Isnin, 4 Mac 2013

Gambar 6 Penceroboh Suluk Yang Ditawan


Inilah gambar penceroboh @ penjenayah Suluk yang buat onar di Semporna hingga menyebabkan 6 orang polis gugur di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna Sabah dan cederakan Insp. Mohammad Hasnal Jamil.



Gambar di petik dari FB VAT 69

Nak tengok gambar ngeri penceroboh suluk yang dibelasah hingga mati oleh penduduk kampung? Silalah ke blog mazidul.com, aku tak lalu nak tampal muka dia kat sini...

Lebih baik aku letak gambar pejuang negara yang sangat wira ini... gambar 6 orang polis yang terkorban semasa serang hendap di kampung Sri Jaya Simunul, Semporna Sabah.

DariNya kita datang, kepadaNya jua akan kembali. Alfatihah. semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang syahid.

Takziah juga kepada seluruh keluarga termasuk mendiang Michael Padel.







Takut Nak Baca Akhbar


Semenjak dua menjak ni, nak baca akhbar, sama ada online atau bercetak pun dah rasa semacam. Kalau tengok akhbar online tu, penuh satu muka utama berkaitan pencerobohan suluk di Lahad datu dan serangan hendap terhadap anggota polis di Semporna.

DariNya kita datang, kepadaNya jua kita akan kembali. 5 pegawai dan anggota PDRM yang terkorban dalam satu serang hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Semporna adalah:

1. Supt Ibrahim bin Lebar, Caw Khas, Bukit Aman.
2. ASP Micheal Padel, Caw Khas, IPD Semporna
3. Sjn/D Baharin bin Hamit, Caw Khas, IPK Sabah
4. Sjn Aziz bin Sarikun, BN 14 PGA Tawau
5. Kpl/S Salam bin Togiran, IPD Tawau
6. L/Kpl Mohd Azrul bin Tukiran, BN 14 PGA Tawau



Pegawai polis yang masih menjalani rawatan di Hospital Tawau adalah Insp Mohamad Hasnal bin Jamil yang mengalami kecederaan di kedua-dua belah tangan dan di beberapa bahagian badan. Walau bagaimanapun, keadaan beliau dilaporkan stabil.

Kita doakan semoga beliau cepat sembuh.


Sidang video mengumumkan senarai korban serangan hendap di Semporna;



Video sidang akhbar serang hendap anggota polis di Semporna [Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah] boleh dilihat dalam entri sebelum ini.

Al-fatihah. Semoga roh wira-wira negara ini ditempatkan di kalangan orang beriman dan dicucuri rahmat.

Takziah kepada keluarga mendiang ASP Micheal Padel, pengorbanan beliau sentiasa dikenang.

Kalau baca akhbarpun boleh sebabkan hati tak tenteram, apalagi bila baca sms khabar dari keluarga dari sana.

Silalah jangan politikkan isu kemanusiaan dan nyawa sebegini. Kasihankanlah sebegitu ramai penduduk yang hidup dalam ketakutan dan tidak tenteram di sana. Kasihankanlah keluarga mereka di seluruh Negara yang sentiasa sahaja dalam kebimbangan dan keresahan. Kasihankanlah pasukan keselamatan yang sanggup menyabung nyawa untuk pulihkan keamanan. Kasihankanlah ahli keluarga mereka yang sentiasa mengharapkan mereka kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Cukuplah dengan kesilapan lalu yang mencetuskan suasana ini. Cukuplah dengan orang-orang tertentu yang tidak ada rasa cinta kepada Negara sendiri dan sanggup jadi pengkhianat itu, semoga mereka ini dilaknat.

Marilah kita sama-sama berdoa agar suasana tegang dan tidak aman yang berlaku di Timur Sabah ini berakhir dengan segera dan tidak mengorbankan lebih banyak nyawa. Sama-sama kita doakan keselamatan penduduk dan saudara mara kita di sana dibawah lindunganNya. Doakan juga semua pasukan keselamatan sentiasa selamat dan berhasil bawa balik kejayaan misi ini.

PsssT: SMS abang pagi tadi buatkan susah nak telan liur. Tiba-tiba je terbayangkan mereka semua: Terkenangkan kakak, Teringat Ira, Aisyah… 




Video Sidang Media Serangan Hendap Anggota Polis di Semporna


SIDANG MEDIA KPN: PERKEMBANGAN TERKINI 03 MAC 2013 9.00 PM Seorang lagi anggota polis terkorban dalam serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah semalam, menjadikan jumlah terkini anggota polis yang terkorban dalam insiden tersebut kepada enam orang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Hj Omar berkata enam anggota kumpulan bersenjata itu juga terbunuh dalam kejadian pukul 8 malam di perkampungan atas air itu. Dalam operasi 'menyelamat' yang dilancarkan hari ini dan berakhir kira-kira 7 malam, Tan Sri Ismail berkata polis turut berjaya mengeluarkan 19 anggota polis dengan selamat dari Kampung Sri Jaya Simunul itu, boleh tengok dalam rakaman di bawah;



Dalam sidang media kira-kira 9 malam di Felda Sahabat, Kampung Tanduo di sini, Ismail berkata enam mayat anggota polis yang terkorban itu dihantar ke Hospital Semporna.

