Isnin, 25 Januari 2010

Fajar Menyingsing Ketika Hatiku Masih Impikan Lena nan Panjang

Januari 19 dah pun berlalu. Dan aku, baru kini berkesempatan untuk meluangkan sedikit masa menelaah apa yang telah dilalui pada 2009, yang yang sempat dicapai, apa yang tertinggal dan tidak sempat untuk direalisasikan. Lalunya, kenapa perlu tunggu hingga 19 Januari berlalu? Ada apa dengan Januari 19?

Tiada apa istimewapun tentang 19 Januari. Hanyalah pada tarikh Masihi itu aku diputerikan. Itu sahaja. Dan kerana tarikh itu, rasanya belum ada lagi apa-apa sejarah yang gemilang pernah aku ciptakan untuk perlu dibanggakan. Belum ada. Akan datang belum tahu. Harapnya ada. Kenapa 19 Januari perlu ditunggu untuk tulis semua ini? Kenapa tidak pada awal tahun baru seperti yang sering dibuat blogger lain?

Pertamanya, kerana detik-detik awal tahun baru itu aku masih lagi berhempas pulas menyudahkan aktiviti tahun lama yang masih belum terlaksana sepenuhnya. Pada detik awal tahun baru itu, lelah yang kukendong sepanjang tahun juga masih belum sempat dilegakan biarpun sepanjang Disember 2009, setiap Jumaatnya adalah hari cuti. Pada detik-detik sebelum tibanya 19 Januari itu, kepala masih lagi penuh dengan pelbagai agenda yang perlu dilangsaikan secepatnya, hinggakan tak punya ruangpun untuk menyusun agenda bagi tahun baru, belum punya kesempatan menelaah kekurangan lalu yang patut ditambahbaik.

2009 dah berlalu. Hampir sebulan. Biarpun agak lewat dari kebiasaan, namun aku tahu semua ini begitu perlu untuk aku selesaikan banyak perkara pada tahun ini. Janjiku tahun lepas, 2010 aku perlu lebih baik dari semua tahun-tahun yang pernah aku lalui sepanjang hidup ini. Terlalu tinggi sebenarnya impian itu. Dalam dua rasa yang berbeza; antara ketekalan hati yang ingin mencapainya dan kebimbangan andai mimpi itu hanya hidup di dalam lena. Semua itu tak pernah aku gapaipun sepanjang hidup ini, namun, andai tak nekad untuk menapak hari ini, sampai bilapun langkah itu tak akan bermula. Jadinya, pada 2010 ini, aku terpaksa beranikan diri untuk mulakannya. Walaupun sebenarnya, di hati masih juga ada takut. Ada was-was. Ada gusar.

2008 aku belajar melangkah setelah terguling jatuh ke gaung maha dalam. 2009 aku berlari awalnya, namun mula memecut selepas pertengahan tahun. Gear lima. Aku perlu sangat-sangat berterima kasih dengan makcik-makcik sihir yang sentiasa sahaja jatuhkan tongkat saktinya ke kepalaku. Terima kasih banyak-banyak. Tanpa sihir daripada makcik-makcik ini, dah tentu aku masih lagi bertatih dengan lembut gemalai laksana puteri lalang, mudah digoyangkan angin. Mudah juga diranapkan hujan. Dengan sihir yang tidak pernah surut daripada mereka, aku menjadi pemberontak. Aku memecut dengan gear lima yang makin merimaskan mereka. Terima kasih kumpulan ahli sihir! Aku tetap akan terus melakukan penentangan biar berapa lamapun sisa usia ini.

Awal 2009 aku lalui dengan rasa sebegini
Pertengahan tahun, cabaran lebih hebat menjadikan aku seakan nanar, lalu dihujungnya bagaimana? Cik Bintang lewat sms sebelum tahun baru mengatakan yang 2009 aku "sedih, terluka, kecewa...ermmm dan yang sewaktu dengannya. Tapi macam dalam proses bangkit semula. ok tu :-)" Tidak dinafikanpun, malah aku mengakuinya.

