Selasa, 16 Disember 2008

Cinta itu...




Semalam baru balik dari Kuching. Aku selsema sebelum pergi sana lagi. Di Kuching, aktiviti yang padat, berada jangka masa yang lama dalam aircond dan cuaca yang tak menentu sebabkan selsema itu bertambah berat. Tekak mula perit dan sakit. Dan hari ni, kepala kian memberat.
Jadinya...hanya ini sahaja mampu kutulis sebagai update blog ini.
Harap sabar ye, nanti aku akan cerita keindahan Kuching ya...

Rabu, 10 Disember 2008

Belalang Goreng



Pernah makan belalang goreng?
Sedap belalang goreng ni. Berbanding sambal ikan bilis, belalang goreng lagi sedap. Tak ramai orang pernah rasa belalang goreng, tambah lagi pada zaman serba maju dengan pelbagai makanan lazat yang boleh dibeli di mana-mana sahaja.

Dulu-dulu, selalu juga kami masak belalang goreng. Teringat zaman dulu-dulu ni, ungkit balik nostalgia yang orang zaman sekarang banyak tak lalui. Macam dah tua sangatlah pulak rasa diri...hu hu hu...tak apa, di hati aku tetap 18 tahun.


Bukan semua jenis belalang boleh dimakan. Bagi yang tinggal di kawasan bendang padi, mungkin pernah rasa atau tahu tentang belalang goreng ni. Hanya belalang minyak atau belalang beras yang ada di kawasan sawah padi singat aku boleh digoreng dan dimakan. Belalang jenis lain tak tahu pulak boleh dimakan atau tidak.

Biasanya belalang jenis ini banyak didapati pada musim menuai ataupun pada musim menanam padi. Kalau musim menuai lebih mudah diperolehi kerana belalang terperangkap bersama padi yang dimesin jentera penuai. Jadi senang saja mengutipnya. Kalau musim menanam, terpaksalah tangkap seekor demi seekor di kawasan sawah padi. Belalang ni jinak bila musim hujan. Senang saja tangkap. Mungkin dia juga kesejukan.

Sayap dan kaki belakang belalang akan dibuang. Bagi yang besar saiznya, kepala juga akan dicabut. Isi perutnya akan terkeluar sekali dengan kepala. Bahan-bahan yang digunakan untuk masaknya juga simple sahaja. Hanya bawang merah dan putih, cili, sedikit santan pekat dan garam sahaja. Goreng belalang yang telah dibersihkan itu tanpa minyak hingga kekuningan. Setelah itu masukkan semua bahan dan kacau hingga garing dan rangup.

Apa kata mencuba makanan eksotik ni? Kenalah belajar tangkap belalang dulu dan...mana nak cari belalang minyak ya?



Masak Lemak Siput

Pernah rasa masak lemak siput bendang?

Rupa siput bendang berbeza sedikit daripada siput yang dikutip di kawasan pantai. Lebih comel dan gemuk. Disebabkan siput tu kecil sahaja, susah sikit nak ambil gambarnya. Kamera tak boleh folus memang itulah kelemahannya. Apa daya tak boleh banyak komen, maklumlah kamera pinjam hu hu hu...

Siput ini warnanya hitam. Banyak didapati di kawasan sawah padi terutamanya pada musim tanam padi. Masa balik kampung beberapa hari lepas (masa tulis ni pun, aku masih lagi berada di kampung menikmati deru monsun timur laut. Tiap hari hujan lebat, sepanjang masa langit mendung je. Best bila makan ubi kayu rebus dengan kelapa parut...kena mintak Cokek belanja ni hu hu hu ...), kebetulan ada siput yang ayah dah kutip semasa bersihkan parit di bendang. Jadinya, sebelum Aidiladha, mak masak lemak siput tu.

Beza masak lemak siput yang selalu dijumpa di KL atau tempat lain, masak lemak siput di tempat kami dimasukkan daun kadok. Jadi rasanya lain sikit.

Petangnya, Along Fatin, Angah Nazahah dan Angah Fahmi telah diajar cara untuk potong bontot siput. Malam tu, meriah seisi rumah dengan gelagat anak-anak buah aku makan nasi dengan siput. Bising bunyi mereka sedut siput. Pengalaman baru bagi mereka. Tak sempat nak snap gambar, semua dah licin!

