TANGGAL 1 Disember 2008 merupakan ulang tahun ke-20 sambutan Hari AIDS Sedunia yang mula diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 1988. AIDS adalah singkatan bagi Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit. Peringkat ini adalah peringkat terakhir Jangkitan HIV. Pada peringkat ini sistem daya tahan tubuh melawan penyakit dan kanser telah lumpuh. Pesakit akan mendapat gejala jangkitan oportunis dan barah tertentu.
HIV (Human Immunodeficiency Virus) HIV adalah singkatan bagi sejenis virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang. HIV menyebabkan AIDS.
Kes jangkitan HIV pertama telah dikesan pada tahun 1981 di California Amerika Syarikat. Jangkitan ini bermula di kalangan golongan homoseksual diikuti biseksual dan heteroseksual. Kawasan yang paling teruk adalah Sub Sahara Afrika diikuti oleh Asia Selatan (India) dan Asia Tenggara (Negara Thai). Di Malaysia, kes pertama HIV dikesan pada tahun 1986. HIV/AIDS paling teruk berlaku di benua Afrika dengan 5.5 juta daripada 47 juta penduduknya dijangkiti virus HIV, sementara secara keseluruhan sekitar 33 juta hidup dengan HIV/AIDS di seluruh dunia.
Ketiadaan ubat dan rawatan khusus untuk menyembuhkan HIV/AIDS, kos rawatan yang sangat tinggi dan implikasi sosio-ekonomi yang sangat hebat sepatutnya dapat mendorong agar setiap remaja supaya mempertingkatkan pengetahuan yang lengkap mengenai HIV/AIDS. Semua orang tidak terlepas dari bahaya dijangkiti sama ada secara langsung ataupun tidak.
AIDS atau Acquirred Immune Deffiency Syndrome yang disebabkan oleh virus HIV (Human Immunodeficiency Virus), merosakkan sistem pertahanan badan. Akibatnya seseorang itu akan mudah dijangkiti penyakit yang sebelumnya tidak berbahaya, menjadi amat berbahaya selepas jangkitan dan boleh mendatangkan maut. Sehingga kini masih belum ditemukan penawar yang mampu mengubati penyakit ini.
HIV pula adalah virus yang disebarkan secara dominannya melalui hubungan syahwat yang diharamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala seperti hubungan homoseksual dan heteroseksual yang tiada pertalian pernikahan. Ia juga boleh disebabkan oleh perkongsian jarum suntikan di kalangan penagih najis dadah.
HIV adalah virus yang berjangkit dari individu ke individu melalui peralihan kuantiti tertentu cecair badan yang mempunyai virus tersebut, seperti darah, sperma, cecair vagina dan susu badan. Cecair ini tidak akan berpindah dengan mudah kecuali melalui aktiviti khusus yang berada di bawah kawalan manusia seperti melalui hubungan seks, pemindahan darah tercemar, cucukan jarum tercemar (sengaja atau tidak) atau dari ibu kepada anak semasa mengandung, kelahiran atau penyusuan badan. Terdapat juga kes-kes di mana AIDS dijangkiti melalui pemindahan darah, namun jumlahnya adalah amat sedikit.
HIV yang menjangkiti kanak-kanak selalunya dipindahkan melalui jangkitan ibu semasa mengandungkannya. Namun begitu, sekiranya orang dewasa tidak mempunyai kuman pembawa sudah pasti kanak-kanak juga tidak akan dapat dijangkiti.
Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan bahawa kadar jangkitan HIV telah meningkat ke tahap yang tertinggi dalam tahun 2004 dimana dianggarkan sebanyak 39.4 juta orang dijangkiti AIDS diseluruh dunia dan telah membunuh sebanyak 3.1 juta orang pengidapnya.
Malaysia juga tidak terkecuali dengan statistiknya yang amat membimbangkan. Sebanyak 19 kes baru dikesan setiap hari dengan peningkatan 300% dari tahun 1999 hingga 2003. Sejak mula dikesan pada Disember 1986 hingga Disember 2004, sebanyak 64,439 kes HIV/AIDS dilaporkan, dan daripada jumlah itu, 9,442 merupakan kes AIDS dan melibatkan 7,195 kematian. Majoriti pengidapnya adalah dari golongan yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 39 tahun.
Acquired': Bermaksud jangkitan yang dipindahkan dari seorang individu kepada lain individu dan bukan diperolehi dari keturunan.
Immunodeficiency: Menerangkan keadaan di mana keupayaan semula jadi badan melindungi dirinya dari penyakit-penyakit dan jangkitan telah sangat lemah dan tidak lagi boleh melindungi dirinya dari jangkitan dan berbagai jenism penyakit dan barah.
Syndrome: Membayangkan gabungan tanda-tanda dan gejala-gejala berpunca dari sebab/keadaan atau gabungan tanda-tanda dan gejala-gejala dalam satu kombinasi tertentu sebagai gambaran klinikal satu-satu penyakit.
Antara objektif utama sambutan Hari AIDS Sedunia adalah untuk memupuk kesedaran dalam masyarakat pelbagai peringkat mengenai keperluan memainkan peranan sebagai pemimpin di peringkat masing-masing dalam usaha untuk menangani pandemik AIDS. Selain itu, ia juga bagi meningkatkan penglibatan dan sokongan pemimpin dan ketua masyarakat dalam aktiviti pencegahan dan kawalan HIV/AIDS di dalam dan luar negara. Sambutan ini juga membantu mengingatkan para pemimpin terbabit mengenai janji-janji yang perlu ditunaikan dalam meningkatkan dan meneruskan usaha mengawal penularan HIV dan AIDS.
Islam memandang bahawa menghidap AIDS bukanlah suatu dosa, tetapi perbuatan yang melanggar hukum syara’ dan boleh menghantarkan kepada jangkitan HIV, itulah yang membawa kepada maksiat dan dosa. AIDS hanya akan berkubur sekiranya punca kepada penyakit ini dihapuskan. Dan punca kepada masalah ini hanya akan dapat dihapuskan sekiranya hukum Allah yang suci ini dilaksanakan secara kaffah, bersungguh-sungguh dan ikhlas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan