Memaparkan catatan dengan label iman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label iman. Papar semua catatan

Selasa, 16 September 2008

CahayaNya


“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)


Hari Nuzul Quran merupakan hari memperingati Nuzul Quran (turunnya al-Quran) dari lukh mahfuz ke baitul izzati di langit dunia secara serentak atau sekaligus kepada Nabi Muhammad S.A.W. Ia berlaku ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira pada malam Jumaat pertepatan tanggal 17 Ramadhan iaitu pada tahun ke 41 hari kelahiran baginda atau pada tanggal 6 Ogos 610M. Kemudian al-quran diturunkan secara beransur-ansur mengikut ketentuan dan perintah daripada Allah dalam masa 23 tahun atau dengan lebih tepat lagi 22 tahun 2 bulan 22 hari.


Bermula dengan peristiwa inilah, zaman jahiliah yang diliputi kegelapan disinari cahaya. Kesesatan digantikan dengan kebenaran dan umat yang hidup bertuhankan hawa nafsu berubah kepada bertuhankan Allah yang Esa. Allah berfirman dalam surah al-Anbiya’ ayat 108, bermaksud:


“Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam.”


Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-Alaq iaitu, Firman Allah bermaksud:


“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Maha Mulia yang mengajarkan (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”


Peristiwa nuzul al-quran menjadi satu rakaman sejarah yang penting dalam kehidupan rasulullah dan bagi umat islam. Al-quran menjadi panduan kepada manusia telah dikurniakan oleh Allah kepada rasulnya, Muhammad S.A.W. Tanpa berpandukan kepada al-quran, manusia akan sesat.


Umat islam menjadikan al-quran sebagai "kitab induk" dalam kehidupan mereka. Kitab rujukan dalam mengurus kehidupan di dunia untuk mencapai kebahagiaan diakhirat. Ia sebuah kitab yang lengkap dan diakui oleh allah s.w.t. Firman allah dalm surah al-an'am ayat 38 yang bermaksud:


Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)


Turunnya al-quran adalah satu bukti yang menunjukkan benarnya rasulullah s.a.w sebagai utusan allah. Pada masa yang sama membenarkan bahawa islam adalah satu-satunya agama yang datang dari allah. Manusia tidak boleh menolak kebenaran islam, selagi mereka tidak dapat menolak kebenaran al-quran, sepertimana firman allah dalam surah al-isra' ayat 88:


"Katakanlah (wahai muhammad) : "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan yang sebanding dengan al-quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya,walaupun mereka saling bantu-membantu".


Apabila orang kafir gagal untuk menyahut cabaran mencipta sebuah kitab seperti al-quran, Allah mencabar mereka untuk membuat hanya satu surah sahaja. Firman allah dalam surah al-baqarah ayat 23, bermaksud:


"Sekiranya kamu merasa ragu tentang apa yang kami turunkan (al-quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkan satu surah yang sebanding dengannya (surah dalam al-quran), serta ajaklah saksi-saksi kamu (tuhan-tuhan yang kamu sembah) selain daripada Allah (yang kamu percaya boleh menolong kamu), jika kamu orang yang benar".


Orang kafir terus gagal untuk menyahut cabaran itu. Itu telah membuktikan bahawa Al-quran itu adalah benar daripada Allah, Nabi Muhammad S.A.W sebagai pesuruh Allah kepada manusia. Benarlah islam sebagai agama yang diakui disisi Allah seperti firmanNya dalam surah ali-imran ayat 19, bermaksud:


"Sesungguhnya agama (yang direstui) disisi allah hanyalah agama islam."


Al-Quran diturunkan kepada manusia untuk menyelamatkan mereka daripada terus berada dalam kegelapan dunia, terpaksa meraba-raba dan h ilang hala tuju hidup. Allah SWT melalui kitabNya itu memimpin mereka ke jalan yang benar agar mereka ditempatkan ke dalam syurga di akhirat kelak.


Ayat 15-16 surah al-Maidah : “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad) dari Allah dan kitab yang menerangkan (al-Quran). Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, (dan dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.”


Al-quran menjadi benteng terakhir Islam, menjaga keaslian dan kebenaran agama allah ini. Selama mana al-quran dipertahankan ajarannya, selama itulah Islam akan kukuh di dada penganutnya. Jika al-quran telah terpisah jauh daripada umat islam, akan hilanglah kekuatan umat islam. Jika umat islam berpegang dengan al-quran, musuh-musuh Islam tidak akan dapat untuk menghancurkan agama suci ini.