Di puncak Bukit Jugra aku telah memutuskan perkara sebegini;
i. Tingkatkan lagi kekuatan yang kerap benar menjunam jadi sisa. Biar sebagaimana cerita tentang hidup ini perlu ditempuh, terlalu banyak perkara yang belum aku lakukan sebelum menutup mata. Masa semakin singkat, lalunya, tidak perlulah buang masa dengan sesuatu yang remeh temeh. Masa untuk meratap hiba dah tamat! [
Setelah 2009 berakhir, nyatanya...aku dah berjaya harunginya. Sepanjang 2009, aku hanya senaraikan 2 perkara sahaja, namun dipenghujungnya, ternyata perkara 2 itu menjadi 6. Tidak percaya bukan? Aku pun. Dan aku patut sangat-sangat kukuskan pulut kuning ayam panggang untuk diberikan kepada mckcik-makcik sihir dan gerombolannya. Tahniah untuk diri! Terima kasih juga kepada Cik Bintang yang tidak pernah jemu mendesak, memujuk, merajuk, dan adakalanya menggunakan ketam batu untuk gerakkan semula uraf sarafku, urat minda juga. Usah jemu untuk tahun ini juga ya. Terima kasih sanggup melayan kerenahku yang kerapkalinya keras kepala dan ikut suka sendiri ini.]
ii. Isnin ini jadi pemula untuk aku tekan gear 5. Yup...terus ke gear 5. Sejak setahun ini, aku hanya tekan gear 2 sahaja. Banyak masa dibazirkan untuk meratapi kesedihan dan “kematian”. Jadinya, kalau selepas ini aku kian tidak punya waktu untuk kemas kini blog, apalagi lepak di forum borak, ampunkan daku rakan-rakan! Aku sedang berusaha untuk beli donia...harapnya aku tak akan lupa tentang mati. Ada dua perkara lagi dalam hidup ini perlu aku capai dalam tempoh terdekat ini. Perkara ke tiga: langsaikan hutang. Selepas itu, aku lebih bersedia untuk tinggalkan donia penuh kalut ini. [Tidak mudah untuk terus tekan gear 5, namun aku bersyukur...aku mampu lakukannya. Awalnya, memang was-was, namun akhirnya aku kian yakin untuk terus melangkah. Hingga 2009 berakhir dan tahun baru dah menebarkan permaidani indahnya untuk kulangkahi, gear itu masih juga kekal. Jadinya, 2010 aku akan teruskan lagi usaha dan cara ini. Kalau boleh kekalkan dengan gear 5, amat bagus, namun akan lebih baik andai gear itu ditingkatkan ke gear 6 atau 7. Moga-moga mampu dicapai.]

iii. Sesuatu yang telah berlalu itu, lepaskanlah dengan rela walaupun hati sebenarnya amat berat. Kemudiannya, lupakannya secara perlahan-lahan sama ada secara rela atau paksa...moga aku mampu lakukannya. [Bukanlah sesuatu yang mudah untuk lepaskan apa yang mencengkam jiwa dan pernah jadi titik kelam dalam hidup. Sangat payah. Namun, masa yang berputar buatkan minda kian mampu dikawal. Biarpun hal ini tidak mampu aku laksanakan sepenuhnya, namun kemampuan untuk realisasikan 50 peratus dari itu pun sudah cukup bagus. Aku hanya harapkan tahun ini dan hari depan, semua ini akan terhakis habis dari dalam hati, dalam dada, dalam minda...dalam jiwa. Tuhan, bantulah daku!]

iv. Sesuatu yang tidak pasti itu, abaikan sahaja kerana ketidakpastian akan sentiasa melengahkan masa. Kita akan lebih dihargai dan diingati setelah tiada, jadinya...izinkan aku untuk ghaib dari hidupmu secara perlahan-lahan. Macam nak merajuk je kan? Bukan merajuk...sedar diri! [Telah berjaya diabaikan seadanya. Telah mampu dikawal mengikut akal fikir, bukannya nafsu rasa dan kehendak hati. Terima kasih, Tuhan...beri daku kekuatan untuk terus menjaga susila diri dan tidak terjebak dalam alun rasa nan bergelombang. Terima kasih juga, biarkan aku berdiri pada jalan yang sunyi untuk nikmati betapa indahnya alam nan pandai bercerita ini.]

v. Teruskanlah berlari biarpun perlahan. Larian itu akan sentiasa disenjah tarik agar aku terguling ke lereng, namun, bukankah menarik bila kita boleh jadi pencabar paling tegar untuk orang lain? Aku bukan nak berdiri di puncak sebagai maharaja, tetapi aku juga tak akan biarkan orang lain memijak kepalaku untuk ke sana berbekalkan taktik kotor. Kalau betul kau layak jadi maharaja, silakan...namun bersihkan kakimu dahulu, agar permaidani yang kau pijak kelak tidak terpalit selut! [Setelah 2009 berlalu, bila saja 2010 menjelma...hari ini, aku mula menyedari bahawa aku hari ini bukanlah aku pada Januari 2009. Tidak lagi. Aku kini kian kuat macam monster yang dapat bekalan bayam hijau dari popaye, berlari memecut ke hadapan tanpa sudi untuk berhenti lagi. Dan hari kelmarin, aku tahu tentang satu lagi perkara; aku menjadi orang pertama yang berani membantah kata-kata dan arahan makcik sihir. Secara terbuka pula. Sesuatu yang tidak pernah orang lain sangkakan. Namun, pada masa yang sama, dia berjaya stresskanku berminggu lamanya. Kira macam “win-win situation”; dia berjaya menyusahkan aku, aku juga berjaya melawan semula sebagai pemberontak yang keras kepala. Dan orang lain yang memandang, mensyukurinya. Walaupun mereka tidak berani menentang, mereka tahu, ada seorang “aku” yang pra-san berupaya melawan. Aku tahu tindakan itu tidak menangkanku, namun, aku juga tahu tindakan itu juga tidak akan menenangkan dia. Adil bukan?]

