Isnin, 13 Oktober 2008

Kebanggaan Semua




Tulisan ni aku copy n paste dari Kosmo! bertarikh 13 Oktober 2008. Boleh juga dilawati secara online di http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1010&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm


Aku bangga dengannya, bukan saja sebab dia agak hensem, tapi...sebab dia yang dapat berada di angkasa. Lainlah kalau aku yang dapat pergi, tak der maknanya aku nak banggga dengan dia pun....


Tidak semua gambar aku copy, so, bagi sesiapa yang nak nengok gambar-gambanya yang hensem tu...silalah ke laman web berkenaan. Bukan aku dengki dengan kehenseman dia yang semer orang suka nak nengok tu, tapi...malas nak save hu hu hu ...



Memori beraya di angkasa


Setahun sudah berlalu. Memori angkasa yang dicatat pada 10 Oktober 2007 kembali menerpa. Apa yang dikenangnya? Wartawan ADHAM SHADAN dan jurugambar NASIRRUDDIN YAZID melaporkan.


LANGIT senja berbalam-balam. Kepalanya didongakkan ke arah langit. Ada senyuman yang terukir di bibir. Jika ketika berusia 10 tahun, dia gemar merenung langit sambil membendung rasa ingin tahu. Kini, dia memandangnya kerana mengenang kembali memori di angkasa. "Ya, aku pernah berada di situ!" getus suara hatinya setiap kali memandang ke langit.


Setahun lalu, tarikh hari ini akan dikenang bukan sahaja oleh empunya diri, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 36, bahkan seluruh rakyat Malaysia. Detik 9.21 malam (waktu Malaysia), tanggal 10 Oktober 2007 menjadi saat penting apabila roket Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan pertama negara, Sheikh Muszaphar meluncur ke angkasa.


Pemergiannya ketika umat Islam di seluruh dunia sedang menghitung hari meraikan Aidilfitri, melayakkan dia menjadi angkasawan Islam pertama yang berpuasa dan berhari raya di angkasa.


KEBANGGAAN Malaysia. Sheikh Muszaphar ketika mengadakan telesidang bersama pemimpin negara dari ISS, Oktober tahun lalu.


Berada di angkasa dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan bagi memenuhi misi negara ketika itu meletakkannya dalam dua kemungkinan iaitu kembali ke bumi dengan jasad yang bernyawa atau mati tidak berpusara.


"Sudah setahun ya... Rasa seperti baru semalam sahaja," kata Sheikh Muszaphar sebaik sahaja saya cuba merungkai perasaannya setelah setahun meninggalkan angkasa di kediaman keluarganya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Nadanya seakan tidak menyedari masa yang pantas berlari.


"Tentu sekali saya merinduinya. Ia pengalaman yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Setiap angkasawan pasti merindui untuk kembali ke angkasa," ujarnya.


Katanya, ketika di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), kebanyakan masa diisi dengan melakukan kerja-kerja penyelidikan. Beliau sendiri menjalankan penyelidikan mengenai mikrob di angkasa, kajian terhadap sel leukemia dan sel kanser hati dan kajian-kajian melibatkan kesan sel radangan dan tulang serta pengkristalan protein.


Dia juga melakukan kajian saintifik dinamakan Platform Orbit Berpusing (TOP) dan menjalankan kajian mengenai makanan bercirikan tradisi Malaysia.
"Masing-masing sibuk melakukan kerja 15 atau 16 jam sehari. Apabila tiba masa makan, barulah kami semua berkumpul," ujarnya.


Namun, seperkara yang tidak dapat dia lupakan ialah perasaan takjub berada di angkasa raya dan melihat Bumi dari tingkap kecil ISS.
"Di sana, saya rasa begitu dekat dengan Allah, Tuhan yang menjadikan alam semesta ini.


"Kadang-kadang saya tidak tidur malam. Sering kali saya mencuri pandang untuk melihat Bumi dari tingkap kecil ISS. Asal sahaja melihat Bumi, bulu roma saya pasti meremang. Mata saya tidak berkelip. Indah sungguh Bumi ciptaan Allah. Saya masih boleh nampak biru air laut, gunung-ganang dan kepulan awan dengan jelas memandangkan ISS hanya terletak 400 kilometer dari Bumi. Ketika itu, saya merasakan seperti mencapai infiniti dalam kehidupan.


"Tetapi, saya cuma pergi selama 11 hari. Saya berharap untuk berada di sana lebih lama," cerita doktor ortopedik yang merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik secara panjang lebar dan bersungguh-sungguh.


