin, 14 September 2009

Selamat Menyambut Ketibaan Hari Kemenangan


Selamat menyambut hari kemenangan dengan tibanya Syawal. Moga Aidilfitri kali ini lebih bermakna.



Ketupat pulut jadi hidangan,
Pasang pelita tengah halaman;
Selamat sambut hari lebaran,
Bersama kita saling bermaafan.



Kepada semua, mohon maaf andai terkasar bicara, tersalah tutur kata, terkilaf rasa...daku hanya insan biasa, tiada lari dari membuat silap dan dosa. Mohon dimaafi segala.