Selasa, 4 Ogos 2009

Kota Kinabalu Lagi 3: Takafur Diri

Masa kapal terbang melayang turun ketika datang KK tempoh hari, pada ketinggian 16 ribu kaki di udara, keindahan laut Sabah dapat sisaksikan. Terlalu indah sebenarnya. Pada ketinggian itu, pulau-pulau, batu karang, kapal, malah pelantar minyak dapat dilihat dengan jelas. Indahnya pulau dan batu karang di perairan Sabah begitu mengujakan. Rasa macam nak terjun je ke laut masa itu juga. kalaulah ada kamera dslr, dah pasti semuanya dapat dirakamkan. Apa daya, telefon tak boleh digunakan dalam pesawat.




Deretan kapal-kapal terlihat begitu banyak (semasa balik baru tahu kapal-kapal itu sedang kerumun Labuan, semasa ke KK tak sedarpun pulau itu Labuan). Bot-bot kecil pula kelihatan bak semut dalam cawan kopi. Kejernihan air laut menyerlahkan aras kedalaman laut hinggakan pada ketinggian sebegitu mata sudah mampu melihat pulau-pulau kecil, laut yang cetek dengan lagun indah, ataupun laut dalam yang membiru. Benarlah, laut Sabah antara syurga dunia. Kalaulah berpeluang untuk berada di dalamnya, alangkah indah!




Kala tinggi meredah putih gumpalan awan, ada masanya diri turut terapung. Melompat antara putih awan yang nampak padu. Bersih bak kapas yang bergumpal. Rasa nak kutip dan kunyah saja. Rasa nak lompat dari satu ketul awan ke ketul yang lain sambil kunyahnya. Tetiba je teringatkan arwah Mak chekok yang akan hadiahkan kami gula-gula kapas tiap kali ke lapangan terbang untuk hantar atau ambil orang haji. Gula-gula kapas itulah satu-satunya kenangan yang masih bersisa padanya. Selebihnya, kami sudah lupa. Perginya mengadap ilahi masa umur kami masih kanak-kanak. Nasib baik ada sekeping gambar lamanya yang entah macam mana ada dalam simpanan keluarga kami. Adik-adik yang lain dah tak ingatpun rupanya lagi.

Rasa macam best sangat kalau boleh melompat-lompat atas awan. Rasa macam seronok sangat kalau boleh melompat-lompat sambil guling-guling atas gumpalan awan itu. Sambil itu juga kutip dan makan awan gemawan warna putih yang terbentang luas itu.




Hidup yang sentiasa sahaja berlari mengejar, lupakan kita pada sesuatu yang lebih penting dari itu. Ada masa, kita terlupakan tentang hati sendiri. Tentang diri. Terlalu banyak yang ingin dikejar, hendak dihambat gapai. Bila tiba pada satu detik, diri memang rasa lelah. Letih amat. Yang dikejar tetap juga tak tergapai, yang dikendung masih juga tak terbawakan.
Kala berada pada ketinggian berpuluh ribu kaki dari aras bumi, hati tiba-tiba terfikirkan sesuatu...apa sebenarnya aku cari dalam hidup ni? Berbaloikan apa yang aku kejar selama ini, setelah banyak juga perkara dicicirkan?
Lain kalilah pikir ya...dua jam setengah dalam penerbangan belum begitu cukup untuk mencari sesuatu. Sambung pikir balik lain kali kat mana-mana. PD boleh?

Jumaat, 31 Julai 2009

Kota Kinabalu Lagi 2

Sabtu, 25 Julai 2009.

Pagi-pagi lagi terpaksa bangun. Terpaksa mandi. Terpaksa sarapan dan jam 7.30 pagi aku dah tercegat di UMS. Yang ada hanyalah budak-budak urusetia sahaja, orang lain belum ada yang sampai lagi. Dahlah aku kena mula bahagian aku tu jam 8.30 pagi ni...akhirnya, hanya aku seorang je isi slot selama sejam itu yang sepatutnya diisi oleh 3 orang. Nasib baiklah aku pandai goreng (hampir-hampir hangit juga!) kalau tak, nampak sangat aku ni senang kena bantai kan hu hu hu. Yang bantai aku tu pulak, dah mak cik dan pak cik. Itulah gunanya selalu kena sihir dek makcik-makcik sihir kat pejabat aku tu kan?

Jam 11 balik hotel untuk pack barang. Sempat online pun sambil pack dan golek-golek sekejab. Jam 1 baru check out dan terus ke airport. Dah check in, cari kafe untuk isi perut. Penerbangan jam 4.10, memang sah akan lapar. Dahlah tak makan tengah hari tadi. Penerbangan ini akan singgah di Labuan dulu. Dah tentulah jam lima lebih baru dapat makan.


Kalau tak sempat beli ikan, boleh beli kat airport je...harga, tak tau!
Jumpa kedai cenderamata ni, ingatlah pulak kat Dina...banyaknyeeee FM kat sini. Macam-macam benda ada termasuk...katak!



Kat ruang menunggu sambung baca Cinta Qatrunnada yang masih tinggal satu pertiga lagi. Bila pengumuman, terus je selamba aku ke Gate 5 seperti yang tertera kat boarding pass. Masuk flight dan diarahkan ke no 9A seperti yang tertulis. Alamak! Macam ada yang tak kena aje. Tak kanlah dapat business class kot. Baik hati sangat ke MAS kat aku?


Masa terkial-kial duduk dan nak letak beg kat tempat simpan barang tu, terlari-lari la datang pramugari manis tolong aku. Nasib baik dia tak terbang macam superman ke apa...kalau tak terkejut biawak aku, bukan terkejut katak lagi tu!