Walaupun berada jauh nun di atas angkasa, Sheikh Muszaphar berkata, dia tetap menunaikan ibadah solat dan puasa. Dia sempat berpuasa selama dua hari. Untuk menunaikan solat pula, dia mengikat kaki supaya lebih seimbang dalam keadaan mikrograviti. Cara beribadat dipraktikkannya berasaskan garis panduan yang telah diberikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


"Memandangkan saya adalah angkasawan Islam pertama menjelajah angkasa pada bulan Ramadan, ramai yang bertanya cara menunaikan solat dan berpuasa. Topik ini tidak pernah dibincang secara terperinci sebelum ini walaupun saya hanyalah orang Islam kesembilan di angkasa.


"Kalau diikutkan, saya perlu melakukan solat sebanyak 80 kali sehari kerana ISS dengan kelajuan 27,000 kilometer sejam mengelilingi bumi sebanyak 16 kali sehari. Matahari pula terbit dan terbenam setiap 45 minit. Tetapi, Jakim menetapkan bahawa solat dilakukan lima kali sehari seperti biasa mengikut waktu Kazakhstan.


Ditanya bagaimana penerimaan krew-krew lain terhadapnya. Sheikh Muszaphar berkata:
"Mereka menghormati saya sebagai orang Islam dan begitu juga saya menghormati agama mereka. Penerimaan mereka amat baik.
"Semasa hari raya, saya turut menjamu mereka hidangan Malaysia yang dibawa bersama untuk dikaji seperti sate ayam, rendang daging, nasi himpit, nasi beriani, kuih bangkit dan gegulung pisang," katanya sekali gus memori Aidilfitri di angkasa setahun yang lalu kembali bertandang.


"Mereka mengucapkan Selamat Hari Raya kepada saya. Kami menjamu selera dan mereka sukakan makanan Malaysia. Mula-mula sekali, saya jamu mereka sate sebab ia kegemaran saya. Masih terngiang di minda, pengalaman kami beramai-ramai makan kuih bangkit terapung, terbang dan 'ngap!' di udara," katanya sambil menjelaskan semua makanan adalah dalam bentuk ketulan yang dibeku kering dan dipaket.


Ditanya apakah rasa makanan-makanan itu di angkasa, Sheikh Muszaphar berkata:
"Di angkasa, tunas rasa sedikit berubah mengikut individu. Saya rasa menakjubkan sebab makanan kita rasa sedap, barang kali lebih sedap! Tetapi, makanan kegemaran saya seperti kentang lecek yang saya beria-ia pesan untuk dibawa langsung tidak disentuh. Ini kerana, rasanya berubah menjadi tidak sedap."


Sheikh Muszaphar bercerita, dia juga sempat melafazkan takbir raya di angkasa pada hari raya pertama dan ada merakamkannya.
Ditanya bagaimana pandangannya tentang program angkasa, Sheikh Muszaphar menyuarakan rasa kecewanya apabila ada sesetengah pihak skeptikal menganggap ia sebagai satu pembaziran.


"Sepanjang setahun ini, saya pergi ke banyak negara seperti Brunei, Indonesia, Singapura dan Amerika Syarikat untuk berkongsi pengalaman ketika di angkasa lepas. Begitu juga, saya menjelajah di dalam negara. Saya dapat lihat, semakin ramai kanak-kanak dan remaja berminat menceburkan diri dalam bidang aeroangkasa.


"Sebagaimana Yuri Gagarin menjadi sumber inspirasi bagi orang Rusia dan Neil Armstrong mengubah pola pemikiran rakyat Amerika Syarikat, saya harap saya juga mampu membakar semangat rakyat Malaysia untuk mendalami ilmu angkasa," katanya yang baru sahaja pulang dari Amerika Syarikat atas jemputan Syura Islamic Council California dan Washington yang 'dahagakan' ilmu tentang beribadat di angkasa.


Ditanya bagaimana angkasa mengubah hidupnya, Sheikh Muszaphar berkata, dia tidak lagi menghiraukan perkara kecil dan remeh temeh.
"Apabila saya tengok Bumi dari angkasa. Ia terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan alam semesta yang amat luas ini tetapi di situlah berlakunya peperangan dan pelbagai persengketaan. Saya sedih. Ia sekali gus mengingatkan saya betapa kecilnya kita dan dunia ini begitu besar. Kini, saya lebih menumpukan kepada isu-isu global.


