Jumaat, 8 Julai 2011

Puisi Hari Lahir Untuk Cik Bintang



Puisi ini siar ulang semula
dari entri tahun sudah di sini
sempena ulang tahun kelahiran Cik Bintang

Hari ini, sempena ulang tahun kelahiran Cik Bintang
(ke-18 tahun: entah kenapa angkanya kian mengecil
tahun ke tahun la la la
bukankah usia itu hanya satu angka?)
aku siarkan semula puisi itu
dengan rasa dan doa tetap sama
dengan seluruh kebaikan untuknya
sentiasa berpanjangan seusia kehidupan.


Tatkala Kuaminkan Doa Ini

 
Kalaupun dikau bukanlah bulan yang warnai semesta
dengan kilau emas kala purnama
cukuplah jadi bintang kejora
yang pagari malamku, yang sinari kamar hatiku
kerdipmu bawakan mimpi indah
dalam lena beradu.

Kalaupun dikau bukan mentari yang hangatkan siang
cukuplah jadi sang bayu
yang membelai anak rambutku kala terjuntai di dahi
yang mengelus keningku ketika menahan kerut
yang mengusap pipiku saat airmata menyapa
dengan dinginmu, dengan lembutmu.

Kalaupun dikau bukan bidadari sakti
cukuplah jadi sang pelangi
memberi warna indah
membawa kenangan mewah
menghilang seluruh gundah
kecundanglah nestapa
pergilah duka
larilah lara.

Selamat Ulang Tahun, Cik Bintang
semoga panjang umur untuk mengejar berjuta impian
untuk syukuri segala kurniaan
untuk nikmati kebesaran Ilahi
untuk turuti bisik naluri
untuk dengari kata hati.

Selamat Ulang Tahun, Cik Bintang
semoga murah rezeki untuk dikongsi
dengan insan yang tersayang
dengan orang yang malang
mengisi pengertian dan kasih sayang.

Sekian kalinya kuucapkan
Selamat Ulang Tahun, Cik Bintang
semoga lebih tabah mengharung gelombang kehidupan
lebih sabar tangani tiap ujian
lebih matang depani seluruh cabaran.

Tatkala kulafazkan Selamat Ulang Tahun, Cik Bintang
moga Allah berkati hidupmu
moga Allah lindungi hatimu
moga Allah rahmati dirimu
moga Allah cepatkan jodohmu.

Ya Allah,
sekiranya jodoh Cik Bintang ada di langit
maka turunkanlah ia
jika tempatnya di perut bumi,
keluarkanlah ia
jika di dasar laut dalam,
apungkanlah ia
Sekiranya jodoh Cik Bintang ada di tempat yang jauh,
maka dekatkanlah
jika sukar datangnya,
mudahkanlah
Ya Allah
aturkanlah ia dengan penuh kemuliaan
dengan segala kebaikan
dengan seluruh rahmat
dan berkat.

Ya Rahman,
sejahterakanlah kehidupan sahabatku ini
kekalkanlah kesihatan lahir batinnya
tambahkanlah ilmu pengetahuannya
berikan dia rahmat sepanjang masa
mendapat keampunanMu dunia akhirat
mendapat redhaMu dan syafaat.

Ya Rahim,
sayangi dia ketika siang biarpun malam
kabulkanlah setiap doanya dan impian
elakkan dia tenggelam dengan duniawi tak bertepi
tunjukkan dia hanya jalan yang lurus
jalan yang benar
jalan yang diredhai
lindungi dia tergelincir dari Rahmat dan RahmanMu
ampuni biar sebesar manapun khilafnya

Selamat Ulang Tahun, Cik Bintang
Selamat Hari Lahir, Cik Bintang
Ketika kuaminkan doa ini
Hanya kesejahteraan kumohon jadi miliknya
ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.


