Agak lama tidak mendera fizikal sebegitu, stamina diri nyata benar telah menurun. Kembali ke kamar semula, diri bagai terhenyak dan selesa dalam lembut tilam yang sentiasa kuimpikan biar seberapa selesapun hotel berbintang yang kutumpangi. Perbandingannya memang nyata benar, namun rasanya tetap jua di situ. Kamar itu jua yang kuingat. Yang kurindu.
Kala duduk di kerusi pada pagi Isnin yang redup ini, hati terbuai riang menerima email daripada seseorang. Seorang teman yang sudah terlalu lama sebenarnya tidak bertemu mata. Kami kenal, bertemu dan mula berinteraksi sejak sekolah menengah tinggi dahulu. Setelah itu hanya warkah jadi titipan. Kemudiannya, seiring dengan kecanggihan dunia, email pula sering berbalas biarpun kesibukan diri masing-masing banyak membataskan waktu. Namun, dia tetap seorang sahabat yang tak mungkin terlupakan biarpun sudah punya isteri dan anak-anak, punya kesibukan dengan kerjanya sebagai seorang guru.
Diri amat berterima kasih padanya. Sekalipun dengan ragu-ragu, dia menyapaku lewat email awal tahun lalu. Aku cukup berterima kasih dengan keinginannya untuk menyambung semula hubungan kami yang sentiasa tenggelam timbul itu biarpun sebenarnya dia sangat rendah diri. Tahukah dia yang “nilai” seorang kawan itu lebih daripada segala? Tidakkah dia tahu yang aku terlalu gembira dengan sapaannya itu? Tidakkah dia rasakan yang aku terlalu terharu bila dia muncul semula dalam hidupku?
Apa yang kita ada hari ini, bukannya terusan akan dibawa sepanjang hidup. Jika Allah menghendaki kembali apa yang dipinjamkannya pada kita, sesaat masapun sudah cukup untuk melenyapkan segala-galanya. Lalunya, untuk apa perlu dibanggakan segala perhiasan dunia ini. Sahabat, ini bukannya bererti diri membuang nilai dunia, sekadar menyatakan bahawa semuanya hanya bersifat sementara. Ada kala kita memilikinya, ada masa yang lain kita akan kehilangannya. Lalunya, untuk apa untuk rasa kerdil dengan perbezaan darjat dan kedudukan dunia ini sedangkan kita belum tahu lagi apa yang kita ada di alam sana.
Diri ini tetap diri yang dulu. Sahabatmu yang lama itu. Hati masih lagi sebegitu. Jadinya, abaikanlah perhiasan dunia yang Allah anugerahkan dengan nilai kesementaraan ini. Itu hanya nilai yang diberikan manusia. Itu hanya cara untuk membezakan kedudukan di dunia.
Sahabat, teruskanlah perjuangan. Teruskanlah berusaha. Tingkatkan lagi keazaman. Tetapkanlah hati. Dari lelah yang panjang, pasti akan ada hasilnya. Pasti akan membuahkan nilainya. Percayalah pada diri. Percayalah pada naluri. Bakat yang Allah anugerahkan, usah dipersia. Jalan mungkin masih panjang, namun separuhnya telahpun Berjaya diredah. Kalau hati ikhlas dengan apa yang diperjuangkan, suatu masa nanti, tidak akan sia-sia jua. Dari kejauhan ini, daku hanya mendoakan agar kebaikan jua berada di sisimu. Dari jauh ini, daku tidak pernah lupa menitipkan harapan dan doa. Moga dirimu, moga apa yang diperjuangkan, moga apa yang diidamkan akan dicapai jua nanti. insyaAllah.