Sempena Aidilfitri ini, Sheikh Muszaphar menitipkan pesanan:
"Gunakanlah hari raya ini untuk merapatkan silaturahim antara kita. Minta ampun kepada ibu dan ayah. Katakan kepada mereka yang kita sayangkan mereka dan terhutang budi kepada mereka. Tunjukkan betapa kita menyayangi mereka."

Sama-sama Renungkan


I


Jumaat Malam motor pancit kala tergesa mahu balik seusai berbuka dengan hanya segelas air suam dan kurma. Niat di hati nak goreng nasi untuk berbuka malam itu. Tak kesampaian. Akhirnya, terpaksa tidur di pejabat. Itupun setelah mata pedih merenung skrin komputer. Esoknya, setelah mandi dan menjelajah seadanya di internet, diri kembali ke rumah dengan teksi. Kelaparan semalam seakan mendera biarpun telah sarapan dengan secawan milo panas.


Ahad. Melilau mencari mana-mana bengkel kalau-kalau ada yang buka. Terjah dulu bengkel kepunyaan bangsaku, MELAYU. Disebabkan ramai pengunjung, tuan punya bengkel tak reti nak senyum. Tak tahu nak tanya apa keperluan pelanggan. Kalau ya pun sibuk dan letih nak kejar masa dek perlu penuhi permintaan pelangan, tidak boleh ke bertanya apa naknya pelanggan yang datang?


Tebalkan muka jugak, aku tanyalah adik pomen tu. Tanpa pandang muka (tahulah muka ni bukannya cun tara mana pun!) dia bagi tahu “Tak sempatlah, kak,”. Kemudiannya terus senyap dan boo layan aku yang tercangak masih lagi nak tanya bila akan sempat. Lastly, aku terpaksa jugalah berlalu dari bengkel bangsaku yang baru dua tiga kali aku pergi itu.


II


Beberapa meter di belakang bengkel pertama tadi, aku tersua bengkel yang lain. Melayu jugak tuan punyanya. Itupun setelah bengkel BUKAN anak bangsaku yang ada berdekatan itu tutup. Belum pun kaki aku melangkah masuk ke dalam bengkel itu, kakak itu dah tanya siap-siap apa masalah aku. Kesibukan bengkel itu tidak kurang juga dari bengkel pertama. Pekerja dia pun ada dua orang juga berbanding bengkel pertama tadi yang jadi bertiga termasuk bossnya terpaksa turun padang juga.
“Hari ni tak dapatlah, dik. Ramai orang. Pomen ada dua orang je…” kata akak tu lembut.
“Kita tak leh janji sempat pergi…nanti tak sempat kang, harap pulak orang dok tunggu,” sambungnya dengan dialek utara yang pekat.
“Kalau bukan hari Ahad, kita memang boleh pergi,” terangnya lagi tanpa aku tanya pun.

Akhirnya aku catat juga no telefon bengkel itu dan simpan dalam telefon. Dan hari ini, (pagi tadi) pekerjanya datang gantikan tiub motorku yang pancit.

Aduhaiii…begitukah anak bangsaku berniaga? Bila bangsa sendiri mencari bangsa asing, mahu disalahkan siapa?

Renung-renungkanlah!

Ahad, 12 Oktober 2008

Cerpen Syawal


Di pagi Syawal, apakah yang kau cari?

oleh Malim Ghozali PK


Utusan Malaysia 28 September 2008



SEJAK zaman muda lagi dia sudah menghidapi semacam penyakit. Setiap kali berada di perut kapal terbang, dia tidak berupaya melelapkan mata, walau pun sepicin. Gelisah, cemas, dan fobia akan paras ketinggian, semuanya berpugut-pugut, dan akhirnya bangkit sebagai adunan yang barangkali boleh saja dinamakannya kesepian. Atau apakah ini yang dinamakan kerinduan? Sewaktu remaja dulu dia sering menganggap bahawa kesepian dan kerinduan itu membawa nuansa yang sama. Sampai sekarang pun dia tidak dapat membezakan pengertian kedua-dua terma itu. Ada ketikanya di dalam pesawat, dia seolah bergantung di sayap angin, menaksir seluruh awangemawan dan jagat raya. Dan bila itu terjadi, pintu besar ke kota kenangan terbuka seluas-luasnya. Fikiran pun mengembara ke segenap relung ingatan, lampias dalam ruang-waktu, dan segala pengalaman dengan cepat mekar, dan segar semula. Walau sudah bertahun-tahun berada di perantauan, entah kenapa sepanjang Ramadan al-Mubarak pada kali ini rindunya terhadap kampung halaman benar-benar luar biasa. Sungainya, bukitnya, burung-burungnya, unggas dan mergastua, lambaian pohon- pohon kelapa, dan lesung kaki tua al-marhumah nenek, semuanya meruntun perasaan.