Selasa, 9 Disember 2008

Dialog Maut


i
Angah: Janganlah bawa laju...excident nanti susahlah.
Aku: Kenapa pula angah susah?
Angah: Angah ni belum besar lagi...belum pun UPSR. Belum kahwin lagi ni...

ii

“Benci aku ada anak semua lelaki. Tak pernah nak main elok-elok...gaduh saja kerjanya!”

Dialog itu dilafazkan sepupuku, seorang guru. Usia kami sama. Dua tahun kami sekelas semasa sekolah menengah dulu. Berpuluh tahun dia mohon ke Maktab Perguruan sebelum diterima masuk. Sebelum Posting dia berkahwin dan kini punya 3 orang anak. Semuanya lelaki.

Aku terkedu saat mendengar tutur itu sebenarnya. Namun, situasi tidak begitu sesuai untuk kunyatakan seayat dua kata-kata lazer ke telinganya. Allah tak bagi aku kesempatan untuk lukakan hatinya kala itu. Tidakkah dia sedar yang dia punya dua kesempatan yang tidak aku miliki? Bergelar isteri dan ibu, sedang aku belum tentu lagi punya kesempatan untuk kedua-dua atau salah satu daripada gelaran itu.

iii

Fahmi: Abah kata tak boleh makan kacang.
Aku: Kalau makan?
Fahmi: Kalau makan...akan mati.

Tak pasti cara mana paling sesuai untuk disiplinkan anak agar berpantang makan kacang. Fahmi (6 tahun) alergik dengan semua jenis kacang. Sejak diberitahu dia akan mati kalau makan kacang, dia memang tidak makan kacang walau sedikitpun. Walaupun neneknya memujuk “Raya tak apa, Tuhan tak bagi mati,”, namun dia tetap juga berpantang.

Persoalannya, dia takut mati atau cuba elak alergik itu?

Sepanjang Perjalanan...


Dalam perjalanan pulang ke kampung untuk Aidiladha, aku ditemani dua orang anak buah, Along dan Angah. Awal-awal lagi Angah dah tanya, jam berapa kami akan sampai. Jangkaannya jam satu petang, namun, beberapa hal sebabkan jadual asal terganggu.

Awal perjalanan, mereka tidur. Dikejutkan jam 5.05 pagi, dah tentu mengundang kantuk untuk anak-anak seperti mereka (11 dan 10 tahun). Bila dah bangun, dah sarapan pula dengan bekal roti bersalut tuna (nudget yang kubeli semalam untuk bekal mereka tidak dapat digoreng kerana kehabisan gas. Jam 5 am, tiada kedai gas buka. Jadinya, nudget itu kubawa balik mentah sahaja. Karang dia orang mintak nak goreng kat kampung nanti, tak perlu aku kalut ke pasar raya mencari), sepanjang jalan ditemani pula celoteh mereka.

Along tak banyak cakap berbanding Angah yang banyak komen itu ini. Asal sahaja meter mencecah 100 km/jam, mulutnya bising beri amaran. Bayangkanlah perjalanan lebih 500 km dengan kelajuan 80 km/jam, entah berapa lama baru boleh sampai. Aduhhhhhh!

Berikut antara dialog yang berlaku antara kami;
Aku: Baru 100 lah, Angah. Meter ni ada 180...masih banyak lagi belum guna. 180 baru kira laju.
Angah: Kena ikut had laju di papan tanda...
Aku: Mana ada papan tanda!
Along: (ketawa) Jalan ni tak ada papan tanda had lajulah, Angah.
Angah: Nanti excident...
Aku: Tak boleh ke excident?
Angah: Kalau excident, Angah tak bertanggungjawab!
Aku: Apa pulak angah tak bertanggungjawab. Kalau polis tanya, nanti Cik Na cakap angah yang bawak kereta laju...

Kami ketawa serentak.
Angah: Janganlah bawa laju...excident nanti susahlah.
Aku: Kenapa pula angah susah?
Angah: Angah ni belum besar lagi...belum pun UPSR. Belum kahwin lagi ni...

Tak terkata aku dibuatnya!