Dah duduk dan buka novel tebal yang aku bawa tu, datang la pulak pramugari lain, tanya nak minum jus apa. Aik...belum naik lagi dah minum ke? Ni boleh kembung perut dengan air kalau macam ni. Entah berapa kali la pulak nak kena minum ni? Gasak je lah, dah orang bagi kan, minum je lah. Bukan senang nak dapat layanan business klas ni, belum tentu dapat lagi lain kali. Hulur gelas pun tunduknya kalau boleh nak cecah lantai. Senyumpun manis ngalahkan madu yang orang asli jual kat jalan terpenuh liku nak pergi Cameron Higland tu. Tak sempat nak terkial-kial lagi, berlari je dia orang datang.


Habis je minum, datang ler sorang staff tu mintak keratan boarding pass aku. Aku bagi je. Mmmm salah bagi la pulak. Boarding pass yang aku tanda kat novel ni rupanya boarding pass masa datang dulu. Terkial-kial la pulak aku cari yang betul. Dah serah tu, dia terus mintak aku bangun dan ambil barang. Serius je! Salah Belon!

Terkial-kial lagilah aku buka tempat simpanan barang kat atas. Terhegeh-hegehlah aku tarik beg galas tu. Tak ada pun muka manis yang nak tolong. Tak ada pulak orang nak terlari-lari macam nak terbang untuk tolong aku. Aik...kena ambik sendiri la pulak!

“Flight puan di Gate 4...cepat sikit, dah nak berlepas tu,” beritahunya dengan muka kelat.
“Kat boarding pass tu kan tulis gate 5....saya masuklah kat gate 5,” ada hati lagi tu nak tegakkan benang yang basah hu hu hu. Memang dah perangai suka membangkang, mana-mana pun akan bangkang punyalah!


“Dah tukar Gate 4,” masih lagi masam orang tu jawab. Ntah bilalah tukar gatenya, aku pun tak tahu. Sumpah! Ralit membaca punya pasal. Maklumlah baru hadiri Kempen membaca kat 1Borneo kan! Malas nak melayan akulah tu! Aku ni kan buta huruf!


Sesedap hati mak bapak dia je nak tukar!
“Masa saya masuk tadi, 2 kali staff check....tak kan dua-dua orang tak perasan saya dah salah masuk?”

Senyap je dia tak kata apa-apa. Aku tahulah dia tengah menyumpah-nyumpah aku yang bangang ni kot. Aku terus ke Gate 4. Staff kat situpun kata “betullah ni,” bila tengok boarding pass aku.

Aku tanya balik “Apa yang betul?”
Dia: Dah betul gate ni
Aku: Apa pulak betul...tak betullah ni. Kat Boarding pass ni catat Gate 5. Ni kan Gate 4...
Dia orang senyap je, dengan muka yang bertambah-tambah kelatnya. Dah malas nak melayan aku lah tu. Bila toleh belakang, ada sorang mamat cina juga sesat macam aku. Salah aku ke? Aku dah masuk GATE yang betul lah...GATE 5. Nak tunjuk muka kelat kat aku ape ke hal nye. Kalau cakap “Minta maaf, kami tukar gate last minit. Dah buat pengumuman tapi puan ni telinga pekak mengalahkan badak tak dengar kot...” aku boleh jugak buat muka selamba katak dan kata...”Memang dah 40 juta tahun saya tak korek telinga, maka ampunkan saya salah masuk gate,”

Betul ke aku salah masuk GATE? Bukan Gate 5 ke? Adoiii la...


Moral cerita: Kalau ada orang melayan terlebih-lebihnya tu, korang berhati-hatilah. Sebabnya, itu hanya lakonan semata-mata. Mesti dia orang menyesal melayan aku macam Dayang layan Tuan Puteri hingga terlari-lari macam nak terbang gitu kan? Jadinya, kalau layanan atau kata-kata aku ni tak sedap didengar, ampunilah daku kerana...yang sebenarnya (pinjam tajuk lagu Yuna jab), hatiku tulus dan ikhlas...eh boleh ke gitu? Mmm apapun, korang pikir je lah sendrey! (Nabil jugak dapat nama!)
Entri terakhir pasal Kota Kinabalu ni aku upload minggu depan je lah...tetiba je kebuloq tahap dewa. belum Sarapan lagi, bah!

Kota Kinabalu Lagi 1

Jumaat, 24 Julai 2009.

Bangun dengan malas. Kalau boleh nak tarik selimut lagi. Walaupun acara bermula 7.30 pagi di UMS, jam 8.00 pagi baru aku siap mandi dengan terhegeh-hegeh dan seterika baju. Dah lama tak pakai baju kebangsaan hu hu hu...nasib baik muat lagi!

Jam 8.30 pagi bermalas-malas sabaran pagi dan ke UMS. Masa sampai, orang lain dah lama masuk dewan kerana ucaputama Pal dekan sedang berlangsung. Duduk 5 minit, namaku disebut-sebut Pak Dekan. Nasib baik tak ada orang kenal (agak akulah. Aku ni pun bukannya glamer macam Mawi atau Mawas hu hu hu).


Hari ni dapat kawan baru, Ros Aniza berasal dari Kuala Lipis. Dah dua tahun dia kerja di UMS, 4 tahun kerja di Sabah. Suaminya juga. Peramah orangnya. Walaupun baru kenal tiga empat saat lepas, rasa macam kenal dah bertahun.

