Rabu, 30 April 2014

Catuan Air Di Selangor Dan Kuala Lumpur Tamat Hari Ini


Balik dari hidrofisioterapi petang tadi, terus aku buka paip air kat tepi pagar. Katanya catuan air akan ditamatkan Selasa atau Rabu. Masih belum ada. Harapnya esok bekalan air dah diterima seperti biasa. Baju basah tu mana boleh simpan lama-lama, hapak dan busuk nanti!

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dah umum bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur akan pulih seperti sediakala esok apabila catuan air ditamatkan hari ini. Pengagihan air berjadual peringkat satu, tiga dan empat di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah ditarik balik.

Garis Panduan Baharu Baucar Buku 1Malaysia


BB1M diperkenalkan untuk meringankan beban perbelanjaan pembelian buku-buku pengajian dan memupuk minat membaca di kalangan rakyat Malaysia. Hingga kini BB1M dimanfaatkan lebih 3.9 juta mahasiswa pra-universiti dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) warganegara Malaysia dengan peruntukan RM890 juta. Tahun 2014 libatkan peruntukan sejumlah RM325 juta diberikan kepada 1.3 juta mahasiswa.

Setakat ni, sempatlah juga aku merasa Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) beberapa kali sejak diperkenalkan pada 2012 walaupun pada semester terakhir ketika nilainya bertambah RM250 aku tak sempat merasa. Bukan tak dapat, tapi tak sempat nak ambil. Aku hanya sedar lupa nak ambil akibat sering bertangguh tu pada hari terakhir penggunaannya. Lecehlah nak berlari ke Lembah Pantai sana dan lari lagi ke kedai buku. Maknanya rezeki terlepaslah tu!

Insha Allah, aku akan dapat lagi Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) bermula Mei nanti sekiranya Baucer Buku tu tidak ditarik balik. Anggaran masanya empat hingga enam tahun lagi aku akan bergelar pelajar semula. Teruja tak? Sangat teruja nak dapat Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) huh u huh u

Mungkin ada yang akan kata aku ni gila ke apa, tak penat ke dok belajar sampai tua Bangka bertongkat pun masih jugak nak bergelar pelajar. Menuntut ilmu tu wajib sayang oiiii… tak tahulah kenapa aku ni dok rasa masih lagi kekurangan ilmu. Jadi, aku kena belajar lagi dan lagi dan lagi…menuntut ilmu tu banyak kelebihannya. Selagi ada peluang, mana boleh lepaskan macam tu aje.Rugilah lepaskan peluang melintas depan mata, sedangkan ramai lagi orang lain yang nak peluang macam tu tapi tak dapat oun. Nampak tak sifat tamak haloba tu kat situ hu hu huhu

Namun begitu, bermula Hari Pekerja @ Buruh 1 Mei 2014 nanti, terdapat peraturan baru bagi pelajar yang dapat Baucar Buku 1Malaysia (BB1M), iaitu pelajar hanya boleh membeli buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah sahaja. Kelonggaran mengguna 20 peratus daripada nilai baucar yang tidak dapat dihabiskan untuk membeli barangan lain selain buku turut dimansuhkan.

Peraturan kepada pekedai buku juga telah diperketatkan iaitu mana-mana pekedai buku didapati bersalah menyalahgunakan BB1M akan disenaraihitamkan dan tidak dibenarkan menyertai program BB1M selama tiga tahun berturut-turut. Langkah ini adalah tambahan kepada peraturan sedia ada iaitu tindakan undang-undang mengikut Seksyen 403, Kanun Keseksaan ke atas pihak yang menyalahgunakan BB1M.

Maklumat lanjut mengenai pindaan garis panduan tersebut boleh didapati melalui portal rasmi Kementerian Pendidikan www.moe.gov.my, pertanyaan boleh diajukan kepada urusetia BB1M melalui e-mel bb1m@moe.gov.my.

Mmmmmm tak sabar nak bergelar pelajar semula bermula 5hb Mei 2014. Rasa masih tersangat muda bila bergelar pelajar. Ada kad matrik. Ada baucer buku. Ada kad pelajar 1Malaysia, boleh makan KFC diskaun 5 peratus huh u huh u hu kembunglah perut aku makan KFC huh u huhu hishhhhh! kalau ada diskaun buku boleh guna boucer buku lagi best. Lagi banyak boleh angkut!



Selasa, 29 April 2014

Imej MH370 Ditemui?


Hampir dua bulan kehilangan MH370 berlaku. Hampir dua bulan juga operasi mencari dan menyelamat MH370 telah dilakukan di serata ceruk Asia Tenggara hingga akhirnya difokuskan di Selatan Lautan Hindi, tempat dikatakan pesawat MH370 itu mengahiri penerbangannya.

