Rabu, 20 Oktober 2010

Kala Taufan Megi Menuju Selatan China, Dada Bagai Dibadai

Aku jumpa artikel Taufan Megi Mula Tuju Selatan China semasa cari maklumat tentang taufan ini. Walaupun cerita ini dah basi, tetapi baru sahaja bermula untuk aku. Zaman serba cepat ni pun aku masih tertinggal kat belakang lagi kan. Ish! Ish! Ish! Baca je lah dulu apa yang Berita Harian tulis tu...

CAUAYAN, Filipina: Taufan Megi yang melanda utara Filipina meragut 10 nyawa apabila ia membawa hujan lebat di Manila semalam sebelum bergerak ke lautan serta menuju ke selatan China.

Taufan Megi mula melanda Filipina dengan kelajuan angin 225 kilometer sejam sejak kelmarin, pada mulanya tidak banyak menyebabkan kerosakan atau kemalangan nyawa berikutan ia melanda kawasan yang tidak banyak penduduk. Bagaimanapun keadaan berubah semalam selepas ia menuju ke kawasan lebih padat penduduk.

Selepas ia meniup keluar ke laut China Selatan semalam, Megi bertambah reda dengan kelajuan angin 175 kilometer sejam. Bagaimanapun ia dijangka kuat semula apabila membadai selatan China esok.

Pihak berkuasa China sudah memindahkan 140,000 penduduk dari kawasan pantai di wilayah selatan.

Ribut itu juga dijangka melanda Vietnam yang sebelum ini mengalami banjir yang meragut 41 nyawa.

Wilayah Isabela di tenggara Filipina adalah kawasan paling teruk dilanda Megi di republik berkenaan.

Seramai 8,000 penduduk yang tinggal di kawasan yang terjejas teruk dipindahkan ke bangunan lebih kukuh seperti sekolah, gereja dan dewan orang ramai. – AP

Taufan Megi mengubah arah

Letaknya tempat nama Nanning di China

Close up sikit...

Megi membawa angin selaju 225 kilometer sejam (kmj) hingga 260 kmj ketika mendarat di Teluk Palanan tengahari semalam di wilayah Isabela dan dilaporkan mula reda apabila merentasi pergunungan di utara Filipina, Luzon. Namun kini, dia mengganas di Vietnam dan Selatan China pula.

Keganasannya itu buatkan hati berdebar-debar. Agaknya taufan ini akan menurun kelajuan dan berhenti di mana ya? Masihkah dia akan menjajah hingga ke Nanning yang letaknya di Guangxi? Kenapa pula aku nak risau sebegitu sekali hingga perlu tanya Inche Google, meneliti tiap inci bumi China nan luas itu?

Nanning, letaknya di Guangxi, China. Kalau tengok jaraknya dengan Qinzhou sejauh 128 km. Aku tak tahu jaraknya dengan laut berapa ratus km, hanya ukur jarak antara kedua-dua bandar ini sahaja. Dan perjalanan antara Nanning dan Qinzhou itu memerlukan masa selama 1 jam 39 minit jika berkereta, 2 jam 44 minit jika berkeretapi atau 1 hari 1 jam jika berjalan kaki (menurut kiraan Inche Google. Namun, aku memang tak percaya langsung. Tak tipu! Memang aku tak percaya!).

Untuk jarak sejauh itu, masihkah Megi akan mengganas dan memusnahkan harta benda? Meragut nyawa dan membawa petaka?

Tanpa capaian internet, tanpa talian telefon yang baik sebagai komunikasi, dunia jadi terlalu sempit. Apalah yang boleh diharapkan dari kejauhan ini. Maaf, Inche Google tak mampu nak kira jarak antara Nanning dan Kuala Lumpur. Tenggelam tengah laut kot jumlah kilometer itu hu hu hu


Psttttt: Aku sentiasa doa dan harap Cik Bintang sentiasa selamat di Nanning. Moga-moga kembali dengan selamat nanti.

