Isnin, 15 September 2008

Lailatul Qadar

Pada bulan Ramadan ini terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu lailatulqadar. Padanyalah diturunkan al-Quran yang dijadikan panduan bagi seluruh umat Islam. Firman ALLAH S.W.T:




Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[1] Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
[2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
[3] Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
[4] Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
[5] Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!


Oleh itu, sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadan dan menepati malam lailatulqadar, ganjaran pahala amalannya itu melebihi ibadah yang dilakukannya selama 1000 bulan.

Mencari Lailatul Qadar




إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ. وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ. لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ. تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ. سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur'an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. (QS Al-Qadr 97: 1-5)


Jumaat, 12 September 2008

Dimana-mana Ada Palsu





Tulisan ini dipetik dari laman web Jabatan Mufti negeri Trengganu yang boleh dilayari seperti berikut http://mufti.islam.gov.my/terengganu/?subid=10&parent=06 . Harapnya maklumat ini boleh dimanfaatkan bersama oleh semua.



KEPALSUAN HADIS TENTANG KELEBIHAN TARAWIH


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik, media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.


Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut :


"Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:
· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.
· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..
· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh.


Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.

Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya:

Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim) Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi:


Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu`atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata:

Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah..


Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari) Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)


Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.


Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah:

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.

4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

Diwajibkan ke atas kamu


Surah Al-Baqarah di bawah menyatakan dengan jelas tentang kewajipan umat Islam melakukan ibadah puasa pada bulan Ramadhan. Moga kita menjadi sebahagian daripada golongan hambaNya yang bertaqwa dan tunduk dengan pasrah.

183] Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

[184] (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

[185] (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.

Apalagi yang lebih besar daripada perintah ini? Apalagi yang lebih tinggi hukumnya daripada titah ini?

Selasa, 9 September 2008

kehendak Kita Jua Adanya


Setelah membaca artikel ini, ada sesuatu yang rasanya ingin dikongsi bersama teman-teman. Selamat membaca. Artikel ini dipetik dari;





Malaysia 'kaya' kemudahan ibadat


Oleh Siti Suriani Othman dari Nottingham, England


'TERASA mudahnya menunaikan ibadat di Malaysia berbanding di United Kingdom (UK)'. Itulah yang terdetik bukan hanya ketika saya mula-mula menjejakkan kaki di negara empat musim ini, malah ia nyata dirasai sehingga kini. Kepayahan ini bukannya dari segi tempat beribadah kerana di universiti misalnya memang disediakan surau untuk pelajar Islam. Kesukaran ini lebih dirasai kerana anjakan musim yang mengubah waktu solat dengan drastiknya dari satu musim ke musim lain. Misalnya, musim panas waktu malamnya singkat dan musim sejuk pula waktu siangnya singkat. Saya sampai di UK pada September 2007 yang lalu iaitu ketika musim luruh. Musim luruh diapit musim panas dan musim sejuk yang bermula pada September hingga akhir November di negara hemisfera Utara seperti UK.


Pada musim luruh, kita akan dapat melihat daun-daun bertukar warna menjadi oren kekuning-kuningan, mula luruh sebagai persediaan menanti musim sejuk yang bakal menjelma dengan kebanyakan pokok tidak lagi berdaun, hanya tinggal ranting. Pada musim luruh ini, rasa sejuk sudah mula menggigit tulang walaupun dengan suhu antara 9 hingga 20 darjah Celsius saja. Maklumlah, suhu badan masih lagi bersuhu Malaysia ketika itu. Syukurlah, musim luruh tahun ini (2008) tidak lagi dirasai sesejuk tahun lalu, mungkin sekali kerana sudah mula biasa dengan suhu di sini. Selain itu, musim luruh juga kaya dengan angin kuat yang pada awalnya saya rasa menyesakkan, menyukarkan penafasan. Kesukaran ini juga tidak lagi dirasai tahun ini.


Ketika musim ini juga, waktu solat adalah hampir sama dengan Malaysia, misalnya solat Zuhurnya bermula dalam lingkungan jam 1 petang. Tidak banyak berbeza, saya tidak begitu merasakan ‘keperitan’ perubahan negara yang besar ketika itu. Tahun lalu juga saya sampai di UK ketika sambutan Ramadan, kira-kira pertengahan Ramadan. Memang diakui, agak sukar menjalani ibadat puasa di negara sejuk tetapi kering ini, tekak terasa kering sepanjang hari. Dan, berbuka pada jam 7.30 malam di UK bagaikan menanti bulan yang tak jatuh. Lama sungguh rasanya kerana di Malaysia, sungguhpun panas tetapi iklimnya lembap. Panahan matahari Khatulistiwa nyata lebih sebati dengan diri ini berbanding kesejukan Eropah. Sangkaan saya meleset kerana beranggapan menjalani ibadat puasa di negara yang lebih sejuk adalah lebih mudah. Namun tahun ini kesukaran Ramadan pertama di UK semakin diberi kemudahan, diringankan kesulitan.