Kini, berita dan maklumat tentang operasi mencari dan menyelamat MH370 semakin terhad. Orang ramai pun macam dah lali dan ada yang semakin lupakannya. Sanak saudara dan kenalan penumpang serta anak kapal MH370 juga dah mula balik jalani kehidupan biasa. Bukan tak sedih, tetapi kehidupan perlu diteruskan setelah berkampung lebih sebulan menanti dengan penuh harapan.

Terkini, seorang juruterbang dari New York, Michael Hoebel, mendakwa telah menemui serpihan pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu di lautan berhampiran pantai Thailand, iaitu di timur laut pantai Malaysia. Imej serpihan ditemui selepas membuat pencarian menerusi ribuan imej pelbagai stelit yang terdapat di sekitar laluan pesawat melakukan lencongan.

Sebelum itu, sebuah syarikat pencarian GeoResonance yang berpengkalan di Adelaide percaya telah mengesan satu lokasi disyaki tempat persemadian pesawat MH370 di Teluk Benggala kira-kira 5,000 kilometer dari lokasi pencarian sekarang di Lautan Hindi. Kesahihah dakwaan ini masih belum disahkan.

Sekalipun kehilangan MH370 mula sejuk dan dilupakan secara perlahan-lahan, aku masih lagi mengharapkan semua misteri ini terungkai. Ya…aku bukannya sesiapa, tak ada kenalan tak ada saudara mara yang terlibat di dalamnya, hanya sekadar terdapat saudara seagama, senegara dan sebangsa sahaja. Pray For MH370. Namun, aku mengerti, sebuah kehilangan itu amat sakit dan mencengkam jiwa buat saudara mara dan keluarga mangsa.Nak tarik nafas pun rasa tak berdaya, tak ada kekuatan.

MH370, usah lupa untuk kembali! Ramai yang menanti.

Musuh Allah Musuhku Jua


 Urusan dunia serahkan kepada pakar dunia, urusan akhirat, serahkan kepada pakar akhirat. Bila hal-hal akhirat ditadbir oleh manusia yang duniawi, makanya... celarulah alam ini!

Sesiapa yang memusuhi Allah, engkar arahan Allah...makanya dia adalah musuhku jua. Noktah!


Isnin, 28 April 2014

kapal terbang terhempas di kota bharu

musim kapal terbang mintak perhatian gamaknya. MH370 belum tahu macam mana lagi, macam-macam kes libatkan pesawat. hari ni sebuah kapal terbang ringan terhempas di pengkalan chepa kelantan.

Obama Makan Budu?


Ramai orang Kelantan dikatakan pandai sebab makan budu. Ramai orang Kelantan dikatakan comel, lawa, cantik meletop macam Neelofa sebab makan budu. Kecuali akulah tu. Aku memang makan budu, tapi tak adalah pandai mana. Tak ada juga lawa comey meletop bagai. Takat jadi Mafia Budu bolehlah!

Katanya budu menggalakkan penghasilan kolagen untuk cerahkan kulit. Sejak kecil aku makan budu, tak adalah cerah mana pun kulit aku. Kalau tak makan budu, entah-entah lagi gelap gelita kot kulit aku. Jadinya, dah tentu lepas ni Barack Obama akan lebih putih selepas makan budu.

Jangan tak tau, ada produk kolagen dah letak budu dalam kandungannya hu hu hu hu aku baru tau sebenarnya! Pembungkusan budu pun dah menarik, kalau nak bawak pergi Korea masa musim salji pun dah boleh. Berwinter sonata di pulau Nami sambil makan budu...ohhhh nikmat!


Nak tahu kelebihan budu?


Aku kena tambah makan budu setiap harilah kalau macam ni...bukan main banyak lagi kelebihan budu. Nak kena makan budu banyak-banyak sedut guna strow untuk kurangkan kolesterol ni, tak lalulah makan oat yang tak sedap tu hu hu huhu  hu hu huhuhu teringat masa belajar dulu, ada rakan-rakan dari Sabah dipekenakan dek kawan-kawan yang nakal. Katanya sos budu tu sejenis minuman. Kesian kawan Sabahan tu!

Jadinya, dengan kebaikan dan khasiat budu yang agak banyak itu, dah pasti Barack Obama tidak akan melepaskan peluang untuk makan budu. Nak tengok gambar-gambar Barack Obama masa makan budu? Cer pi tengok hu hu hu hu

Mmmmm kalau tambah tempoyak atau ulas durian dalam budu tu, lagi best!