Pssttt: Kata Cik Bintang, FB, twitter, blogspot kena band di China. Hanya laman-laman dot com, dot my dan domain sendiri yang lain sahaja boleh akses. Walau bagaimanapun, kiranya kita roaming, akses dibenarkan. Mmmmmm depa mesti ada sebab yang tersendiri. Cuba bayangkan kalau kat sini pun macam tu juga...gelitalah dunia maya ya hu hu hu

Psssst: Jom tengok siaran langsung bola sepak Separuh Akhir Piala malaysia. Kelantan lwn Kedah dan Johor FC lwn Negeri Sembilan di TV1 ;)


KEMASKINI

Berita Harian hari ini (21/10/2010) menyatakan Sekurang- kurangnya 160,000 orang di selatan China dipindahkan hari ini ketika taufan Megi, taufan terkuat membadai rantau Asia dalam tempoh beberapa tahun, dengan membawa ancaman kemusnahan. Lebih 150,000 penduduk wilayah Fujian di tenggara China dipindahkan dan berpuluh-puluh ribu bot nelayan diarah pulang ke pelabuhan, lapor agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan pihak berkuasa kawasan banjir. Sekurang-kurangnya 10,000 penduduk wilayah Guangdong terletak bersebelahan turut dipindahkan, selepas ramalan kaji cuaca menjangka taufan itu akan tiba di sepanjang pantai selatan China lewat esok atau pagi Sabtu ini.


Guangdong- Nanning = 583 km
Beihai (bandar pinggir pantai) - Nanning= 228 km

Dengan jarak sejauh itu, masihkah Megi akan sampai dengan ganas di Nanning?

Angelina Jolie Dah Bertudung, Anda Bila Lagi?

Angelina Jolie masa ke Pakistan semasa bencana banjir tempoh hari mengenakan busana muslimah. Semua pasti tahu yang beliau bukannya Islam, tetapi bila ke negara Islam seperti Pakistan ini, ternyata dia begitu menghormati masyarakat tempatan. Kena tabik spring toing toing toing kat artis antarabangsa ini.


Sebenarnya, siapa yang musnahkan agama Islam kita itu? Bila orang bukan Islam tidak hormati agama kita, siapa yang salah sebenarnya? Mereka sepenuhnya?


Mereka itu belum dan tidak mendapat hidayah Allah lagi. Kalaupun berlaku durjana dengan Islam yang kita cintai ini, paling kurang masih lagi ada kemaafan. Bagaimana dengan kita? Sudahkah kita berjuang untuk melindungi agama suci kita itu?


Tak perlulah sampai berperang angkat M-16 baru dikatakan berjuang menegakkan kalimah Allah. Tak perlulah sampai bersepai kena bom baru dikatakan sahid fisabilillah. Orang kata, kalau tak mampu angkat senjata, cubalah angkat pena. Sekalipun pena itu sangat ringan, namun calitannya mampu membunuh ramai jiwa. Mampu meruntuhkan banyak empayar. Namun, kalau yang anda tulis itu hanyalah cerita porno, dah pasti sahamnya juga akan diterima pada hari kemudian.

Pernah pergi Aceh tak? Ni bukan entri nak promosi yang aku pernah ke aceh. Kiranya anda belum berkesempatan ke sana, kat blog ini aku pernah berkongsi pengalaman ke sana. Beberapa entri telah ceritakan tentang pengalaman kembara berkenaan yang boleh di baca di entri Berpetualang di Bumi Ulamak, Apabila Bulatan Mempunyai Nilai Seni, Berpetualang ke Aceh: Satu Catatan Kembara, Di Makam Mu Daku Takafur, Makan Besar di Aceh, Keindahan Masjid di Aceh, Setelah 6 tahun dibadai tsunami, dan Unik dan Tersendiri.

Itu jelajah kali pertama aku ke sana. Jelajah kali kedua boleh dibaca di entri-entri berikut iaitu Aku Datang Lagi Aceh, Minda Terbuai Hati Tersayat, Ketika Toleh Ke Belakang Tinggal Hanya Kenangan dan Maulid Akbar di banda Aceh.

Entri ini bukan nak cerita tentang semua perkara yang aku tulis sepanjang berkelana di bumi Aceh. Namun, aku nak sentuh tentang pelancong-pelancong asing (Barat) yang datang ke Aceh. Mereka ini mengenakan busana yang sopan termasuk mengenakan selendang di kepala. Kenapa? Kerana mereka tahu, Aceh punya undang-undang Islam yang ketat dan tersendiri. Dan mereka, menghormatinya.


