Memaparkan catatan dengan label quran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label quran. Papar semua catatan

Selasa, 16 September 2008

CahayaNya


“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)


Hari Nuzul Quran merupakan hari memperingati Nuzul Quran (turunnya al-Quran) dari lukh mahfuz ke baitul izzati di langit dunia secara serentak atau sekaligus kepada Nabi Muhammad S.A.W. Ia berlaku ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira pada malam Jumaat pertepatan tanggal 17 Ramadhan iaitu pada tahun ke 41 hari kelahiran baginda atau pada tanggal 6 Ogos 610M. Kemudian al-quran diturunkan secara beransur-ansur mengikut ketentuan dan perintah daripada Allah dalam masa 23 tahun atau dengan lebih tepat lagi 22 tahun 2 bulan 22 hari.


Bermula dengan peristiwa inilah, zaman jahiliah yang diliputi kegelapan disinari cahaya. Kesesatan digantikan dengan kebenaran dan umat yang hidup bertuhankan hawa nafsu berubah kepada bertuhankan Allah yang Esa. Allah berfirman dalam surah al-Anbiya’ ayat 108, bermaksud:


“Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam.”


Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-Alaq iaitu, Firman Allah bermaksud:


“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Maha Mulia yang mengajarkan (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”


Peristiwa nuzul al-quran menjadi satu rakaman sejarah yang penting dalam kehidupan rasulullah dan bagi umat islam. Al-quran menjadi panduan kepada manusia telah dikurniakan oleh Allah kepada rasulnya, Muhammad S.A.W. Tanpa berpandukan kepada al-quran, manusia akan sesat.


Umat islam menjadikan al-quran sebagai "kitab induk" dalam kehidupan mereka. Kitab rujukan dalam mengurus kehidupan di dunia untuk mencapai kebahagiaan diakhirat. Ia sebuah kitab yang lengkap dan diakui oleh allah s.w.t. Firman allah dalm surah al-an'am ayat 38 yang bermaksud:


Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)


Turunnya al-quran adalah satu bukti yang menunjukkan benarnya rasulullah s.a.w sebagai utusan allah. Pada masa yang sama membenarkan bahawa islam adalah satu-satunya agama yang datang dari allah. Manusia tidak boleh menolak kebenaran islam, selagi mereka tidak dapat menolak kebenaran al-quran, sepertimana firman allah dalam surah al-isra' ayat 88:


"Katakanlah (wahai muhammad) : "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan yang sebanding dengan al-quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya,walaupun mereka saling bantu-membantu".


Apabila orang kafir gagal untuk menyahut cabaran mencipta sebuah kitab seperti al-quran, Allah mencabar mereka untuk membuat hanya satu surah sahaja. Firman allah dalam surah al-baqarah ayat 23, bermaksud:


"Sekiranya kamu merasa ragu tentang apa yang kami turunkan (al-quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkan satu surah yang sebanding dengannya (surah dalam al-quran), serta ajaklah saksi-saksi kamu (tuhan-tuhan yang kamu sembah) selain daripada Allah (yang kamu percaya boleh menolong kamu), jika kamu orang yang benar".


Orang kafir terus gagal untuk menyahut cabaran itu. Itu telah membuktikan bahawa Al-quran itu adalah benar daripada Allah, Nabi Muhammad S.A.W sebagai pesuruh Allah kepada manusia. Benarlah islam sebagai agama yang diakui disisi Allah seperti firmanNya dalam surah ali-imran ayat 19, bermaksud:


"Sesungguhnya agama (yang direstui) disisi allah hanyalah agama islam."


Al-Quran diturunkan kepada manusia untuk menyelamatkan mereka daripada terus berada dalam kegelapan dunia, terpaksa meraba-raba dan h ilang hala tuju hidup. Allah SWT melalui kitabNya itu memimpin mereka ke jalan yang benar agar mereka ditempatkan ke dalam syurga di akhirat kelak.


Ayat 15-16 surah al-Maidah : “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad) dari Allah dan kitab yang menerangkan (al-Quran). Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, (dan dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.”


Al-quran menjadi benteng terakhir Islam, menjaga keaslian dan kebenaran agama allah ini. Selama mana al-quran dipertahankan ajarannya, selama itulah Islam akan kukuh di dada penganutnya. Jika al-quran telah terpisah jauh daripada umat islam, akan hilanglah kekuatan umat islam. Jika umat islam berpegang dengan al-quran, musuh-musuh Islam tidak akan dapat untuk menghancurkan agama suci ini.

Mukjizat Alam


Tulisan ini dipetik daripada berita harian. Harapnya boleh dikongsi bersama teman-teman;


Al-Quran mukjizat terbesar Rasulullah SAW
Oleh Nasron Sira Rahim

Kandungan kitab miliki rahsia mengenai kehidupan perlukan kajian mendalam RABU ini, sekali lagi umat Islam menyambut ulang tahun peristiwa terbesar dalam sejarah Islam iaitu turunnya al-Quran, mukjizat terbesar Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadan yang turut dikenali sebagai Nuzul Quran.


Ada ulama berpendapat al-Quran diturunkan kepada Rasulullah untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia menerusi tiga peringkat. Peringkat pertama, al-Quran diturunkan Allah secara keseluruhannya ke suatu tempat dinamakan Lauhil Mahfudz. Peringkat kedua, al-Quran dibawa keseluruhannya dari Lauhil Mahfudz ke Baitul Izzah iaitu suatu tempat yang terletak di langit dunia. Proses ini berlaku pada malam lailatul qadar seperti firman-Nya dalam ayat pertama surah al-Qadr: "Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatul qadar."