Ahad, 27 April 2014

Catuan Air Ditamatkan Selasa Atau Rabu Depan


Hari tu MB Selangor kata catuan air akan ditamatkan minggu depan. Hari ni MB kata catuan air akan ditamatkan pada Selasa atau Rabu. Jangkaan ya...

Pemantauan terhadap empangan di Selangor mendapati paras tadahan air secara puratanya sudah mencecah 39 hingga 40 peratus. Selain sebab hujan, air di loji rawatan air ditambah dengan mengepam air dari sungai dan lombong.

Kalau keadaan kembali stabil, catuan air akan ditamatkan pada Selasa atau Rabu nanti. Kena tunggulah pengumuman penamatan catuan air pula.

Moga-moga, keadaan akan kembali pulih walaupun kapasiti air di empangan memang sangat tak menawan. Kain baju dah menimbun tak berbasuh ni...

Sabtu, 26 April 2014

Bersahabat dengan Pelajar Khas Pekak dan Bisu


Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sarankan penubuhan sekolah khas untuk kanak-kanak yang disahkan mengalami masalah pembelajaran (CWLD). Mereka akan belajar pengkhususan mengikut kaedah pembelajaran yang sesuai bagi setiap kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran kerana terdapat beberapa kategori kanak-kanak bermasalah pembelajaran antaranya ialah Sindrom Down, Austisme Ringan, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) atau hiperaktif, terencat akal minimum, disleksia, Cerebral Palsy, masalah pertuturan dan kecacatan fizikal.

Semasa di tingkatan 6 atas, aku tinggal di asrama. Sekolah aku dulu, Sekolah Menengah Sultan Ismail Petra, Kota Bharu tu mempunyai kelas untuk pelajar pendidikan khas (pekak dan bisu) dan semua mereka tinggal di asrama. Ketika itu hanya tiga kelas khas sahaja ada iaitu tingkatan 1, 2 dan 3. Apa yang istimewa, walaupun dah berusia 17 atau 18 tahun, ada antara mereka baru tingkatan 1. Di asrama puteri, dorm aku memang tempatkan pelajar khas ni.

Aku rasa sangat dekat dengan mereka sebab mereka boleh terima aku masuk geng. Sebenarnya, golongan pelajar ini sangat pemalu dan susah nak berkomunikasi, nak baik atau berkawan dengan orang normal. Tapi aku ni memang muka tembok…selalu usik dia orang, depa tak mau kawan pun aku pergi juga kawan dengan dia orang, belajar bahasa isyarat hingga mahir (sekarang dah lupa hu huhuhu) hingga diterima masuk dalam geng mereka.

Satu kali, aku keluar ke Bandar Kota Bharu dan bertembung dengan mereka. Apalagi bersembanglah kami dengan jari jemari hingga ramai yang pandang-pandang. Tak cukup dengan dipandang, ada juga jenis mulut tak ada insuran mengata “Harapkan muka je comey…tapi, bisu!” kemudian ketawa. Bila aku jerit “pergi insuran mulut dulu sebelum kata apa-apa,” terus lari lintang pukang dek termalu diketawakan orang lain.

Bila kita diterima oleh mereka, sebenarnya golongan ini sangat menghargai persahabatan. Bila dah dapat masuk geng perempuan, akhirnya rakan-rakan sekelas mereka termasuk lelaki juga boleh jadi kawan aku. Satu kali tu berlaku salah faham. Aku nak puji pelajar lelaki tu hensem, tetapi tersalah hantar bahasa isyarat yang bermaksud "I love U"...apalagi, termalu-malu kucinglah pelajar lelaki hensem tu hu hu hu berminggu dia lari tak mau jumpa aku hinggalah kesilapan tu dibetulkan semula. 
 
Dan aku merindui nilai persahabatan itu. Biarpun di mana mereka berada, aku mengharapkan dia orang sedang berbahagia.

Menurut SUHAKAM, sekolah pendidikan khas ini wajar dibina dalam lokasi sama dengan sekolah aliran perdana bagi memberi pendedahan menyeluruh kepada masyarakat mengenai kewujudan kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini. Sekolah pendidikan khas akan menempatkan lebih ramai pelajar bermasalah pembelajaran dapat belajar di sini, terutamanya mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

Ketika ini terdapat kira-kira 10 peratus CWLD sama ada di peringkat sekolah rendah atau menengah di seluruh negara dan statistik tersebut sentiasa meningkat setiap tahun. Kemudahan pembelajaran terutamanya bilik darjah bagi CWLD ini perlu ditambah baik. 