"Fikiran manusia adalah komputer azali yang sangat aneh," kenyataan itu sering berulang- ulang di sepanjang hayat. Puisi yang mengabadikan alam remajanya tidak pernah lekang dari kotak ingatan.



Suatu waktu main perang buah sentul di sejuk kali
Tak kusangka main perang buah sentul di sejuk kali
Setiap pagi di hujung kampung suatu waktu dulu menangis
Luka di kepala dan kakiku rupa-rupanya persediaan
ilmu untuk suatu waktu kerana kini
di Kuala Lumpur setiap hari aku berperang dengan nafsu
emosi dan hargadiri aku berperang dengan bedil di mukaku
senjata tajam menikam siku ubun-ubun dan sulahku. kini tanpa tangis aku bangun mengutip peluru di dadaku seraya
tersenyum membalut luka-luka ditubuhku
kerana aku sudah dipersediakan ilmu perang
suatu waktu dulu di sejuk kali di hujung kampung
setiap pagi.



Sajak itu ditulisnya ketika masih berada di KL, sebelum dia menikahi ibu Laila. Sungguh pun sajak itu ditulis lama dulu, namun baris-baris puisi tersebut terasa seperti baru dikarangnya semalam. Dia tidak tahu sama ada rakan-rakan main perang di sungai masih lagi hidup, atau pun tidak. Entahkan Mislan, Meri, Yun dan Wok juga sepertinya - sering 'berperang dengan nafsu, emosi dan harga diri'.


Ah, betapa seronoknya menebang dan menukang meriam buluh betung, moreh, dan bertadarus di surau di sepanjang bulan Ramadan.
Tapi dia dan teman-teman harus berhati-hati, kerana nenek selalu mengomel.
"Hoi, ape ditunu mulut meroyam tu? Nak pongah muke ke? Esok hari raye, kome terperap di hospita!" sergah nenek.



Dan di pagi Syawal, sebaik selesai solat sunat Aidilfitri, dia dan kawan-kawan berbasikal ke rumah tok imam, menuntut duit raya. Saban tahun duit raya tok imam lumayan. Tapi dia meletakkan syarat terlebih awal.
"Rajin-rajin terawih, kalau kome nak duit raye…"
Tapi bukankah semua itu sudah tidak ada lagi!



Destinasi semakin menghampir. Ikon kapal terbang yang bergerak secara automatik di skrin tv kecil depannya tentulah tidak berbohong. Pesawat kini sudah melewati Laut Andaman, dan baru saja meninggalkan sempadan Thailand-Malaysia. Benua Eropah semakin kelam dalam ingatannya. Tapi dia percaya Rotterdam yang baru sebelas jam diucapkannya selamat tinggal pasti akrab selamanya dalam ingatan.



Memajamkan mata
Setiap dia cuba memejamkan mata ada-ada saja maklumat yang ingin disampaikan oleh kapten. Dua jam lalu, ketika menempuh ruang udara benua kecil India, badan pesawat bergegar, apabila bertembung dengan angin yang kencang. Dan kepten mengganggu konsentrasinya untuk cuba melenakan mata.
"Tuan-tuan dan puan-puan, kita sedang berada dalam keadaan cuaca yang kurang baik, dan tidak menentu. Sila kembali ke tempat duduk, dan pasangkan tali pinggang keledar."



Mujurlah anak muda peramah di sebelahnya juga tidak tidur di sepanjang penerbangan. Hanya isteri dan dua orang anaknya yang nampak keletihan. Katanya dia seorang guru, dan baru saja menyelesaikan tesis sarjana di sebuah kota di United Kingdom. Menurut anak muda lagi, dua tahun bergelumang dengan musim sejuk sudah cukup menyiksakan.


"Lama ke pakcik tinggal di Belanda?"


Dia tidak pasti apa yang menyebabkan anak muda mentaakulkan sebegitu. Mungkin disebabkan dia terpandangkan dua buah beg besar yang kuheret di kaunter check-in di Schipol? Dia mengagak. Menurut anak muda yang berhemah ini, dia hanya transit di Schipol. Dia sekeluarga memulakan perjalanan dari Heathrow. Mereka mengambil keputusan berhari raya di kampung. Oleh kerana agak terlewat membuat keputusan itu, akibatnya mereka hampir-hampir gagal mendapatkan tiket penerbangan pulang ke tanah air. Maklum tempahan di musim perayaan tersangat tinggi.