Seterusnya, al-Quran diturunkan dari langit dunia kepada Nabi Muhammad menerusi perantaraan malaikat Jibrail AS secara berperingkat dan turunnya ayat pertama adalah pada 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos 610. Peristiwa penurunan ayat pertama hingga kelima dari surah al-Alaq itu juga menjadi petanda kerasulan Nabi Muhammad ketika Baginda berada di Gua Hira, di bukit Jabal Nur berhampiran Makkah. Ayat itu adalah:


"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekian makhluk). Ia mencipta manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan penulisan. Ia mengajarkan manusia akan apa yang tidak diketahuinya."



Ayat al-Quran mengandungi 114 surah diturunkan selama 23 tahun dengan 13 tahun di Makkah (1,456 ayat) dan sepuluh tahun di Madinah (4,780 ayat). Selepas disampaikan Rasulullah, nas al-Quran dipelihara melalui tiga cara iaitu hafalan sahabat, naskhah yang ditulis untuk nabi serta naskhah yang ditulis untuk simpanan sahabat. Selain itu, Rasulullah turut mengulang ayat al-Quran di hadapan Jibrail setahun sekali dan pada akhir hayat Baginda, Rasulullah khatam al-Quran sebanyak dua kali di hadapan Jibrail.


Bagaimanapun, kebanyakan sahabat yang menghafaz al-Quran syahid dalam peperangan menegakkan agama Allah menyebabkan perlunya al-Quran dikumpul dan dijilidkan. Sejarah penjilidan al-Quran bermula pada pemerintahan Uthman Affan dan setiap nas disusun mengikut tertib ditunjukkan Rasulullah sebelum Baginda wafat. Uthman menubuhkan jawatankuasa khas untuk membukukan al-Quran diketuai Zaid bin Tsabit selain Abdullah bin Zubair, Sa'id 'Ash dan Abdur Rahman bin Harits bin Hisyam.



Jawatankuasa itu mengumpul serta menyalin nas al-Quran hingga dibukukan selain memperoleh lembaran nas yang disalin Abu Bakar as-Siddiq daripada puterinya Hafsah. Antara lain, jawatankuasa itu menjejak penghafaz al-Quran untuk mendengar hafalan mereka dan semua hafalan itu ditulis kembali dalam dialek Quraish untuk mengelakkan perbalahan sesama kaum. Akhirnya, jawatankuasa itu berjaya menyalin serta menjilid lima al-Quran yang dinamakan al-Mushhaf dan empat daripadanya dikirimkan ke Makkah, Syria, Basrah dan Kufah untuk disalin pihak di sana.


Sebuah lagi al-Quran disimpan untuk kegunaan Uthman RA dinamakan Mushhaf al-Imam dan selepas itu, semua lembaran salinan al-Quran yang ditulis sebelum pembukuan dibakar. Ayat al-Quran turut memiliki rahsia tersendiri mengenai kehidupan yang disampaikan kepada manusia secara jelas atau memerlukan kajian mendalam. Hal ini diakui Allah menerusi firman-Nya: "Inilah ayat-ayat al-Quran yang mengandungi hikmah." (Surah Yunus, ayat pertama).


Allah sudah menerangkan secara jelas mengenai pelbagai fakta sains yang melampaui pemikiran manusia walaupun pada masa ayat al-Quran diturunkan, zaman ketika itu masih dianggap kuno dan belum terdedah kepada ilmu sains. Antara fakta sains yang ditemui dalam al-Quran iaitu semua cakerawala bergerak secara terapung (Yaasiin: 40), bumi bergerak (An-Naml: 88), atom adalah benda terkecil (Yunus: 61), semakin tinggi semakin sukar bernafas (Al-An'aam: 125), makhluk berpasangan (Adz-Dzaariyaat: 49), proses kejadian manusia (Al-Mu'minuun), kegunaan besi (Al-Hadiid: 25) dan langit yang terkawal (Al-Anbiyaa': 32).


Selain itu, kajian lain yang dijalankan mendapati jumlah sesetengah perkataan yang berlawanan dalam bahasa Arab adalah sama antaranya perkataan dunia dan akhirat disebut masing-masing sebanyak 115 kali. Perkataan lain adalah malaikat dan syaitan (88 kali), hidup dan mati (145 kali), faedah dan kerugian (50 kali), kesusahan dan kesabaran (114 kali), lelaki dan perempuan (24 kali), ummah dan penyampai (50 kali), iblis dan memohon perlindungan daripada iblis (11 kali), musibah dan bersyukur (75 kali), bersedekah dan berpuas hati (73 kali) serta zakat dan berkat (32 kali). Golongan muslimin dan jihad (41 kali), emas dan kemurahan hidup (lapan kali), keajaiban dan fitnah (60 kali), minda dan nur (49 kali), lidah dan sumpah (25 kali), nafsu dan ketakutan (lapan kali), bercakap di khalayak ramai dan berdakwah (18 kali). Jumlah perkataan lain yang dianggap ajaib ditemui adalah solat (lima kali), bulan (12 kali), tahun (365), lautan (32 kali) dan daratan (13 kali).


Jumlah lautan dan daratan ini apabila ditukar dalam bentuk peratus adalah bersamaan dengan jumlah sebenar kawasan laut dan darat yang ada di dunia ketika ini iaitu masing-masing 71.111 peratus dan 28.889 peratus. Misteri yang terkandung dalam ayat al-Quran ini membuktikan kitab berkenaan bukanlah rekaan seorang manusia melainkan ia dihasilkan oleh suatu kuasa yang mentadbir seluruh alam ini yakni Allah.