Kalau tanya aku, dah tentulah aku sangat menyokong saranan tu. malangnya, aku bukanlah menteri yang boleh putuskan untuk bina sekolah khas tersebut. Mereka juga perlu bina masa depan, mana boleh kita sisihkan mereka. Aku pernah jumpa beberapa KFC yang menerima khidmat staf berpendidikan khas seperti pekak dan bisu ni. Terbukti kan yang mereka boleh menyumbang kepada negara kalau nak bandingkan dengan mat rempit dan kacang hantu yang lebih banyak datangkan masalah tu. 



 

Jumaat, 25 April 2014

Kelebihan Menuntut Ilmu



Ini antara sebab mengapa aku suka menuntut ilmu;


"Barang siapa menempuh suatu jalan untuk mencari sesuatu ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan untuknya suatu jalan untuk menuju syurga, dan sesungguhnya para malaikat itu niscayalah meletakkan sayap-sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu itu, karena ridha sekali dengan apa yang dilakukan oleh orang itu. Sesungguhnya orang alim itu niscayalah dimohonkan pengampunan untuknya oleh semua penghuni di langit dan penghuni-penghuni di bumi, sampaipun ikan-ikan yu yang ada di dalam air. Keutamaan orang alim atas orang yang beribadat itu adalah seperti keutamaan bulan atas bintang-bintang yang lain. Sesungguhnya para alim ulama adalah pewarisnya para Nabi, sesungguhnya para Nabi itu tidak mewariskan dinar ataupun dirham, hanyasanya mereka itu mewariskan ilmu. Maka barangsiapa dapat mengambil ilmu itu, maka ia telah mengambil dengan bagian yang banyak sekali." 

(Riwayat Abu Dawud dan Termidzi)


Sekiranya kita menemui Pencipta ketika masih dalam urusan menuntut ilmu, makanya kita antara golongan diumpamakan syahid kecil.

Nak pergi perang tak berani, tak berkemampuan...makanya, jom kita menuntut ilmu banyak-banyak, kemudian majukan umat atas muka bumi ini.


Khamis, 24 April 2014

Sempurnakan Aku


Hidup memang tidak sempurna. Aku pun tak sempurna juga. Makanya, semupurnakanlah aku dengan hadirnyamu di sisi;

Anuar Zain - Sempurnakan Aku



Setelah ajari aku, sempurnakan aku pula!

Rabu, 23 April 2014

Jejaka X5 Itu Kekurangan Zat Anmum


Ini juga sama spesies dengan jejaka hensem yang tidak berfungsi otaknya tu. Kasihan betul kalau jiwa dah mati!



Bezanya, kali ni aku boleh tengok muka hensemnya tu dengan penuh kasihan. Yaaaa kasihan dengan jiwanya!

Harapkan kereta je X5, kereta idaman aku tu... tapi orangnya jenama tak ada otak kerana sel-sel otaknya gagal bersambung. Masa kecil dulu terlibat dengan kemiskinan tegar, tak mampu minum susu anmum!

Ohhhhh! Kasihankan dia! Entah kenapa kerap benar aku jumpa Orang Kurang Upaya macam ni tah!

Errrrrr....bukan aku ke OKU? Huh! macam mana nak masuk kalau bertongkat bagai? Entah bilalah dia nak cerdik sikit!


Selasa, 22 April 2014

Catuan Air Tamat Minggu Depan

Alhamdulillah, akhirnya catuan air akan ditamatkan pada minggu depan, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Setelah berlangsung catuan air selama dua bulan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya sebelum bulan Ramadan


Aminnnnnn. Dah lemau bila air kena catu ni walaupun kawasan bangi rumahku hanya terlibat dalam fasa terakhir. Dugaan sekecil tu pun dah tak larat nak harung...

Isnin, 14 April 2014

Harta Orang Itu Tetap Harta Orang Usah Buat Macam Harta Sendiri Walaupun Terbiar Tepi Jalan Apalagi Kalau Memang Dah Tersimpan Rapi


Pantang betul aku dengan orang yang:

Buat harta benda orang macam harta benda tok nenek dia sendiri sepatah haram tak mintak! Dahlah cakduh!


Menggelegak je usus besar aku ni!


Aku tak pernah berjaya tulis entri seringkas dan sepadat ini. Oh! Tercapai matlamat juga!


Kalaulah boleh! Hish!!!!!
Jom, pekena cendol!!