Lalunya bagaimana dengan 2010? Perjuangan masih panjang, Perjalanan masih lagi jauh. Selagi nyawa masih dijasad, aku tetap akan perjuangan apa yang perlu aku juang. Nasib diri. Nasib agama, bangsa dan negara. Demi Islam yang kuanuti, untuk Malaysia yang kucintai, untuk Melayu yang menunjangi. Jadi sepanjang tahun 2010 ini, beberapa perkara aku akan buat dengan sepenuh daya biarpun aku tahu, semua usaha itu akan ada pasang surutnya.
i. Habiskan pengajianku secepat mungkin. Inilah yang paling sukar terutama bila belajar dan berkerja pada masa yang sama. Namun, aku tahu...gear 5 itu perlu dikekalkan, kemudian ditingkatkan lagi menjadi gear 6 dan 7. Bermakna, makin kuranglah waktu untuk tidur. Mmmmm hilang sudah nikmat donia!!!

ii. Angka 2 ditingkatkan jadi 3. Kalaupun aku tak mampu capai 6 seperti tahun ini dek pemotongan buget hingga 40% perbelanjaan department, namun...tidak salah untuk terus berusahakan? Bermakna, kurangkan keluar ke tempat jauh yang menggunakan kos yang tinggi. Bermakna juga, perlu menggunakan perbelanjaan sendiri. Aku tahu, jika itu yang berlaku, bermakna kian terbatas lagi keupayaan untuk mencapai angka 3 itu. Namun, pada masa yang sama, aku sedar, apa yang telah aku usahakan pada 2009 akan dapat dilihat hasilnya pada 2010. Jadi, tidak mustahil juga hasrat ini akan tercapai. Andai dapat, pencapaian untuk tahun hadapan perlu dimulakan semenjak tahun ini lagi. Hasilnya akan dituai nanti.

iii. Mengkaji setiap sudut penilaian yang akan digunakan setiap tahun. Jadinya, aku akan lebih tahu dimana perlu kutambah usaha dan capai. Harapnya, bila penilaian tahun 2010 yang akan dibuat pada awal tahun 2011, aku mampu dapat raih cemerlang. Walaupun itu bukan target utama dalam hidup, namun aku perlu kerja “smart” bukan sahaja “kuat” semata-mata. Markah penilaian sekurang-kurangnya 87 peratus.

iv. Teliti dan penuhi setiap aspek yang perlu bagi mendapatkan status “kanan”. Kesilapan lampau tidak akan aku ulangi lagi dalam hidup ini. Biarlah sekali.

v. Aku perlu jadi lebih kuat. Fizikal dan mental. Larianku masih lagi jauh. Andai satu hari pada 2010 ini, aku tak berdayapun untuk melangkah, apalagi berlari...sudikah hulurkan tangan, temani langkahku biarpun langkah itu terlalu perlahan bak seorang kakek yang cuba mendaki tembok besar China. Boleh tak?

Mimpi ini terlalu indah semasa aku cuba menganyamnya. Aku cukup sedar, ia amat sukar dibentuk biarpun untuk warnakan pada bilah-bilah impian itu. Apa lagi membenturnya mengikut kata hati, menggambarkan impi jadi nyata tersedia depan mata. Bila 2010 menebarkan cahaya emasnya, bila Januari telah berlari tanpa melupakan detik dan saat, bila hari melangkah begitu cepat tak terkejar dek kaki, aku tetap tahu yang perjuangan akan tetap kudepani. Mampukah untuk aku langsaikan semua ini bila tiba di hujung 2010 nanti?

Senarainya terlalu panjang. Payah juga untuk direalitikan. Aku sedar, untuk capai semua ini, aku tidak boleh lupakan semua senarai ini biar sesaatpun. Aku perlu kerja keras sepanjang tahun. Aku perlu lupakan banyak kebiasaan dalam hidup untuk capai semua ini. Aku perlu lupakan banyak kemanisan mimpi dan suasana santai. Lelah 2009 belum lagi usai sepenuhnya, namun kalut 2010 tetap perlu kuuruskan jua. Selamat datang 2010. Kalaupun langkah ini tempang, sudikah bantuku untuk realisasikannya ke alam nyata?

Selasa, 12 Januari 2010

Sesepi Lalang di Kuburan yang Tiada Sudi disapa Angin Malam




Khamis, 31 Disember 2009

Bercerita Tentang Lagenda di Pulau Indah Lagi

Hari Ketiga.