~annieyss@blogspot~
Julai 2010
Bandar Baru Bangi



Pssst: Gamaknya bila ek aku boleh rasa ayam golek macam ni?

 sumber: doposen

Cik Bintang, sila jawab! la la la

Khamis, 7 Julai 2011

KL Bakal Berubah Jadi Macam Amstardam

Waaaaaaaaaa aku dah berangan naik bot
macam kat Amstardam
bayangkan kalau Kuala Lumpur yang ada sungai Gombak dan Sungai klang tu
tetiba je boleh berbot bagai
macam kat London, Paris, Melbourne, atau Amsterdam
berkayuh berdua boleh tak?
Fuhhhhhhhhh romantik gilaaaaa!
percuma je

jom berkayuh biduk berdua di Amsterdam…romantik!



jelajah seluruh bumi bawah laut ini pun boleh juga


Perdana Menteri kita yang tercinta itu umumkan
Projek pemulihan, pemuliharaan dan mengindahkan
Sungai Klang dan Sungai Gombak dikenali "Sungai Nadi Kehidupan"
di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP)
bakal merubah wajah ibu negara secara keseluruhan.

Kononnya projek ni bakal memberi pulangan ekonomi yang tinggi
dan menawarkan kualiti hidup lebih baik kepada rakyat
nilai hartanah sepanjang koridor sungai akan meningkat,
tambah peluang pekerjaan lagi,
menggalakkan pelancongan dan menyediakan ruang sihat
kepada pengunjung dan penduduk tempatan.
Hah! baguslah tu…nanti boleh ramai-ramai
pakat serbu sungai Gombak dan Klang ni

Tak payah jenguk Sungai Seine macam Pak Samad tulis dalam puisi lagi


Sungai Klang yang mengalir di tengah-tengah ibu negara
boleh menjadi tepian air yang segar dan
penuh dengan pelbagai aktiviti kehidupan.
bayangkan KL jadi macam bandar raya terunggul di dunia
London, Paris, Melbourne, Amsterdam
mempunyai jalan air yang begitu terkenal
menjadi tarikan pelancong dan tumpuan rakyat
dengan pelbagai aktiviti sosial dan ekonomi
bukannya jadi tempat lepak kaki dadah

Projek ini telah diumumkan pelaksanaannya Oktober tahun lalu
dan salah satu program ETP
bagi Greater Kuala Lumpur-Klang Valley (Greater KL-KV)
dijangka memberi sumbangan RM11.3 bilion sehingga 2020
atau RM1.4 bilion setahun

Sungai Seine boleh jadi contoh


Jomlah sama-sama
Sayangilah sungai yang kita warisi
Ia pusaka yang tidak ternilai
bukannya dicemari dengan sampah
apalagi sisa kumbahan
semua rancangan tu bukanlah angan tak bertepi
boleh direalisasikan
dah lama benda ni aku impikan
pernah baca satu cerpen Fatimah Busu

tentang pembangunan dua sungai ni
yang ada perahu, kapal, bot segala
lagi utama
sungai kita cantik dan indah
tanpa sampah
sama ada sampah sarap
atau sampah masyarakat


Rabu, 6 Julai 2011

Permohonan Program Matrikulasi 2012 Telah dibuka

Kepada adik-adik yang mengambil Peperiksaan SPM tahun 2011, yang berminat untuk mengikuti Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia bagi tahun 2012 nanti, permohonan untuk mengikuti kursus ini telahpun dibuka.

Pemohon mestilah pelajar bumiputera warganegara Malaysia yang berumur tidak melebihi 20 tahun pada 1 Januari 2012 dan menghantar borang permohonan sebelum atau pada 10 Oktober 2011. Pelajar juga perlu mendaftar dan mengambil mata pelajaran tertentu dalam Peperiksaan SPM tahun 2011. Sila semak syarat-syaratnya di laman sesawang Program Matrikulasi ini.

Mulai sesi 2011/2012, Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia hanya menggunakan permohonan melalui internet sahaja. Untuk dapatkan keterangan lanjut, adik-adik bolehlah ke laman sesawang Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia.

TARIKH TUTUP: Tarikh tutup permohonan program Matrikulasi 2012 ialah pada 10 Oktober 2011.

Pelajar boleh membuat semakan permohonan dengan melayari laman web Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu www.moe.gov.my pada awal atau pertengahan bulan Februari 2012 untuk membuat pembetulan maklumat yang dibenarkan sekiranya perlu.

Pelajar boleh membuat semakan keputusan permohonan program matrikulasi ambilan 2012 dengan melayari laman web Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu http://www.moe.gov.my pada awal atau pertengahan bulan April 2012 untuk mengetahui status permohonan.

Bagi pemohon yang tidak berjaya boleh membuat rayuan yang dibuka selama dua (2) minggu bermula dari tarikh pengumuman keputusan permohonan pada pertengahan April 2012. Pemohon yang tidak berjaya berkemungkinan ditawarkan untuk memasuki Program Matrikulasi Dua Tahun (PDT).

