Memaparkan catatan dengan label ciri-ciri pemimpin berwibawa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ciri-ciri pemimpin berwibawa. Papar semua catatan

Selasa, 19 Julai 2011

Rayuanku Kepada Sang Pemimpin

Ramai orang nak jadi pemimpin, walaupun ada masanya dia tak layakpun. Ada yang layak pula, tiba-tiba boleh jadi tak layak bila dah jadi pemimpin. Hal ni sangat subjektif. Manusia boleh berubah, itukah ujian Allah. Ada orang alah dengan kuasa, ada orang lain kalah dengan darjah dan pangkat. Ada pula rebah bila berdepan dengan si jelita. Tak kurang juga mudah terpesong bila tersepak banyak sangat wang ringgit dan harta benda. Paling tak boleh terima, jenis yang tak boleh berdepan dengan semua itu; kuasa, harta, pangkat dan harta. Memang cukup eleman tamaknya.

Semua itu ujian Allah, tak dapat nak tepis. Namun Allah dah bagi akal, fikiran, dan kecerdikan. Tambah sikit iman, maka seimbanglah setiap perkara. Itu teorinya. Dalam dunia nyata, teori itu kita lanyak sahaja tanpa sedar.

Ada orang iman dan intelektual memang dah cukup, tetapi rapuh dek rayuan. Nak buat macam mana, yang merayu itu pernah bertahta di hati biarpun kini dah tua renta dengan tangan terketar-ketar dek parkinsonpun, masih jua terlihat menawan dan ayu. Nak buat macam mana, bila hati rasa bahagia berada di puncak. Biarpun tahu ramai orang tak suka, kita nyahkan sahaja suara-suara sumbang itu dengan apa cara sekalipun. Padahal, kita pun memang tahu yang semua orang memang dah sangat-sangat tahu kita memang tak suka si mulut lebar ini. Mulut itu payah nak tutup melainkan dengan cara yang nampak macam terhormat. Akhirnya, semua orang tahupun si mulut lebar itu telah lama kita cuba pijak supaya dia terbenam dalam bumi. Masalahnya, dia tidak juga terbenam. Tanah itu terlalu keras untuk menerima dia, ataukah kasut kita tidak begitu kuat menekannya?

Kitapun sangat tahu betapa kian ramai yang sudah tidak respek kita lagi, namun sebab kita ada kuasa, ada kita hairan? Kita tetap nak mantap dan dipandang gah. Lalunya, cara terbaik adalah gunakan kuasa veto. Sesiapa yang tak suka, bolehlah nyah sahaja dari bumi ini. Cari sahaja bumi lain untuk berpijak. Namun, sedarkah kita bahawa “doa orang yang teraniaya itu sangat mudah dimakbulkan Allah?” Bila tiba saat kejatuhan, tertanggungkah diri dengan segala silap dan dosa kepada sebegitu ramai orang? Bukankah sejarah sering memaparkan bahawa “kesilapan yang kita buat hari ini akan ditanggung kesannya kepada ganerasi akan datang?”. Bagaimana andai silap kita hari ini anak cucu kita yang perlu tanggungnya. Pada masa itu, masihkah kita tahan hati melihat?

Aku tertarik untuk kongsikan artikel yang aku tersepak baca semasa cari maklumat tentang dua tiga perkara berkaitan kerja aku. Di bawah aku petik artikel berkenaan:

Jika dilihat dari perspektif Islam, menerusi pendapat beberapa orang tokoh sarjana Islam seperti Al-Farabi (870-950/2M), Ibnu Sina (980-1037M) dan al-Mawardi, seorang pemimpin merupakan individu yang mempunyai keperibadian yang unggul dan akhlak yang mulia. Bagi Ibnu Sina, seseorang pemimpin yang berwibawa mestilah mempunyai kebolehan dan keistimewaan melebihi orang lain supaya ia boleh memimpin rakyat dan negara. Islam telah mengetengahkan konsep “insan kamil” (manusia sempurna) sebagai pemimpin yang berwibawa yang hanya dapat dizahirkan oleh para nabi dan rasul (Idris, 1996). Sementara Al-Farabi mengatakan bahawa pemimpin yang unggul merupakan seorang yang berfikiran tinggi, memiliki sifat mulia serta akhlak terpuji dan fizikal yang sempurna. Manakala al-Mawardi dalam bukunya Al-ahkam as-Sultaniyah menjelaskan beberapa kriteria seorang pemimpin yang berwibawa, iaitu:
  1. Seseorang yang adil dengan erti kata yang sebenarnya dalam semua tindakan sama ada pada dirinya atau kepada orang lain.
  2. Mempunyai ilmu agama (faqih) yang sempurna hingga melayakkan beritijihad dalam sesuatu perkara apabila ia perlu berbuat demikian.
  3. Mempunyai anggota badan yang sempurna supaya ia dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan lancar.
  4. Memiliki pancaindera yang sempurna dari segi penglihatannya atau pandangannya dan pendengarannya kerana kecacatan dalam salah satu daripadanya boleh mengurangkan keupayaannya mengendalikan sesuatu urusan negara.
  5. Mempunyai fikiran yang baik supaya ia dapat mengatasi segala masalah rakyat dan mengendalikan kebajikan mereka.
  6. Bersikap berani berjihad memerangi musuh kerana mahu menjamin keselamatan rakyat.


Nak tahu lebih lanjut lagi tentang hak pemimpin, kepemimpinan dan komunikasi antara keduanya, baca lebih lanjut di http://eprints.utm.my/6301/1/aziziyahkomunikasi.pdf

Tak kiralah kategori manapun kita, bila menjadi seorang pemimpin sama ada pemimpin keluarga, bos yang hensem, bos tak berapa hensem di gerai makan, ketua di tempat kerja, Perdana menteri sekalipun, jadilah pemimpin yang selayaknya. Tugas dan amanah untuk memimpin itu sangat berat bagi orang yang memahaminya, tetapi menjadi sangat seronok dan menyeronokkan bagi orang yang tak berapa nak faham tetapi mempunyai tujuan yang tertentu.

Duhai pemimpinku nan bijaksana, daku sangat-sangat perlukan ini!