"30 tahun," dia menjawab pendek. Dahi anak muda kelihatan berkerut. Isterinya perlahan-lahan menjongolkan muka dari dalam selimut. Dia menduga pasti akan ada lagi reaksi dari anak muda.
"Lamanya..."
"Sudah takdir, apa nak buat."


Dia tidak mampu memberikan jawapan lain, bila saja hal itu berbangkit. Harapannya agar tidak ada soalan susulan, ternyata meleset.
"Famili…?"
"Ada…tapi sekarang dah tak ada lagi…"
"Oh, maafkan saya pak cik."
"Maksud pak cik, kami berpisah."
"Oo…"


Dia tidak dapat mengagak adakah "O" anak muda bermaksud apologetik, atau hanya sebagai penyengkang bicara sahaja. Setelah menjawab soalan anak muda, dia membiarkan kesepian bermaharaja lela semula di dalam dirinya seketika. Tak lama, dia menanyakan kepada anak muda.
"Masih ada orang tua?"
"Semua dah tak ada. Semasa saya sekolah lagi. Saya dibesarkan oleh nenek. Dah tak ada siapa di kampung. Lagi pun saya anak tunggal. Yang tinggal hanya rumah pesaka usang."
"O…"


Dia tidak tahu kenapa harus menyebut huruf saksi itu.
Tapi, kalau tak ada keluarga lagi, apakah yang dicari anak muda di kampung?
Kini dia pula yang diganggu oleh andaian yang memerlukan pewarasan.
'Err, tak ada sesiapa lagi?"
"Ya, cuma semangat desa itu sendiri pak cik. Saya dibesarkan dengan air sumur dan air sungai. Saya nak melawati pohon-pohon getah yang saya toreh semasa kecil. Semuanya berperanan mendewasakan saya, pak cik, termasuk pucuk paku, maman, dan umbut bayas."
"Elok benar tu…"
Anak muda menambah. "Isteri saya lulusan pertanian. Tapi fikir punya fikir, dia memilih untuk menjadi suri rumah saja. Kami bercadang nak memulihkan kebun getah peninggalan orang tua. Lagi pun getah ada harga sekarang."


Dia dapat membayangkan betapa anak-anak keluarga muda ini bakal membesar sebagai manusia yang cintakan ibu pertiwi.


Bila saja anak muda menyebut kebun getah, kenangan ketika dia menoreh di hujung kampung menjelma di ruang matanya dengan pantas. Di manakah Ana, yang selalu ditemui di tempat memesin getah? Tentulah dia sudah beranak-cucu, duganya. Atau masihkah dia menjadi pengungsi dunia yang fana ini?


Dia masih dapat menggambarkan kesayuan Ana apabila mengetahui dia sering ke kampung di pinggir pekan.
"Dengar khabar kau selalu ke pekan. Aku tahu, kau sayangkan orang lain," serak suara Ana ketara benar di pagi itu.
"Aku tak kata gitu."
"Tak kata bukan maknanya tak ia…lagipun dia pintar, lebih padan dengan kau. Aku…"
"Tapi Ana, kan nama-nama kita sudah terpahat di banir nering di dusun Pak Agon?"
"Pohon nering tu tak akan bertahan selamanya. Percayalah…"


Apa yang diucapkannya kepada anak muda - "Ada, tapi sekarang dah tak ada lagi" memang suatu kenyataan. Mulanya dia hanya ingin menemani ibu Laila melanjutkan pelajaran; dari satu tingkat ke satu tingkat yang lebih tinggi. Kemudian mereka mencuba untuk bekerja di perantauan. Jangkanya hanya buat mencari pengalaman. Tapi akhirnya mereka terus menetap di luar negara saja. Lagi pun anak-anak sudah mula membesar, serta mendapat pendidikan di sana. Tapi mulai saat ibu Laila memberitahunya yang dia sudah jatuh cinta dengan lelaki lain, dan minta dilepaskan, keinginannya untuk pulang ke kampung bertambah kuat setiap tahun.


Kedua-dua orang anaknya bertindak membawa diri masing-masing. Yang perempuan menyambung pelajaran di Jordan, dan yang lelaki memilih bekerja di Afrika Selatan. Biarlah mereka menjadi warga dunia. Kemanusiaanlah yang akan mendewasakan mereka, fikirnya.


