Rabu, 5 November 2008

Tambahan Belanjawan 2009


Seawal pagi ini aku dah edit dan kutip intipati daripada Bajet Tambahan yang dibentangkan YAB Datok seri najib Tun Razak di Parlimen semalam. Ringkasan ini berdasarkan artikel dalam Utusan Malaysia pada 5 November 2008 yang juga boleh dilayari melalui http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm. Moga sama-sama boleh dapatkan infonya. Selamat menelaah.


Bajet tambahan untuk rakyat

Dalam konteks Bajet 2009 yang telah dibentangkan, kerajaan mempunyai fleksibiliti untuk melaksanakan projek-projek tambahan berimpak tinggi berikutan daripada penjimatan subsidi minyak. Melalui penjimatan ini, kerajaan akan melaksanakan pelbagai inisiatif melibatkan suntikan peruntukan sebanyak RM7 bilion.

Mulai Februari 2009, biodiesel ini akan digunakan bermula dengan kenderaan-kenderaan kerajaan, diikuti dengan sektor industri dan sektor pengangkutan. Pengadunan ini dianggarkan akan memerlukan sebanyak 500,000 tan minyak sawit setahun apabila dilaksanakan sepenuhnya pada awal tahun 2010.


Kerajaan memang memberi perhatian kepada pekebun kecil terutamanya yang terlibat dalam sektor pertanian. Bagi mengurangkan kos input pertanian terutamanya baja, kerajaan bersetuju memansuhkan duti import sebanyak lima peratus yang dikenakan ke atas tujuh jenis baja. Ini adalah tambahan kepada penghapusan duti import ke atas satu jenis baja semasa pembentangan Bajet 2009.


Penjimatan RM7 bilion daripada subsidi minyak akan disalurkan seperti berikut:
Pertama: Sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan bagi membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana.

Dengan peruntukan tambahan ini, sebanyak 6,500 unit rumah akan dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad, sebanyak 4,000 unit rumah akan dibina di bawah Program Perumahan Rakyat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan 15,000 unit rumah yang bernilai di antara RM30,000 hingga RM35,000 sebuah untuk Semenanjung dan di antara RM35,000 hingga RM40,000 untuk Sabah dan Sarawak. Rumah ini akan dibina di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Dianggarkan secara purata, sebanyak 100 buah rumah PPRT akan dibina di setiap daerah di seluruh negara.

Program Amal Jariah, yang dikendalikan oleh Prokhas, anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan, adalah bertujuan membaik pulih rumah usang rakyat miskin tegar supaya mereka dapat menikmati rumah yang selesa dan selamat didiami. Program yang mula dilancarkan pada awal tahun ini, telah berjaya membaik pulih 7,000 unit rumah yang dianggar melibatkan peruntukan sebanyak RM40 juta. Pada tahun 2009, Prokhas akan membaiki 15,000 unit rumah sementara Khazanah Nasional akan menyelaraskan usaha-usaha syarikat GLC untuk melaksanakan Program Sejahtera yang melibatkan pembaikan 5,000 buah rumah.
Menyediakan Skim Jaminan Kredit Perumahan bagi pinjaman perolehan rumah sehingga RM100,000. Semenjak dilancarkan, sebanyak 800 peminjam, termasuk peniaga kecil, petani dan nelayan, telah diluluskan pinjaman berjumlah RM35 juta.

Kedua: Bagi mengiktiraf peranan anggota keselamatan dan menjaga kebajikan mereka, sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara balai dan kuarters polis serta kem dan kuarters tentera iaitu RM250 juta untuk polis dan RM250 juta juga untuk tentera.

Ketiga: Sebanyak RM600 juta diperuntukkan bagi projek-projek kecil di bawah program Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS), contohnya menyenggara jalan kampung, membina balai raya dan jambatan kecil. Peruntukan ini akan dapat juga membantu kontraktor-kontraktor kecil bagi menyelesaikan masalah kekurangan projek pembinaan. Selain itu, ia dapat memberikan prasarana yang lebih sempurna kepada rakyat, khasnya di luar bandar.

Keempat: Sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi menyenggara dan membaikpulih kemudahan awam; antaranya sekolah, hospital dan jalan raya.