Jam 8.45 pagi kami dah bertolak ke Porto Malai. Kami tiba jam 9.30 pagi. Ada peningkatan berbanding semalam. Sepanjang hari di sini, masing-masing ada acara sendiri. Makan tengahari kami lebih awal berbanding semalam. Aku, KM dan DJ makan semeja di kawasan tertutup yang berhawa dingin. Kami sebat semua benda yang ada dengan meriah macam orang dari Somalia. Meriah dan riuh rendah berbual tentang perkara yang tidak ada dalam acara. Hari ini DJ akan balik KL untuk ke Bali (bercuti) keesokan harinya. Jadinya, kunci van diserahkan padaku, sementara dia ambil teksi ke lapangan terbang. Selepas minum petang (siap bungkus sandwich lagi...memang macam rombongan cik kiah), kami bergerak tinggalkan Porto Malai. Itupun setelah ambil masa lebih 30 minit untuk merakamkan sebanyak-banyak gambar yang dapat di pelabuhan Porto Malai tersebut. Telefonku entah berapa kali buat hal dan jem kerana itu. Faham-faham sendirilah berapa banyaknya gambar yang aku ambil. Bila bateri dah kurang, mulalah dia meragam dan jem. Terpaksa on dan off berkali-kali. Kali ini Mr.T nan ensem tu pula yang memandu. Lebih lancar perjalanan kami dan tidak tergesa-gesa. Maklumlah, Mr.T ni lebih seperti geng dan kawan-kawan, DJ tu pulak lebih bersifat abang dan ayah. Walaupun boleh bergurau dan gelak ketawa, namun rasa hormat kepadanya lebih seperti hormat sebagai orang tua (bukannya tua sangatpun, tapi caranya lebih seperti bapak-bapak kepada kami). Sedangkan, Mr.T ni lebih seperti rakan-rakan. Jadinya, kami singgah merata di mana-mana sahaja yang rasa nak singgah termasuk juga di tepi pantai nan indah untuk nikmati pemandangan matahari tenggelam. Aku dan Mr.T memang peminat tangkap gambar yang tegar, tetapi yang lain hanya menikmati. Beri peluang untuk aku yang “gila” ni nikmati keseronokan. Mungkin mereka pun perasan yang aku hanya peminat minyak gamat sahaja hu hu hu. Sekalipun tidak sempat untuk menikmati pemandangan indah dengan kereta kebel, namun, aku amat hargai sikap sporting mereka itu. Amat sangat. Nasib baik masa itu telefon dah nyawa-nyawa ikan dah nak habis bateri, kalau tidak, dah tentu sampai malam mereka kena tunggu. Singgah juga di kedai gamat. Borong minyak dan air gamat lagi! Siap kena perli, kononnya aku nak buka cawangan minyak gamat di Bangi. Kami balik ke hotel untuk tukar uniform dan simpan peralatan kerja. Van buruk itu tidak begitu selamat untuk kami usung laptop atau kamera ke mana sahaja. Demi keselamatan harta kerajaan Malaysia dan hak persendirian, kami putuskan untuk simpannya di hotel. Tambahan pula kami perlu ambil Nani yang nak ikut sama ke KUAH.

Dari hotel, kami makan di Jeti. Jam 9.30 malam baru bertolaka ke Pekan Kuah. Kedai Haji Ismail secara tepatnya. Masing-masing masih belum beli apa-apa selain dari coklat. Apalagi dengan KM yang baru kini nak ikut serta. Kakinya dah elok bila kena urut dengan minyak gamat. Aku pula hanya ikut sahaja. Tak pasang niat nak beli apapun. Orang kata, nak kenali siapa rakan-rakan kita, kenalilah mereka semasa perjalanan sebegini. Jadi itulah yang aku lakukan; Untuk lebih mengenali mereka.

Malam ini baru nampak mereka borong sakan. Aku pula hanya beli 2 helai tuala (kalau tak pergi rak tu, tak belipun. Tetiba je teringat yang aku belum beli apa-apa untuk diri sendiri). Beli coklat untuk Cik Bintang juga. Sebenarnya aku bukanlah maniak coklat, jadinya tak teruja sangat nak beli. Tak tahupun coklat yang macam mana sedap. Terpaksa telefon Cik Bintang, tanya coklat macam mana yang dia suka. Namun akhirnya, sebat saja mana yang rasa dia suka. Harap-harap memang dia suka.
Penggemar coklat tegar tidak akan mampu menahan leleh ayaQ liuQ bila dah dikelilingi benda alah ini sebegini. Anda bagaimana?
Baliknya, terus pack barang mana yang rasa dah boleh dimasukkan dalam bagasi. Niat nak beli bagasi baru untuk ganti bagasi lama yang patah itu tidak kesampaian. Sambil mengemas, sambil online dengan Cik Bintang. Bila dah kumpul semua barang yang dibeli (minyak dan air gamat), rasa macam akan lebih beratlah pulak. Risau tetap ada. tak kan nak bayar sebab terlebih berat sedangkan barang-barang itu bukannya aku punya. Kiriman kakak sahaja. Belum campur dengan lelah heret dan pikulnya.

Akhirnya sebahagian daripada minyak dan air gamat itu aku masukkan dalam beg pikul baru yang berisi laptop. Sedikit sahaja muatannya berbanding beg pikul lama (dipinjamkan kepada kak Faridah yang tak muat nak masukkan pakaiannya). Harapnya semua berjalan dengan lancar nanti.



Hari KeEmpat


Hari terakhir kami di pulau lagenda. Bertolak ke Porto Malai jam 8.30 pagi. Acara memang bermula jam 9 pagi. Sebaik sahaja kami masuk ke dewan yang luas dan besar itu jam 9.15 pagi, acarapun bermula. Macam tunggu kami saja kan?

Walau bagaimanapun, DJ yang nak ke Bali telefon ketika acara dalam dewan masih berlangsung. Abang bomba dah tunggu di hotel, beritahunya. Tergesa-gesa kami balik ke hotel tanpa sempat minum pagi pun. Selesai semua urusan bayaran dan serah kunci kepada abang bomba, kami (hanya 4 orang sahaja, 3 orang lagi dah bertolak ke lapangan terbang untuk penerbangan jam dua petang) keluar makan tengahari di kompleks beli belah berhampiran hotel. Hanya 10 minit jalan kaki sambil main-main.

Terus ke tingkat atas. Hanya dua gerai sahaja buka di food court. Sambil tunggu order, kami sebat kuih muih dan pulut kukus inti kelapa. Lemak. Manis. Sedap. Dah lama tak makan. Selesai makan, turun bawah dan shoping. Aku hanya beli beg tangan kiriman adik. Bagasi yang nak beli tetap tak terbeli juga. Jam dua kami balik ke hotel semula dan rehat seketika sementara tunggu masa check out jam 4.30 petang.

Tradisi sebegini masih terjaga dan terus menjadi lagenda dalam kepesatan pembangunan Langkawi. Wajah sebegini kian sukar ditemu di Lembah Klang.
Empat orang sendat dalam satu teksi, walaupun dah beritahu awal-awal yang kami nak guna van besar. Maklumlah barang masing-masing tak payah nak cerita berapa banyak. Ukuran badan setiap orang juga boleh tahan. Malas nak banyak songel, masuk sahaja bersendat macam tin sardin pun.

Penerbangan jam 7.30 petang dan sampai di KLIA hampir jam 9. Aku dan Hasni ambil limo terus, namun perlu beratur panjang. Hampir jam 11 malam baru sampai di rumah dengan lelah yang panjang. Beg hanya larat dibawa masuk dalam rumah sahaja. Tinggalkan sahaja di bawah sementara aku masuk selimut selepas siap mandi. Nyamannya dapat tidur atas katil sendiri.

Inikah wajah Mahsuri yang jadikan pulau ini sebuah lagenda nan mahsyur? Gambar diframe indah ini kutemu di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Langkawi tetap indah. Sekalipun hanya sebahagian kecil sahaja wajahnya sempat dirakamkan, namun, aku amat berharap dapat panjat kereta kebel bila pergi ke sana lain kali nanti. Empat hari di perut pulau lagenda terpenuh mitos dan misteri itu, lelah memang menghimpit. Namun, pada masa yang sama, lari dari bumi Bangi yang basah dan pergi ke tempat sekering itu mengubah banyak perasaan. Terima kasih langkawi, walaupun datangku kali ini tidak sepenuh hati, namun, masih jua sempat nikmati matahari terbenamnya di pantai chenang dan jeti.

Wajah senja di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi saat menapak ke pesawat.
Di sini juga, banyak perkara yang aku pelajari. Catatan pengalaman juga turut bertambah. Dan aku kian mengerti, setiap apa yang berlaku dalam hidup kita ada sebab musababnya. Ada hikmahnya yang kita sendiri tidak tahu. Kalaulah aku ini aku yang dahulu, belum tentu lagi akan sertai rombongan cik kiah sebegini. Belum tentu juga akan kenali mereka lebih akrab hingga akal budi sebegini.



Selasa, 29 Disember 2009

Bercerita Tentang Lagenda di Pulau Nan Indah

Hari Kedua.