Usah terlalu mudah salahkan orang lain andai mereka tidak menghormati keyakinan kita kerana, kita sendiri telah serlahkan betapa tidak yakinnya kita. Kalau mereka sanggup bertudung litup dan menghormati agama kita, bagaimana pula dengan kita sendiri? Mengapa masih ramai yang telanjang di merata tempat awam? Mengapa masih sangat ramai menampakkan fesyen rambut Joe Jambul bila bertudung? Mengapa masih ramai yang tidak bertudung sedangkan di Malaysia ini, tersangat banyaknya dijual tudung.

Malas lah nak jawab, karang jadi isu sensitif pulak. Maklumlah, orang Malaysia ni semuanya sensitif-sensitif belaka. Pantang sentuh sikit, latah mengalahkan tok nenek tu...bukannya nak fikir dulu sebelum keluarkan fatwa. Ampunkan daku ya...tetiba je teringat fatwa yang dikeluarkan kat TV oleh seorang bini menteri bahawa “bertudung tu tak wajib” hanya sebab dia tak bertudung? Entahlah labuuuuu...sendiri mau ingat!

Kalau si Jolie ini boleh hormat agama kita, bagaimana pula dengan kita? Bagaimana nak dijelaskan kepada orang bukan Islam bila mereka melihat video ini?



Sumber gambar: Google.
Sumber video: Youtube.
Pssstttt: Perlu ke aku tampal cara perempuan beragama Islam Malaysia berpakaian? Google sendiri lah ye ;)

Isnin, 18 Oktober 2010

Kala Hati Berlagu Puisi

Panggung RTM tayangkan drama Qalbu pada Rabu raya ke 7 yang dah berbulan-bulan lepas itu. Memang sangat sesuai dengan harinya; Hari Malaysia. Apa yang menarik hatiku adalah lagu puisi yang sering diulang-ulang sama ada bersama dengan suara garau penyanyinya, ataupun hanya melodi. Sangat membuai rasa;

Art Fazil - Merindu Kepastian

Andai kau menjadi pelangi
Biar ku jadi awannya
Agar kita selalu bersama

Andai kau menjadi sang duyung
Biar ku jadi karangnya
Agar kita sentiasa bersua

Andai kau menjadi merpati
Biar ku menjadi sang bayu
Agar kita sering bertemu

Andai kau menjadi puisi
Biar ku jadi melodi
Bersama kita menyanyi

Andai ku menjadi rembulan
Sudikah kau menjadi kejora
Hingga pagi nanti

Andai esok aku menjadi tanah
Sudikah engkau menjadi bunga
Menghiasi dadaku




Paling aku suka rangkapnya yang terakhir; Andai esok aku menjadi tanah, Sudikah engkau menjadi bunga...Menghiasi dadaku?

Ada tak sesiapa yang sudi hingga tahap itu? Jangan sudi cakap je...janji degug degag ngalahkan halilintar, bila aku tak cukup tanah nak isi dalam pasu bunga...dah pun merungut hu hu hu

Ahad, 17 Oktober 2010

Aku Tak Selera Pandang Muka Kau!


Fuyooooo tulah dialog Chinta bila Fakri yang keluar dari penjara kata “Berapa perlu aku bayar untuk tidur dengan kau?”

Ada masa aku memang tak faham dengan sesetengah manusia. Selalu sahaja anggap duit boleh beli segala-galanya termasuk cinta. Ada duit juta-juta lemon, akan bahagiakah kita? Kalau bagi aku? Ohhhhh mestilah gembira. Paling lama pun gembiranya sebulan dua sahaja. Nafsu aku dengan duit ni bukan calang-calang. Bukannya beli lipstik, kasut, beg dan pakaian berjenama tapi...beli kereta spot, istana, ladang seluas UPM, kapal layar, siap dengan jet persendirian lagi. Huh! Itu memang impian orang yang tak ada apa kan? Dalam masa tak sampai sebulan aku mampu habiskan juta-juta dan billion-billion. Takat beli pakaian berjenama ni apalah sangat hu huhu

Fakri: Kau telah bersumpah, hanya aku sahaja dalam hidupmu... Dan, aku berjanji...kau akan jadi milikku dunia akhirat.