Kelima: Sebanyak RM500 juta akan diperuntukkan untuk membina, menaiktaraf jalan-jalan di luar bandar, jalan-jalan kampung dan jalan-jalan pertanian, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Keenam:Untuk merangsangkan lagi pendidikan negara dan mengambil kira kehendak semua kaum, maka kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM200 juta kepada empat kumpulan sekolah, iaitu RM50 juta untuk sekolah agama bantuan kerajaan, RM50 juta untuk mission school, RM50 juta untuk SJK Cina dan RM50 juta untuk SJK Tamil.

Ketujuh: Sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi menubuhkan dana untuk melaksanakan program latihan kemahiran yang ditumpukan ke arah memenuhi keperluan majikan dan industri, terutamanya di koridor-koridor pembangunan. Agihan dana ini akan diselaraskan dengan pihak berkuasa koridor pertumbuhan, Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri dan lain-lain organisasi yang berkaitan. Sektor yang akan diberi tumpuan untuk latihan tersebut adalah sektor pelancongan, kesihatan, pembinaan dan business process out sourcing.

Kelapan: peruntukan sebanyak RM500 juta bagi menyelenggara dan memantapkan lagi sistem pengangkutan awam khususnya sistem transit aliran ringan (LRT), komuter dan sistem bas di bandar-bandar utama.

Kesembilan: Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan bagi menubuhkan Dana Pelaburan untuk menarik lebih banyak pelaburan sektor swasta. Dana ini bertujuan menarik aktiviti pelaburan swasta yang berdaya maju. Tumpuan akan diberi kepada sektor strategik yang bernilai tambah tinggi dan projek berimpak besar dari segi nilai pelaburan, teknologi dan knowledge workers. Dana ini akan digunakan untuk memberi geran, pinjaman mudah atau modal ekuiti kepada pelabur. Pendekatan sebegini telah berjaya menarik pelabur dalam sektor perkhidmatan berteknologi tinggi, seperti Dell, Hewlett Packard dan Satyam ke Cyberjaya serta dalam sektor pembuatan bernilai tambah yang tinggi, seperti pengeluaran panel solar, industri aeroangkasa dan komponen kapal terbang.

Kesepuluh: Sebanyak RM400 juta diperuntukkan bagi menyegerakan pelaksanaan Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi. Ia penting untuk memastikan daya saing negara pada masa hadapan. Prasarana sebegini akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan aktiviti ekonomi, perniagaan dan seterusnya melonjakkan negara ke tahap nilai tambah yang lebih tinggi.
Selain itu, pelaksanaan projek ini akan meningkatkan kualiti hidup rakyat di samping menjadi pemangkin kepada pelaburan swasta dalam sektor berteknologi tinggi. Ia juga akan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK dan menambahkan peluang pekerjaan. Menjelang akhir 2009, perkhidmatan ini akan dapat disediakan kepada 300,000 premis, terutamanya di Lembah Klang dan juga kawasan industri seperti di Bayan Baru, Senai dan Kulim.

Kesebelas: Untuk membina modal insan melalui program-program latihan yang diurus oleh kementerian yang berkaitan, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi membiayai program daripada institusi latihan swasta dan pesertanya terdiri daripada golongan belia dan beliawanis daripada semua kaum.

Kedua belas: Untuk memperkasakan golongan belia melalui program-program baru, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 100 juta ringgit untuk program seperti rakan muda sekolah, rakan muda sektoral yang melibatkan kampung baru Cina, estet untuk kaum India, kampung Orang Asli dan kaum pribumi di Sabah dan Sarawak.

Ketiga belas: menggerakkan semula projek perumahan yang terbengkalai di kawasan-kawasan strategik terpilih dan berdaya maju, kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM200 juta. Projek ini akan diuruskan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Keempat belas: menambahkan premis perniagaan di samping memperindahkan suasana pekan-pekan kecil yang terpilih di seluruh negara, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM100 juta. Ini akan dapat menambah bilangan usahawan kecil dan sederhana, termasuk memasarkan produk keluaran tempatan. Program ini akan dilaksanakan oleh Mara di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Kelima belas: Untuk melahirkan generasi masa hadapan yang lebih berkualiti, sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk pendidikan awal kanak-kanak di peringkat umur 1 hingga 6 tahun. Ini termasuk program seperti Permata Negara, Tadika Kemas, Tadika Perpaduan dan kelas Pra-Sekolah.