Pagi-pagi dah bangun dan bersiap sedia untuk ke Porto Malai. Sarapan seawal 8 pagi, kemudiannya menunggu van yang kami sewa di lobi. Sambil menunggu, sambil borak. Terbabas juga anyam ketupat. Bercerita tentang macam-macam hal. Sebenarnya, hanya kali ini kami berkesempatan berkumpul sebegini. Kalau di pejabat, masing-masing terlompat sana sini dengan kerja sendiri. Hanya sempat ber”hai-hai” tiap kali selisih sahaja. Dah sekumpulan macam rombongan cik kiah ni, masa untuk berbual, gurau mesra dan berjenaka memang boleh dikatakan sepanjang hari (kecuali masa kerja). Masa sebeginilah baru boleh kenal mereka. Pepatah pun ada kata, “Nak kenal siapa temanmu, maka kenalilah dia semasa dalam perjalanan”. Dan pepatah itu punya kebenarannya berkali-kali.

Tengah kepoh berbual kosong di hadapan kaunter, mataku terpandang satu wajah yang hingga ke Padang Mahsyar pun aku tetap akan ingatinya. Dia yang angkut barang-barang dalam rumahku semasa aku “terkurung” di kampung untuk tempoh yang lama, dia yang cucuk setiap ahli keluargaku untuk menghukum aku dengan apa yang tidak pernah aku lakukan, dia yang mengada-adakan cerita tentang aku hingga cerita itu pergi sejauh ke Brunei. Dia yang berpura-pura baik di hadapanku, sedangkan hakikatnya...malas untuk aku sebutkan. Dan pagi itu, dia pandangku tanpa apa-apa reaksi seakan aku tak pernah wujud dalam hidupnya. Seakan-akan dia tidak pernah bersalah padaku. Dengan muka plastiknya. Aku pula, sedaya upaya cuba menahan rasa gelihati nak ketawa terbahak-bahak dengan lakonan plastik itu, hanya mampu tersenyum hingga disedari teman-teman yang lain. Senyum kagum. Teramat kagum dengan kelicikannya itu. Kalau begitulah sikapnya berterusan, sangat adil andai aku masih lagi tidak halalkan apa yang dia ambil dan maafkan apa yang pernah dia buat. Urusan dengannya di dunia telah selesai...di akhirat, belum tentu lagi. Maaf, kenyataan itu amat kasar bunyinya, namun aku bukanlah manusia hipokrit yang hanya lakonkan watak-watak suci sahaja. Aku sedar, sarjan setan masih berleluasa dalam diri ini. Jadi kawan-kawan, jangan ikut perangai tak senonoh aku ni ya...jadilah hamba Allah yang baik dan memaafkan (macam pelik je bunyi permintaan ini kan hu hu hu).


Penat tunggu. Penat borak. Acara di Porto Malai bermula jam 9 pagi, namun kami dapat van jam 10.30 pagi. “ingatkan datang shopping”, selamba badak aje abang bomba tu cakap bila kami katakan yang kami dah sangat lambat. Nak marah dah tak kuasa. Geram kalau dilayanpun makin keruhkan suasana. C60 yang dah nak runtuh itu terpaksa juga kami masuk walaupun tersumbat. Dah beritahu, kami 10 orang, namun katanya muat. Akhirnya bersumbat-sumbat macam sardin tanpa kuah. Dahlah ekonnya kena pakai yang original. Bukan tak ada, tapi tak rasa sejuk. Lagi lah panas bila berhimpit. Masing-masing lencun. Macam-macam bau ada walaupun memasing guna perfume mahal dari luar negeri.
Mula-mula kena hantar abang bomba tu dulu, baru ke Porto Malai. Namun, kami menuju ke utara, sepatutnya ke Barat. Dah berpuluh kilo meter lajak baru sedar. Akhirnya patah balik ke Kuah dan gerak ke Barat. Itupun setelah GPRS dapat capaian. Peta sahaja tak begitu membantu. Lagi pula terlalu ramai co-pilotnya. DJ yang jadi pilot pula terpaksa bersabar dengan kami yang macam-macam kerenah. Apapun, sepanjang jalan, gelak tawa tetap bersambung. Ada sahaja yang buatkan ketawa pecah. Stress memang tak ada kecuali dua orang yang memang tak mampu nak berdepan dengan rombongan cik kiah sebegitu. Maklumlah, orang dah kerja senang, hidup dan selesa, susah sikitlah nak terima keadaan sebegitu.

Jam 11.30 kami sampai di Porto Malai disambut Pengarah PPA sendiri dengan senyum sinisnya. Pertanyaannya “baru landing?” kami terima dengan senyum lebar. Dalam hati mahu je jawab “baru berlabuh”. Ketika berarak masuk dewan, semua mata memandang rombongan cik kiah, termasuk TNC yang tengah berucap di pentas utama. Tetiba saja glamour rombongan cik kiah.