Aku memang tak boleh terima dialog karat ni. Dialog ini macam datangnya dari seorang yang suci, berpegang teguh dengan hidayah Allah, sedangkan dia seorang perogol (bersiri? banyak kali juga dia merogol dalam drama ni). Dah masuk penjara, bila keluar, makin menjadi-jadi pulak tocang dia. Bukannya nak insaf...Fuhhhh boleh tukar lain tak dialog tu? Hakikatnya, agak ramai juga orang tak sedar diri sebegini di alam nyata. Jadi...walaupun geram, terpaksalah juga kita terima realiti sebegitu.

Chinta: Aku tak boleh terima kau hari ini, bukan sebab apa yang aku ada hari ini...tetapi apa yang telah kau buat dulu.

Daku memahaminya, Chinta. Hatimu cukup terluka. Namun, usahlah salahkan takdir. Usah salahkan ujian Allah untuk benarkan hal-hal haram jadi halal. Semua yang berlaku itu, bukankah takdir? Bukankah ujian? Bermakna, Allah sedang mengujimu. Bermakna Allah sedang sayangimu. Dan kau, hingga ke episod hari ini telah gagal. Gagal menepis ujian itu. Gagal untuk bersabar dan menerima ketentuan takdir itu. Aku harap, dikau akan lebih tabah dan sedari tentangnya kemudian nanti. Akhirnya, kembali ke jalan yang diredhai jua...emosilah pulak aku ni!

Body Guard: Apa pulak cemburu. Orang muda macam kau je yang cemburu buta. Orang tua ni lain, tambah lagi orang kaya macam dia.

Sebab inilah kot ramai perempuan muda sekarang suka lelaki yang lebih tua opsssss...lelaki lebih matang. Mereka lebih matang, sabar dan...memahami. Opssssst! Ada duit juga. Tahan je dengan kerenah kekasih mudanya tu kan? Mmmmmm ada lelaki matang masih solo yang kaya raya baca blog ni tak? Nak isi borang permohonanlah! hu hu hu.

Chinta: Jalan hidup kau, engkau yang pilih. Masa depan kau tak ada kena mengena dengan aku!

Yup! Kenapa perlu salahkan orang lain dengan jalan yang kita pilih sendiri? Dah kita yang pilih jalan hidup sebegitu, mahu disalahkan siapa andai terkandas dalam duri? Ceeewah! Jiwang gila punya bahasa. Entah belajar dari mana tah hu hu hu usah terpedaya dengan ayat jiwang sebegitu ya...

Aku tengok drama bersiri Chinta di TV3 ni sekali sekala sahaja. Bukannya selalu. Bukannya peminat tegar. Namun, aku sangat tertarik dengan dialog yang diucapkan. Penuh dengan makna. Sarat dengan iktibar. Setiap patah perkataan yang dituturkan, jarang benar sia-sia atau bersifat membazir yang buang masa penonton untuk tengok.

Walaupun pelakon utamanya Fasha Sandha yang tak pernah aku minatpun untuk tengok sebab lakonan dia sama sahaja kat mana-manapun, tetapi kemunculannya sebagai gadis kampung yang bersopan santun dan mempunyai pegangan agama memang agak lain sikit. Dia bertudung awalnya, nampak manis dan sopan. Bila dia dah ke bandar dan jadi pelacur kelas atasan, aku tak berapa ada peluang untuk tengok kerana kesuntukan waktu. Selalu sahaja terbabas menontonnya.

Sekiranya watak Chinta ini dibawa Tizz Zaqyah ka, Jue Aziz ka, Ayu Raudah ka...akan lain pula versinya kan. Mmmmmm dah malas nak komen lagi dah...makin panjang pulak kang. Tengok ajelah drama Chinta setiap Isnin hingga Jumaat (?) ada tak ari Jumaat?, hingga Khamis ajelah... jam 6.30 petang hingga 7.30 malam di TV3. Nampak sangat jarang tengok kan?

Jumaat, 15 Oktober 2010

Bajet 2011: Banyak Tak Bonus Untuk Penjawat Awam?