Pada masa ini, caruman majikan kepada KWSP adalah 12 peratus manakala caruman pekerja adalah 11 peratus. Sebagai langkah untuk menambah pendapatan boleh guna pekerja, kerajaan akan membenarkan pekerja untuk mengurangkan potongan caruman pekerja KWSP secara sukarela, sebanyak tiga peratus selama dua tahun, mulai 1 Januari 2009. Dengan penurunan ini, jumlah caruman masih pada tahap munasabah 20 peratus, iaitu 12 peratus majikan dan 8 peratus pekerja.

Untuk memudahkan penjawat awam memiliki kereta, kerajaan akan meningkatkan had kelayakan pinjaman kereta bagi penjawat awam seperti berikut:

Bagi gred JUSA, had kelayakan dinaikkan daripada RM60,000 kepada RM70,000;
Bagi gred 41 hingga 54, had kelayakan dinaikkan daripada RM55,000 kepada RM65,000; dan
Bagi kumpulan sokongan, had kelayakan dinaikkan daripada RM45,000 kepada RM55,000.

Penjawat awam juga akan diberi kebenaran untuk mengambil pinjaman perumahan bagi hartanah di pasaran sekunder di mana hakmilik strata belum dikeluarkan.

Kerajaan telah mengumumkan tempoh bayaran balik bagi pinjaman perumahan baru kakitangan kerajaan dilanjutkan daripada 25 tahun kepada 30 tahun. Untuk memastikan peminjam sedia ada mendapat kemudahan yang sama, peminjam diberi pilihan untuk melanjutkan tempoh pinjaman kepada 30 tahun. Langkah ini akan dapat membantu menambah pendapatan boleh guna peminjam.

Dalam usaha menyediakan lebih banyak peluang latihan dan pekerjaan, kerajaan akan mengambil langkah-langkah berikut:

Pertama: Kerajaan, melalui syarikat GLCs seperti Khazanah dan PNB akan melancarkan Graduate Employability Management Scheme (GEMS), yang didasarkan kepada skim graduan terdahulu yang telah dilaksanakan oleh syarikat-syarikat GLC dengan jayanya. Kerajaan bercadang untuk menyokong dan menyelaraskan usaha-usaha GLC dalam menangani masalah graduan menganggur ini dengan mewujudkan satu program bagi meningkatkan keupayaan dan kemahiran mereka sebelum mereka diserap atau mendapat pekerjaan di syarikat GLC mahupun swasta.

Kedua: Mempercepatkan pengambilan kakitangan bagi jawatan yang kritikal dan amat diperlukan dalam sektor awam. Pada masa ini, kekosongan jawatan kritikal dalam sektor awam adalah 18,000. Kekosongan ini akan diisi secara kontrak, sementara menunggu proses pelantikan secara tetap.

Untuk membantu usahawan yang menjalankan perniagaan kecil, Bank Negara Malaysia akan menyediakan pinjaman mudah sebanyak RM200 juta bagi melaksanakan skim mikro kredit. Dana tambahan ini akan diselaras dan diagihkan melalui saluran sedia ada. Selain itu, kerajaan juga telah menyediakan dana modal pusingan RM100 juta untuk Program Kewangan Mikro Bandar. Program ini diletakkan di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memandangkan kejayaan program yang sama bagi kawasan luar bandar. Semenjak dilancarkan awal tahun ini, Program Kewangan Mikro Bandar sehingga kini telah mengeluarkan pembiayaan melebihi setengah juta ringgit kepada hampir 200 peminjam.
Harapnya penambahan ini mampu meringankan sedikit sebanyak beban yang di alami rakyat Malaysia terutama golongan rendah dan menengah yang sangat terasa bahangnya dengan ketidaktentuan harga minyak. Biarpun harga minyak mengalami penurunan, namun sedar atau pun tidak, harga barangan di pasaran tetap juga tinggi. Pengguna, mahu tak mahu terpaksa juga menerima keadaan itu kerana tiada pilihan.
Penguatkuasaan sepatutnya perlu dilakukan dengan lebih cekap. Mengaut keuntungan sebegitu dengan menutup sebelah mata dengan keterpaksaan pengguna untuk berdepan dengannya tidak wajar berlaku. Apabila harga minyak naik, golongan peniaga begitu kuat mendesak pihak kerajaan untuk menaikkan harga barang. Kini, harga minyak telah turun tetapi desakan pengguna agak sukar untuk dipenuhi. Sekalipun penurunan harga barang diumumkan menteri entah berapa kali, namun hakikatnya, harga barang tetap tinggi.
Apapun, kita semua mengharapkan yang terbaik untuk negara Malaysia nan tercinta. Biarlah Malaysia yang kaya ini sentiasa makmur dan aman damai. Moga sentiasa sejahtera bersama. Aminnn.