Permohonan secara atas talian boleh dibuat melalui borang permohonan secara online.
Cepat! Cepat! Cepat! Rancanglah masa hadapan bermula dari sekarang!

PsssT: Tahniah kepada pasukan Kelantan yang berjaya menjuarai Liga Super 2011 yang menewaskan Sabah 2-1 di Kota kinabalu; memungut mata 56 mata, 52 jaringan dan juga merupakan pasukan paling sedikit bolos gol iaitu 21 jaringan. Ikuti cerita selanjutnya di Sekadar Berkongsi. Gomo Kelate Gomo!

Selasa, 5 Julai 2011

Mengapa Menulis Blog?




mengapa kalian menulis blog
asalnya mungkin suka-suka
tak rasa nak serius
kemudian jatuh cinta
akhirnya…ketagih!
pernah berlaku begitu?

Mengapa menulis blog?
mulanya aku punya blog ini
sebab orang lain
ada blog
lalunya tanganpun gatal buat blog
dah ada blog
akupun menulis
dan menulis
hanya sebab ada blog

kemudiannya blog ini menjadi medan
luahan rasa
lebih banyak rasa geram
rasa sakit hati
seluruh rasa yang mengepung dalam dada
rasa tak puas
yang mencengkam dada
rasa benci juga
sebabnya
rasa yang tak terurus itu boleh buatkan aku gila
macam tak tengok filem Merong Mahawangsa
nak mengamuk atau sepak orang
tak mustahil juga boleh
bunuh orang
(sila jangan bunuh orang…bukan kita je nak hidup
orang lainpun nak juga hidup)
statistik orang sakit mental di Malaysia
makin hari makin bertambah
usah tersenarai sama

akhirnya aku rasa lelah
melayan perasaan
bukankah hidup ini untuk dinikmati
bukannya mencari salah orang
bukan untuk membenci juga
kan bagus buang ion-ion negatif dalam badan
dalam otak
dalam minda
tukarkan menjadi ion-ion positif
yang mengembirakan
mengujakan
carilah keseronokan yang membahagiakan
bukankah kita yang menentukan
apa yang diingini?

Lalunya blog ini juga turut berubah
hanya mencatatkan keseronokan hidup di dunia
apa yang aku suka
hanya sesekali sahaja terisi rungut
itupun dalam singgung yang jarang disedari
selainnya adalah
apa yang aku suka buat
apalagi kalau tidak berjalan
melihat keunikan Dhaka yang tak pernah ditulis orang lain
  buat macam kampung halaman sendiri 
 menapak di Bandung
atau sebilangan lokasi dalam negara
menjelajah tempat-tempat yang tak istimewapun buat orang lain
namun besar ertinya buat aku
indah dan mesra di hati
terpenuh tampalan kenangan manis
dan foto yang tak seberapa
hingga ada yang anggap
aku gila menunjuk
pergi merata
padahal
semua info itu perkongsian yang memberi maklumat
kepada orang lain
yang teringin sama menikmatinya
padahal juga
bukan semua tempat singgahan kaki ini
ada tampalannya di sini
agar tidak terusan daku diomong
terusan gemar pamer segala
(Waduhhhhh! sejak terjebak dengan Kitab Cinta
daku sudah tersampuk bicara syahdu sama Wali deh!)


ada aku kesah apa orang kata?
sejak azali aku tak mudah peduli
dengan kata orang
Lalunya, mengapa menulis blog ini?
tarik trafik?
taksub nak glamer?
gedik?
getis?

aku menulis sebab aku memang suka menulis
berapa panjangpun aku boleh tulis
makin dibiar
makin banyak yang ditulis
walaupun
masa sangat cemburukanku
biarpun
waktu teramat padat perlu diisi
akhirnya
bentuk beginilah gaya blog ini
yang ada kala memang puisi indah
ada masanya hanyalah leteran bak puisi
agar aku boleh kementotkan tiap patah kata
pendekkan ayatnya
padatkan isinya
dan
jimatkan masa menulisnya
hingga siap target
yang lebih perlu
disegerakan.

kalau gila trafik
aku tulis je blog lucah
boleh saja blog politik untuk tarik SEO

aku tampal aje gambar perempuan tanpa pakaian
atau cerita skandal sana sini
hasutan merata alam
fitnah merata tempat
provokasi pihak tertentu

aku menulis blog ini
hanya kerana aku memang benar-benar
suka menulis
bukan sebab sesiapa
bukan sebab
lain.

maka
seperti inilah blog ini
mengapa kalian menulis blog?