Tengahari, melencong ke Pasar Filipina walaupun orang lain masih tercongok dengar pembentangan (Jahat tak aku? Pergi melencong..nak kata melancong pun tak jugak kan?). Bbeli kuih cincin, rantai tangan untuk Dina (tetiba terjumpa FM yang cantik-cantik....terus je beli walaupun call Dina tak dapat untuk tanya dia nak ke tidaknya benda alah ni. Kalau ko tak nak, Dina...rasanya aku dah mula boleh kumpul benda ni kot! Mana-mana aku pergi boleh jumpa sedangkan sebelum ni aku tak tau pun benda ni banyak dibuat dalam dunia yang luas terbentang ni...hu hu hu) dan Broach untuk Jieda.

Sebelum ni tak pernah tanya pun harga mutiara atau apa-apa yang dijual kat situ kecuali ikan dan udang masin. Sebabnya...memang tak minat nak beli (perempuan jenis apa ntah aku ni, tak suka sangat benda-benda macam tu). Namun, bila Dina dan Jieda dah kirim, barulah tahu memang susah nak tawar harga hingga separuh walaupun kita tahu formulanya begitu (terutama bila barang yang kita nak beli tu jenis yang murah. Dapat tawar harga seringgit pun dah patut syukor. Kalau yang harga mahal tu, masih boleh turun harga walaupun bagi aku masih agak mahal. Rantai tangan mutiara untuk Dina aku hanya mampu tawar RM5 je (Penat pujuk, bah! Dah banyak kali sebut bah! Bah! Bah! Pun masih lagi tak dapat turun banyak, bah!) nasib baik tak banjir je. Harapnya Dina puas hati.

Jieda kirim broach. Kalau yang biasa tu (kristal) ada jugak yang kurang dari RM20, namun bila sebut nak yang ada mutiara...(bila tengok, memang cantik-cantik ...tapi harganya pun turut cantik, bah! Berapa banyak bah daaaaa....). paling murah aku boleh dapat RM30 (masa cakap dengan Jieda Isnin ari tu, aku lupa lak, bagi tau dia harganya RM25 pulak. RM25 tu tempat simpan sudu yang adik aku kirim. Mmmm tu la...lain kali terima lagi bebanyak kiriman!) Ampun, Jieda! Pusing satu pasar cari yang harganya kurang dari tu, tapi memang tak dapat. Kristal dapatlah. Kalau ko tak nak pun tak apa, nanti aku buka meja kat opis (macamlah banyak bebenornya aku beli, empat je pun. Kalau ko tak jadi ambik pun tak apa, mesti orang kat opis aku jerit-jerit marah sebab beli 4 je. Ramai yang akan sambar untuk pakai raya nanti (aku pun tetiba rasa berkenan pulak nak pakai untuk raya. Entah macam mana aku lupa yang raya tak lama lagi. Kalau aku pakai sorang je, mesti anak beranak, adik beradik, mak dan kakak ipar aku kutuk tahap dewa punya sebab tak beli untuk dia orang. Nak selamat, tak payah ler aku ambik!). Jangan paksa diri untuk ambik ya, Jieda. Hanya...Jieda diberi keutamaan untuk pilih sebab dia yang kirim. Nanti aku akan send gambar 4 benda alah tu melalui emel. Dah Jieda buat keputusan, baru boleh lelong untuk orang lain hu hu hu...ada gaya macam orang buat bisnes tak?

Hari tu aku jumpa satu benda menarik kat pasar pilipin tu. Ada satu beg gantung katak. Aku ni kan peminat katak hijau....so, tangan ni gatal je pergi belek. Ros kata tu katak betul. Aku memang tak percaya. Manalah tahu dia saja je nak usik kan? Tapi bila adik yang jual tu kata memang katal betul...mak aiiiiii nasib baik aku tak termuntah kat situ. Dia orang hanya tambah tali sangkutnya dan juga zip. Selebihnya adalah badan katak itu sendiri.

Malamnya hadiri makan malam di Shangri-La Tanjung Aru resort & Spa (STAR). Betul-betul tepi pantai tapi, dah malam buta, manalah nak nampak. Hidangan malam ni stail Cina. Oklah tu kan.....aku kan memang gila masakan cina. Duduk pula semeja dengan pasangan cina dari UPM. Meja tu dikhaskan untuk UKM dan UPM sebenarnya (dari UKM aku sorang je perempuan), namun yang datang tu hanya aku dan pasangan dari UPM itu aje. Ros temankan aku kat meja tu. Pasangan UPM itu pula tarik anak-anak buahnya dari UPM. Jadinya, hanya aku dan Ros saja Melayu.


Nak meriahkan meja tu, aku buat2 je lah belajar makan dengan chopstik. Beria-rialah dia orang tu mengajar aku makan. Ros memang awal-awal lagi dah tarik bendera putih. Aku pula memanglah tak hebat sangat guna buluh tu, tapi takat nak berlakun tu kira masih boleh lagi. Itupun kalau terdesak sangat. Tak lah memalukan sangat kalau satu hari aku terpaksa berkampung di Yunan (tempat impian aku nak pergi sebelum mati selepas pegi Mekah dan Swiz) yang tak ada sudu dan garpu tu...bolehlah lagikan.

Masa aku sampai dan masuk dewan makan tu, acara makan dah mula hidangan pertama. Duduk je terus makan hu hu hu... Lebih kurang jam 9.30 malam baru Menteri Pelancongan Sabah sampai dan ucapan dimulakan. Aku memang tabik spring dengan pihak pengurusan dan Pak Menteri yang sporting sebegitu. Selalunya, kalau Pak Menteri belum sampai, acara makan tak akan dimulakan. Kali ni, makan dah nak habis baru menteri sampai. Kira oklah jugak macam tu. Pak menteri pun kenalah faham yang orang tunggu dia ni pun kebuloq juga kan. Dah dia yang lambat, janganlah pula dok dera orang lain untuk tunggu dia.