Selasa, 4 November 2008

Kisah Sepanjang Ahad

2 November 2008. Ahad.
Hari minggu yang cerah. Biarpun sepanjang Sabtu terlalu letih dengan kerja hingga buku lali bengkak semula akibat enam jam berdiri tanpa rehat (ingatkan terseliuh hanya perkara biasa yang akan baik semula setelah diurut, rupanya surut bengkak dek pandangan kasar tidak bermakna telah pulih sepenuhnya), hari minggu ini kubawa jua kaki ke tengah sesak ibu negara. Sasaran pertama: Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC.

Ada beberapa aktiviti berlangsung di PWTC ketika ini (Ahad). Pertama pameran Usahawan. Tak banyak tapak pun untuk pameran ini. Masa sejam sudah lebih dari cukup untuk dapatkan semua info dalam pameran ini. Terdapat gerai-gerai usahawan kecil dalam pelbagai industri. Produk kecantikan, dobi, pertanian, hasil tani, bank-bank tempatan, Tekun Nasional, tabung haji, Bank Negara Malaysia.

Biarpun pameran tu taklah besar sangat, tak juga meriah sangat berbanding pasar malam atau pasar minggu, namun banyak perkara baru boleh dilihat kat situ. Usahawan kita mampu macam-macam produk sekarang ni terutama daripada hasil tani. Ikan haruan bakar segera. Macam-macam jenis jus dan kopi. Macam-macam produk makanan seperti keropok lekor, kuih tradisi dan ada juga yang jual beriani. Entahkan segera entahkan terus makan, tak pulak aku pastikan sebab pada masa itu aku b aru sahaja makan. Jadinya, bila kenyang ni...daya tumpuan kepada makanan tu rendah sikitlah.

Aku tertarik dengan dua produk dalam pameran ini. Pertama, produk-produk yang dihasilkan daripada kurma. Mereka dah pelbagaikan kurma dengan pek yang menarik. Pembungkusan yang kemas dan nampak, profesional dan tak jangkapun produk itu dikeluarkan usahawan Melayu kita. Syarikat ini hasilkan produk dari kurma untuk dimakan macam biasa dalam kotak-kotak tu, kurma yang digabungkan dengan kekacang dan ada juga kurma ini disalut dengan coklat. Bila rasanya, memang sedap. Kalau tak ada promosi, memang tak mampu nak beli. Hanya beberapa biji sahaja untuk harga RM10. Dan aku yang suka barang FREE ni, hanya rasa yang FREE itulah sahaja. Memang sedap!

Kedua, kopi yang dihasilkan daripada herba tempatan. Macam-macam jenis herba dimasukkan. Dihasilkan di Pulau Pinang tetapi pasarannya dah ada di lembah Klang. Kata promoternya, kopi tersebut boleh diminum oleh orang yang sakit kencing manis dan migrine. Apalagi, aku pun nak test lah betul ke tidaknya. Migrine aku memang alah dengan kafein, jadinya, kopi yang sedap itu (memang betul-betul sedap. Tak payah tambah susu atau gula lagi. Memang dah sedia untuk diminum. Sangat sesuai untuk peminat kopi Tongkat Ali. Boleh diminum untuk lelaki dan wanita) aku minum tanpa was-was. Siap mintak segelas lagi kononnya nak buat ujikaji. Hasilnya, selesai sahaja segelas kopi yang sedap itu, aku terus pening-pening lalat. Hanya pening-pening lalat sahaja, bukannya kepala berdenyut seperti migrine yang biasa aku alami. Kerana ujikaji tersebut, aku terpaksa juga ambil dua biji ubat migrine. Risau jugak kalau jatuh terjelepuk dikhalayak ramai sebegitu. Tak pasal-pasal kebolehpercayaan terhadap kopinya itu diragui.

Aktiviti kedua di PWTC adalah pameran hartanah. Beberapa syarikat pemaju perumahan untuk rumah teres, kondo, ruang pejabat mengadakan pameran. Selebihnya ditumpang dek syarikat perabut, kad kredit, dan barangan rumah yang lain.