Sepanjang hari ni, aku berlari-lari anak arnab kat HUKM. Sejak jam sepuluh pagi lagi. Dah jadi staf UKM, rugilah pulak kalau melepaskan peluang mendapat perkhidmatan canggih di hospital ternama sebegini kan? Untuk staf, kami ada klinik warga yang tersendiri di hospital ini. Terletak di tingkat satu bangunan utama, khas untuk kakitangan dan keluarga sahaja. Jadinya, tak payahlah berebut dengan orang awam yang lain. Itu kalau rawatan biasa sahaja, tetapi kalau perlu buat macam-macam ujian tu, kena juga ke tempat berkenaan dan ambil nombor macam orang lain.

Macam biasa, kerja aku di HUKM setiap Jumaat akan tamat jam 6 petang. Jadinya, ucapan penuh Perdana Menteri yang bentangkan belanjawan tahun 2011 aku tak boleh ikuti. Jadinya, nak juga aku tahu PM kita bagi aku bonus berapa bulan? Dapat tak 6 bulan macam aku mintak tu? Hu hu hu dah ada orang gelak sampai guling-guling masuk longkang ke?

Belanjawan 2011 telah meringankan beban penjawat awam untuk menampung persediaan persekolahan anak-anak, sejumlah RM500 diberikan kepada gred 54 dan ke bawah. Aku dapat tak? Aku pun tengah sekolah lagi ni. Masih berhutang yuran hampir RM900. Sementara kadar bantuan jenazah dinaikkan kepada RM 3 ribu berbanding RM1 ribu sebelum ini. Mmmmm kena mati tahun depanlah ya untuk dapat kemudahan tu.

Malas nak ulas panjang-panjang, sesiapa yang nak baca ucapan tersebut secara keseluruhan, bolehlah download Ucapan Belanjawan Negara 2011...nanti boleh menelaah sepanjang malam ni.

Orang kata, kalau nak kaya usah jadi penjawat awam. Kerja sampai pencenpun tak juga kaya. Kalau anda jumpa penjawat awam yang kaya hanya kerana kerja dengan kerajaan (tanpa buat bisnes lain), maknanya ada sesuatu yang tak kena.

Pendapat itu memang sangat benar. Kawan-kawan aku yang bukan kerja kerajaan, dah jadi bos di merata-rata syarikat. Ada kereta besar, rumah besar...bini @ laki juga dah besar hu huh u jangan marah aku ya...sedangkan aku masih juga begini (badan dah mula nak jadi besar hu hu hu). Namun, aku tahu apa yang aku nak. Aku suka kerja aku (buat masa ini) walaupun cabaran tetap ada. Aku tak perlu pangkat yang besar dan jadi bos, aku tak inginpun. Aku hanya nak gaji je jadi BESAR dengan kerja ikut suka aku. Jadi mak cik tukang cucipun aku tak kesah. Hu hu hu ...Boleh gitu?

Selagi aku suka dengan kerja aku, walaupun kena sihir berkali-kali, aku masih lagi tetap di sini. Kalau suatu hari nanti aku tiada lagi di sini, bermakna...apa yang buatkan aku suka berada di sini sudah tidak ada lagi. Dari aku kerja tanpa hati, baiklah aku cabut lari kan? Tak lah penat aku nak kena jawab bila malaikat bertanya nanti: kenapa kau keja jugak kalau tak suka? Kan kau buat tak sepenuh hati! Baik jawab dengan jawapan yang mantap sebelum kena pelangkung dengan tukul besi ni! Itu hanya imaginasi aku yang melampaui batas kemanusiaan, usah percaya!

Apapun perancangan yang dah dibuat, aku hanya harapkan agar negara kita semakin maju dan makmur. Hak-hak orang Melayu sentiasa terjaga. Keamanan terpelihara sentiasa. Usahlah salah guna kuasa yang kemudiannya akan kita kesali kemudian dekad. Akan bagaimana nanti perlu kita terangkan kepada anak cucu bila mereka salahkan kita kerana gadai negara sendiri, sebagaimana kita menyesali tok nenek kita pada zaman kesultanan Melaka dahulu.