Aku pernah hadiri satu majlis makan malam amal kat Hotel Sunway awal tahun 2002 dulu. Dahlah kita orang kena bertolak jam 6 petang sebab nak elak jem, terlari-lari untuk solat maghrib, kenalah pulak tunggu Perdana Menteri pulak datang. Perdana Menteri pulak datang dengan lemah gemalainya pada jam 9.30 malam, ucapan pulak panjang-panjang padahal tak ada siapa pun nak dengar sebab semuanya dah kebuloq dan makan dimulakan pada jam 10 malam. Makan malam ke makan tengah malam tu? Aku dah nak pengsan dengan pedih perut. Nasib baikbawak bekal biskut dalam handbeg (sebab tu lah handbeg perempuan kena besar, boleh sumbat biskut, roti dan botol air mineral hu hu hu).

Di sebabkan meja aku kat belakang sekali, jadi acara di pentas taklah nampak sangat. Kena benarlah dengan acara belajar makan guna chopstik dan menghayati hidangan sepenuhnya. Di pentas kami dihidangkan dengan bacaan puisi yang menari, nyanyian lagu-lagu oleh pelajar UMS seperti lagu “Yang Sebenarnya”, lagu-lagu 60-an, lagu dangdut dan lagu rakyat serta tarian kadazan-dusun. Kami juga dihiburkan dengan tiupan saksofon, gesekan celo (macam pergi korea pulak aku!) dan tiupan sampolin. Tak ketinggalan juga nyanyian lagu klasik yang diperdengarkan oleh Pak dekan yang bersuara saprano. Ala-ala Broery Marantika gitu! Baliknya, terus online. Gian bah! Malangnya lupa nak bawa kabel telefon. Kalau tak dah boleh upload gambar.

Kota Kinabalu Lagi

Rasa macam sekejab je sebulan dah berlalu kan? Kali ni ke Kota Kinabalu lagi. Tinggal di hotel yang sama juga. hanya, kali ini 3 hari dua malam sahaja. Kurang sehari masanya berbanding bulan lepas. Ingatkan tak mahu tulis sangat pasal Kota Kinabalu kali ini, dah panjang lebar cerita bulan lepas.

Khamis, 23 Julai 2009
Ke KLIA jam 12 setelah pagi-pagi lagi ke pejabat. Kali inipun aku tak dapat check in sendiri. Mesin tu memang anti betul dengan aku kot!
Perjalanan ke KLIA...hijaunya hilang!

Di KLIA aku sempat up date antivirus. Dalam belon tak sempat pula nak test boleh guna wifi atau tidak kerana disebelahku sekeluarga pelancong dari London. Faham-faham sahajalah ruang yang cukup-cukup muat untuk mereka duduk itu adakalanya memakan raung untukku. Jadinya, lebih selamat untuk membaca sahaja daripada buka laotop. Sepanjang perjalanan, aku hanya baca novel Cinta Qatrunnada yang boleh tahan tebalnya itu. Anggaran berat= 1 kg.


Kali ini juga tinggal di CourtyardHotel di 1Borneo, bilik yang bertingkap dengan RM298 semalam. Mahal sebenarnya berbanding hotel lain, tapi disebabkan dia orang mudahkan urusan tempahan bilik, aku bantai je. Lain kali ke KK harapnya aku akan pilih hotel di tengah bandar pula. Dah bosan kot kat sini.

Kali ni ada tingkap. Inilah pemandangan dari tingkapnya...Fuyooo, nampak bukit!
Siap letak barang, terus ke 1Borneo cari KFC (lagi) untuk makan malam. Sebelum tu cuba cari kedai buku. Hanya ada sebuah kedai buku sahaja tetapi buku-bukunya pula terhad. Tidak seperti aku idamkan. Tak juga seperti gahnya kedai buku itu. Hanya kedai je yang gah!

Baliknya, aku jinjing 1 ketul kek keju, 2 ketul ayam goreng di KFC dan masuk Giant cari kopi. Kopi????? Fuyoooo dah lama tak minum kopi. Nak hilangkan giant je. Masa cari tangga nak balik hotel, terserempak dengan acara Kempen Membaca. Langsai seratus lebih kat Dawama. Nasib baik UMS hanya ada gerai sahaja, kalau tak, entah berapa banyak lagi duit tiris dari dompet.
Perpustakaan Negeri Sabah
4 buah buku beli
Malamnya online dengan Jieadam dan seorang rakan setelah menyusahkan adik teknisen hotel lebih 30 minit. Akhirnya baru tahu yang kabel laptop tak fungsi. Nasib baik tak sempat pindah bilik.

Khamis, 23 Julai 2009

Puteri Imaneisya “Kasih Ini Milik Kita”

Dah lama aku tulis pasal ni, tapi entah kenapa hati tak tergerak untuk upload kat blog. Entah kenapa. Kejab lagi nak lari pergi KLIA untuk ke KK, jadinya...malas nak pikir panjang aku tampal je lah benda alah ni kat sini. Mana tahukan kot-kot ada orang rindu nak baca blog aku semasa tuannya entah kat dunia mana hu hu hu....


Dah lama novel ini memenuhi rak buku tanpa kubelek isinya sejak belinya semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur April 2009 lalu. Lama kan? Akhirnya aku punya kesempatan untuk menelaahnya semasa melencong (bukan melancong ya) ke Sabah untuk urusan kerja. Aku tak suka buang masa begitu sahaja. Tiap saat memang bererti dalam hidup, jadinya...ruang yang terluang aku isi dengan baca novel ni hingga selesai. Dah nak landing Kota Kinabalu semula, barulah aku tampal benda ni kat sini. Lama kan? Apa-apa pun, nikmatilah santapan minda ini seadanya...

Berikut adalah ulasan aku tentang novel ini serba sedikitnya. Kalau baik jadikan panduan, kalau tak berapa nak baik...buang je dalam tong sampah (boleh ke buang blog dalam tong sampah?);

Judul: Kasih Ini Milik Kita
Penulis: Puteri Imaneisya
Penerbit: Fajar Pakeer
Tahun: 2009
Harga: RM24.90
Jumlah halaman: 715

Sinopsis

“Kasih Ini Milik Kita” mengisahkan tentang persahabatan 4 orang remaja (Maya, Shahiza, Eliza dan Melissa) yang mengenali antara satu sama lain di ruang perbincangan maya rehatminda.com. Mereka akhirnya menjadi teman serumah yang saling mengambil berat antara satu sama lain. Keakraban yang bermula di ruang maya rehatminda.com kemudiannya dibawa ke dunia realiti. Mereka sama-sama menjalani suka duka, gembira kecewa dan senyum tangis bersama-sama. Saling tolong menolong, bantu membantu dan bersama-sama menghadapi kehidupan remaja mereka secara positif. Mereka saling memahami dan membantu, malah sentiasa mengambil berat dengan orang di sekeliling.

Maya yang hangat bercinta dan terlalu menyayangi Joseph (berlainan agama dan bangsa) terpaksa menerima perkahwinan yang diatur oleh keluarganya tanpa mampu menolak walaupun dia sendiri tidak kenal calon suaminya itu. Biarpun begitu, dia tetap meneruskan hubungannya dengan Joseph tanpa pedulikan tunangnya. Semasa Maya kemalangan jalan raya dan terlantar di hospital, tunang misterinya itu tidak kelihatan menyebabkan dia semakin tidak ada hati untuk berkahwin. Pada masa inilah, perhatian dan kasih sayang Joseph semakin dirasainya, menyebabkan cintainya kepada lelaki itu kian menebal. Maya hanya mengetahui suaminya Muaz al-Amin (nama Islam Joseph) semasa upacara membatalkan air sembahyang, menyebabkan dia berasa sangat gembira.

Shahiza yang mencintai Aiman Rahimi sangat kecewa dengan tindakan lelaki itu yang meminta putus hanya sekadar sebab dia seorang anak luar nikah yang dibesarkan di rumah anak-anak yatim (Banyak lah pulak “yang”nya dalam ayat ni...dah lalut ni, lain tahunlah ubahsuai ya). Tidak diketahui asal usul diri dan keluarga. Cintanya yang mendalam kepada Aiman Rahimi menyebabkan dia sukar menerima lelaki lain dalam hidupnya. Walaupun begitu Akmal Hakim tetap berusaha untuk memenangi hati Shahiza. Kedatangan semula Aiman Rahimi dalam hidup Shahiza menyebabkan Akmal Hakim terpaksa menarik diri dan sentiasa mendoakan kegembiraan Shahiza. Namun, Aiman Rahimi ternyata meninggalkan Shahiza sekali lagi apabila gadis itu mengalami peristiwa dirogol semasa pulang dari kerja dan terpaksa membuang sebelah ovarinya kerana kanser. Pada saat ini Akmal Hakim sentiasa berada di sisi Shahiza. Ketulusan hati Akmal Hakim dan keluarganya menerima kekurangan diri Shahiza, menyebabkan dia akhirnya menerima lelaki itu di dalam hidupnya, setelah kembali dari mengerjakan umrah.

Eliza pula seorang gadis yang periang dan perahsia. Sifat periangnya itu memudahkan dia mesra dengan siapa sahaja termasuk Aiman Rahimi. Apabila menyedari Aiman Rahimi dan Shahiza mempunyai hubungan yang serius, Eliza mengundurkan diri. Dia rasa bersalah dengan masalah yang timbul antara pasangan itu. Semasa ke Kundasang, Sabah untuk memujuk Maya, dia telah berkenalan dengan Danish Zafran. Eliza sebenarnya telah keluar dari rumah kerana kecewa dengan sikap mamanya dan berusaha untuk hidup berdikari. Setelah kematian ayah, mamanya telah berkahwin baru dengan boss sendiri. Ayah tiri Eliza pernah cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya tetapi dia pula dimarahi mamanya. Mamanya menuduh dia cuba menggoda ayah tiri sendiri. Akhirnya konflik dua beranak itu berjaya dileraikan apabila dia yang merakamkan semua kekasaran ayah tirinya terhadap mamanya menggunakan tape tersebut sebagai bahan ugutan supaya mamanya diceraikan.

Melissa hadir sebagai watak yang ringan sahaja. Dia yang berasal dari Sabah akhirnya memeluk agama Islam. Novel ini berakhir dengan kegembiraan apabila Maya bersalin pada hari persandingan ketiga-tiga sahabat baiknya. Melissa berkahwin dengan Badrulnizam, Eliza dengan Danish Zafran, manakala Shahiza berkahwin dengan Akmal Hakim. Ketiga-tiga pasangan pengantin ini tidak sempat bersanding di dewan kerana perlu berkejar ke hospital apabila Maya tiba-tiba sakit hendak bersalin. Maya dikurniakan anak kembar tiga.


Watak dan Perwatakan
Maya
Maya merupakan watak utama dalam novel ini. Dia seorang yang periang, peramah, pelucu dan bermulut lazer. Namun, dia juga seorang yang baik hati, prihatin, penyayang dan sangat bertimbang rasa terhadap orang di sekelilingnya. Sekalipun dia begitu menyayangi kekasih hatinya, Joshep, namun, apabila melibatkan keluarga, dia sanggup melupakan hati dan perasaannya sendiri dan memenuhi kehendak ibu bapanya. Dia telah menerima pinangan Ustaz hadi dan bertunang dengan orang yang tidak dikenali kerana mengikut kehendak keluarga, walaupun pada hakikatnya hati Maya sendiri tidak dapat menerima situasi sebegitu.