Aktiviti ke tiga di PWTC merupakan seminar dan pameran miritim Malaysia. Seminar tu dah pastilah kena bayar tetapi pameran tu percuma sahaja. Jadinya, aku bawakan diriku ke pameran tersebut dalam perjalanan ke The Mall untuk makan tengahari. Banyak juga ilmu boleh dikutip dalam pameran berkenaan seperti di Akademi Laut Malaysia, Universiti Malaysia Trengganu, The Association for European Transport (AET) [kat sini sempat la jugak aku tanyakan serba sedikit pasal lanun di Somalia tu…peramah dan baik hati je abang-abang hensem kat situ), UiTM Shah Alam dari Fakulti Kejuruteraan juga ada buat pameran, ramah-ramah adik-adik kat situ.

Satu tapak pameran yang menarik perhatian kat sini adalah syarikat Kejuruteraan Asas Jaya Sdn. Bhd. yang menguruskan kejuruteraan untuk alam sekitar. Satu je sempat aku tanya hingga ke akar umbinya sebab tertarik dengan cara mereka memerangkap sampah di dalam sungai. Cara tu tak payahlah ye aku terangkan secara panjang lebar sebab teknikal jugak. Nanti-nantilah kalau dah habis sangat idea nak udate blog, aku tulis pulak pasal tu.




Sasaran kedua: Midvaley. Sebenarnya nak pergi ke kedai buku. MPH antara kedai buku yang boleh dikunjungi kalau tidak mahu menjelajah dari satu kedai buku ke kedai buku yang lain. Selesa. Besar dan banyak pilihan. Nak pergi ke Kinakuniya di KLCC pun terpaksa tukar train. Jadinya MPH Midvalley antara pilihan yang terbaik. Senang nak pergi, mudah juga nak balik nanti.

Berikut buku-buku yang kucapai dari rak dengan mata yang kelabu;
1. Kota larangan Qui. Jong Chian lai, DBP 20062.

2. Perang Sangkil. Akiya, PTS 20073.

3. Epilog Nusantara. Hamlin Abolhi. DBP 20084.

4. Transgenesis Bisikan Rimba. Amir Husaini. PTS 20085.

5. Kemelut Kasih di Persada Juang. Harry Usup Umbar. DBP 2006.

6. Cekerawala Penulisan. Sohaimi Abdul Aziz. Usm. Ni bukan novel tapi buku pasal penulisan.

Lagi lama di MPH, dah sah-sah akan lagi banyak buku yang akan dipunggah. Inipun dah terlebih budget. Hampir dua ratus. Sekali fikir memanglah rasa mahal, namun bila fikirkan minda juga perlukan pengisian walaupun hanya dengan karya-karya sebegitu, hati cepat benar terpujuk. Lagi mudah memujuk diri bila kenangkan hanya itulah hadiah untuk diri dari penat lelah berkerja yang adakalanya melupakan detik indah mengulit mimpi.

Sementara menunggu Maghrib, kaki dihalakan ke Jusco. Agak banyak juga tawaran diskaun jualan hingga mencecah 80 peratus. Jadinya, enjoykanlah diri menjamu mata membelek mana-mana barang yang perlu. Setelah dua minggu menjelajah pusat beli belah hingga kaki bengkak-bengkak, di Jusco MidValey aku putuskan untuk beli handbeg baru dengan potongan harga 50 peratus. Cantik. Berbaloi. Memang benar-benar diperlukan. Namun, setelah itu...beg sandangku terasa ringan. Ringgit Malaysia dah semakin berkurang untuk bulan ini. Baru dua hari bulan November dijalani. Entahkan sempat sampai ke hujung bulan atau tidak. Tambah lagi, bulan ini agak ligat juga aku perlu lakukan kerja luar. Perlukan modal untuk perjalanan itu biarpun boleh dituntut balik.





Ketika menikmati Mi Kari di Food Court MidValey, kelibat Serina (anak Chef Wan) melintas dengan seorang mat saleh. Hensome. Kira macam sama cantik dan sama padanlah. Tak berani nak buat spekulasi siapa si hensem sebelahnya hanya kerana aku melihat. Lainlah kalau aku pergi tanya dan dia sahkan siapa gerangannya sang jejaka kacak itu.

Jam sembilan malam lebih aku menunggu train komuter ke Seremban. Ahad yang penuh dengan aktiviti. Dan malamnya penuh dengan lelah. Namun puas hati. Gembira juga.

Isnin, 3 November 2008

Persekitaran tanggungjawab Bersama



Ini juga kali kedua hal berkaitan rokok ditulis dalam blog ini. Harapnya anda tidak bosan dan tidak akan bosan membacanya sekalipun hanya di salin dan tampal begini. Hakikatnya, ketahuilah betapa kesannya kepada diri sendiri, persekitaran, orang yang anda sayang dan ganerasi masa depan.




Tak ada niat nak samakan anda yang merokok seperti tetamu dalam gambar ini, hanya terjumpa gambar menarik sebegini, lalunya sama-samalah kita nikmati dan kongsinya...


10,000 mati sehari akibat rokok



Hasil kajian mendedahkan tidak ada kesan pencegahan yang berkesan terhadap perokok. MINGGU ini, saya ingin memperkatakan mengenai tajuk “merokok mengundang kematian”. Mungkin ungkapan ini sering diperkatakan sehingga kebanyakan daripada anda bosan mendengarnya. Bagi yang merokok, ungkapan seperti ini seolah-olah tidak diendahkan. Bagaimanapun, anda yang merokok harus ingat bahawa bukan anda saja yang akan menerima kesan atau akibat daripada merokok, malahan mereka yang berada di sekeliling anda terutama keluarga akan menerima kesan yang sama atau mungkin lebih teruk.



Artikel saya minggu lalu mengenai zarah radikal bebas yang memberi kesan negatif kepada tubuh badan sehinggakan boleh menyebabkan pelbagai penyakit kronik. Tetapi zarah radikal bebas ini boleh dielakkan jika anda mengetahui punca pembentukannya yang paling kuat. Satu daripada punca pembentukan zarah radikal bebas yang paling kuat (dan juga yang paling mudah dielakkan) adalah merokok. Dalam hal ini, toksin yang terkandung dalam asap rokok bertindak sebagai pemangkin untuk membebaskan elektron daripada atomnya, dan dengan itu mewujudkan zarah radikal bebas. Statistik juga menunjukkan hubungan yang jelas di antara kewujudan zarah radikal bebas itu dan kejadian sel kanser.




Walaupun statistik itu membimbangkan, sekurang-kurangnya perokok itu mempunyai pilihan sama ada untuk merokok atau tidak merokok. Orang yang terpaksa menyedut asap rokok orang lain tidak ada pilihan sedemikian. Berikut adalah gejala orang yang terpaksa menyedut asap rokok orang lain berbanding orang yang langsung tidak merokok:



lima kali lebih karbon monoksida disedut
empat kali lebih tar dan nikotin disedut
empat puluh kali lebih karsinogen disedut



Perokok memang mendapat semua gejala ini, kedua-dua kesan secara langsung atau asap baru yang ditambah dengan kesan secara tidak langsung. Bahan kimia yang disebut di atas, iaitu karbon monoksida, tar dan nikotin, selain bersifat karsinogen, juga meningkatkan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, menambah risiko arteriosklerosis (penyumbatan jantung dengan kolesterol), dan menambah kejadian darah beku dan trombosis.



Lebih dahsyat lagi, bahan kimia itu mengganggu ritma denyutan jantung biasa. Malangnya, hasil kajian dan statistik, mendedahkan tidak ada kesan pencegahan yang berkesan terhadap perokok. Sebaliknya, mereka dengan megah memberitahu tabiat itu dapat meningkatkan tahap kecerdasan mental, membaiki sistem penghadaman, mengurangkan tekanan mental dan secara keseluruhannya, menghasilkan pendekatan hidup yang lebih menyenangkan dan dengan mudah mengenepikan segala kesan buruk terhadap diri dan orang di sekeliling mereka. Namun bukan perokok saja patut dipersalahkan kerana tabiat buruk itu. Kalau tidak ada pengilang rokok dan tembakau, rokok tidak akan wujud.




Dr Nakajima, dulunya Ketua Pengarah Perubatan Pertubuhan Kesihatan Dunia, dalam keterangannya baru-baru ini mengatakan “bukan saja di negara maju tetapi juga di negara membangun, kira-kira separuh daripada perokok akhirnya mati akibat penggunaan tembakau. Setiap tahun ketagihan rokok menyebabkan kira-kira 3.5 juta kematian di seluruh dunia dan jumlah itu dijangka bertambah kepada 10 juta setahun pada tahun 2020 dan seterusnya, dan 7 juta daripada kematian itu adalah di negara membangun.




Lima puluh peratus daripada kematian yang sia-sia itu kini berlaku kepada orang pertengahan umur (35-69), yang kerugian kira-kira 22 tahun jangka hidup biasa. ”Setiap hari, hampir 10,000 orang mati di seluruh dunia akibat penggunaan tembakau.” Terdapat pelbagai statistik menunjukkan bilangan perokok dan berapa ramai yang mendapat kesan buruk daripadanya. Apa yang pasti, statistik semakin meningkat. Mungkin pendedahan ini terlalu mudah, namun saya benar-benar percaya bahawa kita yang membuat pilihan sama ada untuk merokok atau tidak. Kita jugalah yang membuat pilihan untuk berhenti.




Selepas anda mendapat kekuatan untuk berhenti merokok, gunakan kekuatan dalaman dan azam untuk kekal demikian dan yakinlah bahawa anda membuat pilihan yang betul. Saya mempunyai impian melihat Malaysia bebas daripada rokok. Bukan untuk kebaikan saya tetapi demi anak-anak dan demi generasi akan datang. Alangkah baiknya jika masyarakat kita mempunyai lebih orang yang berpendirian sedemikian, khususnya dalam kerajaan hari ini, untuk membantu mencapai impian itu.




Ulangan salin dan tampal yang kerkali-kali ini secara sedarnya kerna mahukan bumi yang kian uzur ini punya ruang untuk memanjangkan hayatnya, dah daku...bebas menghirup udara segar di dadanya. Buat anda yang bercita-cita untuk berhenti, sedang berusaha untuk berhenti tak kiralah apa sebabnya sama ada sayangi diri sendiri, sayangi orang yang tercinta, atau kerana harganya yang semakin naik lagi, atau semakin banyak kawasan larangan merokok diwujudkan...teruskanlah. Sudah pasti niat murni ini dialu-alukan. Dihargai. terima kasih untuk anda yang berani berjuang untuk berhenti itu. Terima kasih.

Jumaat, 31 Oktober 2008

Syawal pun Berlalu



Hari terakhir Syawal.

Tak sedarpun Syawal telahpun memberikan lambaian Selamat Tinggal sejak sapaannya 30 hari lepas. Namun, esok dan lusa masih ada lagi orang buat rumah terbuka.


Esok hari pertama Zulkaedah.

Khamis, 30 Oktober 2008

Tahlil

Mungkin ramai yang bercelaru dengan hal-hal sebegini. jadinya aku pun copy dan tampalkan kat sini untuk kita sama-sama baca dari Berita Harian, Ahad 26 Oktober 2008, boleh juga disurf melalui link berikut di http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/harini?day=Sunday




Ni bukan tahlil tapi khatam Qur'an dua orang adik aku yang hensem tu...

Tahlil bukan bidaah
Oleh Ziauddin Sharuddin


MAJORITI ulama dunia menerima tahlil sebagai amalan yang membolehkan pahala ibadat ini disedekahkan kepada orang yang telah meninggal dunia. Meskipun terdapat pandangan berbeza mendakwa tahlil sebagai bidaah (amalan ibadat sekarang yang tidak ada secara khusus dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW), ulama terkemuka menerima konsep tahlil. Pensyarah Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr Luqman Abdullah, berkata tahlil atau sebarang perkataan yang merujuk kepada kalimah 'tiada Tuhan melainkan Allah' dilakukan di kebanyakan dunia Islam.


Katanya, tahlil berjemaah sudah sebati dalam masyarakat Islam negara ini, terutama apabila berlaku kematian, malah kini menjadi program rasmi peringkat negara untuk menyambut perayaan tertentu. “Sebenarnya ulama dunia seperti Mufti Besar Mesir, Sheikh Ali Gomaa, mengakui bahawa memang ada konsep tahlil dalam Islam. Bukan beliau saja, kebanyakan ulama lain mempunyai pandangan sama,” katanya. Beliau berkata, tahlil juga adalah aktiviti sosial bermanfaat kerana umat Islam berkumpul dan berzikir untuk mengingati Allah.


