Selasa, 10 Ogos 2010

Ramadhan itu...Lebih Besar Maknanya dari Sebuah Puisi

Marhaban Ya Ramadhan

Selamat datang ya Ramadhan,
Kunantimu dalam simpuh malu
dengan wajah tertunduk
dengan pandangan jatuh ke lantai
Sesekali, jemari menyeka hujung selendang
melabuh tutupi muka
selindung duka

Tiada paluan kompang
Menyambut datangmu, Ramadhan
Hanya jendela kecil di sisi tingkap kaca
kukuak luas
menanti teduh rahmatMu pamit
menunggu dingin rahmanMu singgah
Di kamar sepi terselubung rintih ini
setia kutunggu dalam gemuruh memalu dada.

Akulah sang pesalah menunggumu
mohon pengampunan
Akulah sang pelarian menantimu
mohon perlindungan
Akulah musafir sesat dilautan dunia
mohon ditunjuki jalan tanpa liku.

Marhaban ya Ramadhan,
Tanganku terlalu kecil, menadah datangmu
Hati ini terlalu sempit, menanti saat dilapangkan
Jiwa yang terpalit debu ini,
menunggu detik dibersihkan.

Aku rindukan aku yang dulu
Dalam samar Ramadhan
menemukan benderang cahaya
dalam kilau Ramadhan
disuluhi wangi hidayah
Lalunya kali ini
Anugerahilah ia sekali lagi.


Bandar Baru Bangi
~ OgoS 2010~

Petang begini, seronok juga kalau dapat layan lagu-lagu merdu kan. Selamat menikmati ya!

Pssss: Selamat menyambut kedatangan Ramadhan, moga tahun ini kita boleh kumpul gunung. Mohon ampun maaf andai ada terkasar kata, tersalah bicara di ruang ini.

Sabtu, 7 Ogos 2010

Tahniah Graduan UKM Sempena Majlis Konvokesyen ke 38


Semalam tidur jam lima pagi, hari ini jam 7.30 pagi aku sudah bersesak ke majlis perasmian konvokesyen UKM ke 38 di DECTAR UKM. Adussssss, bukan seseronok orang nak terima ijazah lantaran setiap tahun kami perlu berarak dan duduk berjam-jam dalam majlis rasmi penuh protokol sebegitu. Bermula hari ini, sidang terakhir Selasa minggu hadapan. Tahun lepas, aku ponteng berarak. Tahun ni paksakan diri juga untuk ikut sama lantaran ada teman dari Aceh yang sambut hari gemilangnya pagi ini.

Malas nak tulis panjang-panjang, beberapa gambar sebagai perkongsian.







Mmmmm bila gamaknya boleh jejalan naik kereta tanpa nombor plet macam ni ya? Tuanku tak sudi ajak dinda ke? Aduhaiiiii sekalipun cukuplah!




Kepada peminat fanatik Faisal Tehrani, tuan haji muda ini sudah bergelar Doktor. Namun, usah mintak ubat dengan dia ya...nanti dia bagi panadol walaupun anda sakit rindu hu hu hu


Andai anda nak tengok perjalanan majlis ini, ada disediakan siaran langsung bagi setiap sidang, boleh tengok kat sini.

Nanti anda juga boleh muat turun rakaman berkenaan sebagai kenang kenangan, tapi ambil masa sikit untuk pihak penganjur muat naik dahulu. Kena banyak bersabar dulu.. Canggih kan...tak macam dulu. Kena tempah rakaman video. Dahlah mahal...muka kita nampak sesaat sahaja hu hu hu (itupun kalau nampak).

Kalau nak beli belah di tapak pesta konvokesyen, bolehlah singgah ke Tapak Pesta Konvokesyen di hadapan Dewan Gemilang. Macam pasar malam. Bolehlah kalau nak beli baju raya ;). Gerai ni memang jadi tumpuan ramai si manis.





Katak hijau ini SUDAH...anda bila lagi? Hu hu hu soalan maut tu...terkedu tak terkata daku!



Tahniah kepada semua graduan. Selamat datang ke alam realiti!

Jumaat, 6 Ogos 2010

Enteri Mamai Tak Boleh Belah


Setiap Jumaat bermula dua minggu lepas hingga pertengahan Oktober nanti, masa kuhabiskan di sini;


Menghabiskan masa bersama si manis pink ini;
Nampak feminin je kan?

Di UM kaler biru...Ehsan Enche Google;


Mengintai doktor-doktor kacak, mencari “doktor hatiku” yang baik hati masih belum berpenunggu.

Mana tahu boleh terserempak wajah hensem ni, boleh minta autograf;

Ehsan Enche Google

Kepada doktor-doktor kacak yang sudi untuk ditunggu, aku ada antara ramai orang yang menghurung HUKM. Boleh iklankan diri macam tu? Kira halallah ya!

Ahad, 1 Ogos 2010

Bila Ogos Menjelma



Hari ni dah pun masuk bulan Ogos. Ada apa dengan Ogos?