Shahiza
Shahiza seorang yang simple dan perahsia walaupun dia juga seorang yang lucu dan peramah dengan orang yang mengenalinya. Pada masa yang sama, dia juga seorang gadis misteri yang tidak mudah menceritakan kehidupan pribadi dan masalahnya kepada orang lain. Namun, dia sangat prihatin dengan persekitaran, mengambil berat tentang rakan-rakannya dan seorang pendengar yang baik. Tingkah lakunya, senyum dan tawanya terpenuh dengan misteri yang sukar ditebak oleh orang lain.

Shahiza adalah anak luar nikah yang dibesarkan di rumah anak-anak yatim. Dia menolak cinta Akmal Hakim kerana mengharapkan cinta Aiman Rahimi yang dikenali di rehatminda.com. Namun, apabila Shahiza diperkosa dan terpaksa membuang ovarinya kerana kanser, Aiman Rahimi telah memutuskan hubungan mereka. Ketulusan Akmal Hakim dan keluarganya menerima Shahiza membuatkan hatinya lembut. Kembali dari umrah, Shahiza bersedia menerima Akmal Hakim.

Eliza
Eliza seorang yang periang, lucu dan kelakar. Setelah kematian ayah, hidupnya telah berubah. Ibunya telah berkahwin lain dengan boss sendiri. Lelaki itu cuba memperkosanya. Dia pula dituduh ibunya menggoda ayah tiri sendiri hingga mendorong dia keluar dari rumah dan hidup berdikari. Apabila mengetahui ibunya sering didera ayah tirinya, Eliza sering balik ke rumah secara diam-diam dan merakamkan semua kekerasan yang dialami ibunya. Akhirnya dia berdepan dengan ayah tirinya setelah tidak tahan lagi melihat penderitaan ibunya dan memaksa ayah tirinya itu melafazkan talak. Kehidupan mereka kembali ceria setelah itu. Perkenalannya dengan Danish Zafran di Kundasang melengkapkan lagi kegembiraannya, apabila cinta mereka membawa ke jinjang pelamin.

Melissa
Melissa adalah gadis Kadazan kelahiran Sabah. Dia akhirnya memeluk agama Islam kerana tertarik dengan cara hidup dan keindahan Islam apabila melihat rakan-rakan serumahnya yang lain. Dia berkahwin dengan Badrulnizam.

Apa yang best pasal novel “Kasih Ini Milik Kita”

i. Bahasa bersahaja
Sesuai sangat dengan pembaca golongan remaja yang lebih santai, bersahaja dan mudah sahaja bahasa yang digunakan. Perkataan-perkataan atau ayat yang digunakan ini pula mampu membuatkan pembaca menghayati suasana dalam setiap situasi. Paling mengesankan adalah suasana gembira, ceria dan melucukan. Ini mampu membuatkan pembaca tidak kering gusi, paling tidakpun tersengih keseorangan sambil mengadap novel.

ii. Kelakar dan lucu
Sebagai pembaca, terus terang dikatakan yang novel ini memang terpenuh dengan kelucuan dan kelakar. Walaupun ada masanya serius, sedih, kecewa dan geram, namun tetap diselitkan dengan hal-hal lucu yang membuatkan pembaca pasti akan ketawa dan tersenyum-senyum. Sebenarnya, hampir sepanjang masa pembaca akan tersenyum dengan kelucuan yang dikemukakan. Rakan di sebelah pasti akan cemburu dengan novel ni. Sama seperti rakan-rakan dan orang di sekeliling saya semasa novel ini saya baca. Pembaca akan rasa gembira, enjoy sangat baca novel ni hingga sanggup melepaskan rancangan TV kegemaran atau mengurangkan waktu tidur semata-mata untuk menghabiskan novel tebal ini. Bagi sesiapa yang sedang stress, menghadapi masalah besar, berhadapan dengan kemurungan, dah pasti novel ini boleh menjadi alternatif mengubati minda. Tak percaya? Baik pergi beli dan baca!


iii. Banyak pengajaran boleh dikutip dalam novel ini. Sekalipun novel ini memaparkan tentang kehidupan remaja masa kini, namun pengisiannya bukan hanya tentang cinta semata-mata. Cinta itu pula berlandaskan Islam, bukan hanya untuk keseronokan dan nafsu muda mudi. Selain itu, diterap juga tentang kasih sayang keluarga.

Nilai persahabatan menjadi inti utama dalam novel ini. Walaupun semua watak ini mengenali dan kenal di satu forum perbincangan maya yang selalu mereka kunjungi secara online, itu tidak menjadi alasan untuk mereka menjadi sahabat yang baik. Persahabatan yang ikhlas dan murni telah mereka harungi tidak kira semasa susah atau senang. Mereka juga saling membantu, memberi sokongan moral ketika berduka dan sama-sama bergembira dengan kegembiraan rakan yang lain. Namun pada masa yang sama, novel ini juga turut memaparkan tentang bagaimana setiap insan perlu bersedia untuk terima takdir dan kuasa allah dengan setiap apa yang berlaku dalam hidup mereka.