DariNya kita datang, kepadaNya jua akan kembali. Alfatihah. Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Amin. Salam takziah kepada semua ahli keluarga. 

PssssT: Ya...daku memang wartawan tak bertauliah. Namun, setiap entri ini sebenarnya catatan untuk diri sendiri, untuk dikenang kemudian hari.  Dalam setiap entri ini harapannya hanya satu: cepatlah tamat. bukan hanya sebab ada abang dan kakak di Semporna, tapi juga untuk negara yang aman. 

Bila ada orang yang dekat dengan kita berada dalam situasi bimbang dan tidak aman, hati kita juga jadi tak aman, tidak tenteram. 



Ahad, 3 Mac 2013

Bila Semporna Bergolak Hatiku Berbolak Balik Tak Keruan


Sebelum buat kerja semalam pada waktu yang dah agak tengah malam, aku buka FB dulu untuk tengok apa-apa yang terkini. Tak ada apa-apa yang menarikpun. Namun bila baca akhbar online di Sinar harian dan berita harian, ada kemaskini yang sangat mengejutkan. Buat jantung nak berhenti berdegup pun ada. Rasa kering darah sekejap.

Aku tulis entri Seorang Lagi Polis terkorban di Semporna dengan hati yang bercampur baur.

Masa pergolakan berlaku di Lahad Datu, aku buat tak kesah sahaja sebab jaraknya ke Semporna lebih kurang 150km. Pada aku jarak itu agak jauh juga, dah tentu mereka tak buat hal di Semporna pulak. Namun, bila seorang lagi anggota polis terkorban dalam serang hendap, hati aku dah mula tak sedap.

Waktu tu jam dah dua belas tengah malam. Abang dan kakak biasanya tidur awal, jadi kalau aku telefon pada waktu sebegitu, memang akan sangat mengganggu. Tambahan pula, selepas telefon aku buat hal tempoh hari, aku belum save nombor abang dalam telefon baru. Sangat cuai bukan?

Pagi tadi berkesempatan telefon abang. Belum tanya apa-apa lagi, dia dah beritahu “abang, kakak dan adik-adik sihat dan selamat kat sini. Pagi tadi kami datang Tawau”.

Suara abang tak ceria macam selalu. Kedengaran juga suara orang penat. Dah pasti semalam dia tak lena tidur dan berjaga sepanjang malam. Tapi aku bersyukur bila dengar suaranya. Dari jauh, hanya mampu berdoa agar semuanya akan tamat dalam waktu yang singkat. Agar mereka yang berada di Tawau, Samporna, Lahad Datu dan Sandakan boleh hidup dengan aman dan selamat.

Agak banyak maklumat yang aku dapat tetapi tak akan aku tulis di sini atas dasar menjaga kerahsiaan maklumat. Ada baiknya pesanan ini kita ambil perhatian;





Sama-sama kita doakan pasukan keselamatan kita yang berada di sana berada di bawah lindungan Allah selalu. Sebagai manusia, hati rasa sangat pilu masa aku tulis entri;


Kepada sebilangan manusia yang suka politikkan semua perkara dalam dunia ni termasuk nyawa orang, Cukup-cukuplah tu. Kalau tak kena kat mereka, selagi itu tak serik. Selagi tu tak cuba berubah. Belajarlah lebih sensitif sedikit. Bukan semua perkara layak dipolitikkan.

Berikut adalah sidang media dilakukan Ketua Polis Negara tentang OPS Sulu;


Kecik nak baca ek? Ok aku salin semula:

Sidang Media oleh YDH Ketua Polis Negara 3 Mac 2013 (Ahad), menyatakan bahawa dalam OPS SULU ini terdapat 3 kejadian iaitu yang pertama kejadian di Kampung Tanduo, Lahad Datu di mana keadaan terkawal dan penceroboh berada dalam kepungan pihak keselamatan kita, PDRM dan ATM berkerjasama untuk menamatkan konflik ini. Setakat ini polis telah berjaya menangkap 3 penceroboh yang cuba melepaskan diri dari kepungan polis di Kampung Tanduo.

