Jumaat, 25 September 2009

Travelog Raya Siri 3: Bila musim Raya

Raya bagi aku hanyalah tradisi bersesak di jalan raya, kembali ke kampung halaman jumpa Mek ayah dan adik beradik. Kemudiannya jumpa beberapa orang sedara mara yang bertandang ke rumah kami. Keterujaannya hanyalah itu, jumpa mek ayah dan beberapa orang adik dan abang di kampung halaman. Kakak dan seorang lagi adik selalu aku jumpa di sini.

Jadinya tiap kali datangnya raya, kami beraya sesama sendiri. Saudara mara hanya beberapa kerat sahaja (kecuali sekarang, kami sendiri tak sedar yang bilangan saudara mara kami kian bertambah) yang perlu kami kunjungi. Itupun saudara mara yang sama-sama sesak macam kami, tetapi tetap membantu sedaya upaya masa kami lalui jalan sukar.

Kami dah biasa tidak diterima walaupun pada hari semulia Aidilfitri hanya kerana status kami sebagai “miskin tegar” dan sentiasa layak menerima bantuan makanan bagi kanak-kanak termiskin masa sekolah dahulu. Jadinya, jalan terbaik untuk kami adalah berada di rumah sahaja biarpun pada hari segembira itu. Selepas solat sunat hari raya, kami biasanya akan makan-makan sesama keluarga sebelum tukar pakaian dan berehat dengan bagusnya. Hari raya pertama biasanya terpenuh dengan kebosanan kerana tiada aktiviti yang boleh dilakukan selain dari melingkar sahaja di rumah. Raya ke dua dan ke tiga barulah terasa macam raya sikit kerana ada kunjungan saudara mara yang tidak memandang jijik dengan keluarga kami.

Kini, semuanya dah berubah. Koleksi saudara mara kami bertambah dengan begitu cepat. Itupun setelah kami anak beranak mampu ubah status ekonomi keluarga, ubah keteguhan pondok kami dengan tiang kongkrit (dulu depa takut rumah kami runtuh kot kalau depa yang bersaiz xxxl tu datang rumah), ubah juga beberapa cara hidup kami. Setiap kali raya, aku memang sangat kagum dengan Mek kerana hidangan rayanya boleh tahan hingga lebih sebulan (bayangkanlah banyak mana hidangan raya yang Mek ada untuk itu walaupun mek tidaklah beria-ria sangat siapkannya). Semua itu kami yang bawa balik sedikit seorang dan disumbangkan oleh sanak saudara (sama ada yang pernah datang atau pernah memandang kami tanpa anak mata sebelum ini).

Dan kini juga, aku dah semakin tidak reti untuk beraya dengan meriah seperti orang lain. Kakak, walaupun dah ada anak enam, masih lagi kekok untuk mengubah tradisi “memerap” keluarga kami tiap kali musim perayaan. Begitu juga adik perempuanku, seringkali memilih untuk berada di rumah membantu Mek cuci pinggan mangkuk berbanding keluar bersama suaminya. Satu kejutan dan dilema untuk adik ipar aku. Aku tak salahkan mereka sebab aku juga rasa begitu. Rasa lebih senang berada di rumah. Datanglah berapa ramai tetamupun, kami sudi untuk meraikannya, namun...kami tidak tahu bagaimana cara terbaik untuk merewang raya. Sebab itulah, aku tak begitu kesah tidak punya baju raya biar sehelaipun dalam tempoh lebih 10 tahun ini hinggakan aku sendiri tidak mampu menyebut secara tepat tarikh terakhir aku memilikinya.

Kamilah antara penyebab kepupusan tradisi sambutan raya mengikut acuan Melayu!



Tiada ulasan: