Memaparkan catatan dengan label kenaikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kenaikan. Papar semua catatan

Rabu, 5 November 2008

Tambahan Belanjawan 2009


Seawal pagi ini aku dah edit dan kutip intipati daripada Bajet Tambahan yang dibentangkan YAB Datok seri najib Tun Razak di Parlimen semalam. Ringkasan ini berdasarkan artikel dalam Utusan Malaysia pada 5 November 2008 yang juga boleh dilayari melalui http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm. Moga sama-sama boleh dapatkan infonya. Selamat menelaah.


Bajet tambahan untuk rakyat

Dalam konteks Bajet 2009 yang telah dibentangkan, kerajaan mempunyai fleksibiliti untuk melaksanakan projek-projek tambahan berimpak tinggi berikutan daripada penjimatan subsidi minyak. Melalui penjimatan ini, kerajaan akan melaksanakan pelbagai inisiatif melibatkan suntikan peruntukan sebanyak RM7 bilion.

Mulai Februari 2009, biodiesel ini akan digunakan bermula dengan kenderaan-kenderaan kerajaan, diikuti dengan sektor industri dan sektor pengangkutan. Pengadunan ini dianggarkan akan memerlukan sebanyak 500,000 tan minyak sawit setahun apabila dilaksanakan sepenuhnya pada awal tahun 2010.


Kerajaan memang memberi perhatian kepada pekebun kecil terutamanya yang terlibat dalam sektor pertanian. Bagi mengurangkan kos input pertanian terutamanya baja, kerajaan bersetuju memansuhkan duti import sebanyak lima peratus yang dikenakan ke atas tujuh jenis baja. Ini adalah tambahan kepada penghapusan duti import ke atas satu jenis baja semasa pembentangan Bajet 2009.


Penjimatan RM7 bilion daripada subsidi minyak akan disalurkan seperti berikut:
Pertama: Sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan bagi membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana.

Dengan peruntukan tambahan ini, sebanyak 6,500 unit rumah akan dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad, sebanyak 4,000 unit rumah akan dibina di bawah Program Perumahan Rakyat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan 15,000 unit rumah yang bernilai di antara RM30,000 hingga RM35,000 sebuah untuk Semenanjung dan di antara RM35,000 hingga RM40,000 untuk Sabah dan Sarawak. Rumah ini akan dibina di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Dianggarkan secara purata, sebanyak 100 buah rumah PPRT akan dibina di setiap daerah di seluruh negara.

Program Amal Jariah, yang dikendalikan oleh Prokhas, anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan, adalah bertujuan membaik pulih rumah usang rakyat miskin tegar supaya mereka dapat menikmati rumah yang selesa dan selamat didiami. Program yang mula dilancarkan pada awal tahun ini, telah berjaya membaik pulih 7,000 unit rumah yang dianggar melibatkan peruntukan sebanyak RM40 juta. Pada tahun 2009, Prokhas akan membaiki 15,000 unit rumah sementara Khazanah Nasional akan menyelaraskan usaha-usaha syarikat GLC untuk melaksanakan Program Sejahtera yang melibatkan pembaikan 5,000 buah rumah.
Menyediakan Skim Jaminan Kredit Perumahan bagi pinjaman perolehan rumah sehingga RM100,000. Semenjak dilancarkan, sebanyak 800 peminjam, termasuk peniaga kecil, petani dan nelayan, telah diluluskan pinjaman berjumlah RM35 juta.

Kedua: Bagi mengiktiraf peranan anggota keselamatan dan menjaga kebajikan mereka, sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara balai dan kuarters polis serta kem dan kuarters tentera iaitu RM250 juta untuk polis dan RM250 juta juga untuk tentera.

Ketiga: Sebanyak RM600 juta diperuntukkan bagi projek-projek kecil di bawah program Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS), contohnya menyenggara jalan kampung, membina balai raya dan jambatan kecil. Peruntukan ini akan dapat juga membantu kontraktor-kontraktor kecil bagi menyelesaikan masalah kekurangan projek pembinaan. Selain itu, ia dapat memberikan prasarana yang lebih sempurna kepada rakyat, khasnya di luar bandar.

Keempat: Sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi menyenggara dan membaikpulih kemudahan awam; antaranya sekolah, hospital dan jalan raya.

Kelima: Sebanyak RM500 juta akan diperuntukkan untuk membina, menaiktaraf jalan-jalan di luar bandar, jalan-jalan kampung dan jalan-jalan pertanian, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Keenam:Untuk merangsangkan lagi pendidikan negara dan mengambil kira kehendak semua kaum, maka kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM200 juta kepada empat kumpulan sekolah, iaitu RM50 juta untuk sekolah agama bantuan kerajaan, RM50 juta untuk mission school, RM50 juta untuk SJK Cina dan RM50 juta untuk SJK Tamil.

Ketujuh: Sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi menubuhkan dana untuk melaksanakan program latihan kemahiran yang ditumpukan ke arah memenuhi keperluan majikan dan industri, terutamanya di koridor-koridor pembangunan. Agihan dana ini akan diselaraskan dengan pihak berkuasa koridor pertumbuhan, Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri dan lain-lain organisasi yang berkaitan. Sektor yang akan diberi tumpuan untuk latihan tersebut adalah sektor pelancongan, kesihatan, pembinaan dan business process out sourcing.

Kelapan: peruntukan sebanyak RM500 juta bagi menyelenggara dan memantapkan lagi sistem pengangkutan awam khususnya sistem transit aliran ringan (LRT), komuter dan sistem bas di bandar-bandar utama.

Kesembilan: Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan bagi menubuhkan Dana Pelaburan untuk menarik lebih banyak pelaburan sektor swasta. Dana ini bertujuan menarik aktiviti pelaburan swasta yang berdaya maju. Tumpuan akan diberi kepada sektor strategik yang bernilai tambah tinggi dan projek berimpak besar dari segi nilai pelaburan, teknologi dan knowledge workers. Dana ini akan digunakan untuk memberi geran, pinjaman mudah atau modal ekuiti kepada pelabur. Pendekatan sebegini telah berjaya menarik pelabur dalam sektor perkhidmatan berteknologi tinggi, seperti Dell, Hewlett Packard dan Satyam ke Cyberjaya serta dalam sektor pembuatan bernilai tambah yang tinggi, seperti pengeluaran panel solar, industri aeroangkasa dan komponen kapal terbang.

Kesepuluh: Sebanyak RM400 juta diperuntukkan bagi menyegerakan pelaksanaan Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi. Ia penting untuk memastikan daya saing negara pada masa hadapan. Prasarana sebegini akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan aktiviti ekonomi, perniagaan dan seterusnya melonjakkan negara ke tahap nilai tambah yang lebih tinggi.
Selain itu, pelaksanaan projek ini akan meningkatkan kualiti hidup rakyat di samping menjadi pemangkin kepada pelaburan swasta dalam sektor berteknologi tinggi. Ia juga akan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK dan menambahkan peluang pekerjaan. Menjelang akhir 2009, perkhidmatan ini akan dapat disediakan kepada 300,000 premis, terutamanya di Lembah Klang dan juga kawasan industri seperti di Bayan Baru, Senai dan Kulim.

Kesebelas: Untuk membina modal insan melalui program-program latihan yang diurus oleh kementerian yang berkaitan, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi membiayai program daripada institusi latihan swasta dan pesertanya terdiri daripada golongan belia dan beliawanis daripada semua kaum.

Kedua belas: Untuk memperkasakan golongan belia melalui program-program baru, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 100 juta ringgit untuk program seperti rakan muda sekolah, rakan muda sektoral yang melibatkan kampung baru Cina, estet untuk kaum India, kampung Orang Asli dan kaum pribumi di Sabah dan Sarawak.

Ketiga belas: menggerakkan semula projek perumahan yang terbengkalai di kawasan-kawasan strategik terpilih dan berdaya maju, kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM200 juta. Projek ini akan diuruskan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Keempat belas: menambahkan premis perniagaan di samping memperindahkan suasana pekan-pekan kecil yang terpilih di seluruh negara, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM100 juta. Ini akan dapat menambah bilangan usahawan kecil dan sederhana, termasuk memasarkan produk keluaran tempatan. Program ini akan dilaksanakan oleh Mara di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Kelima belas: Untuk melahirkan generasi masa hadapan yang lebih berkualiti, sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk pendidikan awal kanak-kanak di peringkat umur 1 hingga 6 tahun. Ini termasuk program seperti Permata Negara, Tadika Kemas, Tadika Perpaduan dan kelas Pra-Sekolah.

Pada masa ini, caruman majikan kepada KWSP adalah 12 peratus manakala caruman pekerja adalah 11 peratus. Sebagai langkah untuk menambah pendapatan boleh guna pekerja, kerajaan akan membenarkan pekerja untuk mengurangkan potongan caruman pekerja KWSP secara sukarela, sebanyak tiga peratus selama dua tahun, mulai 1 Januari 2009. Dengan penurunan ini, jumlah caruman masih pada tahap munasabah 20 peratus, iaitu 12 peratus majikan dan 8 peratus pekerja.

Untuk memudahkan penjawat awam memiliki kereta, kerajaan akan meningkatkan had kelayakan pinjaman kereta bagi penjawat awam seperti berikut:

Bagi gred JUSA, had kelayakan dinaikkan daripada RM60,000 kepada RM70,000;
Bagi gred 41 hingga 54, had kelayakan dinaikkan daripada RM55,000 kepada RM65,000; dan
Bagi kumpulan sokongan, had kelayakan dinaikkan daripada RM45,000 kepada RM55,000.

Penjawat awam juga akan diberi kebenaran untuk mengambil pinjaman perumahan bagi hartanah di pasaran sekunder di mana hakmilik strata belum dikeluarkan.

Kerajaan telah mengumumkan tempoh bayaran balik bagi pinjaman perumahan baru kakitangan kerajaan dilanjutkan daripada 25 tahun kepada 30 tahun. Untuk memastikan peminjam sedia ada mendapat kemudahan yang sama, peminjam diberi pilihan untuk melanjutkan tempoh pinjaman kepada 30 tahun. Langkah ini akan dapat membantu menambah pendapatan boleh guna peminjam.

Dalam usaha menyediakan lebih banyak peluang latihan dan pekerjaan, kerajaan akan mengambil langkah-langkah berikut:

Pertama: Kerajaan, melalui syarikat GLCs seperti Khazanah dan PNB akan melancarkan Graduate Employability Management Scheme (GEMS), yang didasarkan kepada skim graduan terdahulu yang telah dilaksanakan oleh syarikat-syarikat GLC dengan jayanya. Kerajaan bercadang untuk menyokong dan menyelaraskan usaha-usaha GLC dalam menangani masalah graduan menganggur ini dengan mewujudkan satu program bagi meningkatkan keupayaan dan kemahiran mereka sebelum mereka diserap atau mendapat pekerjaan di syarikat GLC mahupun swasta.

Kedua: Mempercepatkan pengambilan kakitangan bagi jawatan yang kritikal dan amat diperlukan dalam sektor awam. Pada masa ini, kekosongan jawatan kritikal dalam sektor awam adalah 18,000. Kekosongan ini akan diisi secara kontrak, sementara menunggu proses pelantikan secara tetap.

Untuk membantu usahawan yang menjalankan perniagaan kecil, Bank Negara Malaysia akan menyediakan pinjaman mudah sebanyak RM200 juta bagi melaksanakan skim mikro kredit. Dana tambahan ini akan diselaras dan diagihkan melalui saluran sedia ada. Selain itu, kerajaan juga telah menyediakan dana modal pusingan RM100 juta untuk Program Kewangan Mikro Bandar. Program ini diletakkan di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memandangkan kejayaan program yang sama bagi kawasan luar bandar. Semenjak dilancarkan awal tahun ini, Program Kewangan Mikro Bandar sehingga kini telah mengeluarkan pembiayaan melebihi setengah juta ringgit kepada hampir 200 peminjam.
Harapnya penambahan ini mampu meringankan sedikit sebanyak beban yang di alami rakyat Malaysia terutama golongan rendah dan menengah yang sangat terasa bahangnya dengan ketidaktentuan harga minyak. Biarpun harga minyak mengalami penurunan, namun sedar atau pun tidak, harga barangan di pasaran tetap juga tinggi. Pengguna, mahu tak mahu terpaksa juga menerima keadaan itu kerana tiada pilihan.
Penguatkuasaan sepatutnya perlu dilakukan dengan lebih cekap. Mengaut keuntungan sebegitu dengan menutup sebelah mata dengan keterpaksaan pengguna untuk berdepan dengannya tidak wajar berlaku. Apabila harga minyak naik, golongan peniaga begitu kuat mendesak pihak kerajaan untuk menaikkan harga barang. Kini, harga minyak telah turun tetapi desakan pengguna agak sukar untuk dipenuhi. Sekalipun penurunan harga barang diumumkan menteri entah berapa kali, namun hakikatnya, harga barang tetap tinggi.
Apapun, kita semua mengharapkan yang terbaik untuk negara Malaysia nan tercinta. Biarlah Malaysia yang kaya ini sentiasa makmur dan aman damai. Moga sentiasa sejahtera bersama. Aminnn.