Sabtu, 15 Mac 2014

Konsert Future Music Festival Asia dibatalkan

Akhirnya, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh membatalkan hari ketiga Konsert Future Music Festival Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil setelah enam orang maut, manakala tiga lagi masih kritikal akibat mengambil dadah methamphetamine berlebihan. Dadah ini dikenali sebagai ‘designer drug’ atau synthetic drugs dipanggil meth.

Enam orang yang meninggal dunia ketika hadiri konsert itu adalah warga tempatan berumur 19 hingga 28 tahun dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Mereka ialah Kamal Zekry Kamal Basha, 22; Victor Wong E Hern, 26; Sabreena Kamaruddin 21; M.Suresh, 28; Syazana Sohaime, 23; dan Nor Faizza Mohd Wazir, 27. Dua orang yang kritikal ialah warga Singapura dan seorang lagi warga tempatan, dalam lingkungan umur 19 dan 27 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, ketika kejadian, semua mangsa yang berusia 19 hingga 27 dipercayai membeli dadah jenis syabu dari luar sebelum menggunakannya untuk berhibur di dalam stadium. Hasil bedah siasat mendapati mereka terlebih mengambil dadah dan suhu badan terlalu panas.

Sepanjang konsert yang berlangsung sejak Khamis lalu, 19 ditahan kerana kesalahan mengambil dadah.

Terkini Sidang Akhbar MH370 Oleh PM Najib Razak


Laporan agensi berita luar negara (termasuk Associated Press) melaporkan Boeing 777-200ER yang dikemudi oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, 27, yang membawa 227 penumpang dan 10 anak kapal mungkin dirampas. Penyiasat telah membuat kesimpulan bahawa salah seorang juruterbang atau terdapat individu lain yang mempunyai kemahiran mengendali pesawat telah merampas penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Dalam sidang akhbar berkaitan pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama, Sepang kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihaknya masih menyiasat kemungkinan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dirampas. Katanya, pesawat tersebut mungkin terbang sejauh Kazakhstan dan Indonesia.

usah berputus harap untuk memohon kepada Dia


Kesimpulannya: belum ada kata muktamad sama ada pesawat MH370 dirampas atau tidak. Semuanya masih lagi misteri. Masih menjadi teka teki dan tanda tanya seluruh dunia dengan misteri kehilangan MH370.

Video penuh sidang media khas operasi mencari dan menyelamat MH370 oleh Perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15/03/2014



Aku tak nak komen apa-apa, biarlah orang yang pakar buat kerja mereka. Aku tak tahu apa-apa pasal kapal terbang, jadi aku tak boleh nak cakap lebih. Mereka lebih tahu. Karang aku komen, nampak benarnya tayar kapal terbangpun aku tak pernah sentuh. Dan aku amat yakin, mereka yang berkaitan dengan kehilangan ini tak cukup tidur sejak seminggu lepas. Kalau boleh, aku nak pergi beritahu mereka setiap seorang (orang MAS, tentera Udara, darat, laut, bomba, bla bla bla …termasuk wartawan semua, TIDAK TERMASUK Bomoh VIP yang mahu menampar KJ), semoga kerja keras kalian semua diberkati dan dimudahkan Allah. Rakyat Malaysia sangat berterima kasih dengan dedikasi kalian semua. Boleh gitu?

Makin hari, aku rasa makin tawar hati nak tengok berita, baca akhbar, baca blog dan segala-galanya tentang misteri kehilangan MH370. Selain dari penat nak tapis berita mana satu yang sah, mana satu yang spekulasi, mana satu teori bagai…hati juga tak larat dah nak tengok cerita mengarut tentang Bomoh VIP pakcik Bubu, pelbagai parody, gambar-gambar pelik dan trending semasa. Belajarlah untuk sensitif dengan perasaan orang lain. Bergurau itu ada had dan batasannya...salah gurau, jadi gurau bewak. Maafkanlah hatiku ini ya…ampunilah kami.

Semoga kita tidak pernah putus harapan dan sentiasa memohon kepada Dia.




Azizul & Shalwati Tetap Akan Pulang


Sama ada perkahwinan Shamsul Yusuf dan Puteri Sarah yang amat sederhana kerana Shamsul masih lagi tak sihat angkara denggi ataupun perkahwinan Aidil Zafuan Dan Zarema Zainal yang indah gambar pra perkahwinan mereka, meriah majlis nikahnya, ternyata kedua-dua pasangan ini tenggelam dengan populariti Pakcik @ Bomoh Bubu, Bomoh VIP Malaysia dah mengamuk Bomoh Bubu mahu menampar KJ. Boleh pulak KJ permainkan Pakcik Bomoh Bubu balik hu huh uhu kelakar tahap apa tah! Adoi la! Orang kita memang suka maharaja lawak rupanya!

Sekalipun Bomoh Bubu ni buat lawak dan jadi trending merata alam, hinggakan Samsung telah lancarkan permainan BOMOH dalam aplikasi adroidnya. Mmmmm ada rasa macam tersangat malu dengan satu dunia tak? Bab ni aku memang tak akan bersetuju langsung. Usahlah budayakan sangat perkara-perkara yang menjerumuskan diri ke arah syirik ni, orang yang tahu apa itu syirik akan rasa sangat kesal dengan apa yang berlaku. Yang hairannya, dia masih bebas. Malah, ada hati pulak nak tampar KJ kesayangan ramai wanita Malaysia tu.

Kehilangan MH370 telah tenggelamkan banyak perkara termasuk pilihanraya kecil Kajang, jerebu yang kian kritikal dan juga kes Azizul & Shalwati yang sebelum ini hangat diperkatakan.

Terkini, Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pasangan suami isteri Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal itu akan dihantar pulang jika didapati tidak bersalah atau perlu menjalani hukuman jika didapati bersalah sebelum dihantar pulang tetapi semuanya akan menyekat kemasukan semula pasangan berkenaan ke Sweden selama 10 tahun. Kalau aku, tobat dah tak jejak semula. Banyak lagi negara lain di dunia ni boleh pergi.

"Namun Pendakwa Raya, Anna Arnell nampaknya 'ada melahirkan rasa simpati' dan menggambarkan pasangan itu mungkin hanya dikenakan kerja-kerja kemasyarakatan jika disabit kesalahan selepas dimaklumkan hukuman penjara akan menyebabkan pasangan itu dibuang kerja daripada perkhidmatan awam Malaysia," katanya di Mahkamah Daerah Solna, Sweden.

Kita doakan kes ini dapat diselesaikan dengan cara paling mudah. Semoga dukacita mereka menghadapi dugaan ini mendapat redha Allah dan dimudahkan segala kesulitan. Banyak pengajaran dan hikmah yang boleh kita salami bersama.

Kemaskini:

Mahkamah memerintahkan pasangan ini kekal dalam tahanan sementara menunggu keputusan perbicaraan diumumkan pada 28 Mac dengan alasan bahawa Azizul Raheem Awalluddin dan isterinya Shalwati Norshal berisiko melarikan diri. Walau bagaimanapun larangan berkomunikasi telah ditarik balik dan ini bermakna keluarga dan rakan-rakan mereka dibenarkan untuk bertemu dan bercakap dengan mereka di pusat tahanan reman.

Sweden telah mengharamkan hukuman memukul kanak-kanak sejak 1979. Azizul dan Shalwati berdepan dengan hukuman penjara sehingga enam tahun dan denda jika didapati bersalah memukul anak-anak mereka.