~~Anyss~~
Jun 2011
Bandar Baru Bangi

Ahad, 3 Julai 2011

Permohonan Lepasan SPM Melanjutkan Pengajian Ke INSPEN Sesi Akademik 2011/2012

Berminat dengan Pendidikan Harta Tanah? Inilah peluangnya. INSTITUT PENILAIAN NEGARA, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kementerian Kewangan Malaysia (INSPEN), menawarkan kursus di peringkat sijil, terbuka kepada Lepasan SPM, iaitu;
• Sijil Penilaian Harta Tanah (SPHT)
• Sijil Pengurusan Harta Tanah (SPGT)

SPHT adalah program pertama seumpamanya yang dijalankan di Malaysia. Kandungan program berorientasikan industri bagi memastikan graduan bersedia menghadapi keperluan dan cabaran di tempat kerja.

SPGT merupakan program kedua yang dijalankan oleh INSPEN. Program SPGT bertujuan untuk mengeluarkan graduan bagi mengisi kekurangan tenaga separa profesional yang terlatih dalam bidang pengurusan harta tanah sama ada di sektor awam atau swasta. Seperti SPHT, kandungan program ini juga berorientasikan industri bagi memastikan graduan bersedia menghadapi keperluan dan cabaran di tempat kerja.

Semua kurikulum program sijil ini telah:
  1. Berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
  2. Diiktiraf oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
  3. Disokong oleh badan profesional harta tanah iaitu Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah Malaysia (LPPEH) dan Pertubuhan Juruukur Malaysia (ISM).
  4. Diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) sebagai setaraf dengan Sijil Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Dengan itu, lulusan SPHT INSPEN yang menjawat jawatan Pembantu Penilaian Gred W17 dalam Perkhidmatan Awam Malaysia menikmati tangga gaji permulaan pada peringkat P1T9.
  5. Diiktiraf oleh University of Western Sydney (UWS), Australia. Dengan itu, lulusan SPHT INSPEN layak menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Pertama dalam Bachelor of Business and Commerce (Property) di UWS mengikut merit yang ditetapkan.
  6. Diiktiraf oleh Queensland University of Technology (QUT), Australia. Dengan itu, lulusan SPHT INSPEN layak menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Pertama dalam Bachelor of Urban Development di QUT mengikut merit yang ditetapkan.

Permohonan Melanjutkan Pengajian Ke INSPEN Sesi Akademik 2011/2012 Untuk Lepasan SPM Kini telah diBuka. Tunggu apa lagi? Sila terjah laman web rasmi INSTITUT PENILAIAN NEGARA untuk melihat syarat-syarat kursus ini, atau juga terus ke SINI. Permohonan secara dalam talian (online) di laman sesawang Inspen

Harap Maaf! Sila gunakan Internet Explorer (versi 6 dan keatas) untuk menggunakan sistem ini. Beginilah masej akan keluar kalau guna selain Explorer hu hu hu

Cepatttttt! Bagi adik-adik yang minat, boleh mohon sekarang. Tarikh tutup permohonan masih panjang lagi bermula 1 Mei hingga 7 September 2011.

PssssT:  Kalau tanya aku secara pribadi, aku memang sokong sesiapa yang mohon kursus ni sebab diiktiraf, bersifat praktikal (senang dapat kerja dengan syarat CGPA bagus) dan ada kerjasama dengan banyak universiti lain, kalau nanti nak sambung belajar ke peringkat lebih tinggipun mudah.


Sepanjang aku dok promosi peluang belajar kat blog ni, aku tidak diberi apa-apa bayaran, namun aku buat sebab nak luaskan sebaran maklumat. kalaulah maklumat sebegini aku boleh dapat masa belajar dulu, rasanya peluang untuk aku akan lebih banyak, salah hari dah jadi Perdana Menteri Malaysia pun hu hu hu berangan tak payah bayar ya adik-adik!. Jadi, adik-adik, jangan sesiakan peluang yang ada. Akak dulu tak ada peluang sehebat macam sekarang.