“Saya tidak nampak ada masalah dari segi hukum syarak. Mungkin perbezaan dari segi tempat seperti bertahlil di Malaysia dan Indonesia tidak sama dari segi cara. Perbezaan ini lebih kepada faktor budaya, tetapi prinsip amalan tetap sama,” katanya. Dr Luqman berkata, prinsip tahlil ialah pahala ibadat ini disedekahkan kepada si mati dan ini juga adalah pandangan majoriti ulama. Katanya, ulama terkenal Arab Saudi, Sheikh Sayyid Muhammad Alawi, menyatakan bahawa orang yang meninggal dunia boleh mendapat manfaat daripada amalan soleh orang yang masih hidup, tetapi bentuk manfaat itu tidak diketahui. “Terserah kepada Allah. Mungkin manfaat dalam bentuk pahala dan atau dosa diringankan. Prinsipnya adalah sampai kepada si mati,” katanya.


Beliau tidak menafikan ada yang menganggap tahlil sebagai bidaah, tetapi jika dilihat dari sudut ini, ini bermakna banyak perkara yang dilakukan umat Islam sekarang adalah bidaah. “Kita tidak boleh menghukum setiap perkara yang Nabi Muhammad SAW tidak buat sebagai bidaah dan sesat,” katanya. Mengenai amalan mengadakan majlis tahlil pada hari Khamis malam Jumaat, katanya selain berasaskan kelebihan malam Jumaat, ia mempunyai kaitan dengan pada zaman dulu, Jumaat adalah hari cuti menyebabkan masyarakat memilih hari itu.


Sepanjang Ramadan pula, katanya majlis tahlil semakin kerap diadakan kerana kelebihan beribadat sepanjang bulan ini mendapat pahala berlipat kali ganda. Tahlil arwah: Pertama: Amalan tahlil merupakan amalan yang baik dan berpahala kerana ia dipenuhi dengan zikir dan bacaan ayat-ayat al-Quran. Setiap huruf dan ayat al-Quran yang dibaca akan diberikan pahala oleh Allah sebagaimana sabda Baginda bermaksud:

Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia akan mendapat satu kebaikan dan satu kebaikan digandakan sepuluh, aku tidak katakan bahawa ‘alif lam mim’ satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf. (Riwayat Tirmizi)


Selain itu, Rasulullah bersabda bermaksud:

Barang siapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah maka dituliskan baginya satu kebajikan yang berlipat ganda, dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari kiamat. (Riwayat Ahmad) Jadi pahala daripada amalan dan doa dalam tahlil akan sampai kepada si mati dan dapat memberi manfaat kepadanya.



Dalam kitab Fatawa Syar'iyah karangan As-Syeikh Hasanain Makhluf, bekas Mufti Mesir, dinukilkan kata-kata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah: “Bahawasanya mayat itu mendapat manfaat daripada seluruh ibadat badan seperti solat, puasa dan bacaan sebagaimana dapat manfaat daripada ibadat harta seperti sedekah dan seumpamanya.”



Oleh itu kita boleh menghadiri majlis tahlil dan ia tidak dikatakan sebagai bidaah.


Kedua: Menetapkan hari-hari tertentu untuk mengadakan tahlil seperti hari ketiga, ketujuh dan 100 adalah perbuatan bidaah yang tiada nas dalam al-Quran atau sunah, lebih-lebih lagi apabila ia diyakini mendapat ganjaran tertentu apabila dilakukan pada hari-hari tertentu. HUKUM mengadakan majlis tahlil adalah harus, asalkan tidak mengambil harta si-mati tanpa hak. Keluarga si-mati pula tidak dibebankan dengan bayaran yang tinggi. Sementara jiran tetangga boleh membantu keluarga si-mati dengan menyediakan makanan untuk tetamu yang majlis berkenaan.


Mengenai hadis 'terputus amalan si-mati kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan' adalah benar. Bagaimanapun, ia tidak menafikan doa orang lain yang mendoakan kepada kesejahteraan roh si-mati, lebih-lebih apabila ia datang atas usaha anak atau keluarga si-mati.


Dalam al-Quran sendiri Allah menyarankan agar kita berdoa kepada orang yang sudah kembali lebih awal daripada kita seperti firman-Nya yang bermaksud:


“Dan orang-orang Islam yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa-dosa saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dalam iman dan jangan Engkau jadikan kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan Rahmat-Mu.” (al-Hasyr:10).