Novel ini turut menuntut pembaca supaya hati-hati dengan dunia siber, yang penuh dengan pelbagai helah, tipu daya, dan kesangsian, walaupun masih ada lagi kejujuran dan kebaikan. Sifat berhati-hati dapat mengelakkan pengguna daripada tertipu. Selebihnya novel ini telah menerapkan tentang watak-wataknya yang yang sangat patuh kepada agama, berpendirian teguh dan tahu batasan pergaulan. Keseluruhannya, sekalipun novel ini terpenuh dengan cerita yang menarik, bahasa yang mudah, ringkas dan lucu, pada masa yang sama, penulis tidak melupakan tentang tanggungjawab sosialnya. Semua inti, pengajaran dan teguran terhadap pelbagai isu ini telah digarap dan diuli oleh penulis ini dalam cerita dengan kemas hingga tidak menampakkan langsung sifat mengajar atau berkutbah. Ini menyebabkan pembaca tidak rasa bosan atau paling kurangpun melangkau bacaan untuk halaman tertentu. Syabas Puteri Imaneisya

iv. Gambaran Generasi kini yang ada jati diri walaupun hidup pada zaman moden. Tahniah diucapkan kepada penulis ini. Walaupun sesebuah novel itu ditulis untuk menghiburkan pembaca, namun pada masa yang sama penulis ada tanggungjawab sosialnya. Inilah yang telah dilakukan oleh penulis ini. Generasi muda kini tidak perlu hilang arah dan jati diri untuk hidup pada zaman IT dan dunia globalisasi. Remaja masih lagi boleh hidup dengan gembira, mempunyai rakan-rakan yang ramai dan melakukan pelbagai aktiviti seperti perkemahan, namun pada masa yang sama masih lagi menjaga susila ketimuran. Tidak mengabaikan nilai-nilai Islam.


Apa yang tak best “Kasih Ini Milik Kita”

i. Boleh diteka apa kesudahannya. Pada halaman 230, dah tahu Maya sebenarnya bertunang dengan Josh. Tak pastilah pula pembaca lain juga boleh teka macam tu atau tidak. Walaupun begitu, tahniah kepada Puteri Imaneisya kerana ada teknik tertentu untuk menyatakan suspen pada bahagian akhir novel. Namun, cara ini sudah terlalu kerap digunakan dalam novel, drama atau telenovela menyebabkan pembaca yang dah selalu baca novel mampu meneka.

ii. Maya lahirkan anak kembar tiga? Kan semua tu boleh kesan masa mengandung, kecualilah pembaca memang diberitahu Maya rahsiakan hal itu kepada rakan-rakannya. Masa mengandung untuk anak kembar juga tetap 9 bulan? Kebiasaannya, tak ramai wanita yang mengandung anak kembar akan bersalin sama seperti itu (9 bulan), tetapi lebih awal. Agak jarang juga wanita bersalin anak kembar melahirkan dengan cara normal kerana apabila kelahiran berlaku tak cukup bulan, bayi akan hadapi masalah kesihatan seperti perlukan bantuan pernafasan kerana paru-paru belum lagi kuat, perlu masuk inkubutor dan sebagainya. Apabila kelahiran Maya secara normal, cukup pula bilangan bulannya, kedua-dua ibu dan anak pula sihat-sihat belaka, penulis seakan memaksa pembaca untuk berasa gembira dengan semua “kegembiraan” berpakej tersebut (perkahwinan Eliza, Shahiza dan Melissa serta kelahiran kembar 3). Kat situ nampak macam tak real sikit. Tak apa kalau Maya atau kembar 3nya itu ada masalah pada peringkat awal. Kalau penulis rasa nak gembirakan pembaca pada bahagian akhir novel ini, boleh aje selesaikan masalah itu dengan gambarkan mereka semua akhirnya keluar dari hospital. Kalaupun ada masalah kesihatan, tidak semestinya akan berakhir dengan kematian kerana teknologi perubatan di negara kita pun memang dah maju dan terkini.

iii. Tak kira secergas manapun seorang wanita itu, bila sampai bab bersalin akan kehilangan banyak tenaga dan darah. Mereka tetap perlu rehat yang cukup pada tahap awal bersalin. Apalagi kalau anak pertama. Jadi, kecergasan watak Maya selepas beberapa jam bersalin nampak agak kurang realistik. Apa lagi bila kelahiran berkenaan adalah kelahiran sulong. Walaupun ada orang mengatakan terdapat sesetengah wanita “mudah” bersalin hingga bersalin sendirian (biasanya banyak kes melibatkan kelahiran anak luar nikah yang kemudiannya dibuang. Orang di sekeliling tak sedarpun dia dah bersalin), namun semudah mana pun proses bersalin itu, ia tetap merupakan proses berisiko yang menuntut seseorang wanita itu banyak berehat. Mmm nak tahu lebih lanjut lagi, kenalah tanya wanita-wanita yang dah ada pengalaman bersalin lah ya...ataupun nak gambaran yang lebih terperinci, boleh saja cari di youtube.

iv. Walau bagaimana suka berguraupun seseorang itu, namun dalam masyarakat Melayu kita, gurauan juga perlu ada masa dan tempatnya. Gurauan sesama rakan-rakan berbeza caranya dengan gurauan bersama orang yang lebih tua, tetapi dalam novel ini, kedua-dua jenis gurauan itu tidak dapat dibezakan. Gurauan yang keterlaluan di hadapan orang tua pula dianggap biadap. Kebiasaannya, golongan yang lebih muda lebih menghormati orang yang lebih tua dan menghadkan cara gurauan berkenaan. Apalagi bila melibatkan ayat-ayat lazer yang hanya sesuai untuk rakan-rakan atau orang tertentu. Kita tidak akan bergurau dengan cara yang sama untuk semua jenis orang. Keakraban dengan seseorang akan


Anugerah Bintang:
Aku bagi 8 bintang juga untuk novel ini. Memandangkan ini bukanlah novel pertama Puteri Imaniesya, dah tentulah bintang dia kurang sikit nilainya. Apapun, novel ini sudah semestinya seronok dibaca. Pengahiran yang ceria dan menggembirakan, buatkan ramai pembaca akan puas hati dan seronok.