Masuk bulan Disember pula bermulalah musim sejuk yang ‘digeruni tapi dinanti’. Gerun kerana takut tidak tahan dengan kesejukannya, tetapi dinanti kerana ramai pelajar baru di UK ini yang berhajat besar bermain salji. Namun, musim sejuk di Nottingham yang terletak di bahagian tengah UK (Midland) rupanya tidaklah sesejuk bahagian Utara UK seperti Newcastle dan Edinburg. Dengan suhu dalam lingkungan negatif 3 hingga 10 darjah Celsius, salji yang turun sama sekali tidak boleh dibentuk menjadi orang salji.



Ketika musim sejuk pertama kali dirasai di Nottingham, saya hanya dapat melihat salji turun sebanyak beberapa kali pada waktu awal pagi dan malam. Di England, musim sejuk yang paling sejuk dalam sejarah dicatatkan pada musim sejuk tahun 1962/1963. Ketika itu, Januari 1963 adalah kurang daripada 5 darjah daripada purata biasa. Hal ini berterusan sehingga bulan Februari. Angin sejuk air batu (frost) melanda sehingga ke Selatan England yang diketahui lebih panas berbanding kawasan lain di England yang ketika itu berada dalam purata suhu di bawah paras beku. Ketika itu juga, rekod di Braemar, Scotland mencatatkan suhu terendah dalam sejarah UK iaitu -22.2 darjah Celsius. Namun rata-rata, apa yang agak sukar bagi pelajar baru di UK ialah menyesuaikan diri dengan perubahan musim, bukannya kedinginan ketika musim sejuk.



Perubahan musim yang menyebabkan perubahan waktu nyata turut memerlukan kami mengubah rutin hidup seharian termasuk menyesuaikan diri dengan perubahan waktu solat. Bayangkanlah jika di Malaysia, kita sudah biasa dengan waktu solat yang hampir sama sepanjang tahun, di UK pada musim sejuk waktu solat Subuh seawal jam 2.30 pagi dan solat Isyak bermula pada jam 11.30 malam. Jika ketika musim sejuk tugasan menunaikan solat selesai amat awal dalam sehari (misalnya waktu Maghrib seawal jam 3.45 petang dan waktu Isyak bermula jam 5.30 petang), musim panas pula amat berbeza keadaannya. Selain itu, kesukaran mengadaptasi waktu solat di UK juga disebabkan tiada azan yang menunjukkan waktu solat bermula. Memandangkan tiada azan kedengaran di corong radio/televisyen atau di corong masjid seperti di Malaysia, semua pelajar Islam di sini sentiasa melihat waktu solat daripada laman-laman web yang berkaitan seperti Salahtimes, Muslim Directory Prayer Time Table, Nottingham Muslim Society. Namun di sini, kebanyakan kami menggunakan panduan waktu solat di laman web Persatuan Pelajar Islam University of Nottingham. Kemudahan disediakan oleh laman web ini nampaknya banyak membantu semua pelajar Islam di UK dalam menjalankan ibadat solat, mahupun amalan lain seperti puasa sunat sepanjang tahun. Namun, timbul satu lagi masalah besar di sini iaitu tiada keselarasan antara waktu solat, antara satu laman web dengan laman web yang lain. Waktu solat disediakan dalam laman web yang dinyatakan tadi tidak sama semuanya. Itu belum lagi jika dibandingkan dengan risalah serta edaran waktu solat dan berbuka puasa (ketika bulan Ramadan) yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat Islam di UK. Kesukaran ini pastinya ujian bagi kami di UK. Pastinya, Malaysia adalah negara yang jauh lebih mudah menjalankan ibadat secara keseluruhannya.



Namun kami masih bernasib baik kerana jumlah warga Islam di UK kini dikatakan mencapai sehingga dua juta orang dan Nottingham adalah antara kawasan yang mempunyai bilangan masyarakat Islam yang besar selain London, Birmingham, Manchester, Bradford, Luton, Slough dan Leicester, maka tiada masalah mendapatkan makanan dan daging halal di sini. Sungguhpun begitu, pastinya ketika bulan Ramadan tiada hiruk pikuk Bazar Ramadan dan persiapan berbuka yang meriah. Kayanya Malaysia dengan kemudahan beribadat pastinya membuatkan Malaysia tetap di hati walau jelajah sejauh manapun berkelana. Selamat berpuasa kepada semua rakyat Malaysia dan semoga ibadat tahun ini dapat dijalani dengan sesempurna mungkin.



Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), kini melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah di Nottingham Trent University, United Kingdom