Memang benar kata-kata Ana. Ibu Laila cantik dan pintar. Namun sekarang dia sedar semua itu belum tentu dapat menjana kebahagiaan hidup berkeluarga. Cuma dia kasihankan Laila, dan abangnya yang merajuk.


Ah biarlah, kalian sudah dewasa. Abah harap kalian menjadi warga dunia yang bertaqwa. Dia menyerahkan agar semuanya disimpulkan oleh benang takdir.


Saat tayar pesawat berciut mencium bumi ibu pertiwi, dia berasa dadanya sebak. Sama seperti yang pernah dirasakannya semasa membuat pilihan antara Ana dan ibu Laila. Di lapangan terbang yang ternyata lebih gah dari apa yang pernah disaksikannya di Eropah, takbir Hari Raya dari peti-peti tv menguasai suasana. Dia terasa matanya basah. Lebih-lebih lagi kini dia hanya pulang seorang diri, tanpa isteri dan anak-anak. Cepat-cepat dia ke kaunter menyewa kereta pandu sendiri. Ada tiga jam perjalanan lagi sebelum sampai ke kampung tercinta. Tapi dia tahu di pagi Syawal lebuh raya pasti lengang.


Sebaik memasuki kereta, dia menyedari ada mesej masuk di telefon bimbit. Dia tersenyum melihat pesanan ringkas itu. Dia tahu hati abang Laila akan terubat juga akhirnya.


"Assalamualaikum abah. Saya nak mohon ampun dan maaf di pagi Syawal ni. Sekarang baru jam lima subuh di sini. Pagi nanti saya nak jemput adik Laila. Dia nak raya di Jo'berg. Ada dia telefon abah tak? Mama telefon, dia kata nak raya di Rotterdam. Suatu masa nanti nak ikut abah balik kampung. OK tak?"


Ya, masa akan menyembuhkan semua luka!
Matahari sudah agak tinggi ketika dia sampai di tanah perkuburan. Di situ kedua-dua orang tua dan neneknya disemadikan. Walaupun masih ramai orang di situ, tetapi tidak ada seorang pun yang dikenalinya. Sayup-sayup kedengaran takbir Hari Raya di tv dan radio dari rumah-rumah berhampiran perkuburan, diinjing semilir pagi yang jinak. Dia ingat dengan jelas kali terakhir mengiringi al-marhumah ibu ke situ. Dia mengabadikan pengalaman itu di sebuah sajak yang ditulisnya di diari.


Mengenang ibu
Ketika kuhantarmu, ibu
di rimbun teduh rembang
lembut semilir bukit menjinjing
salam malaikat berangkat
tak betah riak sungai bangkung kita, ibu
menggetar mengulit lampias
cahaya putih
menanti di limun pagi
aku tetap merindu
marah-marah dan jerkah-jerkahmu
ketika kautuangkan
tamsil kesabaran ke dalam naluriku
potret kecil di tangga sekolah
tak puas kutitip buah rindu
di perkarangan senyumanmu
tidurlah sementara, ibu
edan dalam syahdu
dan rimbun doaku,
anakmu.


Dia amat menyayangi ibu, dan sajak itu.
Selesai membacakan Yaa Siin dan berdoa di ketiga-tiga kuburan, dia melangkah meninggalkan tanah perkuburan. Wajah seorang wanita di sisi sebuah kubur menangkap pandangannnya. Dia merasakan wanita bertudung biru gelap yang ditemani oleh sepasang remaja sangat dikenalinya. Walaupun bertudung, dia masih kenal kening, hidung dan sepasang bibir yang nipis milik wanita itu. Adakah nama pemilik wajah itu yang pernah dipahatnya di pohon nering dusun Pak Agon?


Dia memberanikan diri menyapa wanita itu.
"Ana…Ana ke?"
Wanita itu tidak menyahut pertanyaannya, tetapi dengan selamba merenung tepat ke mukanya. Dan dia membiarkan sepasang remaja beredar meninggalkan kawasan perkuburan.
"Kau tak kenal aku lagi…" dia tercenung.
"Masakan aku lupa…bukankah kau yang memahat namaku di pohon nering?"
Ya memang tepat sekali, wanita yang sedang terdiri di depannya ialah Ana. Ana masih hidup rupanya!
"Anak-anak…?" Dia mengacukan pandangan ke arah sepasang remaja yang sudah sampai ke pintu besar tanah perkuburan. Dia cuba mengalih perbualan. Ana menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Anak-anak saudara…anak kakak…ini kubur ibu bapa mereka. Kemalangan jalanraya, dah lama. Aku membesarkan anak-anak mereka."