Ahad, 13 April 2014

Menebas Hutan Rimba di Taman Negara

Belakang rumah dah jadi hutan rimba, boleh buat Taman Negara dah. Macam Hutan Belum yang masih tak terusik khazanahnya. Tambah lagi sekarang ni musim hujan, lagi cepat membiak hutan segala spesies tu hingga penuh memanjat gril dapur. Masuk rumah sudaaaaa kalau boleh buat sup sayur, tak apalah jugak hu huhuhu

Semalam aku memang bosan gila tak tahu nak buat apa. Hati memanglah BESAR nak buat macam-macam benda, siap berangan nak balik kampung lagi tu... tapi upaya belum ada. Tekalkan hati juga buka pintu belakang dan tebas hutan yang dah jadi macam Taman Negara tu.

Ikutkan hati memanglah sayang (bukan malas ya hu hu hu) nak tebas buang bagai, tapi dah banyak sangat siput khinzir masuk rumah walaupun itu binatang belaan si ensem Amir yang bila datang rumah selalu sahaja Tanya mana siput tu pergi sebab dah tak ada. Makcik dia ni poyo je jawab “siput balik kampong” hu huhuhu

guna tepon cap ayam je...malas nak panjat cari kamera ntah dok mana

Hutan terbesar belakang tu adalah rumpun lengkuas. Cepat benarnya membiak. Kalau gali boleh dapat satu guni kot huh u huh u tapi tak larat nak tebas, apalagi gali. Tebas sikit-sikit je, sepuluh minit kemudian masuk rumah goreng karipap hu huhuhu 

Tak tahulah kot petang karang adik iparku yang hensem tu tetiba buat rajin pergi sambung menebas kat belakang tu. Mmmmmm nasib baik adik perempuan aku sorang je, dapat suami pulak ringan tulang tak payah suruh bagai tapi rajin je buat rumah aku macam rumah sendiri. Siap menebas belakang rumah, si hensem Amir tu pulak ikut belakang dengan macho sebab nak bilang siput hu hu hu hu like pader like son katanya!

tetiba nyesal tak ambik gambor guna kamera hu hu huhu dah kena tebas semuanya hu hu huhu

Kalau ada sesapa nak lengkuas tu, silalah mai gali sendiri. Tak larat den nak tebas hu huhuhuhu apalagi gali bagai. Buat singgang ikan sedap tu!!!!

Sabtu, 12 April 2014

Fobia Balik Kampung


Hari ni hari Sabtu. Tak cakap pun semua orang dah tahu. Ramai yang ambil peluang cuti  hujung minggu luangkan masa bersama keluarga.

Tetiba aku rasa macam nak balik kampung. macam best je kalau boleh balik kampung, tapi aku masih fobia.

Mmmmmmm kampung tu rasa berjuta batu jauhnya!

Ada sesiapa kampung dia dekat tak? nak menompang kampung orang isi masa bosan hujung minggu begini. 

Mmmmmm sebenarnya, keinginan itu terlalu besar berbanding kudrat. Tak apalah, paling tidak, masih ada hati lagi untuk bermimpi.

Selamat berhujung minggu!


Jumaat, 11 April 2014

Bukan Isyarat Kotak Hitam MH370


Menurut Ketua Pusat Penyelaras Agensi Bersama (JACC), Angus Houston, analisis data akustik yang dikesan pesawat AP-3C Orion RAAF berhampiran ADV Ocean Shield berkemungkinan besar tidak berkaitan dengan kotak hitam pesawat.

Tabahlah hati! Baru sahaja harapan berbunga-bunga, hari ini kuncup semula. Dah masuk hari ke 35 kehilangan MH370. Usah berhenti berharap. Persoalan tetap menjadi misteri walaupun laporan CNN bersumberkan perisikan Rusia bahawa pesawat MH370 berada di sempadan Afghanistan dan Pakistan, manakala penumpang dibawa ke Qondahar. Selagi belum jumpa, selagi itu spekulasi terus tersebar, macam-macam teori dicipta. Semoga segala usaha menjejaki MH370 dimudahkan Allah.

Tengahari tadi, di Ampang Jaya, 2 anggota polis peronda (MPV) parah ditembak "lelaki bertatu harimau" ketika cuba memeriksa 2 lelaki bermotosikal dalam keadaan mencurigakan di Lembah Maju, Ampang. Kedua-dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Kostabel itu dilaporkan parah dan kini sedang dirawat di Hospital Ampang.

Mmmmmm hebatnya Malaysia. Sesiapa sahaja boleh miliki pistol ke?

Ketika Dia Menguji


Saat kita diuji, maka sesungguhnya Dia sedang menumpahkan perhatiannya kepada kita;

Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.”

Surah al-Baqarah: 155-157



Namun, Dia juga memberi panduan kepada hambaNya bagaimana untuk berdepan dengan dugaan sebegitu;

Firman Allah SWT:
“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” Surah Al-Isra’: 82

Semoga kita sentiasa mendapat limpahan rahmat dariNya. Amin.


