Selasa, 4 Ogos 2009

Kota Kinabalu Lagi 3: Takafur Diri

Masa kapal terbang melayang turun ketika datang KK tempoh hari, pada ketinggian 16 ribu kaki di udara, keindahan laut Sabah dapat sisaksikan. Terlalu indah sebenarnya. Pada ketinggian itu, pulau-pulau, batu karang, kapal, malah pelantar minyak dapat dilihat dengan jelas. Indahnya pulau dan batu karang di perairan Sabah begitu mengujakan. Rasa macam nak terjun je ke laut masa itu juga. kalaulah ada kamera dslr, dah pasti semuanya dapat dirakamkan. Apa daya, telefon tak boleh digunakan dalam pesawat.




Deretan kapal-kapal terlihat begitu banyak (semasa balik baru tahu kapal-kapal itu sedang kerumun Labuan, semasa ke KK tak sedarpun pulau itu Labuan). Bot-bot kecil pula kelihatan bak semut dalam cawan kopi. Kejernihan air laut menyerlahkan aras kedalaman laut hinggakan pada ketinggian sebegitu mata sudah mampu melihat pulau-pulau kecil, laut yang cetek dengan lagun indah, ataupun laut dalam yang membiru. Benarlah, laut Sabah antara syurga dunia. Kalaulah berpeluang untuk berada di dalamnya, alangkah indah!




Kala tinggi meredah putih gumpalan awan, ada masanya diri turut terapung. Melompat antara putih awan yang nampak padu. Bersih bak kapas yang bergumpal. Rasa nak kutip dan kunyah saja. Rasa nak lompat dari satu ketul awan ke ketul yang lain sambil kunyahnya. Tetiba je teringatkan arwah Mak chekok yang akan hadiahkan kami gula-gula kapas tiap kali ke lapangan terbang untuk hantar atau ambil orang haji. Gula-gula kapas itulah satu-satunya kenangan yang masih bersisa padanya. Selebihnya, kami sudah lupa. Perginya mengadap ilahi masa umur kami masih kanak-kanak. Nasib baik ada sekeping gambar lamanya yang entah macam mana ada dalam simpanan keluarga kami. Adik-adik yang lain dah tak ingatpun rupanya lagi.

Rasa macam best sangat kalau boleh melompat-lompat atas awan. Rasa macam seronok sangat kalau boleh melompat-lompat sambil guling-guling atas gumpalan awan itu. Sambil itu juga kutip dan makan awan gemawan warna putih yang terbentang luas itu.




Hidup yang sentiasa sahaja berlari mengejar, lupakan kita pada sesuatu yang lebih penting dari itu. Ada masa, kita terlupakan tentang hati sendiri. Tentang diri. Terlalu banyak yang ingin dikejar, hendak dihambat gapai. Bila tiba pada satu detik, diri memang rasa lelah. Letih amat. Yang dikejar tetap juga tak tergapai, yang dikendung masih juga tak terbawakan.
Kala berada pada ketinggian berpuluh ribu kaki dari aras bumi, hati tiba-tiba terfikirkan sesuatu...apa sebenarnya aku cari dalam hidup ni? Berbaloikan apa yang aku kejar selama ini, setelah banyak juga perkara dicicirkan?
Lain kalilah pikir ya...dua jam setengah dalam penerbangan belum begitu cukup untuk mencari sesuatu. Sambung pikir balik lain kali kat mana-mana. PD boleh?

4 ulasan:

NAZ berkata...

wow ini sangat cantik

anyss berkata...

Naz: Gambor tu kidnap dari internet, yang sebenarnya lagi cantik dari tu...

iza~de~bintang berkata...

saya suka juga duduk tepi tingakap. banyak gambar yang saya ambil dan ada entry tantang awan juga.
boleh layan perasaan, boleh berangan, rasa macam di alam kayangan. rasa nak peluk awan tu.

Lebih takjub lagi bila perjalanan jauh...melihat sebelah sini masih gelap dan di horizon yang satu lagi matahari mulai bersinar buat saya rasa takjub yang amat... ya Allah hai syahdu semacam ja huhuhu.

anyss berkata...

Iza: Best kan kalau dapat main lompat2 kat tengah awan tu hu hu hu... Kalau terbang masa mentari nak masuk tidur atau hari baru terjaga...wow! lebih terasa kerdilnya diri...