Dia tidak tahu bagaimana harus memberikan reaksi terhadap apa yang baru didengarinya dari Ana. Sesungguhnya dia benar-benar tidak tahu apa-apa lagi tentang Ana. Pertanyaan Ana selanjutnya membuatkannya tergumam semula.
"Kau mencari apa di sini?"


Fikirannya gelap. Dia tidak tahu bagaimana soalan itu harus ditangani. Memang benar apa yang diucapkan oleh Ana. Adakah lagi sesuatu yang tersisa di kampung ini buatnya?
"Ana tinggal di mana sekarang?" Dia sungguh-sungguh ingin tahu.
"Masih di kampung ini."


Ana mula meninggalkan perkuburan, dan dia mengekori Ana beberapa langkah di belakang. Sebaik tiba di pintu besar, Ana menoleh ke arahnya semula. Dia tidak tahu sama ada Ana tersenyum kepadanya atau pun tidak, kerana di benaknya ada jeritan yang kuat:
Ana, aku akan tinggal di kampung ini selamanya!


Di saat itu juga ada isyarat mesej masuk di telefon bimbit. Dia segera mengeluarkannya dari kocek seluar. Sungguh pun ringkas, dia memahami maksud Laila.
"Selamat Hari Raya. Maaf zahir batin. Laila sayang abah macam dulu."


Sekali lagi matanya terasa basah. Di pagi Syawal yang syahdu, dia tidak lagi dapat menahan airmatanya daripada mengalir ke lurah pipinya.


Puasa Enam Pada Syawal

Tulisan ini dipetik dari Berita Harian, Isnin 6 Oktober 2008 bersamaan 6 Syawal 1429H. Tulisan yang sama boleh dibaca secara online di http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Agama/20081005222252/Article/
Moga dapat dimanfaatkan bersama. Selamat membaca, menghayati dan mengamalkannya.
Ganjaran besar puasa enam Syawal
Oleh Zahri Hamat

PUASA enam Syawal adalah sunat dilakukan dan besar ganjaran pahala serta tambahan kepada kekurangan yang diimbangi dengan zakat fitrah.

Mukmin laksana amalan sunat mendapat kebaikan berganda DUA jenis amalan menentukan peribadi seseorang Muslim iaitu amalan wajib dan amalan sunat. Wajib bermaksud sesuatu yang dituntut untuk melakukannya dan berdosa jika ditinggalkan seperti solat fardu, puasa pada Ramadan dan membayar zakat. Sunat pula bermaksud sesuatu yang dianjurkan untuk melakukannya dan tidaklah berdosa jika ditinggalkan. Antara contoh amalan sunat ialah solat, mengucapkan amin apabila membaca fatihah dalam solat dan banyak lagi.

Walaupun meninggalkan amalan sunat tidaklah menyebabkan berdosa, ia adalah amalan sangat disukai Allah. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah berfirman yang maksudnya: "Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Dan hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan jika ia meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan kepadanya, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi." (Hadis riwayat Al-Bukhari) Antara ibadat sunat yang amat digalakkan selepas puasa wajib Ramadan ialah puasa enam hari semasa Syawal. Persoalannya, bilakah waktu terbaik melakukannya, dan bagaimanakah cara untuk menunaikannya jika puasa wajib belum lagi diganti atau diqada?

Puasa enam hari pada Syawal sebenarnya amat besar ganjaran yang ditawarkan Allah. Ia disebut secara jelas oleh Rasulullah SAW. Dilaporkan daripada Abu Ayyub al-Ansari bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa berpuasa sepanjang Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seakan-akan dia berpuasa selama satu tahun." (Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa'i dan Ibnu Majah) Ini bermakna dengan berpuasa sunat selama enam hari pada Syawal selepas berpuasa wajib pada Ramadan, seolah-olah mereka berpuasa sepanjang tahun. Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah telah menggandakan setiap kebaikan dengan sepuluh kali ganda. Puasa Ramadan setara dengan berpuasa sebanyak sepuluh bulan. Dan puasa enam hari Syawal yang menggenapkannya satu tahun." (Hadis riwayat An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Hadis ini mempamerkan bahawa ganjaran diberikan Allah itu sepuluh kali ganda. Ini bermakna jika kita berpuasa selama 30 hari pada Ramadan, maka digandakan menjadi 300 hari, manakala puasa enam hari pada Syawal digandakan menjadi 60 hari. Ganjaran Allah adalah sebanyak 360 hari. Persamaan yang lain, jika berpuasa selama sebulan pada Ramadan akan menyamai 10 bulan, kemudian diikuti puasa selama enam hari pada Syawal akan menyamai dua bulan. Justeru genaplah berpuasa selama setahun.
Ada dua pendapat ulama mengenai hal ini. Majoriti ulama berpendapat, puasa enam dilakukan secara berturut-turut selepas Hari Raya. Ia dimulai pada hari raya kedua dan seterusnya sehingga genap enam hari. Sebahagian ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal. Justeru, kita mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan sama ada melakukannya secara berturut-turut ataupun berselang seli. Bagaimanakah pula kaedah menunaikan puasa sunat pada Syawal jika puasa Ramadan masih belum diganti atau qada? Persoalan itu juga mempunyai beberapa pandangan.
Pendapat pertama mengatakan adalah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat hanya puasa qada pada Syawal. Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat. Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.
Pendapat kedua ialah jika seseorang melakukan kedua-duanya secara berasingan akan mendapat kelebihan di sisi Allah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah, maka memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan antara yang wajib dengan sunat lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba. Ada juga ulama berpendapat bahawa puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadan akan datang.
Lakukan ibadat sunat ini sama ada berpuasa secara berturut-turut atau berselang-seli. Begitu juga dengan puasa qada. Lakukanlah sama ada secara digabungkan puasa enam dengan puasa qada ataupun secara berasingan. Terpulanglah kepada diri kita sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing. Hal ini kerana ganjaran ditawarkan Allah amat besar. Ia juga adalah tambahan kepada kekurangan yang diimbangi oleh zakat fitrah.
Penulis ialah pensyarah Pusat Kajian pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia

Jumaat, 10 Oktober 2008

Selamat Pengantin Baru


5 Oktober 2008 bersamaan 5 Syawal 1428H

Secara teorinya, adik perempuan bongsuku bergelar pengantin baru. Masyarakat mengetahui perkahwinannya pada hari itu, walaupun hakikatnya dia sudah sah bergelar isteri beberapa bulan sebelum itu lagi. Tahniah. Moga dia bahagia. Moga gembira. Moga berkekalan abadi. Bukan sahaja hingga anak cucu, namun doaku hingga akhir hayat. Dunia akhirat juga.


Diri bersyukur. Banyak sebab syukur itu. Pertama, lerai sudah bahuku. Ringan. Dirimu bukannya beban untukku, namun adakalanya, terlalu banyak risau tentangmu buatkan aku terlupakan diri sendiri.


Kedua, akan ada seseorang yang akan menjaganya. Akan ambil tahu segala hal tentang dirinya. Akan memikul tanggungjawab itu juga. Akan mengasihinya setulus hati. Harapnya. Doanyalah.

Ketiga, orang yang cantik memang sukar untuk bersendirian sebegitu lama. Banyak fitnahnya. Banyak mata menjelingnya. Banyak juga hati yang cemburu. Perkahwinan baginya menyelamatkan banyak keadaan. Melegakan ramai orang juga.


Keempat, memang sudah ada lelaki yang baik sanggup hambakan diri untuk mengepungnya sepanjang hayat. Lelaki yang baik itu sudah kian susut di muka bumi ini. Andai telah ditemui lelaki yang punya ciri-ciri baik itu, mengapa perlu membuang banyak masa mencari yang lain, sedangkan yang dicari itu belum tentu lagi sebaik yang telah ada. Material hanyalah ukuran dunia. Andai dia mampu bahagiakan dengan limpahan kasih sayang, bertanggungjawab dan sanggup berusaha, bukankah itu pilihan yang terbaik?

Kelima, dia sudah ada arah tuju kehidupannya. Sudah punya sijil berjela yang memudahkannya melompat dari satu kerja ke kerja yang lain, mengejar kepuasan dan gaji yang lumayan, dan kini, telah menyediakan tapak kerjaya yang kukuh pula, apalagi yang ditunggu?


Dik, ucap tahniah dan syukur ini tidak kau baca, namun aku sentiasa mengharapkan sesuatu yang terbaik untukmu. Dari dulu, kini dan sampai bila-bila. Biarpun kau tidak harapkannya. Kau menafikannya. Kau menidakkannya. Aku sentiasa harapkan yang terbaik buatmu. Selamanya. Dunia dan akhirat.