Hari pertama di langkawi dan Porto Malai kami jalani dengan meriah. Serius, namun pada masa yang sama berbaur dengab senda gurau. Aku yang sebelumnya rasa sangat terpaksa untuk datang dengan tugas di pulau terpenuh lagenda ini, mula terasa lapang diri. Mula nikmati seadanya atur cara program dengan lenggang-lenggang kangkung. Nikmati pemandangan indah di teluk Porto Malai dengan dada lapang sekalipun tak sempat pun untuk menenangkan hati dan melapangkan minda, mencari saat sesuai untuk berfikir tentang kehidupan. Tiap saat ada sahaja pengisian yang dimanfaatkan. Rakaman foto yang dibuat juga sebenarnya dalam keadaan yang sangat tergesa dan terlompat ke sana sini. Hanya, aku agar berterima kasih dengan rakan-rakan serombongan cik kiah yang benar-benar memahami dan berikan peluang beberapa detik untuk rakaman tersebut. Mereka bagaikan tahu aku bukannya kaki shoping tegar, namun perakam gambar yang tegar.

Selesai acara di Porto Malai, kami berlabuh di Kuah mencari Laksa Penarak. Petang semalam aku pekena mi udang banjir dengan DJ yang makan Laksa penarak. Hari ini, rakan-rakan yang lain teringin sama, namun laksa di gerai tersebut dah habis. Kami pindah ke gerai lain namun rasanya tidak sehebat yang kami rasa semalam. Setelah hantar KM ke hotel (katanya penat, nak rehat), kami ke pekan Kuah. Ke kedai Haji Ismail yang terkenal itu. Aku hanya sempat beli minyak gamat (kiriman kakak dan KM). Rakan-rakan yang lain beli belah sakan walaupun taklah nampak teruja sangat.

Kami balik awal, jam 10 malam. Masing-masing perlu siapkan power point untuk tugasan siang esok. Semuanya kerja last minute sebab perasaan tidak sepenuhnya. Itulah jadi bila dipaksa. Sambil itu aku sempat juga online dengan Cik Bintang walaupun hanya 2 jam sahaja. Cukuplah. Dari jauhpun dia dah teman aku buat kerja. Kalau tak, bosan juga. Rakan sembang yang lain juga ada yang online, namun bukan selalu rasa nak borak. Ataupun, adakalanya rasa tak ada apa dah nak borak. Hanya tanya khabar, kalau diteruskan lagi pun, tiada apa yang nak dibualkan.

Malam pertama dah tidur lewat, hari ini mata agak berat sikit. Dahlah bangun awal, banyak guna tenaga, banyak jalan-jalan di Kuah, banyak juga juga minda. Penat semalam juga masih berlagu, jadinya kepenatan yang panjang itu mengundang kantuk lebihawal. Kalau tak, susah juga nak tidur bila pindah tempat. Letih juga ada penyakit macam ni.

Saat bersiap-siap nak menyorok dalam gebar, KM telefon. Nak ambil minyak gamat untuk urut kaki. Sebelum datang langkawi, dia ada bengkel di Port Dickson. Kakinya bengkak terjatuh di sana. Patutpun macam tak berminat saja pergi Kuah tadi.


Dia baru sahaja bangun untuk siapkan power pointnya. Nak urut kakinya sekali. Jari kakinya itu dah bengkak. Merah. Kalau dia beritahu awal-awal, pasti aku pinjamkan minyak urutku yang sentiasa ada dalam travel kit. Sentiasa sahaja aku bawa setiap kali travel ke mana-mana.
Berikut adalah gambar-gambar yang boleh dikongsi;



Isnin, 21 Disember 2009

Bercerita Tentang Lagenda di Pulau Indah

Hari Pertama

Bumi Mahsuri kujejak petang Ahad nan indah. Lapangan terbangnya masih lagi kecil seperti dahulu walaupun dah bertaraf antarabangsa (ya ke?). Penumpang turun dari pesawat menggunakan tangga, macam naik Airasia pulak. Dah lama pulau lagenda ini tidak kujejaki. Kali terakhir awal tahun 2002 (rasanya/kalau tak silap). Banyak pembaharuan dan pembangunan telah dilakukan. Dah lebih maju, dan…lebih mahal harga barangannya berbanding pada tahun tersebut.

Acara berlangsung di Awana Porto Malai, tapi kami Rombongan Cik Kiah ni menginap di Seaview Hotel, Kuah. Manalah kami mampu nak tinggal di Awana yang harganya untuk satu malam melebihi RM240. Pada musim cuti sekolah pula. Jadinya, “DJ” yang jadi ketua rombongan cik kiah telah uruskan 10 buah bilik di Seaview dengan sewa RM130 semalam dan sewa sebuah van (buruk) dengan bayaran sebanyak RM45 seorang untuk tempoh dua hari. Kira okeylah tu…sempat bernafas. Adalah juga baki budgetnya sedikit untuk beli minyak gamat huh u hu.