Khamis, 10 April 2014

Tanya Sama Hati


Bila kita melakukan sesuatu, seperti maki orang…pernah tanya tak kepada diri sendiri; apa perasaan kita bila apa yang kita buat itu dibuat oleh orang-orang yang kita sayang seperti anak ka, isteri ke, suami ke, adik ke, mak ke, ayah ke…dan kitalah yang sedang dimaki itu.

Pernah tanya tak pada hati sendiri?

Entri ini tiada kaitan sedikitpun tentang acara maki makian. Bukan juga acara menyindir menantu. Hanya sekadar renungan sementara menanti malam Jumaat.


Rabu, 9 April 2014

Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Hudud Kelantan


Kerajaan Pas Kelantan hari ini mengadakan mesyuarat pertama Jawantakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di Kota Darulnaim dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Mesyuarat selama dua jam itu mengambil maklum balas dan beberapa cadangan dikemukakan oleh ahli-ahli jawatankuasa, membincangkan halangan-halangan daripada segi undang-undang, pentadbiran dan birokrasi dalam melaksanakan undang-undang Islam HUDUD itu. Brunei dah buat, tak kan kita nak tengok aje. Dah berbelas tahun dok menolak dan halang, undang-undang Allah tu lagi adil dari undang-undang manusia.

Walaupun baru mesyuarat pertama peringkat jawatankuasa yang perjalanannya masih sangat jauh untuk dilaksanakan, MCA awal-awal lagi dah menolak Rang Undang-Undang HUDUD berkenaan yang dianggap Rang Undang-Undang persendirian PAS bertujuan membuka jalan terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan. Mereka sanggup berada di Dewan Rakyat pada Rabu jika PAS membentangkan cadangan pindaan Perlembagaan bagi tujuan berkenaan.

Kalau orang Islam sendiri pun ada yang tak nak terima hukum HUDUD yang dianggap Undang-undang PAS, BUKAN undang-undang Allah, apalah sangat nak terkejut dengan MCA ka MIC. Depa tu memang dah terang-terangpun tak akan ikut. Allah belum bagi hidayah lagi...yang dah Islam tu dok menolak membangkang tak mau Hudud pasal apa pulak?

Kononnya undang-undang Islam tak sesuai dengan zaman. Tak boleh pergi parti liar parti bogel kot, tu pasal tak mau hudud! Mmmmm biasanya orang yang salah sahaja takut dengan undang-undang. Macam kes budak-budak menunggang motor pinjam atau curi yang tiba-tiba terjumpa sekatan jalan raya. Tercirit depa ni lari sanggup melawan arus lagi tu sebab dah tahu mereka ada buat salah.Cer tak salah...selamber je senyum bagi salam kat abam polis!

Kalau tak buat salah, apa nak takut? Baiklah takut di dunia dek non aih, dari takut di akhirat. Maha takut namanya tu!



Layanan Istimewa di Tabung Haji Bangi


Nampak tak ada keistimewaan diberikan kepada pengguna Tabung haji dari kategori khas, OKU dan warga emas;



Silalah ke Lembaga Urusan dan Tabung Haji Bangi. Mereka melayan pelanggan dengan istimewa di ruang pejabat baru yang sangat selesa itu...baru je siap diubahsuai!

Selasa, 8 April 2014

Shalwati Norshal Tidak Bersalah


Kementerian Pendidikan tidak akan mengambil tindakan terhadap Shalwati Norshal yang dihukum penjara 14 bulan di Sweden bagi kesalahan mengasari dan mencabuli integriti anak-anaknya.

Menurut Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh, hukuman yang dikenakan terhadap Shalwati (seorang guru yang bercuti tanpa gaji) atas kesalahan yang berbeza sifatnya antara Sweden dan Malaysia. Kesalahan tersebut bukan perkara luar biasa di negara ini.

Semoga urusan mereka dipermudahkan hingga pulang nanti. Ya, di Malaysia, Shalwati Norshal tidak bersalah.



Ada orang Rindu Tak?


Ada sesiapa rindu tak?



Okeh! Aku tahu, hanya perasan sensorang! 

Bye!

Khamis, 3 April 2014

Kali Pertama Jumpa Doktor Pakar Hensem


Ketika kalian baca entri rindu rinduan dengan doktor encem, daku berada di Hospital Serdang untuk jumpa dengan pakar Orthopedik buat pertama kali.

