Pada musim luruh, kita akan dapat melihat daun-daun bertukar warna menjadi oren kekuning-kuningan, mula luruh sebagai persediaan menanti musim sejuk yang bakal menjelma dengan kebanyakan pokok tidak lagi berdaun, hanya tinggal ranting. Pada musim luruh ini, rasa sejuk sudah mula menggigit tulang walaupun dengan suhu antara 9 hingga 20 darjah Celsius saja. Maklumlah, suhu badan masih lagi bersuhu Malaysia ketika itu. Syukurlah, musim luruh tahun ini (2008) tidak lagi dirasai sesejuk tahun lalu, mungkin sekali kerana sudah mula biasa dengan suhu di sini. Selain itu, musim luruh juga kaya dengan angin kuat yang pada awalnya saya rasa menyesakkan, menyukarkan penafasan. Kesukaran ini juga tidak lagi dirasai tahun ini.
Ketika musim ini juga, waktu solat adalah hampir sama dengan Malaysia, misalnya solat Zuhurnya bermula dalam lingkungan jam 1 petang. Tidak banyak berbeza, saya tidak begitu merasakan ‘keperitan’ perubahan negara yang besar ketika itu. Tahun lalu juga saya sampai di UK ketika sambutan Ramadan, kira-kira pertengahan Ramadan. Memang diakui, agak sukar menjalani ibadat puasa di negara sejuk tetapi kering ini, tekak terasa kering sepanjang hari. Dan, berbuka pada jam 7.30 malam di UK bagaikan menanti bulan yang tak jatuh. Lama sungguh rasanya kerana di Malaysia, sungguhpun panas tetapi iklimnya lembap. Panahan matahari Khatulistiwa nyata lebih sebati dengan diri ini berbanding kesejukan Eropah. Sangkaan saya meleset kerana beranggapan menjalani ibadat puasa di negara yang lebih sejuk adalah lebih mudah. Namun tahun ini kesukaran Ramadan pertama di UK semakin diberi kemudahan, diringankan kesulitan.
Masuk bulan Disember pula bermulalah musim sejuk yang ‘digeruni tapi dinanti’. Gerun kerana takut tidak tahan dengan kesejukannya, tetapi dinanti kerana ramai pelajar baru di UK ini yang berhajat besar bermain salji. Namun, musim sejuk di Nottingham yang terletak di bahagian tengah UK (Midland) rupanya tidaklah sesejuk bahagian Utara UK seperti Newcastle dan Edinburg. Dengan suhu dalam lingkungan negatif 3 hingga 10 darjah Celsius, salji yang turun sama sekali tidak boleh dibentuk menjadi orang salji.
Ketika musim sejuk pertama kali dirasai di Nottingham, saya hanya dapat melihat salji turun sebanyak beberapa kali pada waktu awal pagi dan malam. Di England, musim sejuk yang paling sejuk dalam sejarah dicatatkan pada musim sejuk tahun 1962/1963. Ketika itu, Januari 1963 adalah kurang daripada 5 darjah daripada purata biasa. Hal ini berterusan sehingga bulan Februari. Angin sejuk air batu (frost) melanda sehingga ke Selatan England yang diketahui lebih panas berbanding kawasan lain di England yang ketika itu berada dalam purata suhu di bawah paras beku. Ketika itu juga, rekod di Braemar, Scotland mencatatkan suhu terendah dalam sejarah UK iaitu -22.2 darjah Celsius. Namun rata-rata, apa yang agak sukar bagi pelajar baru di UK ialah menyesuaikan diri dengan perubahan musim, bukannya kedinginan ketika musim sejuk.
Perubahan musim yang menyebabkan perubahan waktu nyata turut memerlukan kami mengubah rutin hidup seharian termasuk menyesuaikan diri dengan perubahan waktu solat. Bayangkanlah jika di Malaysia, kita sudah biasa dengan waktu solat yang hampir sama sepanjang tahun, di UK pada musim sejuk waktu solat Subuh seawal jam 2.30 pagi dan solat Isyak bermula pada jam 11.30 malam. Jika ketika musim sejuk tugasan menunaikan solat selesai amat awal dalam sehari (misalnya waktu Maghrib seawal jam 3.45 petang dan waktu Isyak bermula jam 5.30 petang), musim panas pula amat berbeza keadaannya. Selain itu, kesukaran mengadaptasi waktu solat di UK juga disebabkan tiada azan yang menunjukkan waktu solat bermula. Memandangkan tiada azan kedengaran di corong radio/televisyen atau di corong masjid seperti di Malaysia, semua pelajar Islam di sini sentiasa melihat waktu solat daripada laman-laman web yang berkaitan seperti Salahtimes, Muslim Directory Prayer Time Table, Nottingham Muslim Society. Namun di sini, kebanyakan kami menggunakan panduan waktu solat di laman web Persatuan Pelajar Islam University of Nottingham. Kemudahan disediakan oleh laman web ini nampaknya banyak membantu semua pelajar Islam di UK dalam menjalankan ibadat solat, mahupun amalan lain seperti puasa sunat sepanjang tahun. Namun, timbul satu lagi masalah besar di sini iaitu tiada keselarasan antara waktu solat, antara satu laman web dengan laman web yang lain. Waktu solat disediakan dalam laman web yang dinyatakan tadi tidak sama semuanya. Itu belum lagi jika dibandingkan dengan risalah serta edaran waktu solat dan berbuka puasa (ketika bulan Ramadan) yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat Islam di UK. Kesukaran ini pastinya ujian bagi kami di UK. Pastinya, Malaysia adalah negara yang jauh lebih mudah menjalankan ibadat secara keseluruhannya.
Namun kami masih bernasib baik kerana jumlah warga Islam di UK kini dikatakan mencapai sehingga dua juta orang dan Nottingham adalah antara kawasan yang mempunyai bilangan masyarakat Islam yang besar selain London, Birmingham, Manchester, Bradford, Luton, Slough dan Leicester, maka tiada masalah mendapatkan makanan dan daging halal di sini. Sungguhpun begitu, pastinya ketika bulan Ramadan tiada hiruk pikuk Bazar Ramadan dan persiapan berbuka yang meriah. Kayanya Malaysia dengan kemudahan beribadat pastinya membuatkan Malaysia tetap di hati walau jelajah sejauh manapun berkelana. Selamat berpuasa kepada semua rakyat Malaysia dan semoga ibadat tahun ini dapat dijalani dengan sesempurna mungkin.
Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), kini melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah di Nottingham Trent University, United Kingdom