Kejadian kedua ialah yang berlaku di daerah Kunak di mana maklumat diterima terdapat satu pendaratan penceroboh di antara Kg. Lormalong dan Kg. Dasar Lama. Seramai 10 orang disyaki orang asing, 3 daripadanya bersenjata dan kini bersembunyi di sebuah rumah. VAT 69 telah dihantar untuk "ground assesment" dan bertindak.


Seterusnya kejadian ke 3 pula berlaku pada 2 Mac 2013 jam 1830hrs. Di mana sepasukan anggota polis telah diserang hendap oleh suspek dengan menggunakan senjatapi sewaktu mereka membuat serbuan di kampung Sri Jaya Simunul, Semporna. Serbuan tersebut telah dijalankan berikutan maklumat diterima dimana penjenayah ini dipercayai berada dikawasan tersebut dan mempunyai senjatapi. Dalam serbuan itu, dipercayai 5 orang pegawai/anggota polis terkorban manakala dipihak penceroboh 2 orang terkorban. Berikutan insiden ini pihak polis juga telah mengepung kawasan sekitar di mana penceroboh ini bersembunyi. Butir-butir lengkap pegawai/anggota polis yang terkorban belum dapat didedahkan buat masa ini bagi menghormati keluarga mangsa.



Subhanallah. Korban dah meningkat ke angka tujuh. Lima lagi perwira negara gugur semalam. DariNya kita datang, kepadaNya jua akan kembali. Alfatihah. Semoga roh mereka ditempatkan sebagai syahid. Aminnn. Takziah kepada seluruh keluarga mereka.

PsssT: Sesiapa yang pernah dan mengetahui tentang Semporna, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau akan mengerti mengapa kita wajar sangat bimbang dengan apa yang berlaku ini.

Video penduduk kampung berpindah bila penceroboh berpecah dan menawan penduduk kampung





Seorang Lagi Polis Terkorban, Pencerobohan Di Lahad Datu Merebak Ke Semporna?


Kalau dilihat jaraknya 150km, jauh juga untuk mereka berpecah dan bergerak dalam kumpulan kecil begitu. Namun, apa-apapun boleh jadi bila ada keinginan dan kesungguhan. Namun, pihak berkuasa mengatakan kedua-dua situasi ini tidak ada kaitan. Kononnya di Semporna libatkan kumpulan Abu Sayaf. Aduhhhhh! Pening esey!

Dianggarkan jam 8 malam semalam (hari ni dah berubah tarikh kan?), telah berlaku pertempuran antara pihak berkuasa dan para penceroboh di Semporna Sabah. Berikut pengesahan PDRM melalui FB;

YDH Tan Sri Datuk Seri Ismail bin Tan Sri Omar mengesahkan bahawa telah berlaku satu kejadian tembak menembak susulan daripada pemeriksaan oleh pihak polis ke atas sebuah premis di Kampung Sri Jaya Siminul, Semporna, Sabah, kira-kira jam 7.30 mlm tadi.

Pemeriksaan tersebut bertujuan mengesahkan penglibatan kejadian pencerobohan di Lahad Datu. Setakat ini, pihak polis masih belum dapat mengesahkan jumlah mereka yang terlibat dalam kejadian terbabit. Bagaimanapun jumlah yang terlibat dipercayai tidak melebihi 10 orang.

Dalam kejadian tembak menembak ini, beberapa anggota polis dilaporkan tercedera. Butiran terperinci akan dimaklumkan dari masa ke semasa - FB PDRM.

Keliru juga sebenarnya bila baca akhbar dan FB PDRM. Yang sama hanyalah Semporna, kampungnya berbeza pula. PDRM kata kejadian berlaku di Kampung Sri Jaya Siminul, Semporna, manakala akhbar melaporkan kejadian berlaku di kampung Selamat, Semporna. Entahlah labu! Gamaknya kampung tu berada di sempadan antara kedua-dua kampung ini.

Difahamkan juga penceroboh merancang menyerang Balai Polis Lahad Datu.

Lahad Datu dan Semporna itu dua tempat yang berbeza, jaraknya lebih kurang 150km. Jadi, bila berita ditulis secara bersama, menggambarkan bahawa kedua-dua tempat ni macam kampong bersebelahan sahaja. Ke aku je yang salah faham? Entahlah!

Komen aku: Bila Semporna yang jaraknya agak jauh juga itu turut bergolak, hati jadi tak tenang. Moga-moga abang & kakak serta anak-anak selamat. Moga-moga mereka tidak terlibat dalam kancah pergolakan ini. Tengah-tengah malam buta begini, tak selesa pula nak sms atau telefon. Tunggu ajelah esok pagi ya…