Turun dari rumah dah jam 6.45 pagi. Ohhhhh! Sangat awal untuk seorang aku ya, tapi begitu gigih. Macam biasa, singgah petronas beli sarapan (sandwich telur dan kwetiaw goreng yang kusangka mehun goreng), kemudian sarapan di tempat parking. Makan sikit je sebab kwitiaw tu tak capai piawai. [Baliknya aku masak semula, tambah telur sebiji, tuang kicap dan segenggam kacang hu hu hu baru kena dengan tekak! Tapinya...aku makan selepas maghrib sebab tertidur tak sedar diri penuh keletihan setengah hari melancong di Hospital Serdang].

masa sampai awal pagi...tekun depa ni kerja

7.30 pagi aku sampai di bahagian Ortho tapi orang dah ramai. Kaunter dah buku. Fuhhhhh! Awal giler! Belum jam 8 pagi aku diarahkan untuk daftar di hadapan hu hu huhu hu kena tunggu lebih 100 nombor. Sebelum jam 8 pagi tu huhuhuhu…jadi kena tunggu 45 minit sebelum nombor dipanggil dan kembali semula ke Jabatan Ortho. Fuhhhhh! Dah penuh umat!

Beratur nak dapat nombor pun satu hal dah...

Jam 10.30 jumpa doktor yang comel menawan. Lorrrr! Ingatkan pakar tulang belakang… rupanya bukan. Sekejab kemudian doktor manis tu pergi panggil doktor pakar. Ingatkan bila pakar, dah tentu rambutnya dah putih, kurus melengkung duduknya huh u huhu rupanya doktor hensem. 

Bila datang semula hu hu hu hu penuh umat! Tak termasuk yang duduk di kerusi tu

Temujanji kedua hujung bulan nanti. Dapat MC 28 hari huhuhuhu tapi kan, dukacita dimaklumkan, aku dah bosan dapat MC. Aku dah bosan dok kat rumah. Rasa macam nak jalan round Malaysia je dalam tempoh 28 hari tu huh u huh u….Mmmmmm hari tu merungut payah nak dapat, dah dapat panjang...bosan pulak! Serius, sejak minggu lepas, aku dah mula bosan  tak pergi kerja. Rindu kerja dah!

Filem x-ray dan MRI doktor minta buat salinan digital dan masukkan dalam sistem, lain kali tak payah bawak filem asal dah. Selepas ambil ubat di farmasi, aku terus ke bahagian x-ray dan perlu tunggu sejam untuk ambil filem berkenaan semula, alhamdulillah, jangkaan sejam itu siapnya hanya 30 minit sahaja. Tak lama tunggu, sambil main kendi kerah aje hu huhu 

Namun, aku belajar sesuatu di sini. Sesuatu yang telah lama aku cuba elakkan dari berlaku, dan aku menyaksikannya di sini. Subhanallah. Maha suci Allah menciptakan langit dan bumi. Semoga aku tergolong dalam golongan orang-orang yang sabar dengan sakit, redha dengan setia pujian. Aminnn.



Rabu, 2 April 2014

Sentiasa Tiba Pada Saat Yang Tepat


Semoga Dia sentiasa kita cari ketika waktu senang dan susah;


Limpahilah kami dengan rahmatMu

Selasa, 1 April 2014

Hati Yang Basah... Maka Basahlah Mata, Basah Jua Lah Pipi


Perhatian: ini bukan April Fool. Tak payah nak April Fool sangat ya..

Entri ini aku rangka dah lama, namun tidak mampu untuk disudahkan kerana setiap kali jari ingin mengetuk perkataan, hatiku diketuk sayu. Pilu. Dan air mata memang sukar untuk ditahan terutama bila membaca tentang isteri kepada Pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, Mohd Hazrin Hasnan, iaitu Intan Maizura Othman.


Cekalnya Hati Seorang Isteri

Pilu hati bukan kerana dia menanti suami tercinta dalam redha dan pasrah kepada Maha Pencipta, namun keadaannya yang sedang sarat dan dijangka melahirkan awal bulan ini. Sebak rasa mengenangkan anak sulungnya baru berusia tiga tahun itu belum mengerti apa-apa, anak yang bakal lahir belum pasti sempat menatap dan merasai kasih sayang seorang bapa tercinta. Dan sebagai seorang isteri, pada waktu sebegini, dia sangat perlukan suami tercinta di sisi. Subhanallah, amat berat ujian yang perlu ditempuhi ibu muda ini.