Dah check in dan simpan barang di bilik masing-masing, 3 orang daripada kami turun semula mencari makanan. Kelaparan. Belum makan tengahari lagi. Keropok lekor panas kami kunyah sambil tunggu nasi goreng dipesan. Makannya sedap, harganya pula murah. Apalagi, makan memang sama macam orang Somalia. Kebuluran!

Dua orang lagi balik ke hotel semula untuk rehat, manakala aku pula tunggu DJ di lobi sambil caj telefon untuk jalan-jalan ke jeti. DJ memang plan untuk jogging, sementara aku pula nak jalan-jalan sambil ambil gambar sahaja. Akhirnya, kami pergi sama-sama sambil berjalan sambil bercerita. Jarang suasana sebegini dapat jumpa kalau masa kerja. Masing-masing sangat sibuk dan lompat sana sini. Kalau aku rasa diri ni sibuk, DJ sebenarnya lagi sibuk dari aku. Merata tempat dalam dan luar negeri dia pergi. Kerja pula awal-awal pagi lagi dah keluar, dah malam buta pun belum balik lagi. Ada masa dia tak balik pun. Dahlah rumahnya di Seremban. Kan jauh tu untuk travel. Memang tabik spring dengannya, entah dari mana dia dapat tenaga dan upaya. 
Matahari terbenam kami nikmati di jeti. Dia hanya tunggu saja kegilaan aku yang suka ambil gambar. Orang yang dah ada anak bujang dan dah boleh terima menantu memamngmacam tu kan, sensitif dengan persekitaran dan lebih banyak toleransi. Sebab itulah sekarang ni lelaki yang dah berusia selalu jadi pilihan wanita hari ini walaupun dah ada isterikan (bukan akulah ye...aku hanya pilih yang single sahaja. Bukannya 3 kekosongan).

Selepas itu kami ke Jeti, singgah di beberapa kedai sambil tengok-tengok. DJ beli beberapa dosen sudu pelbagai jenis dan senduk. Dia memang suka beli sudu dan senduk hinggakan emaknya pernah kata “Tak payah aku kirim apa-apanya, kamu tetap beli senduk juga”. Aku pula tahan hati je tengok pinggan mangkuk yang comel-comel tu. Gatal je tangan nak beli. Mengenangkan tinggal beramai-ramai, baiklah tak payah beli...karang tak pasal-pasal kena angkut lagi! Akhirnya aku juga beli 2 dosen sudu dan satu dosen sudu teh. Cukuplah tu, sudu kat rumah memangpun dah lama kurang. Entah siapa yang kunyah!

Dalam perjalanan ke hotel, kami singgah di Langkawi Fair Shopping Mall. Melilau sana sini, DJ beli kamera kecil Olimpus untuk digunakan dalam percutiannya pada cuti maal hijrah ke Bali. Aku pula beli beg pikul komputer gantikan beg lama yang aku beli di Nilai 3 tahun lepas yang dah koyak sedikit tali pikulnya. RM60, sama harga dengan beg lama. Kualitinya, entahlah. Aku pun tak reti nak nilai. Dah pasti hanya ok-ok aje. Bukannya berjenama yang dah pasti kukuh dan tahan lama. Kalau tahan hingga 2011 pun dah cukup. Tahan lagi lama, lagi bagus. Ingat nak beli juga beg bagasi gantikan beg lama yang kubeli lebih setahun lepas di Alamanda (dengan harga RM30 sahaja). Dah patah tulang belakangnya dek anak-anak buah yang lasak itu. Namun, harga di sini RM70 paling murah dengan kualiti yang kurang sedikit dari yang lama. Mintak RM60 pun tak dapat.
Gambar ni jadi indah bila...tetiba sahaja ada model sukarela yang tak sedarpun dia dah interprem ke dalam gambar senjaku ini ;)

Semasa DJ urut kaki selama 30 minit, aku ambil peluang ini untuk jelajah ruang kompleks beli belah ini. Tersua satu kedai beg dan berkenan dengan beg tangan yang 50% diskaun. Beg sandang yang comel diperbuat daripada kulit juga mencuri perhatian, tapi beg itu terlalu kecil untuk diisi dengan dompet, kamera dan telefon. Dengan tiga benda ini dah pasti sendat. Tak praktikal. Dahlah harganya masih lagi mahal walaupun dah diskaun 20%. Aku kan hanya beli barang yang ada diskaun lebih 50% sahaja hu hu hu. 
Balik jam 10.30 malam. Online kerana dapat wifi percuma. Sambil borak dengan cik Bintang, sambil buat kerja sikit. Borak yang banyak, buat kerjanya sikit sahaja. Bersantai yang banyak. Akibat pindah tempat tidur, walaupun offline dengan cik Bintang dah jam dua pagi, namun mata tak mahu lelap juga hingga jam tiga pagi. Adoiiii la, perlukah diangkut tikar dan bantal serta katil setiap kali kerja luar?