Cadangan:
Novel ini memang dah bagus sebenarnya. Menghiburkan, kaya dengan ilmu dan pengajaran. Penuh dengan perasaan di dalamnya (lucu, gembira, suka, duka, sakit, pedih, geram, benci). Tidak banyak kelemahan yang ada, hanya sedikit kesilapan fakta yang ada masanya tak tersilau dek mata. Itu biasa berlaku kerana apabila penulis menukang sebuah novel bak membina banglo mewah. Pasti ada bahagian tertentu terlupa nak pastikan kualitinya. Walau bagaimanapun, sedikit kesilapan itu tidak mencacatkan jalan cerita, sekadar menyerlahkan yang penulis tidak double check tentang fakta berkenaan.


i. Saya memang pasti penulis telah melakukan penyelidikan yang agak sempurna untuk novel ini dari pelbagai sudut, termasuk hal-hal berkaitan kejiwaan seperti tekanan emosi seseorang yang menjadi mangsa rogol dan keterpaksaan seorang anak berkahwin tanpa rela. Begitu juga tentang tempat-tempat tertentu yang digambarkan secara terperinci seperti Kundasang. Tahniah dengan usaha keras ini. Hanya pada bahagian tertentu (rujuk Apa yang tak best “Kasih Ini Milik Kita”) penulis tak terperasan tentang fakta yang bukan dari bidang penulis. Jadi, salah satu cara untuk mengelakkan hal sebegini berlaku dalam novel akan datang, penulis manis ini patut dapatkan khidmat sesiapa (rakan baik @ sesiapa yang sesuai) untuk bacanya sepintas lalu sebelum dihantar kepada penerbit. Hal ini penting kerana, sebagai penulis yang telah menukangnya dari awal hingga akhir, menulisnya, membaca dan mengeditnya berulangkali, ada masanya sudah tidak mampu lagi mengesan kecacatan yang sebegini. Sekiranya penulis ada rakan lain yang membaca dan sudi mengkritik secara jujurnya (jalanlah pula bila kena kritik melenting pula, sebab bukan semua benda yang kita buat tu betul dan bagus semuanya. Ada kala, perlu juga kita dengar pendapat orang lain kalau rasa nak meningkatkan mutu walaupun bukan kita terima seratus peratus). Pengkritik itu pula, kritiklah juga secara jujur dan berilah cadangan yang bernas dan memberangsangkan dengan niat untuk tambahbaik nilai karya. Bukannya nak jatuhkan penulis atau sesaja je nak rosakkan novel orang. Kenalah ada asas yang kuat juga.

Namun memang diakui sangat susah untuk dapatkan khidmat orang lain untuk bacakan dahulu sebelum hantar. Pertama, memang ambil masa. Ada orang boleh bacanya dalam waktu yang singkat, namun ada orang perlukan masa yang panjang untuk selesaikannya. Kedua, orang yang baca itu belum tentu mampu berikan kritikan yang membina. Ketiga, orang yang menerima kritikan juga belum tentu dapat menerima idea atau saranan rakan yang mengkritik tadi. Ada sesetengah orang, tidak berkeupayaan menerima semua kritikan secara positif. Keempat, ketebalan sesebuah novel (berbanding cerpen atau puisi) buatkan tidak ramai orang sanggup baca dan kritik dalam masa yang singkat. Kalau orang itu tidak berminat tentang penulisan kreatif, dah tentulah susah untuknya menghabiskan dalam jangka waktu yang singkat, apalagi berikan idea dan kritikan bernas untuk tambah nilaikan novel berkenaan. Andainya punya teman sebegitu, anda seorang penulis yang bertuah.


ii. Novel ni memang dah bagus, tak banyak benda yang boleh dicadangkan. Dari segi cerita, plot, mood, suspen dan penyelesaian yang digarap pengarang, memang dah bagus. Hanya ada sedikit hal sahaja yang perlu penulis ni hati-hati untuk penulisan novelnya pada masa akan datang. Secara keseluruhan, memang dah cantik! Isunya terkini, humornya ada, ceritanya best. Klimaknya pun mengembirakan. Semua itu adalah pakej yang sempurna kepada pembaca. Pembaca nak kan kegembiraan bila membaca novel. Kira macam tengok filem hindustan jugalah, kalau penyudahnya duka nestapa dan sedih, akan ada panggung kena bakar. Sebab itulah boleh dikatakan hampir 99 peratus filem Hindustan tu berkesudahan dengan kegembiraan.

iii. Penulis tidak perlu takut untuk membuai perasaan pembaca dengan meletakkan pelbagai suspen dan kejutan walaupun pada akhirnya penulis mahukan pengahiran yang mengembirakan. Contohnya, Maya mungkin menghadapi masalah kesihatan dan perlu bersalin awal kerana mengandungkan kembar tiga. Ini menyebabkan bayinya perlu ditahan di hospital. Bayinya demam kuning, atau masalah dengan paru-paru (atau lain-lain lagi yang sesuai). Ini boleh membuai emosi pembaca untuk turut sedih dan menangis bersama watak Maya. Kecanggihan teknologi, penemuan baru dalam bidang perubatan ataupun terdapat seorang hamba Allah yang membantu pulihkan keadaan. Pengakhiran tetap gembira kan?


Tulisan ini bukannya nak ajar penulis. Puteri Imaneisya memang dah penulis yang hebat. Dah bagus. Tulisan ini hanyalah pendapat pribadi yang mungkin boleh diterima pakai, mungkin juga hanya sebagai idea kiranya sesuai. Tidak ada niatpun untuk komplen. Andai tulisan ini tiada makna atau guna apa-apa, maka...silalah abaikan.