Dan, lebih membuat hati ini sendu adalah ketabahannya mengharung semua situasi ini. Intan Maizura Othaman, 34 tahun yang sarat mengandung anak kedua mereka menyimpan kenangan manis menerima ungkapan "I love you" dari suami tercinta beberapa jam sebelum berangkat. Pada hari kejadian, Mohd Hazrin terlepas kenderaan disediakan MAS, menyebabkan beliau menghantarnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Di akaun Instagramnya kita boleh saksikan kekentalan jiwa ibu muda ini, antara lain mencatatkan;
"positif dan berharap awak masih hidup dan akan kembali ke rumah ... hari berlalu pergi dan masih tiada berita daripada sesiapa sehingga malam tadi 24 Mac 2014, pukul 21:30 saya menerima berita yang tidak diingini mengatakan kamu dan mereka yang lain bersemadi di lautan yang dalam, Lautan Hindi ... wow ia sungguh mengejutkan."

"Allah Maha Agong kerana meminjamkan kamu sebagai satu anugerah kepada saya buat masa yang singkat tetapi semuanya adalah kenangan-kenangan baik dan manis. Semoga Allah tempatkan kamu di tempat orang-orang yang beriman ... Saya cintakan kamu B."

Mungkin kita boleh kata dia BUAT-BUAT tabah, namun, tanyakan semula kepada diri sendiri, sekiranya kita sedang risau, bersedih dan berduka seperti itu, dalam keadaan sebegitu pula (memerlukan suami tercinta saat melahirnya nanti) mampukah kita menulis status yang sama? Ataukah terisi kekecewaan, putus harap atau mungkin juga terselit sumpah seranah seperti sesetengah status orang lain yang tidak berkaitan dengan tragedi ini pun. Di tempat manakah kita?

Saat paling dukacita adalah untuk memberitahu anak kecil berusia 4 tahun, Iman yang merindui ayahnya. Sekuat manakah hati kita untuk beritahu anak itu bahawa “bapa pergi kerja dan kapal terbang dinaiki bapa rosak serta tidak akan balik kerana bapa sudah berada di syurga”. Tak sedar, pipi pun basah...

Air Mata Anuar Zain

Penyanyi Anuar Zain, 44, menunda persembahan Minggu Setiausaha yang disertainya iaitu "Terindah... Anuar Zain" yang sepatutnya diadakan pada 8 April tetapi terpaksa ditunda kepada 29 April depan bagi menghormati nasib yang menimpa 239 penumpang dan anak-anak kapal pesawat MAS MH370 selain keluarga mereka yang terlibat. Ini namanya prihatin.
Minggu Setiausaha "terindah...Anuar Zain"

Hati aku nampaknya sepakat dengan Anuar Zain…ceeeewah! Ada persamaan firasat gitu! Walaupun telah diumumkan pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi, namun hati kecil kami berharap misteri di sebalik kehilangan MH370 dapat diketahui. Tanpa teka teki lagi. Kasihan penumpang dan kru MH370, kasihan keluarga dan waris yang masih menunggu… kesian dengan kami yang mengharapkan semua ini hanya mimpi ngeri semata.


Tuduhan Melulu kepada Kapten Zaharie dan Co-pilot Fariq Abdul Hamid

Kepada yang menuduh kapten Zaharie dan co pilot Fariq Abdul Hamid dengan macam-macam tuduhan melulu tu, hentikanlah. FBI sendiri sahkan simulasi kapten Zaharie tu tak ada apa-apa yang mencurigakan. Tak pepasal dapat dosa kering je. Kasihanilah ahli keluarga mereka, anak dan isteri kapten ni. Kita patutnya berikah kekuatan moral kepada mereka, tapi sebaliknya pula yang berlaku. Boleh tak kita lebih sensitive dengan perasaan orang lain, sama seperti kita mahukan orang lain juga berbuat begitu bila kita sedang berduka?


Matang Seperti Maira Elizabeth Nari

Boleh tak kita jadi matang seperti adik manis Maira Elizabeth Nari, baru 17 tahun, anakanda kepada Ketua Pramugara, Andrew Nari yang berada dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 itu?
Maira Elizabeth...Wajah seindah hati, seteguh nurani

Si manis ini baru berusia 17 tahun…baru sahaja menerima keputusan peperiksaan SPM. Namun matangnya itu tidak menggambarkan usianya, berbanding entah berapa ramai lagi manusia yang lebih tua Bangka tetapi dengan status macam budak tadika. Tak malu?

Mampukah kita menuturkan “God loves you more daddy...God loves them more," saat hati sedang berduka nestapa itu?

Maira telah banyak mengajar kita tentang erti sebuah kehidupan. Erti rindu, pengharapan, redha…bahawa setiap apa yang bernyawa itu akhirnya akan kembali kepada Dia. Namun, ketabahan si manis Maira Elizabeth Nari jarang ditemukan pada remaja kita. Malah, aku sendiri masih lagi tertanya-tanya, mampukah sekuat dia?

Berapa orang yang sedari tentang hakikat ini?


Cuba raba pipi sendiri...basah tak?