Tak rasa semangat untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan tahun ni lebih membara ke?

Aku? Macam biasalah, tak pernah berarak kat mana-mana dataran bila tiba 31 Ogos sejak dilahirkan. Bukan bermakna semangat kemerdekaan itu tak ada, tapi aku ada cara sendiri untuk lebih memaknakan nilai kemerdekaan itu sendiri.

Jadinya, aku sangat sibuk sepanjang Ogos ini, namun aku tak pernah rasa sibuk untuk sentiasa menghayati lagi ini. Jom…sama-sama dengar suara penuh semangat penghibur yang pernah julangkan nama negara kat mana-mana ni.


Agak-anak, orang Eskimo pernah dngar tak lagu ni



pS: SEpanjang siang, bumi Bangi terisi dengan bunyi helicopter yang sangat sibuk lalu lintasnya. Depa sedang buat latihan untuk sambutan kemerdekaan kot...tetiba je terbayangkan berada di bumi orang... gamaknya, di bumi Palestin, lebih gawat lagi. Memang gawat pun, bukan gamak lagi...

Rabu, 28 Julai 2010

Maaf Sebelum Ramadhan Menjelma


Mmmmm tengok tajuknya, macam beria-ria tak ingat dunia nak sambut kedatangan Ramadhan. Memang tak sabarpun. Banyak kelebihan Ramadhan selain kehilangan berat badan dan latihan bajet yang memang menjadi. Kelebihan-kelebihan lain tu sila tanya Inche Google, hari ni malas nak tulis kutbah jumaat.

Semenjak dua tiga menjak ni, aku memang jarang datang pejabat. Boss pun hairan, tetapi…ada aku kesah? Aku bukannya sesiapa yang dia nak kesahpun, bak debu yang berterbangan dan hinggap di hujung sepatunya yang akan menghilangkan kilat sapuan polish kelmarin sahaja. Jadinya, sehingga hujung tahun nanti, aku akan sentiasa tak ada di pejabat (Nampak macam aku lah pulak dah jadi bos kan? Hu hu hu memang aku tak kesah).

Namun, saban hari, aku tetap luangkan masa menjenguk dan menyapu ruang blog yang aku agak sangat mudah bersawang dan berhabuk ni. Banyak perkara yang aku nak tulis, namun jari jemari bagaikan sudah capek untuk menari di kekunci. Jadinya, anda perlu bersabar hingga tahun depan untuk melihat blog ini dikemaskini secara kerap. Hingga ke saat itu, aku hanya akan kemas kini sesekali sahaja. Itupun kalau dah gian sangat. Yang paling kerap aku boleh tulis hanyalah…sekali seminggu sahaja (macamlah sebelum ni kerap sangat kemas kini).

Walaupun aku tidak di sini sentiasa, tidak bermakna aku akan mengabaikan blog ini. Tidak bermakna sesiapa sahaja boleh meninggalkan kata-kata manis di kotak laung bak jurujual di uptown. Blog walking dan sapaan untuk memenuhi nilai ringgi semata-mata tidak akan dilayan. Bukan sahaja akan dipadamkan dari kota laung tersebut, istiharkan anda sebagai spam juga. Kejamkah?

Memang kejam kan? Aku akuinya. Aku bukan dengki dengan orang lain yang berusaha mencapai nilai ringgit menggunakan blog. Namun, andainya blog ini yang dah bertahun-tahun dibangunkan (macamlah lama sangat kan) hanya disinggahi selama 2 saat sahaja, adakah anda ikhlas untuk singgah sebenarnya? Sebegitu tidak ikhlasnya anda singgah di sini, maka sebegitu tidak ikhlasnya juga penerimaan tuan rumah. Adil bukan?

Tak baik kan curigai orang lain? Mmmm itu memang dah hakikat hidup. Bila kita mengaku diri kita hanyalah makcik cleaner kat pasaraya, boleh anda nampak perubahan air muka orang yang tanya itu? Kalau tak lama, cukuplah sesaat. Kemudian, dia dengan rasa bersalah akan kata “apa-apa kerja pun tak apa, asal halal…”, namun katanya itu masih mampu lagi kita nilaikan ikhlas tidaknya berdasarkan body language yang terpamer.

Apa yang aku dah melalut ni? Sebenarnya entri ini aku tulis sebab nak beritahu sesapa yang blog walking dan tinggalkan pesanan kat kotak laung tu untuk meraih wang semata-mata, aku akan padamkan dan tolak dia ke kotak spam. Jelas? Mmmmmm bolehpun tulis dengan ringkas dan padat, yang aku melalut sampai ke makcik cleaner tu kenapa ya?

Ohhhhhh Ramadhan dah tersangat dekat. Maafkanlah aku sebelum Ramadhan menjelma.
Mmmmmm macam pelik pulak bila entri tak ada gambar yang berlambak-lambak ;) nanti rayalah ya letak gambar banyak-banyak...